Jumaat, 24 Jun 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Bir 20 sen sebungkus

Posted: 23 Jun 2011 05:00 PM PDT

Ini cerita 30 tahun dulu. Saya masih ingat lagi, setiap petang selepas main bola di padang sekolah, saya dan kawan-kawan selalu ke kedai kopi Ah Long di Pekan Mahang untuk beli bir. Harganya cuma 20 sen sebungkus.

Bir yang saya minum, biasanya sudah dicampur air dan sedikit air batu. Sebab itu harganya tidak mahal. Sungguhpun begitu, rasanya masih sedap, manis dan amat menghilangkan dahaga selepas main bola.

Kadang-kadang terlintas juga dalam hati, bagaimana jika emak ayah tahu yang saya minum bir. Apabila teringat hal itu, saya terus sebut "astaghfirullahhalaziim" - bertaubat, tak mahu minum bir lagi.

Tapi esoknya, apabila rasa haus selepas main bola, taubat saya entah ke mana!

Kadang kala bercakap juga dengan kawan-kawan, "ok ke minum bir ni? Setahu aku, bir haram, mana boleh minum!"

Biasanya rasa musykil kami tidak ke mana. Yang pasti, kedai Ah Long tetap jadi tumpuan setiap petang. Bir 20 sen sebungkus itu tetap perlu untuk membasahkan tekak selepas main bola.

Hanya selepas beberapa lama, barulah saya pasti bir yang saya dan kawan-kawan 'langgah' setiap petang itu adalah bir halal yang orang kita lebih suka sebut 'rut bir'!

Itulah minuman yang saya mati-mati sangka sama dengan bir yang saya lihat orang Cina dan India minum berbotol-botol di kedai Ah Long pada waktu petang dan malam.

Selang 20 tahun kemudian, saya sekali lagi alami situasi yang hampir sama. Malam itu - kurang lebih 10 tahun lalu - saya bersama kawan-kawan berjalan daki bukit dalam keadaan mulut berasap kedinginan di satu kawasan eksklusif di bandar raya Isfahan, Iran.

Kami dibawa ke sebuah kelab separa mewah di mana kami diraikan dengan hidangan malam oleh Datuk Bandar Isfahan. Menunya hebat. Namun sedikit musykil dalam hati saya soal minuman. Saya rasa agak lain macam melihat minuman yang dihidangkan kepada kami, lalu bertanya kepada dua rakan bukan Islam yang serombongan: "Air apa ni?"

"Ini bir ..."

"Ha! Bir?"

"Yalah, bir la ..."

Jika tadi, saya ragu-ragu tentang minuman itu, sekarang saya ragu-ragu kepada dua kawan itu pula. Mereka bersungguh-sungguh mengatakan itu bir tetapi saya pula meragui mereka.

Keraguan saya adalah kerana saya berada di Republik Islam Iran. Takkan pula Datuk Bandar Isfahan tergamak beri kami minum air kencing syaitan, sedangkan dia tahu kami Islam kecuali dua rakan itu saja.

Ketika itu, apa yang dipanggil bir halal dan heboh dalam surat khabar dua tiga minggu ini belum lagi ada di negara kita.

Pulang dari Iran, saya siapkan satu tulisan - Pengalaman minum bir halal - menitip apa yang berlaku di Isfahan tetapi hingga hari ini, tulisan itu tak jadi saya siarkan.

Sebabnya, saya bimbang istilah bir halal yang saya guna akan jadi kontroversi. Dan satu lagi, saya rasa bimbang jika istilah 'bir' yang dipadankan dengan perkataan 'halal' akhirnya akan buat orang rasa biasa hingga kemudiannya yang tidak halal pun dirasakan seperti halal juga. Kebimbangan saya lebih 10 tahun lalu itu rupa-rupanya turut dikongsi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom. Saya memahami bahawa strategi musuh Islam untuk menyelinap masuk secara halus ke dalam hidup orang Islam, langkah pertamanya adalah dengan membiasakan sesuatu yang sebelum itu tidak biasa bagi mereka.

Terlalu banyak perkara yang dulunya amat tabu bagi orang Islam, secara berdikit-dikit dibiar masuk, dan kemudiannya terus jadi amalan setelah perasaan 'biasa' dan 'tidak mengapa' dijadikan sandaran pada peringkat awalnya.

Mujurlah 30 tahun dulu saya sudah minum bir halal itu puas-puas. Kalaulah saya tak buat begitu pada masa itu kerana takut bir itu haram, sudah pasti saya tak ada pengalaman minumnya sampai sekarang. Sekarang saya tak minum rut bir kerana takut kencing manis pula, maklumlah ahli Kelab 40!

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Jangan lacur demokrasi, keamanan

Posted: 23 Jun 2011 05:00 PM PDT

Ajaran Islam diturunkan sebagai panduan kepada semua manusia agar mereka dapat hidup aman dan sejahtera. Islam bermaksud penyerahan, kesejahteraan, kedamaian dan keselamatan. Allah SWT melarang keras mereka yang merosakkan keamanan dan mendatangkan mudarat kepada orang lain. Sebarang tindakan ekstrem, menggugat kestabilan dan menentang ulul amri (pemerintah) adalah haram. Mereka yang terbabit jelas berdosa.

Pemerintah di Malaysia menitik beratkan aspek keamanan seperti yang dianjurkan Islam. Hari ini, Malaysia diiktiraf sebagai antara 20 negara paling aman di dunia. Kestabilan politik dan keharmonian hidup masyarakat berbilang kaum di negara ini dibina atas dasar muhibah, tolak ansur dan perkongsian kuasa antara kaum.

Kerana itulah, ramai mengecam tindakan penganjur yang bercadang menghimpunkan antara 200,000 hingga 300,000 orang untuk berdemonstrasi di beberapa lokasi di Kuala Lumpur pada 9 Julai nanti. Jika benar, angka ini adalah lapan hingga 10 kali ganda lebih besar daripada perhimpunan sama pada 2007. Setakat ini, kira-kira 450 laporan polis telah dibuat pelbagai pihak yang tidak bersetuju dengan tindakan penganjur. Mereka mendesak supaya perhimpunan dinamakan Bersih dibatalkan atas dasar keselamatan umum dan menjaga kestabilan politik.

Majoriti rakyat tidak mahu melihat berlaku kacau-bilau memandangkan ada juga pihak lain ingin turut serta mengadakan demonstrasi pada hari sama sebagai bantahan kepada penganjur perhimpunan tersebut. Ada kemungkinan Kuala Lumpur akan menjadi seperti Bangkok, yang mana kumpulan baju kuning (penganjur) akan bertembung dengan kumpulan-kumpulan lain memakai baju merah, biru, hijau atau putih. Walaupun penganjur memberi akuan perhimpunan akan dijalankan secara aman, namun ia tetap perhimpunan yang haram kerana tiada permit daripada pihak polis. Nama Bersih tetapi aktivitinya haram.

Mengikut laporan, penganjur mahu mendesak Kerajaan Pusat mengambil langkah jadikan pilihan raya di Malaysia lebih demokratik. Ini agak aneh. Jika tiada demokrasi, bagaimana parti pembangkang menang pilihan raya umum di Kelantan lima kali berturut-turut dan dapat memerintah sejak 1990 hingga sekarang? Apakah kemenangan besar pembangkang di Wilayah Persekutuan dalam PRU-12 dan dapat memerintah Kedah, Pulau Pinang dan Selangor bukan kerana demokrasi? Parti pembangkang juga pernah membentuk Kerajaan Negeri di Sabah, Perak dan Terengganu, bukankah itu sebahagian proses demokrasi di Malaysia?

Sikap hipokrit mereka cukup terserlah. Demokrasi akan dianggap wujud hanya jika dan apabila mereka dapat memerintah negara. Selagi tidak, mereka akan dakwa demokrasi tidak wujud. Begitu juga dengan sistem kehakiman. Hakim dan mahkamah hanya dianggap betul dan bagus jika keputusan kes memihak kepada mereka. Jika tidak, sistem kehakiman dianggap salah dan hakim dituduh berat sebelah. Daripada 16 pilihan raya kecil yang diadakan sejak 2008, pembangkang menang 8 kalah 8. Bagi kerusi yang dimenangi, mereka kata demokrasi hidup. Di mana mereka kalah, dituduh parti lawan amal politik kotor, pengundi hantu, rasuah dan sebagainya.

Kini mereka memilih untuk berdemonstrasi. Mereka mahu memaksa kerajaan mengikut telunjuk mereka. Padahal, berapa banyak demonstrasi yang dilakukan rakyat di negeri-negeri yang diperintah pembangkang sejak 2008 tapi tidak diendahkan. Bantahan penjaja kecil dan peniaga Melayu di Kelantan dan Pulau Pinang tidak dipedulikan. Macam-macam perhimpunan dan demonstrasi dibuat tetapi nasib mereka bertambah buruk. Protes rakyat dan pelajar universiti di Kedah dan Selangor berhubung pelbagai isu termasuk kemudahan asas, rumah urut dan rasuah juga tidak merubah apa-apa. Ini sikap mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih.

Difahamkan penganjur terdiri daripada peguam, Ahli Parlimen dan tokoh politik. Ini bermakna mereka mempunyai pelbagai saluran untuk mengetengahkan ketidakpuasan hati termasuk berdialog atau membahaskan di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri. Malah, mereka juga ada pilihan untuk mengambil tindakan undang-undang dan saman Kerajaan. Mereka tidak perlu bertindak mengikut nafsu amarah, dan mengganggu gugat keamanan negara dan keselamatan orang awam. Apa yang berlaku adalah sebaliknya: peguam dan penggubal undang-undang sendiri yang membelakangkan undang-undang. Mereka menodai prinsip ke-4 Rukun Negara dan gagal melaksanakan tanggungjawab mendaulatkan undang-undang. Mereka kata ingin tegakkan demokrasi, tapi mereka sendiri yang melacurkan demokrasi. Paling serius ialah kenyataan seorang pemimpin politik bahawa demonstrasi ini ialah untuk mengguling kerajaan (Harakah, 17-19 Jun 2011). Malah, banyak kenyataan yang dibuat pemimpin-pemimpin seperti dengan beliau yang menyamakan impak perhimpunan pada 9 Julai nanti dengan apa berlaku di Mesir, Syria, Yemen, Libya dan Tunisia. Ini rujukan yang sangat berbahaya. Atas cita-cita ini, mereka mengisytiharkan akan berdegil meneruskan demonstrasi ini walaupun pihak polis telah memberi amaran keras.

Penganjur jangan samakan Dataran Merdeka, Kuala Lumpur atau Putrajaya dengan Ikada, Jakarta (Sept 1945), Wenceslas, Prague (Jan 1969), Tiananmen Square, Beijing (Jun 1989) atau Medan Tahrir, Kaherah (Feb 2011). Walaupun perhimpunan itu semua merubah politik negara masing-masing, faktor yang mencetus adalah berbeza manakala kebebasan berpolitik dan keadaan sosioekonomi di Malaysia hari ini jauh lebih baik daripada negara-negara terbabit. Justeru, ada pihak mencadangkan langkah-langkah pre-emptive diambil termasuk ISA demi keselamatan rakyat dan kestabilan negara. Kepentingan ekonomi juga kena diambil kira kerana demonstrasi sebegini akan memberi imej buruk kepada negara serta menjejaskan pelaburan asing. Saya cukup bersetuju dengan saranan ini.

Bukan hak segolongan orang atau kumpulan yang berkepentingan sempit meletakkan majoriti rakyat dan negara dalam keadaan tergugat. Demokrasi yang mereka amalkan tidak boleh secara terpilih. Tiada kumpulan kecil yang berhak menghancurkan keamanan yang dinikmati rakyat terbanyak, walaupun atas nama demokrasi. Demokrasi adalah untuk semua rakyat. Ia adalah hak semua warganegara Malaysia, bukan penganjur Bersih sahaja.

Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved