Akhirnya, di sebalik riuh Pakatan Rakyat (PR) dan pengikutnya mempromosi Anwar Ibrahim untuk kerusi perdana menteri, mantan Timbalan Perdana Menteri itu hampir secara rasmi dilabelkan sebagai 'petualang negara'.
Anwar tak perlu menyalahkan orang lain, melainkan dirinya sendiri yang sering menimbulkan angkara sejak hari pertama beliau melibatkan diri dalam dunia politik. Bagi Anwar, untuk suaranya didengari rakyat, cara terbaik ialah melakukan sesuatu bertentangan dengan establishment.
Aneh tapi itulah realitinya. Setiap kali ada demonstrasi di negara ini, tidak boleh tidak ia pasti sahaja ada kena-mengena dengan Anwar.
Beliau boleh dianggap memulakan kerjaya politiknya dengan mengetuai tunjuk perasaan pelajar membela nasib penduduk di Baling pada awal 1970-an. Rakyat Malaysia pelbagai suku bangsa yang ketika itu belum mengenalinya terkejut melihat kebanjiran ribuan pelajar pekan Baling.
Bagi penduduk di situ yang serba miskin dan mundur, kemunculan pelajar memperjuang dan membela nasib mereka itu sebagai satu rahmat walaupun isu konon ada penduduk Baling yang mati kebuluran, tidak lebih daripada skrip ciptaan Anwar.
Bagaimanapun, pertama kali menatap wajah Anwar, penduduk Baling terpesona dengan "budak universiti berwajah kacak dan pandai bercakap." Kepadanya mereka sandarkan harapan dapat keluarkan dari kegelapan yang membelenggu masyarakat itu selama ini.
Empat dekad kemudian, ada antara pelajar tersebut sudah muncul sebagai manusia super-rich dan super-powerful malah super segala.
Berdasarkan lakonan memukau rakyat dan penyokong, Anwar sendiri berjaya memperdayakan pemimpin UMNO dan meyakinkan Tun Dr Mahathir Mohammad sehingga akhirnya dapat menduduki kerusi Timbalan Perdana Menteri. Tapi bagaimana Baling?
Masihkah ia diingati? Apakah nasib penduduknya telah dibela secara eksklusif oleh Anwar yang sudah bergelar Datuk Seri ketika itu dan turut memegang jawatan Menteri Kewangan? Berapa kalil dia melawat Baling dan bilakah kali terakhir berbuat begitu dengan tujuan baiki nasib penduduk di situ?
Kemasukannya dalam UMNO dibimbangi bakal mendatangkan musibah kepada parti itu, namun tidak ada sesiapa boleh menghalang kehendak Dr Mahathir yang "sudah jatuh hati dengan Anwar."
Bagi Anwar, di sebalik senyuman terukir di bibirnya, berdepan dengan Dr Mahathir ibarat berdepan seekor harimau yang menunggu mangsa untuk dibaham satu hari nanti.
Begitulah Anwar dibawa masuk dan dipersiapkan sebagai bakal pewaris kerusi perdana menteri. Tapi hakikatnya manusia merancang apa saja, namun Tuhan yang menentukan segala. Justeru kerja Tuhanlah yang menyaksikan Anwar terus kempunan jawatan PM. Walaupun usia primanya sudah hampir Maghrib, nampaknya masih sekadar seperti mengejar fatamorgana.
Drama Anwar dalam UMNO, tatkala ia sedang diperlakonkan memang cukup menarik. Orang kata, sebahagiannya macam tonton Drama Minggu Ini dan sebahagian dihidu sebagai satu pekong politik yang sedang menunggu untuk meledak dan melepaskan bau busuk.
Modus operandi dan plotnya cukup mudah. Dengan kuasa politik di tangan Anwar berikan beberapa sahabat rapatnya pelbagai jawatan penting. Kamaruddin Jaafar menjadi Setiausaha Politik Tun Ghafar Baba, ketika itu timbalan Dr Mahathir. Namun bila berlaku pertandingan bagi jawatan Timbalan Presiden UMNO, bayangkan kesetiaan KJ.
Anwar yang mewujudkan Team Wawasan membuat road show (cuma tak buat demonstrasi saja) ke seluruh negeri dan turun ke setiap bahagian. Wang bertukar tangan macam daun-daun kering gugur musim luruh.
Pada malam Anwar dipecat dari UMNO, puluhan ribu orang berkerumun di Dataran Merdeka bantah keputusan Majlis Tertinggi parti. Saya percaya angka itu hampir 100,000 orang. Isu dalaman UMNO bertukar menjadi isu jalanan dan Anwar dalam sekelip mata jadi wira rakyat dan sekelip mata juga, kembali cara lamanya – berdemonstrasi.
Teriakan "reformasi!" mewarnai kepemimpinan Dr Mahathir yang ketika itu sudah pun nekad untuk mendepani kekuatan Anwar. Malah salah seorang yang turut turun ke jalan raya menyokong Anwar kini menjadi menteri besar sebuah negeri.
Bila Anwar bebas dan keluar dari penjara, jarang kita dengar mengenai gerakan reformasi kerana pada masa itu sudah tertubuh parti politik yang diketuai isterinya— Parti Keadilan Rakyat. Walaupun sejarah perjuangan Anwar memperlihatkan penentangan amalan neopotisme, namun ia tidak menghalang anak perempuannya dari dipilih sebagai seorang daripada naib presiden parti manakala bekas setiausahanya, Azmin Ali kini timbalan presiden.
Pada 9 Julai lalu, teriakan reformasi sekali lagi kedengaran di beberapa batang jalan raya di ibu kota. Ia adalah lanjutan perarakan haram anjuran Bersih2.0 yang diketuai seorang wanita India. Matlamat Bersih ialah memperjuang agar pilihan raya menjadi bersih, namun laungan reformasi membuka persoalan kepada agenda seterusnya.
Demonstrasi jalanan sinonim dengan Anwar sejak lama dulu, kini membayangi pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Kenyataan Najib bahawa ISA tidak akan diguna pakai untuk menghalang gerakan seumpama ini, demonstrasi jalanan akan kembali menjadi scene menjelang pilihan raya umum ke-13.
Nampaknya selagi hasrat Anwar ke Putrajaya tidak capai matlamat, selagi itu kita akan melihat rakyat berpecah, harta benda rosak serta imej negara dicemari. Selagi perjuangan Anwar belum tercapai, media Barat seperti mendapat peluang menjadikan Malaysia seperti sebuah lagi Mesir, Tunisia dan barangkali juga Libya.
Sejarah perlihatkan perpecahan bangsa Melayu kerana angkara yang dicipta mereka sendiri. Kesultanan Melayu Melaka berkubur akibat manipulasi politik tokoh bukan Melayu dan puak yang menghasut dan memperkuda sentimen orang Melayu. Hari ini, ada sesetengah orang Melayu sudah rela diperkuda bagi kepentingan bukan Melayu ini dan tanpa disedarinya, Anwar turut digunakan dalam percaturan baru ini.
Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.