Kuala Lumpur, pagi Isnin, sering menyempitkan dada dan menyesakkan minda. Timbunan fail gagah menjadi pencakar langit di atas meja. Tarikh pendengaran dan sebutan mahkamah menjerit-jerit pohon diselesaikan. Garis akhir dunia penulisan tegar menghimpit kreativiti.
Sekiranya ruangan ini mengizinkan saya bermimpi, sekarang juga saya terbang keluar dari ruang pejabat. Kepingin benar untuk memerhati peradaban manusia di benua eksotik Eropah Timur, Asia dan seterusnya Jepun dalam keretapi Trans-Siberian Express, seperti Paul Theroux.
Walau tidak sehebat naratif perjalanan Marco Polo merentas The Great Silk Road, gaya penceritaan Theroux dalam buku terbaru beliau, Ghost Train to the Eastern Star, mengingatkan saya bahawa hidup ini perlu dirintis. Menghabiskan lapan jam sehari di pejabat perlu jadi mimpi ngeri setiap insan.
Jika tidak tersurat untuk mengembara seperti Theroux, jadi bon vivant seperti penulis ruangan Tapai dalam majalah Off The Edge itu sahaja sudah cukup. Mencoret kata-kata memberi deskripsi makanan di sekitar Malaysia dan Asia Tenggara. Bercakap perihal makanan, teringat pagi Ahad di Kota Bharu beberapa minggu lepas.
Ketika itu kenderaan di Jalan Pengkalan Chepa yang sentiasa sibuk, masih lengang. Mungkin kerana hari itu cuti umum untuk warga Kelantan yang menggantikan hari keputeraan Yang di-Pertuan Agong. Saya dan suami keluar mencari sarapan bertemankan GPS, kerana Kota Bharu ini agak asing untuk saya yang dilahir dan dibesarkan di Kuala Krai. Kami mencari sebuah kedai di mana makanan terkenal seluruh Kelantan terhimpun di bawah satu bumbung: Kopitiam Kita.
Agak terceruk kedudukan kedai makan yang satu ini dari jalan-jalan utama: Jalan Dusun Muda dan Jalan Pengkalan Chepa. Tetapi berbekalkan koordinasi satelit yang dibekalkan oleh kawan, akhirnya kami ketemu juga dengan Kopitiam Kita.
Ketika sampai di Kopitiam Kita (dahulunya dikenali sebagai 'Kopitiam Wong'), dalam pekarangan sebuah rumah banglo kayu yang sudah tua, suasana hingar-bingar. Jika tepat pengamatan saya, ada lebih kurang 40 meja dalam kedai di Jalan Sri Cemerlang itu, dan semuanya penuh dengan insan peminat sarapan pagi ala orang Kelantan. Saya mencari nasi berlauk Kak Wok; sementara suami pula berharap untuk bertemu dengan nasi tumpang.
Konsep Kopitiam Kita enteng sebenarnya. Segala makanan popular dari segenap ceruk daerah di Kelantan akan dibekalkan dan seterusnya dijual di sini seperti, nasi berlauk ikan Tumpat, nasi gulai ayam Tumpat, nasi berlauk ikan Air Dingin, nasi berlauk Pasir Pekan, nasi dagang, putu mayam dan nasi kerabu. Menu sarapan oriental seperti roti bakar dan roti canai juga ada.
Sambil berdiri mencari tempat duduk, mata mula bermaharajalela memerhati persekitaran. Dari orang biasa sehingga kepada pemilik kereta Porsche Cayenne rona putih, semua orang sedang taksub menghadap bungkusan-bungkusan pembawa nikmat di lidah dan leher.
Tatkala ilmu sains kesihatan menggalakkan sarapan yang bisa memangkin sistem penghadaman seperti bijirin berserat, roti, susu dan buah, orang Kelantan tak ambil pusing. Menjadi pilihan sarapan tetap nasi berlauk, nasi kerabu atau nasi dagang. Semas kecil dahulu saya cukup suka dengan nasi himpit yang dibungkus dengan sambal ikan, kuah kacang manis dan dua cucuk sate ayam. Oh, sungguh enak sekali.
Dapat tempat duduk, saya terus menyambar dua bungkus nasi berlauk Kak Wok. Suami hampa, nasi tumpang hanya tinggal bakul sahaja. Sebaik sahaja bungkusan nasi dibuka, aroma gulai Kak Wok bercampur sambal terus menjajah hidung. Dan apabila suapan pertama sampai ke mulut, sempurna segala rasa di lidah. Nikmat tidak terkata. Walau sejauh mana merantau, tiada yang mampu menandingi keistimewaan air tangan Kak Wok.
Di Kelantan ini, nasi berlauk Kak Wok terkenal dengan kelazatan dan gaulan rasa tahap terbaik dalam kamus masakan orang Kelantan. Asalnya diasaskan oleh arwah Kak Wok di Lundang – saya mendapat berita bahawa beliau baru sahaja meninggal dunia pada 17 April 2011 – sekarang gerai Kak Wok ada di belakang bangunan Kota Bharu Medical Centre.
Secara tradisi, nasi berlauk Kak Wok tidak banyak beza dengan mana-mana nasi berlauk lain di Kelantan, tetapi rencah kuah dan sambal lada Kak Wok paling ulung - unik dan tersendiri. Ramai ingin meniru, sehingga sekarang tiada yang mampu. Pendek kata, hanya mendengar nama Kak Wok, air liur bisa kecur.
Berbeza resam hidup setiap kali pulang ke Kelantan, jika di Kuala Lumpur, sarapan saya hanya segelas double shot latte tanpa makanan. Bila pulang ke Kelantan, wajib cari nasi untuk sarapan. Tradisi sukar dihakis barangkali.
• Elviza juga seorang peguam yang berkicau di http://twitter.com/elviza
Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.