Rabu, 22 Jun 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Sarapan di Jalan Sri Cemerlang

Posted: 21 Jun 2011 05:00 PM PDT

Kuala Lumpur, pagi Isnin, sering menyempitkan dada dan menyesakkan minda. Timbunan fail gagah menjadi pencakar langit di atas meja. Tarikh pendengaran dan sebutan mahkamah menjerit-jerit pohon diselesaikan. Garis akhir dunia penulisan tegar menghimpit kreativiti.

Sekiranya ruangan ini mengizinkan saya bermimpi, sekarang juga saya terbang keluar dari ruang pejabat. Kepingin benar untuk memerhati peradaban manusia di benua eksotik Eropah Timur, Asia dan seterusnya Jepun dalam keretapi Trans-Siberian Express, seperti Paul Theroux.

Walau tidak sehebat naratif perjalanan Marco Polo merentas The Great Silk Road, gaya penceritaan Theroux dalam buku terbaru beliau, Ghost Train to the Eastern Star, mengingatkan saya bahawa hidup ini perlu dirintis. Menghabiskan lapan jam sehari di pejabat perlu jadi mimpi ngeri setiap insan.

Jika tidak tersurat untuk mengembara seperti Theroux, jadi bon vivant seperti penulis ruangan Tapai dalam majalah Off The Edge itu sahaja sudah cukup. Mencoret kata-kata memberi deskripsi makanan di sekitar Malaysia dan Asia Tenggara. Bercakap perihal makanan, teringat pagi Ahad di Kota Bharu beberapa minggu lepas.

Ketika itu kenderaan di Jalan Pengkalan Chepa yang sentiasa sibuk, masih lengang. Mungkin kerana hari itu cuti umum untuk warga Kelantan yang menggantikan hari keputeraan Yang di-Pertuan Agong. Saya dan suami keluar mencari sarapan bertemankan GPS, kerana Kota Bharu ini agak asing untuk saya yang dilahir dan dibesarkan di Kuala Krai. Kami mencari sebuah kedai di mana makanan terkenal seluruh Kelantan terhimpun di bawah satu bumbung: Kopitiam Kita.

Agak terceruk kedudukan kedai makan yang satu ini dari jalan-jalan utama: Jalan Dusun Muda dan Jalan Pengkalan Chepa. Tetapi berbekalkan koordinasi satelit yang dibekalkan oleh kawan, akhirnya kami ketemu juga dengan Kopitiam Kita.

Ketika sampai di Kopitiam Kita (dahulunya dikenali sebagai 'Kopitiam Wong'), dalam pekarangan sebuah rumah banglo kayu yang sudah tua, suasana hingar-bingar. Jika tepat pengamatan saya, ada lebih kurang 40 meja dalam kedai di Jalan Sri Cemerlang itu, dan semuanya penuh dengan insan peminat sarapan pagi ala orang Kelantan. Saya mencari nasi berlauk Kak Wok; sementara suami pula berharap untuk bertemu dengan nasi tumpang.

Konsep Kopitiam Kita enteng sebenarnya. Segala makanan popular dari segenap ceruk daerah di Kelantan akan dibekalkan dan seterusnya dijual di sini seperti, nasi berlauk ikan Tumpat, nasi gulai ayam Tumpat, nasi berlauk ikan Air Dingin, nasi berlauk Pasir Pekan, nasi dagang, putu mayam dan nasi kerabu. Menu sarapan oriental seperti roti bakar dan roti canai juga ada.

Sambil berdiri mencari tempat duduk, mata mula bermaharajalela memerhati persekitaran. Dari orang biasa sehingga kepada pemilik kereta Porsche Cayenne rona putih, semua orang sedang taksub menghadap bungkusan-bungkusan pembawa nikmat di lidah dan leher.

Tatkala ilmu sains kesihatan menggalakkan sarapan yang bisa memangkin sistem penghadaman seperti bijirin berserat, roti, susu dan buah, orang Kelantan tak ambil pusing. Menjadi pilihan sarapan tetap nasi berlauk, nasi kerabu atau nasi dagang. Semas kecil dahulu saya cukup suka dengan nasi himpit yang dibungkus dengan sambal ikan, kuah kacang manis dan dua cucuk sate ayam. Oh, sungguh enak sekali.

Dapat tempat duduk, saya terus menyambar dua bungkus nasi berlauk Kak Wok. Suami hampa, nasi tumpang hanya tinggal bakul sahaja. Sebaik sahaja bungkusan nasi dibuka, aroma gulai Kak Wok bercampur sambal terus menjajah hidung. Dan apabila suapan pertama sampai ke mulut, sempurna segala rasa di lidah. Nikmat tidak terkata. Walau sejauh mana merantau, tiada yang mampu menandingi keistimewaan air tangan Kak Wok.

Di Kelantan ini, nasi berlauk Kak Wok terkenal dengan kelazatan dan gaulan rasa tahap terbaik dalam kamus masakan orang Kelantan. Asalnya diasaskan oleh arwah Kak Wok di Lundang – saya mendapat berita bahawa beliau baru sahaja meninggal dunia pada 17 April 2011 – sekarang gerai Kak Wok ada di belakang bangunan Kota Bharu Medical Centre.

Secara tradisi, nasi berlauk Kak Wok tidak banyak beza dengan mana-mana nasi berlauk lain di Kelantan, tetapi rencah kuah dan sambal lada Kak Wok paling ulung - unik dan tersendiri. Ramai ingin meniru, sehingga sekarang tiada yang mampu. Pendek kata, hanya mendengar nama Kak Wok, air liur bisa kecur.

Berbeza resam hidup setiap kali pulang ke Kelantan, jika di Kuala Lumpur, sarapan saya hanya segelas double shot latte tanpa makanan. Bila pulang ke Kelantan, wajib cari nasi untuk sarapan. Tradisi sukar dihakis barangkali.

• Elviza juga seorang peguam yang berkicau di http://twitter.com/elviza

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada salah duduk di atas pagar

Posted: 21 Jun 2011 05:00 PM PDT

Dari semasa ke semasa, saya kerap tersenyum sebaik sahaja kawan-kawan bertanya apakah kiblat politik akhbar Sinar Harian. Apabila saya katakan bahawa akhbar Sinar Harian tidak condong menyebelahi sama ada kerajaan BN mahupun PR, jawapan saya akan disambut dengan senyuman sinis. Mereka tidak percaya akhbar Sinar Harian tidak mahu senget kepada mana-mana pihak. Saya pula akan tersenyum apabila kawan-kawan mengatakan jika tidak menyebelahi mana-mana pihak, ia bererti Sinar Harian tiada pendirian. Maaf cakap, bukankah tidak memihak itu juga satu pendirian?

Apa yang hendak dihairankan? Kami menjual surat khabar. dan kami perjuangkan dengan TELUS dan TULUS. Kalau kami ingin berjuang selain daripada itu, kami akan sertai mana-mana NGO mahupun parti-parti politik. Kami tidak perlu mempunyai apa-apa pendirian yang sentiasa condong kepada mana-mana pihak. Memang ada di antara kawan-kawan saya yang tidak boleh menerima pendirian yang begini.

Kata mereka, surat khabar mesti punyai pendirian. Dan pendirian itu mestilah condong ke mana-mana pihak. Jika tidak, mereka susah hendak menyokong Sinar Harian. Tetapi, saya pula berkata, apakah kita perlu bertanya apakah anutan politik si penjual nasi lemak, peniaga di pasar tani atau mamak roti canai sebelum kita membeli barangan mereka? Apakah kita tidak jadi membeli barangan mereka seandainya mereka tidak separti dengan kita?

Bagaimana pun, untuk rekod, kami di pihak editorial secara selamba dan terbuka tahu parti politik manakah yang masing-masing anggotai. Ada yang menganggotai BN dan juga PR. Dan kami boleh bekerja dengan selesa dan sepakat menjual surat khabar.

Lagi pula, prinsip akhbar Sinar Harian untuk tidak memihak itu lebih baik. Andainya Sinar Harian memihak, kami akan mempunyai pandangan yang terhad kepada kebaikan pihak yang disokong dan mengetepikan keburukannya. Pada waktu yang sama, kami akan melihat keburukan pihak yang kami tidak sokong dan menutup mata terhadap kebaikan yang ada pada pihak yang tidak disebelahi.

Begitulah, lazimnya pandangan orang politik yang sentiasa berasakan pilihan dan pemikirannya sahaja yang betul. Bagi saya, 'only politicians see the grass is greener on HIS side!' Orang politik hanya nampak laman di bahagiannya sahaja yang hijau. Itulah yang sukarnya seandainya memihak. Oleh itu, mana-mana kelompok harus melihat, memahami dan mengerti bahawa tidak memihak, dalam konteks politik berparti adalah sesuatu yang harus. Justeru itu, ia bukannya satu dosa.

Dalam pada itu, masih ramai lagi orang yang tidak boleh menerima pendirian untuk menyokong berdasarkan prinsip. Misalnya, kita menyokong BN kerana ketekunannya membina negara, tetapi dalam waktu yang sama, kita sokong pembangkang yang mengkritik kelemahan-kelemahan kerajaan di dalam pentadbiran. Kita sokong dengan positif usaha-usaha BN untuk meningkatkan pelabur asing. Tetapi kita tidak boleh terima perbelanjaan mereka yang tidak masuk akal. Kita sokong perjuangan BERSIH untuk pilihanraya yang adil, tetapi kita tidak sokong demokrasi demonstrasi.

Mengapa ada yang masih tidak boleh terima pendirian yang berkecuali? Ia mungkin terjadi kerana kehidupan kita sudah tersusun dengan sistem dan teratur dengan prosedur. Sistem dibuat agar pola kehidupan seharian kita bergerak mengikut paksinya. Apabila sistem diikuti, kesilapan dapat diminimakan. Prosedur pula dirangka agar sistem dipatuhi. Ini menjamin segala-galanya berjalan dengan baik mengikut jangkaan, congakan dan perkiraan.

Tanpa kita sedari, sistem dan prosedur yang disusun dan diatur itu jugalah yang menjadikan kita mempunyai pandangan yang begitu objektif. Kita hanya dapat melihat warna hitam dan putih, dan tidak lagi warna kelabu. Begitu juga, kita hanya dapat memahami kepada jawapan mahupun persoalan 'ya' ataupun 'tidak,' dan tidak mengerti sama sekali kepada jawapan 'barangkali.'

Sehinggakan kita sampai kepada tanggapan pemikiran yang begitu simplistik. Andainya kita sukakan sesuatu, ertinya kita mesti membenci sesuatu yang bertentangan. Kalau kita mahu sesuatu, maknanya kita tidak hendak sesuatu yang lain. Kita tidak pandai untuk suka begitu dan juga begini; atau benci itu dan juga ini. Kerana itu, kita pelik andainya menemui mereka yang sukakan semuanya atau bencikan segala-galanya. Kita bertambah hairan kalau berdepan dengan mereka yang tidak punyai apa-apa perasaan mahupun pemikiran terhadap sesuatu perkara yang sedang menjadi perbualan ramai.

Siapakah mereka ini? Mereka adalah golongan yang duduk di atas pagar, ataupun fence sitters. Fence sitters duduk di tempat yang tinggi di antara kedua-dua padang. Kerana posisinya, dia boleh nampak semak samun dan juga belantara di kedua-dua tempat. Dan berada di tempat yang lebih tinggi, memungkinkan seseorang itu mempunyai helicopter view atau bird's eye view iaitu berpandangan luas lagi menyeluruh. Justeru itu, visi horizonnya merangkum dan mencakup sesaujana mata memandang. Dan keputusan yang diambilnya adalah berdasarkan perspektif yang holistik!

Layari http://www.maafcakap.blogspot.com untuk membaca artikel-artikel sebelum ini.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved