Walaupun sudah lama tahu salasilah keluarga, saya tidak kisah sangat asal-usul saya sehingga saya interviu Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman di Residency di Jalan Brockman, kini Jalan Dato' Onn satu petang akhir 1957 tentang politik semasa. Saya mentah lagi - baru berapa bulan jadi wartawan Straits Times, berumur 20 tahun (bagai mi segera) tetapi diberi peluang oleh Tunku mewawancaranya. Rakan sejawat, yang senior bergurau, irihati berkata: 'pintu terbuka, peluang dan tirai menyelak luas bagi budak Kolej (MCKK)'. Tunku bukan old boy MCKK tetapi dua kakandanya murid tua – Tunku Yaacob dan Tunku Kasim. Anakanda sulungnya Tunku Ahmad Nerang satu tahun di hadapan saya di MCKK. Hubungan atau connections membuka pintu. Setakat itu sahajalah kalau anda tidak ada kebolehan, duduk setakat di muka pintu tanpa masuk dapur apatah lagi ke dalam kamar tidur!
Sebelum berbicara urusan sambil minum teh, menikmati kuih-muih Melayu dan Inggeris kami bercakap tentang famili, persekolahan, kegemaran (hobbies), sukan, kecenderungan, rekreasi, hiburan dan personaliti/tokoh politik kerajaan dan pembangkang. Selesai interviu Tunku meminjamkan buku 'Salasilah Kesultanan dan Kerabat Diraja Kedah'. 'Bacalah buku salasilah ini,' ujar Tunku. Semenjak itu saya lebih mengenali Tunku dan memahami kecenderungan politiknya walaupun banyak yang saya tidak setuju. Falsafah hidup, tanggapan politik dan sosioekonomi dan agama Tunku berlainan dengan saya. Tunku menganut sekularisme, demokrasi, paling ketara dia seorang monarkis sejati; seorang anglophile juga seorang nasionalis yang tidak sempit, tidak ekstrem.
Tunku amat mementingkan sejarah, suatu yang wajar dan bijak. Sejarah dunia, sejarah bangsa, kisah titisan darah keluarga dirajanya dan juga sebelah ibunya di Thailand; babak adik beradik, isteri atau suami mereka, riwayat biasa, cerita sekolah, kolej dan universiti amat diminatinya. Mula-mula saya hairan juga kenapa Tunku begitu menekankan surih-surih seseorang. Tunku, waktu umur 22 tahun sudah lulus Sarjana Sejarah di University Cambridge awal 20an dan dua dekad kemudian mendapat ijazah undang-undang dari Inner Temple, London. Oxford dan Cambridge bukan di London – kedua-dua bandar tersendiri. Media Malaysia (bukan semua) suka menyebutkan graduan Oxford, London atau graduan Cambridge, London. Tidak betul. Seperti saya tegaskan Oxford sebuah bandar, juga Cambridge berpuluh batu dari London. Kedua-dua tidak sebahagian atau daerah metropolitan London; kedua-dua mempunyai majlis kerajaan tempatan sendiri. Susahlah kalau buta ilmu alam, sudah lah buta sejarah. Menyifatkan Oxford London bagai menyifatkan UKM Kuala Lumpur. Kan UKM di Bangi dalam negeri Selangor? Mengata graduan Cambridge London seperti mengata UiTM Kuala Lumpur. Kan UiTM di Shah Alam? Tunku seorang history buff , terang Speaking. Yakni seorang fan, peminat tawarikh - kuno dan moden.
Zaman saya bersekolah history diajar dan ditekan. Sedihnya bukan sejarah Malaya tetapi sejarah Eropah dan British Empire!. Zaman saya juga matematik dikenali sebagai ilmu hisab, geografi ilmu alam. Saya agak cerdik dalam sejarah, bahasa, ilmu alam dan kesusasteraan atau literature; berlubang-lubang kalau pun tidak benak dalam ilmu hisab dan sains. Jarang lulus dalam kedua subjek dari kelas rendah hingga ke atas. Waktu saya 'bermain saham' dan mendapat keuntungan kawan-kawan hairan bagaimana si Dollah yang benak ilmu kira-kira pandai pula cari wang? Betul saya dungu dalam geometry, algebra tapi saya tidak tolol dalam campur tolak dan bahagi.
Pasca Malay College, post RIDA College saya lulus Bahasa Inggeris, Asas Ekonomi, Asas Costing, Asas Accounting, Asas Commerce and Business, Asas Kursus Company Secretary dan Typing! Sekarang tidak boleh menaip langsung, apa lagi mengguna komputer. Saya tidak ambil trengkas atau shorthand. Kerana bosan belajar saya keluar sebelum tamat Business Studies di RIDA College untuk menyambut tawaran Straits Times sebagai wartawan pelatih. Lulus temu duga, peperiksaan menulis dan lisan BI, general knowledge atau pengetahuan am dan current affairs yakni isu-isu semasa. Mujur tiada ujian sains dan ilmu hisab. Kalau tidak saya tentu gagal!
Dr Rachel Leow, seorang Malaysian keturunan Cina, termuda (berusia 26 tahun) baru sahaja dipilih sebagai Prize Felo Sejarah di Harvard University, alma mater Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin, Allahyarham Tan Sri Shukor Abdullah, mantan ketua pengarah pendidikan. Kami bertiga antara lima Melayu belajar di Harvard awal 1980an. Dalam satu interviu (STAR, Selasa 6 September 2011) Rachel menegaskan tawarikh bukan mempelajari tarikh dan masa silam saja tetapi terpenting peristiwa-peristiwa yang telah membawa kita ke tahap sekarang. Tambahnya, 'sejarah memberi kita kebolehan/kemahiran atau skills untuk menangani situasi dalam kehidupan sebenar real life. Memahami sejarah serupa dengan belajar ilmu perubatan dan kejuruteraan.'
Kalau anda graduan sejarah lazimnya anda bisa menulis, berkomunikasi, melakukan analisis secara kritikal tentang isu-isu yang komplek dan mahir membuat penyelidikan. 'Learning how to do research is an invaluable skill because one learns how to do things independently. Once you learn that you can learn anything' ujar Rachel. Kalau bijak melakukan research seorang pelajar boleh menguasai apa ilmu pun mengikut Rachel. Ironik,Rachel ditolak oleh Cambridge sungguhpun keputusan SPMnya cemerlang. Langsung dia ke Warwick University (Warwick University bukan di London) di utara London tapi di luar daerah London. Pengajiannya di Warwick cemerlang langsung diterima oleh Cambridge untuk Masters dan kedoktoran dalam sejarah. Pokoknya kekecewaan tidak mematahkan hati Rachel. Contoh yang baik yang harus diteladani oleh muda-mudi Malaysia.
Suka duka sejarah ditulis oleh winners yakni mereka yang menang dan berkuasa. Begitulah di China, Singapura, United Kingdom, Amerika, di Vitnam, di Taiwan dan lain-lain lagi. Membaca buku sejarah yang ditulis oleh orang putih ceritanya lain. Bacalah sejarah penaklukan Malaya/Singapura oleh Jepun dari kaca mata Jepun. Berbeza dengan yang ditulis oleh orang putih. Kita tunggulah sejarah Iraq pasca Saddam Hussain, sejarah Mesir pasca Hosni Mubarak, sejarah Libya pasca Gaddafi berbanding dengan sejarah sebelumnya. Amerika kalah di Cuba tetapi membaca sejarah yang ditulis orang Amerika seolah-olah mereka tidak tewas di pulau itu!
Saya tidak hairan langsung kalau PAS menang parti Islam itu akan 'rewrite history'. DAP juga mahu menulis semula tawarikh Malaysia. PKR juga. Hatta MCA dan MIC pun begitu juga. Baca sejarah parti UMNO sendiri pun wiranya bermusim-musim! Bergantung siapa perdana menteri dan presiden UMNO. Satu ketika Dato' Onn Jaafar 'non-person' seolah tidak wujud dalam UMNO. Setelah anaknya Hussein menjadi perdana menteri Onn menjelma kembali sebagai wira. Walhal Onn pengasas parti itu. Dan ikon UMNO sebelum kemerdekaan. Sepatutnya wira tetap wira sepanjang masa. Begitu juga waktu Badawi perdana menteri dan presiden UMNO berbagai usaha oleh pengampu, pemujanya untuk mendewakan Tok Badawi - Abdullah Fahim. Apa sudah jadi kepada usaha-usaha itu? Apa sudah jadi kepada Bandar Fahim dekat Kepala Batas? Berapa puluh milion duit syarikat yang mempunyai hubungan dengan UMNO telah hilang begitu sahaja? Memang Tok Badawi banyak jasa kepada UMNO dan PAS! Apa pun kalau kita adil jangan 'distort and manipulate history' yakni jangan mengilas sejarah sehingga bentuknya sudah herot kerana penulis opportunist, subjektif dan tidak ada intellectual integriti. Ramai tokoh UMNO di 'tenggelam'kan hingga sekarang kerana pucuk pimpinan berubah walhal mereka itu benar-benar berkesan, ada impak keatas politik zaman mereka. Sebab fesyen, direksi dan situasi politik berubah mereka terus ditenggelamkan dan dilupai. |