Sejak dua minggu lalu, saya terima banyak ucapan tahniah yang bersulam doa "semoga saudara mendapat haji yang mabrur".
Ya, ianya agak janggal juga kerana saya tidak ada rancangan untuk ke Tanah Suci dalam masa terdekat namun ucapan itu datang bertalu-talu hingga saya pun terfikir, "alangkah seronoknya jika ini benar-benar berlaku."
Puncanya adalah salah faham. Yang sebenarnya ke Makkah (sudah pun berangkat subuh 5 Oktober lalu) adalah isteri saya.
Lalu apabila hal itu sampai kepada kawan-kawan, mereka sangka kami pergi bersama. Ya, tentunya begitu kerana amat jarang seorang wanita yang bersuami pergi ke Tanah Suci bersendirian, apa lagi suaminya sendiri belum bergelar haji.
Namun perginya isteri saya bukan jemaah biasa sebaliknya sebagai petugas perubatan yang sekali gus memberikan dia peluang menunaikan haji. Dan apabila hal itu saya jelaskan kepada kawan-kawan yang tersalah faham, ada pula idea mereka: "Tak pa hang tak pi lagi pun , nanti bini hang balik, hang boleh 'naik' haji jugak."
"Huh! Ada saja akal mengarut hangpa," kata saya membalas usikan mereka.
Hal pemergian isteri saya ke Makkah tahun ini bukan sesuatu yang kami duga akan berlaku begitu cepat.
Sebelum ini, kami bukan tidak pernah bersembang hal nak pergi haji, dan apabila usia masing-masing menjangkau 40 tahun, kami juga tidak lupa bahawa kami bukan muda remaja lagi untuk sengaja menangguh rukun Islam yang kelima itu.
Namun apabila memikirkan soal kuota, isu ke Makkah sering sahaja dipinggirkan.
Lebih mudah dan lebih menarik jika bersembang hal-hal yang berkaitan soal masa depan, "nanti nak suruh anak-anak sambung belajar bidang apa?", "sudah pencen nak tinggal mana?", "tanah pusaka di kampung nak tanam kelapa sawit atau getah?" dan hal-hal lain yang seumpama itu sahaja.
Hal pergi haji, jarang sangat jadi topik walaupun keinginan sememangnya ada. Sama juga seperti hal nak cari 'kawan' baru untuk isteri saya, keinginan sememangnya ada tetapi jarang sangat saya berani bergurau bab itu. (P/S: Saya berani tulis begini kerana isteri saya ikut jadual hanya akan kembali ke tanah air sebulan setengah lagi).
Namun, itulah yang dikatakan rezeki. Dalam hal ini, takdir akan mengatasi segalanya. ALLAH sudah menentukan sesiapa yang DIA mahu pada sesuatu masa untuk jadi tetamuNYA.
Bos saya, pemilik Kumpulan Media Karangkraf yang menerbitkan Sinar Harian, sempena musim kali ini, menaja 10 'orang lama' menunaikan fardu haji sebagai membalas jasa dan kesetiaan mereka yang rata-ratanya sudah berkhidmat dengan syarikat selama lebih 20 tahun.
Ini kali kedua setelah kumpulan pertama - juga 10 orang - diberi peluang yang sama tahun lalu. Saya sendiri - yang hingga sekarang masih belum mendaftar dengan Tabung Haji - entah akan terpilih atau tidak, ataupun entah akan sempat atau tidak untuk mendapat peluang seperti itu.
Seperti yang saya nyatakan tadi, ini semua bergantung kepada rezeki. Namun dalam hal ini, saya tidak menggalakkan diri untuk hanya menunggu yang percuma atau ditaja kerana saya sudah pernah menunaikan umrah atas pembiayaan orang lain, dan kali ini, biarlah fardu haji yang diwajibkan ke atas diri saya, ditunaikan dengan belanja daripada usaha dan pengorbanan sendiri.
Bukan tidak menghargai namun setelah sekian banyak nikmat yang saya 'enjoy' dalam hidup ini daripada pemberian ALLAH, saya mahu diri ini ikhlas pula memberikan hanya beberapa persen daripada sekian banyak yang saya dapat itu, untuk DIA pula.
Seperti yang saya katakan tadi, jika sepanjang seminggu dua ini saya berasa janggal apabila diberi ucapan tahniah dan doa "semoga mendapat haji yang mabrur", selepas ini saya sudah tentu akan berasa lebih janggal lagi kerana pasti akan ada yang terus tersalah sangka memanggil saya 'Pak Aji' pula.
Meskipun tersalah sangka, ini sudah tentu akan membuatkan saya lebih tidak sabar untuk segera naik haji.
Jangan salah faham, ini betul-betul naik haji, bukan seperti apa yang anda fikirkan!