Masih ingat lagi pengalaman ini? Tin minyak dipotong separuh secara simetri menegak, diisi pasir sungai. Di atas pasir itu diletak acuan berisi tepung siap diadun. Tin itu diletak di tungku dengan api menyala di bawahnya dan ditutup zink.
Di atas zink pula, diletak sabut yang dibakar. Ya, itulah apa yang kita boleh saksikan apabila masuk minggu ketiga bulan puasa dahulu.
Sekarang, senario seperti itu hampir sudah tidak kelihatan. Di kebanyakan tempat, ketuhar tradisional sudah diganti dengan ketuhar gelombang mikro.
Namun apakah yang moden itu menjanjikan baulu yang lebih sedap? Bagi saya, tidak! Ingatlah betapa gebu dan beraromanya baulu ikan yang dimasak dengan sabut dan kayu api dalam ketuhar tin minyak (di kampung saya, tin yang sama digunakan untuk menakung susu getah pada luar musim raya).
Selain baulu, kuih lama kegemaran saya ialah samperit, yang buah cerinya selalu saya hilangkan sebelum tiba hari raya.
Selain itu, ada karas, dodol, wajik, putu kacang, kuih bangkit dan bermacam-macam. Semuanya berbeza dengan kuih sekarang yang bentuknya sahaja nan rupawan namun rasanya hampir sama sahaja.
Selain samperit, putu kacang paling saya gemari. Putu kacang dibuat daripada kacang hijau yang ditumbuk halus hingga jadi serbuk, dicampur gula dan kemudian diisi mampat dalam acuan. Kemampatan akan menjamin berapa lama putu kacang mampu bertahan tetapi ia selalunya tidak tahan lama kerana sebelum malam raya lagi, banyak yang sudah hilang dalam mulut saya.
Selain hal kuih muih, meriahnya raya zaman itu bagi anak kampung seperti saya, juga kerana adanya meriam buatan sendiri, sama ada meriam buluh atau meriam tanah.
Bahan letupnya adalah karbaid yang juga sering digunakan peniaga pasar malam waktu itu untuk menyalakan pelita di gerai hingga aroma pelita karbaid itu mampu membuatkan saya gelisah selagi tidak keluar ke pasar malam.
Meriam buluh atau meriam tanah dimainkan oleh semua peringkat umur. Orang dewasa bercampur gaul dengan anak remaja bermain meriam selepas terawih hingga lewat malam. Tidak ada pula pada waktu itu sesiapa yang buta, hilang jari, putus tangan atau putus kepala kerana main meriam karbaid.
Pada malam bulan puasa, emak ayah biasanya tidak kisah jika anak-anak termasuk yang masih kecil pulang lewat malam. Ini kerana mereka biasanya tahu di mana hendak cari anak-anak mereka jika ada sesuatu yang terjadi.
Selain itu, ia juga sebagai ganjaran dan galakan untuk anak-anak berseronok selepas melakukan sesuatu yang baik, iaitu berterawih. Itulah kaedah cara halus bagaimana emak ayah zaman itu mendidik.
Apa yang penting, aktiviti seumpama itu akan lebih menguatkan silaturahim. Jika ia turut melibatkan golongan dewasa, maka hubungan anak muda dengan orang dewasa akan jadi lebih mesra. Dan orang dewasa juga sekali gus akan menjadi pemantau bagi emak ayah untuk menjaga anak-anak mereka.
Satu lagi elemen mengukuhkan kemesraan yang wujud pada zaman itu ialah berkumpul beramai-ramai menonton TV. Ini kerana, dalam sesebuah kampung, lazimnya hanya ada satu atau dua rumah sahaja yang mempunyai TV. Justeru, sesiapa yang menonton, dikenakan bayaran. Ada juga yang bermurah hati beri tayangan percuma. Video pula dikira sangat mewah.
Saya masih ingat akan ghairahnya orang kampung saya melonggok di atas tebing bersebelahan rumah Cina Pekan Mahang untuk menonton video kung fu menerusi tingkap, hampir setiap petang.
TV pada masa itu menggunakan kuasa bateri kerana elektrik belum lagi masuk kampung. Beberapa hari sekali, tuan rumah bawa bateri ke kedai untuk dicaj.
Pada masa saya kanak-kanak, hanya ada dua saluran TV kita, iaitu TV1 dan TV2. Oleh kerana tiada saingan, program hari raya juga tidak begitu menarik seperti sekarang. Apa yang saya ingat, pada pagi raya, hanya ada rancangan Rasa Sayang untuk kanak-kanak manakala sebelah petang, Seiring Jalan yang selalu paparkan golongan wartawan hiburan buat persembahan.
Orang zaman itu tidak begitu pedulikan TV pada hari raya. Tidak seperti sekarang, ramai terpaku punggung ke lantai atau sofa menanti satu demi satu rancangan pilihan. Ziarah saudara mara dan jiran tetangga semakin diabaikan.
Atas sebab itu, bagi saya, raya dahulu tetap lebih meriah, lebih menarik walau hidangannya hanya baulu yang dibakar di bawah sabut!
Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.