Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terutama selepas Pilihan Raya Umum ke-12, semacam terbentuk satu budaya baru dalam politik Malaysia. Tidaklah dapat dipastikan sama ada budaya ini sihat dan berkesan dalam menyatakan sesuatu protes dan tidaklah dapat dipastikan pihak mana yang sebenarnya telah mempelopori budaya ini. Namun apa yang jelas pembangkang kerap menggunakan cara ini. Sikit-sikit buat perhimpunan sehinggakan mengganggu dan mengancam ketenteraman awam.
Minggu lalu seluruh dunia hampir menyaksikan sebuah perhimpunan terbesar umat Islam di Malaysia sejuta peserta. Program diatur dan kempen dilakukan melalui pelbagai media massa serta juga melalui mulut ke mulut dan tidak ketinggalan rangkaian sosial Internet, Facebook dan Twitter serta laman sesawang dan blog-blog mendekati serta memujuk orang ramai berhimpun dalam program yang dikenali sebagai 'Himpun.'
Pada mula ia mendapat sokongan daripada Pemuda Pas. Kononnya mereka akan mengerahkan ahli-ahli serta penyokong agar hadir. PKR pun seperti terpengaruh dengan Pemuda Pas, bersedia untuk hadir dan mempamerkan rasa kegeraman kepada usaha pihak tertentu memurtadkan umat Islam.
Beberapa hari sebelum Himpun atau Perhimpunan Sejuta Umat Islam Selamatkan Akidah mengadakan program perhimpunan di Stadium Shah Alam, Pas pusat tiba-tiba 'mengharamkan' ahli-ahlinya hadir. Seperti dijangka, Pemuda Pas terpaksa ikut arahan parti induk, begitu juga PKR mengeluarkan kenyataan tidak akan hadir.
Beberapa bulan lalu, PKR dan Pas khususnya Pemuda Pas menyahut ajakan Ambiga untuk bersama-sama menyertai himpunan Bersih 2.0. Selain hadir dalam perarakan haram, mereka macam diwajibkan memakai baju berwarna kuning. Maka kita dapati bukan saja Ambiga, malah Hadi Awang, Presiden Pas dan geng-geng mereka turut menjadi pak turut dengan mengenakan baju berwarna kuning.
Lucu apabila Hadi tidak membantah. Begitu juga Mat Sabu yang baru-baru ini menganggap Mat Indera sebagai wira dalam tragedi Bukit Kepong serta barisan kepimpinan Pas yang turut dan mencemar diri berarak di jalan raya dengan berpakaian kemeja T kuning. Bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia itu sudah dapat mencongak betapa begitu mudah untuk mempengaruhi pemimpin dan ahli Pas, yang sudah sebati dengan budaya berhimpun di jalanan ini, untuk menurut telunjuknya.
Protes tempoh hari mengakibatkan imej Malaysia terjejas di mata dunia dan imej kerajaan yang memperjuangkan Islam sehingga dicemburui oleh banyak pihak, juga tercemar. Dalam pada itu media Barat berpesta dalam laporan mereka dan menganggap demokrasi di Malaysia sudah mati ekoran daripada langkah ketat yang dikenakan pihak polis dalam mengekang dan mengawal perhimpunan tersebut.
Media beribu pejabat di Singapura dan blog-blog di republik itu juga berpesta sakan. Kita lihat mereka macam ada agenda peribadi dan melepaskan geram yang barangkali sudah lama bermukim di lubuk hati.
Bersih 2.0 dianjurkan kerana membantah SPR yang didakwa 'kotor'. Malah sistem pilihan raya di negara ini yang dijalankan sejak tahun 1959 tiba-tiba saja dipertikai dan dianggap menguntungkan Perikatan dan Barisan Nasional. Budak-budak Bersih 2.0 seronok serta menjulang kemenangan dengan tanpa disedari mereka menjadi alat yang dirancang orang luar.
Berbeza dengan Himpun, ia bukan agenda Ambiga. Oleh itu Pas dan PKR lebih-lebih lagi DAP tidak tertarik. Konon Himpun didalangi Umno bagi meraih sokongan dalam usaha memperkukuhkan kedudukan parti itu di Selangor.
Pada 22 Oktober lalu Himpun menyaksikan kehadiran 8,000 peserta. Ada yang mengatakan 15,000 orang. Justeru sudah tentu ia tidak menepati ramalan. Malah begitu jauh tersasar dari sasaran satu juta. Akhbar Sinar Harian melaporkan sebagai 'sambutan dingin'. Justeru ia tidak menarik minat media barat, khususnya media di Singapura.
DAP dan sekutu termasuklah Pas dan PKR boleh ketawakan penganjur. Sindiran itu tempiasnya kepada Umno yang dilihat berada di belakang perhimpunan. Saiz kehadiran memperkukuhkan semula kerjasama antara DAP, Pas dan PKR.
Namun walau apa pun yang berlaku perhimpunan tempoh hari gagal dari segi saiz kehadiran tetapi jika dilihat dari aspek penganjuran, ia berjaya menyedarkan umat Islam tentang isu murtad. Isu ini sejak kebelakangan ini mencemaskan umum.
Isu murtad, khususnya isu membabitkan sebuah gereja di Petaling Jaya beberapa bulan lalu tidak banyak bezanya dengan isu Natrah di Singapura tahun 1950-an. Natrah ialah gadis Belanda yang memeluk agama Islam kemudiannya menikah dengan Mansor Adabi.
Dipendekkan cerita, melalui tipu daya, Natrah dikristiankan semula dan perkahwinannya dengan Mansor dibubarkan.
Manakala Himpun adalah perhimpunan memprotes gerakan memurtadkan umat Islam di negara ini, ia dibuat secara aman, berbeza dengan demonstrasi jalanan di Singapura 60 tahun lalu.
Walau dilihat gagal menepati sasaran sebenar, Himpun berjaya menjadi program NGO dengan menggabungkan NGO-NGO berahlikan orang Islam. Kehadiran Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menguatkan hujah bahawa isu ini serius dan 10 deklarasi Himpun yang diluluskan dengan asas tujuan melindungi umat Islam.
Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali memeriahkan majlis bersama ahli-ahlinya.
Mencuri tumpuan tentulah Exco Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Dr Hassan Ali, yang juga Adun Gombak Setia (Pas) hadir dan membaca doa. Hassan bukan saja mengingkari arahan Pas Pusat, malah doa dibaca dengan linangan air mata.
Himpun berjaya membuka pemikiran segelintir (yang hadir) orang Pas dan ramai di luar tentang isu murtad. Kepada Pas isu murtad jika ia dijuarainya boleh membuatkan DAP dan penyokong mereka (di kalangan bukan Melayu) menarik semula sokongan. Di Kedah, Perak (dulu), Selangor, calon-calonnya memenangi beberapa kerusi DUN adalah melalui sokongan DAP. Tanpa DAP, Pas samalah seperti parti-parti lain yang mampu berkokok di jalanan. Pas sedar bahawa politik itu bertopengkan kebenaran dan cara mencuri pengaruh tentu saja menggunakan strategi Machivellian di mana matlamat menghalalkan cara.
Dalam isu hudud, Pas sedar isu ini hanya berkesan di Kelantan dan Terengganu yang ramai pengundi-pengundi Melayu. Di Pantai Barat, isu hudud merugikan seperti terbukti baru-baru ini sehingga DAP secara terbuka, sekali lagi menolak perlaksanaan undang-undang hudud.
Di tengah-tengah Pas mengatur silat dengan membenam isu hudud, isu Himpun dianggap dapat memperbaiki imej di kalangan masyarakat bukan Melayu, khusus dalam usaha meyakinkan DAP tentang kerjasama dalam Pakatan Rakyat. Sebab itu Pas melarang ahli-ahli menyertai Himpun. Agak malang arahan itu diingkari Hassan, justeru dalam situasi ini, Hassan dilihat sebagai liabiliti kepada Pas.
Tindakan Hassan memberi political milage kepada Umno dan penganjur. Kehadiran Hassan berjaya menyelamatkan maruah NGO-NGO kerana walaupun Hassan hanya individu kerdil dalam hierarki Pas, ia melambangkan wujudnya kesatuan pemikiran dan keyakinan yang tidak lagi jitu di kalangan pemimpin Pas.
Selama ini tindakan Hassan dalam mempertahankan agama Islam di Selangor kurang disenangi orang-orang Pas. Perbuatan Hassan semakin hari menghakiskan kepercayaan DAP terhadap perjuangan parti itu. DAP seperti rela berkelana dari melihat rakan sebantal mereka, Pas, melaksanakan hudud dan perlaksanaan undang-undang Islam.
Himpun berjaya membuka sebuah lembaran baru perjuangan mendaulatkan Islam sebagai sebuah agama rasmi. Testimoninya 10 Deklarasi Himpun akan dijadikan asas kepada usaha memerangi isu memurtadkan umat Islam di negara ini.
Hassan ada peranan dalam aspek ini namun dalam Pas, pilihan raya umum 2008 berkemungkinan merupakan kali terakhir beliau bertanding sebagai wakil parti itu manakala PRU13 merupakan perjuangan baru dan berbeza.
Rumusannya begini: Hassan kalah dalam parti dan juga di kaca mata pimpinan Pas, namun di hati rakyat dan orang Melayu, Hassan adalah wira yang tidak didendangkan, ia hidup dan segar dalam hati mereka sebagai pejuang. Manakala Pas menang dan tidak kalah dalam isu perhimpunan murtad, namun kemenangan itu setakat di atas kertas kerana di hati orang-orang Melayu, Pas gagal mengelak dari dituduh menjadi boneka DAP dan mengamalkan politik Machiavelli.
Full content generated by Get Full RSS.