Saya sangat teruja tatkala membaca emel seorang gadis jelita, seksi dari luar negara yang katanya: "Saya teringin sekali mengenali anda lebih dekat setelah melihat profil anda di internet."
Ketika itu juga, saya terlupa akan diri saya yang berkulit sawo gelap, muka dipenuhi kawah gunung berapi ala-ala Tangkuban Perahu, dan juga perut yang boleh buat orang terkeliru dengan tembikai susu ini. Saya sebaliknya dilambung khayalan tiba-tiba jadi sekacak Aaron Aziz.
Akan tetapi, apabila melihat gadis berambut perang itu begitu beria-ia mahu mengenali saya, saya rasa Aaron Aziz juga bukan bandingan tetapi yang selayaknya adalah Brad Pitt. Untuk seketika, saya terlupa ianya adalah brake pad bukan Brad Pitt.
Untuk beberapa malam seterusnya, saya sukar lena malam kerana sibuk memikir, mengapalah dalam usia 40 ini, ada pula gadis yang tiba-tiba hendak merapati saya sedangkan pada usia remaja dahulu, saya sering ditolak mentah-mentah jika suarakan hasrat itu kepada sesiapa.
Hendak kata saya kini aktif berulang alik ke jim hingga perut berketak, pun tidak juga. Malah jika saya berada di gerai tembikai susu, mungkin ada yang tersalah pegang, jentik-jentik dan mahu angkat ke penimbang kerana tersalah sangka akan aset diri yang saya paling hargai ini.
Namun, itulah anehnya dunia! Lebih aneh lagi, emel seperti itu bukan sekali saya terima. Dahulunya saya rasa begitu teruja hingga terfikir gadis yang pertama hubungi saya, mungkin seperti saya juga, tidak dapat lena malam kerana begitu teruja hendak bertemu saya seperti yang dikatanya "saya teringin sekali hendak ke Malaysia yang khabarnya begitu menarik dan saya harap saudara sudi menemani saya sepanjang kunjungan itu", namun apabila emel yang kemudian juga skripnya sama, saya mulai curiga.
Di sebalik wajah si jelita yang seksi, berambut perang dengan mata yang kebiru-biruan itu, saya mula ternampak wajah ala Mr T dalam siri The A-Team. Tidak syak lagi, ini hanya strategi untuk memperdaya lelaki seperti saya yang mereka tahu mudah cair dengan godaan seperti itu. Apa lagi dalam usia 40-an dan yang menggoda pula hampir setengah 'tiang' lebih muda.
Kalau lelaki yang 40 ini pun nyaris cair, seharusnya kita rasa bimbang apabila hampir setiap hari, ada sahaja berita anak gadis kita diperdaya warga asing. Ada yang lari tinggalkan keluarga untuk ikut teman lelaki ke Lombok, Nepal, Bangladesh, ada yang jadi 'keldai dadah' dan macam-macam lagi.
Tidak kurang juga negara kita dijadikan tempat pertemuan untuk mangsa yang datang dari negara lain bertemu buah hatinya yang dari negara lain juga setelah wang beratus ribu dipindahkan secara online ke akaun bank lelaki itu. Lihatlah bagaimana teknologi disalah guna untuk merompak.
Yang hairannya, meskipun sudah beratus laporan disiarkan, masih ramai juga yang jadi mangsa. Semakin dihebahkan, semakin ramai yang terkena.
Hendak dikata maklumat tidak sampai, kebanyakan mangsa bukan tidak berpelajaran. Maklumlah hendak berkomunikasi dengan orang luar, tentunya perlu berbahasa Inggeris dan kebanyakan yang berbahasa Inggeris di negara kita, rata-ratanya berpelajaran dan berjawatan tinggi belaka. Manakala berita hal penipuan ini terdedah, yang lesap juga bukan sedikit membuktikan mangsa sememangnya berduit.
Kenyataan media dari Bukit Aman yang disiarkan semalam menyebut, dalam lapan bulan pertama tahun ini, sejumlah RM24 juta telah dikaut daripada 774 wanita tempatan yang diperdaya cinta palsu warga asing.
Pemangsa biasanya mengirimkan foto diri mereka yang kononnya berkulit putih, kacak kepada mangsa disulam dengan madah cinta yang mudah mencairkan hati wanita seperti ketulan ais disiram air panas.
Kerana itu, dalam keadaan yang kita sendiri fikir tidak munasabah, ramai yang sudah diperdaya dan akan terus diperdaya. Sama ada lelaki juga pernah jadi mangsa taktik licik seperti ini, tidaklah diketahui kerana mungkin juga ada namun mereka sengaja tidak menghebabkannya.
Seperti yang sudah dicerita, saya sendiri nyaris jadi mangsa. Namun kerana saya tidak membalas emel itu - sekadar mengenang dan tersenyum sendiri hingga sukar lena malam - ianya tidak sampai menimbulkan masalah kepada diri saya.
Lagi pula, jika hubungan itu hingga ke tahap berorientasi wang, saya tentu akan segera menarik diri. Saya sememangnya tidak punya apa-apa untuk 'dilaburkan' kerana apa yang saya ada, hanya cinta yang penuh untuk isteri saya sahaja.