RakanCop dan MyDistress
RakanCop dan MyDistress, dua sistem berbeza tetapi mempunyai matlamat yang sama.
Matlamatnya hanya satu, menggalakkan orang ramai bersama-sama Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyalurkan maklumat untuk membanteras jenayah.
Bagi RakanCop, semua jenis telefon boleh digunakan di seluruh kawasan di dalam negara.
Berbeza dengan MyDistress, ia hanya untuk telefon pintar dan terhad di dalam Selangor sahaja.
Mengikut status terkini, seramai 445,747 ahli RakanCop berdaftar di seluruh negara dan seramai 32,970 ahli MyDistress berdaftar di Selangor sejak ianya diperkenalkan kepada umum, Ogos lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, melalui MyDistress, hanya dengan satu klik, orang ramai boleh terus menyalurkan maklumat kejadian jenayah yang berlaku.
Bagaimanapun, dua daripada mereka didapati tidak faham atau cuba menyalahgunakan aplikasi itu.
Berbicara lanjut kepada Sinar Harian, Tun Hisan berkata polis yang tiba selepas isyarat kecemasan dihantar mendapati dua individu itu mendakwa tidak tahu bagaimana mematikan sistem atau tersalah tekan.
"Polis kita memang cepat tiba di lokasi apabila isyarat kecemasan dihantar. Tapi janganlah salah guna, dan kita memberi amaran kepada mereka.
"Saya yakin orang yang guna pakai aplikasi ini dari kalangan terpelajar, kami tidak mahu dakwa sesiapa setakat ini. Sistem itu diketengahkan khusus untuk menyelamatkan orang ramai dan tangkap penjenayah," tambahnya.
Ia aplikasi terbaru yang direncanakan Polis Kontinjen Selangor dalam memastikan jenayah dapat dihalang.
Ulasnya, penggunaan MyDistress hanya ketika kecemasan contohnya, apabila berlakunya jenayah, seseorang yang disyaki melakukan jenayah ada berdekatan dan seseorang individu cedera, diugut atau dalam bahaya.
Ketika diminta menjelaskan kelebihan MyDistress berbanding RakanCop, beliau mengingatkan, dua sistem itu tidak seharusnya diperbandingkan.
Ini kerana dua sistem itu mempunyai kepentingan sama dalam memastikan jenayah dapat disekat bukan hanya di Selangor malah di seluruh negeri.
Mengapa perlu MyDistress?
Hari ini, jika kita ingin mendapatkan bantuan polis, kita perlu mendail 999 untuk memberikan maklumat dan lokasi.
Selalunya, keadaan menjadi sukar untuk memberitahu lokasi kerana mungkin kita berada dalam keadaan tertekan atau ketidakpastian lokasi kejadian.
Dalam keadaan terdesak, sukar untuk kita bercakap atau meminta bantuan kerana bimbang akan keselamatan diri.
Jadi, satu penyelesaian diperlukan untuk memudahkan proses ini dan menentukan lokasi dengan tepat.
Maka MyDistress hadir tepat pada waktunya untuk kita bersama-sama PDRM membanteras jenayah dengan menyalurkan maklumat hanya dengan satu klik.
Kelebihan MyDistress
Salah satu rintangan ketika meminta bantuan adalah halangan komunikasi.
Ketika berada di luar, kita tidak pasti lokasi sebenar kita berada. Hal ini menimbulkan masalah ketika bantuan hendak dihantar.
Ditambah dengan situasi cemas, komunikasi sering kali menjadi tidak jelas akibat trauma yang dihadapi.
Sebagai contoh, apabila berlakunya situasi seperti penculikan, di mana kita tidak dapat bercakap atau menunjukkan isyarat, kita akan gagal untuk memaklumkan kepada pasukan penyelamat dengan berkesan.
Melalui aplikasi ini, semuanya menjadi ringkas dengan hanya satu klik.
Bagaimana MyDistress berfungsi?
1. Tekan - Tekan butang HELP dalam kecemasan.
2. Kesan - Lokasi anda dikesan dan pihak polis dimaklumkan.
3. Tindakan - Pihak polis menerima maklumat dan lokasi semasa anda.
4. Selamat - Bantuan polis dihantar serta merta.
Melalui aplikasi "My Distress", orang ramai boleh menghantar isyarat kecemasan dengan menekan ikon pada telefon pintar, dan isyarat itu dihantar terus ke bilik gerakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor serta lapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) antaranya:
1-IPD Shah Alam
2-IPD Subang Jaya
3-IPD Ampang Jaya
4-IPD Klang
5-IPD Kajang
6-IPD Gombak
7-IPD Petaling Jaya
8-IPD Serdang
Lapan kawasan tersebut dikenal pasti mempunyai kadar jenayah tinggi dan 50 buah kereta peronda polis dilengkapi GPS disediakan.
MyDistress turut dilengkapi dengan sistem pengesanan global (GPS) akan membantu polis mengesan individu yang menghantar isyarat ke lokasi berkenaan.
Fungsi MyDistress
Terdapat dua butang penting di dalam aplikasi ini iaitu menu dan status.
1-Butang Menu
Personal Alert – Mengemas kini lokasi masa sebenar secara automatik semasa berada di kawasan luar bangunan.
Preset Location Alert - Menambah lokasi hartanah, pejabat dan lain-lain untuk tindak balas yang lebih cepat, walaupun semasa anda berada jauh.
Profile - Mendaftar maklumat peribadi pengguna untuk menggunakan MyDistress.
Locator - Mencari balai polis yang terdekat dan laluan untuk sampai ke sana.
Helpline - Capaian pantas ke nombor kecemasan.
2-Butang Status
Mod siap sedia - Tekan butang untuk mengaktifkan isyarat kecemasan
Mod aktif - Polis akan dimaklumkan dan bantuan akan dihantar dengan serta-merta
Adakah sebarang bayaran dikenakan untuk perkhidmatan ini?
Sehingga penghujung tahun, yuran yang dikenakan adalah percuma dan bermula pada Januari 2012, yuran perkhidmatan sebanyak RM2 setiap bulan akan dikenakan.
Caj syarikat telekomunikasi mungkin dikenakan pada penggunaan data.
PDRM tidak menerima sebarang keuntungan dari MyDistress, segala caj yang dikenakan akan disalurkan untuk penyelenggaraan sistem dan penambahbaikan MyDistress.
Cara mendapatkan aplikasi MyDistress
Seperti yang dijelaskan, MyDistress hanya boleh digunakan pada telefon pintar sahaja.
Setiap individu yang berada di Selangor, boleh memuat turun aplikasi itu di mydistress.net dan mengikuti arahan yang diberikan.
Di laman itu juga menerangkan cara penggunaan secara manual untuk setiap pengguna.
Pengguna juga perlu meletakkan gambar di ruangan profil pada aplikasi itu dengan tujuan untuk memudahkan anggota polis mengenali anda sekiranya berlaku kecemasan.