Sabtu, 17 September 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Zaid mohon maaf daripada Najib

Posted: 16 Sep 2011 05:00 PM PDT

Zaid mohon maaf daripada Najib

KOTA BHARU - Presiden Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita), Datuk Zaid Ibrahim memohon maaf daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana membuat tafsiran silap berkaitan kemampuannya sebagai pemerintah.

Zaid berkata, semasa di awal era pentadbiran Najib beliau di dalam ucapannya yang pernah melaungkan ketidakyakinannya dan beranggapan Perdana Menteri tidak berani untuk melakukan perubahan besar sesuai dengan kemahuan rakyat serta negara.

"Hari ini (semalam) saya minta maaf kepada Perdana Menteri dan saya menyambut baik pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) serta mengucapkan syabas kepada beliau.

"Saya bangga kerana beliau dapat mengubah undang-undang yang begitu lama digunakan secara zalim akhirnya dimansuhkan," katanya ketika ditemui di kediamannya di sini semalam.

Zaid yang juga bekas Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan, beranggapan keputusan yang dibuat itu bukan gimik politik tetapi ia berpaksikan kepada satu keperluan semasa, Negara dan mengambil kira perkembangan seluruh dunia,

Katanya, tindakan itu juga membebaskan rakyat daripada ketakutan dengan kongkongan cara pentadbiran yang lama.

"Saya anggap (pemansu-han ISA) adalah hadiah besar kepada rakyat Malaysia yang penuh bermakna dan pemansuhan undang-undang zalim ini juga sekali gus menjamin bahawa demokrasi akan kekal dan maju di Malaysia.

"Sebagai ahli politik yang sentiasa perjuangkan demokrasi dan hak asasi rakyat, saya gembira dan bangga dengan perkembangan ini," katanya.

Beliau yang dipecat keahlian UMNO pada tahun 2008 itu turut mengajak parti pembangkang supaya menyokong pembaharuan ini dan tidak perlu bimbang kerana beliau akan terus menjadi ahli politik pembangkang walaupun ISA dimansuhkan.

Mengambil faedah hadis Badwi

Posted: 16 Sep 2011 05:00 PM PDT

Mengambil faedah hadis Badwi

Amar makruf dan nahi mungkar adalah salah satu dasar dalam agama yang dengannya kebaikan menjadi jelas dan tersebar. Manakala kemungkaran berkurang, tersembunyi, dan menghilang. Melaksanakan amar makruf nahi mungkar adalah sebahagian dari tanda-tanda orang beriman.

Allah SWT menjelaskan (maksudnya), "Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka adalah penolong bagi sebahagian lain. Mereka mengajak kepada yang makruf, mencegah dari yang mungkar, mendirikan solat, menunaikan zakat dan taat kepada Allah dan Rasul-Nya." (Surah at-Taubah, 9: 71)

Manakala sifat dan ciri-ciri orang munafik pula adalah mereka melarang amar makruf dan mengajak kepada yang mungkar.

Rasulullah SAW juga mengingatkan, "Sesiapa yang melihat di kalangan kamu suatu kemungkaran, maka tegahlah ia dengan tangannya. Sekiranya tidak mampu, maka tegahlah dengan lisannya (perkataan). Sekiranya tidak mampu, maka tegahlah dengan hatinya dan itulah selemah-lemah iman." (Hadis Riwayat Muslim)

Para ulama menyatakan, hasil nahi mungkar (mencegah kemungkaran) adalah satu dari empat perkara. Iaitu sama ada hilangnya kemungkaran, kemungkaran berubah menjadi lebih ringan, kemungkaran tidak berubah atau berubah tetapi digantikan dengan kemungkaran lain yang sama saja keadaannya dengan sebelumnya, atau menjadi lebih teruk dari sebelum ia cuba diubah.

Dalam situasi pertama dan kedua, hukum melaksanakan nahi mungkar adalah wajib. Manakala bagi situasi ketiga, ia perlu dipertimbangkan dengan baik, dan bagi situasi keempat, tidak boleh dilaksanakan kerana maksud asal dari sebuah nahi mungkar adalah menghilangkan atau mengurangkan kemungkaran tersebut dan bukannya menambah menjadi lebih buruk.

Kebijaksanaan dalam bertindak

Setelah kita mengetahui perintah dan keutamaan amar makruf nahi mungkar, sebenarnya kita juga perlu tahu bahawa praktik nahi mungkar harus dilaksanakan dengan bijaksana. Ini ditunjukkan oleh banyak hadis-hadis Nabi SAW dalam soal ini.

Salah satu hadis yang dapat kita ambil sebagai contoh adalah hadis daripada Anas B Malik r.a. Beliau berkata:

"Ketika kami berada di masjid bersama Rasulullah SAW, tiba-tiba datang seorang Arab Badwi lalu berdiri untuk kencing di masjid. Para sahabat Rasulullah SAW menggertaknya, tetapi Rasulullah SAW bersabda, "Janganlah kamu memutuskannya, biarkan dia selesai kencing terlebih dahulu." Maka mereka (para sahabat) membiarkan orang tersebut sehingga dia selesai kencing. Setelah itu, Rasulullah SAW pun menasihatinya, "Sesungguhnya masjid ini tidak boleh digunakan untuk kencing dan kekotoran, masjid adalah tempat untuk zikir, solat, dan membaca al-Quran." Atau sebagaimana sabda Nabi SAW yang sesuai. Setelah itu, Nabi SAW memerintahkan seseorang untuk mengambil satu baldi air dan menyiramnya." (Hadis Riwayat Muslim)

Beberapa faedah dapat kita ambil melalui hadis ini, antaranya: [Pertama] Menunjukkan larangan kencing atau membuat kekotoran di dalam masjid. Kerana masjid adalah tempat yang perlu dijaga kebersihan dan kesuciannya. Masjid adalah tempat untuk berzikir (mengingati Allah), melaksanakan solat, membaca al-Quran, dan majlis ilmu.

[Kedua] Menunjukkan air kencing manusia adalah suatu yang kotor dan najis. Cara menyucikannya adalah dengan membersihkannya menggunakan air.

[Ketiga] Hadis ini menunjukkan akhlak dan kebijaksanaan Rasulullah SAW dalam menangani orang yang jahil. Iaitu dengan cara lemah-lembut dan tidak berlaku kasar. Walaupun kencing di masjid adalah suatu kesalahan dan termasuk perbuatan membuat kekotoran di masjid, tetapi Rasulullah tidak segera memarahi pelakunya atas beberapa kemaslahatan dan sebab-sebab tertentu. Rasulullah SAW menasihati dan menunjukkan contoh yang tepat kepada para sahabatnya dalam menghadapi karenah orang-orang jahil.

[Keempat] Menolak kemudaratan yang lebih besar dengan memilih yang lebih ringan di antara keduanya. Jika orang yang sedang kencing tersebut dicegah dengan tiba-tiba, mungkin ia akan mengakibatkan mudarat serta membahayakannya. Kerana kencing yang dihentikan dengan tiba-tiba boleh mengundang risiko dan sakit.

Atau mungkin ia akan terkejut lalu berpindah atau lari ke tempat yang lain dalam keadaan kencingnya bersepah-sepah. Akhirnya najis tersebut akan tersebar ke serata masjid, mengenai pakaiannya, serta terpalit ke tubuh-badannya pula. Tetapi dengan sebab contoh kebijaksanaan Rasulullah, maka najis tersebut hanya terkena pada satu tempat sahaja. Orang Badwi tersebut pula berjaya dinasihati dengan lemah-lembut dan penuh hikmah serta tidak diperlakukan dengan kasar yang mungkin hanya akan menjadikannya malu atau marah. Dan najis tersebut dapat dibasuh dengan sempurna hanya dengan sebaldi atau sebekas air.

Kesimpulan yang dapat kita ambil di sini adalah kita tidak boleh mencegah sesuatu kemungkaran dengan cara yang salah serta terburu-buru. Juga tidak boleh mencegah sesuatu keburukan dengan cara yang buruk juga. Atau dengan cara yang lebih buruk lagi.

Sebaliknya kita hendaklah meneliti di antara maslahah (kebaikan) dan mafsadahnya (keburukan) dengan pertimbangan yang tepat. Kita tidak boleh mengingkari sesuatu kemungkaran dengan suatu kemungkaran yang lain. Kita juga tidak boleh mengingkari kemungkaran sehingga menyebabkan berlaku kemungkaran yang lebih besar lagi.

Dengan sebab itu jugalah Imam Ibnul Qayyim rahimahullah (Wafat: 751H) menyentuh persoalan ini dengan katanya:

"Sesungguhnya Nabi SAW telah mensyariatkan kepada umatnya tentang kewajiban mencegah atau membasmi kemungkaran. Ini bertujuan meraih perkara yang makruf yang dicintai oleh Allah dan Rasul-Nya dari usaha-usaha tersebut. Tetapi jika perbuatan membasmi kemungkaran tersebut akan membawa kepada perkara lain yang lebih mungkar lagi dan lebih dibenci oleh Allah dan Rasul-Nya, maka membasmi kemungkaran tidak perlu dilakukan walaupun Allah tetap membenci dan murka kepada pelaku kemungkaran tersebut. Situasi ini adalah sama seperti mengingkari para raja dan pemimpin dengan cara memberontak keluar dari ketaatan kepada mereka. Bahawasanya ini adalah asas kepada setiap keburukan dan fitnah sehingga akhir zaman. Para sahabat telah meminta izin Rasulullah SAW untuk memerangi para pemimpin (amir) yang melengah-lengahkan solat dari waktunya sambil berkata, "Adakah kita tidak perangi sahaja mereka?" Maka Rasulullah pun menjawab, "Tidak, selagi mana mereka masih tetap melaksanakan solat."

Sesiapa yang meneliti fitnah-fitnah yang besar dan kecil dalam sejarah umat Islam, dia pasti akan mendapati bahawa fitnah-fitnah tersebut berpunca dari pengabaian prinsip-prinsip ini dan tidak sabar dalam menghadapi kemungkaran. Lalu mereka menuntut untuk menghapuskannya (dengan terburu-buru). Maka timbullah perkara lain yang lebih besar dari fitnah asal tersebut. Sesungguhnya Rasulullah SAW telah melihat sebesar-sebesar kemungkaran ketika di Makkah dan beliau tidak memiliki kemampuan untuk mengubahnya.

Sebaliknya ketika Allah telah membuka Makkah dan ia telah menjadi wilayah Islam, Rasulullah SAW telah bertekad untuk mengubah Kaabah dan mengembalikannya kepada bentuk asal sebagaimana yang dibina oleh Nabi Ibrahim, tetapi beliau tidak melakukannya walaupun telah berkuasa pada ketika itu. Ini adalah kerana kebimbangan beliau dari berlakunya perkara-perkara buruk yang lebih besar kerana orang-orang Quraisy pada ketika itu masih tidak dapat menerima perubahan secara drastik disebabkan baru memeluk Islam dan masih baru mula untuk meninggalkan kekufuran. Kerana sebab itulah, Rasulullah SAW tidak mengizinkan untuk mengingkari para pemimpin dengan kekuatan kerana akan mengakibatkan timbulnya keburukan yang lebih besar lagi dari yang sedia ada." (I'lam al-Muwaqqai'in, 3/4)

* Biro Multimedia & Penerbitan Sekretariat iLMU.

Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved