Semalam, saya ke kedai kasut, mahu tukar kasut yang sudah koyak. Jumpa yang berkenan, saya terus pakai.
Kasut yang koyak saya campak ke dalam bakul sampah di kedai itu juga sambil berkata: "Tamatlah riwayat hang wahai kasut koyak. Terima kasih banyak-banyak atas jasa bakti hang selama ni..."
Gadis juru jual kedai itu ketawa terkekeh-kekeh melihat gelagat saya. Memang saya sayang sangat akan kasut itu yang hampir setiap hari saya pakai sejak dua tahun lalu.
Usin Misai, tukang kasut di Bandar Tasik Puteri, Rawang sudah berkali-kali suruh saya beli kasut baru kerana katanya, tidak ada tempat lagi untuk dia jahit setiap kali saya hantar kasut itu untuk dibaiki. Dan kali ini, saya terpaksa ikut nasihat Usin Misai kerana katanya, kalau saya hantar juga lagi, dia tidak mahu jahit walau berapa pun upahnya.
Mahu tak mahu, terpaksalah saya beli kasut baru. Dengan hati yang tidak begitu rela, kasut itu terpaksa saya bakulsampahkan juga. Dengan kasut baru, saya melangkah ke kaunter untuk bayar harganya.
Alamak! Tiba-tiba saya tersedar, wang dalam dompet tak cukup sedangkan kasut baru sudah pun saya pakai.
Saya hulurkan kad kredit, tetapi juru wang itu menolak: "Maaf encik, kami tak terima kad!"
Aduhai! Tebalnya muka hanya tuhan yang tahu. Dalam keadaan pipi yang terasa seperti labuh ke lantai, saya melangkah ke arah tong sampah. Saya keluarkan semula kasut koyak yang dibuang tadi, dan saya pakai. Dalam hati berkata-kata: "Kuat juga jodoh kita ya kasut koyak!"
Kasut baru itu saya masukkan semula ke dalam kotak. Si gadis juru jual sekadar memerhati. Mungkin dalam hatinya tertanya-tanya: "Apa kena orang ni? Datang nak beli kasut pun bawa duit tak cukup!" Aduh!
Sambil itu, saya pura-pura tanya, di mana mesin ATM yang terdekat - semata-mata untuk tutup malu - walhal saya sememangnya tahu tempatnya adalah di tingkat bawah plaza itu.
Setelah selesai urusan di ATM, saya datang semula ke kedai itu, bayar harga kasut baru dan kasut yang koyak, dicampak semula ke dalam bakul sampah. Kali ini, tidak ada lagi madah yang mengiringi.
Mujurlah insiden memalukan itu, berakhir setakat itu sahaja. Katakanlah, ini pula yang berlaku:
Setelah kasut koyak saya bakulsampahkan, ada pekerja pembersihan yang datang pungut kasut itu, masuk guni dan bawa pergi. Tersedar wang untuk bayar harga kasut tidak cukup, saya cuba kejar si pemungut sampah. Dan kerana hendak cepat, saya terlupa kasut yang saya pakai itu belum lagi dibayar harganya.
Gadis juru jual itu pula menjerit: "Pencuri! Pencuri!" sambil menunjuk ke arah saya yang sedang berlari mengejar pemungut sampah. Pengawal keselamatan datang mengejar saya, dan akhirnya saya ditangkap, dibawa ke balai polis. Terpaksalah tidur di dalam lokap.
Tiba harinya, saya dihadap ke mahkamah dan didapati bersalah kerana curi kasut. Saya didenda dan dihukum penjara. Esoknya keluar dalam surat khabar berita bergambar 'WARTAWAN DIPENJARA CURI KASUT RM150'. Turut tertera gambar saya keluar dari mahkamah dengan baju dan seluar ungu, diiringi polis dengan tangan bergari.
Oleh kerana berstatus banduan, saya dibuang kerja. Sejak itu, hidup saya terus melarat hingga ke akhir hayat.
Aduhai, itu bukan sesuatu yang mustahil berlaku meskipun asbab permulaannya terlalu remeh - tidak bawa wang yang cukup untuk beli sepasang kasut.
Dalam perjalanan balik ke pejabat, saya terfikir insiden kecil itu sebenarnya menyimpul seribu satu iktibar untuk direnungi.
Yang pertama, untuk melakukan sesuatu, kita perlu timbang soal kemampuan dan setelah ada kemampuan, barulah buat keputusan. Dalam hal ini, kemampuan saya rujuk kepada wang dalam bank. Ya, saya lulus.
Yang kedua, buat persiapan. Jika tidak ada persiapan, masalah yang tidak sepatutnya timbul pun boleh berlaku. Ini yang saya kantoi kerana tidak menyediakan wang yang cukup dalam dompet sebelum ke kedai kasut.
Yang ketiga, kerana terlalu 'mengejar' yang baru, kita mudah sahaja buat keputusan untuk buang apa (atau siapa) yang teramat banyak jasanya kepada kita. Dalam kejadian itu, kerana terlalu ghairah dengan kasut baru, saya tak ambil pusing harganya yang belum langsai ketika buang kasut koyak ke dalam bakul sampah. Sungguh tidak patut!
Ini hanya kisah saya dengan kasut. Bagaimana pula dengan yang lain? Sebagai lelaki usia 40, saya sedar ramai rakan sebaya yang sedang berkira-kira hendak beli 'kasut' baru pada usia ini.
Jangan terkantoi kerana tidak buat persediaan. Satu lagi, jangan lupa kepada yang sudah banyak berjasa!
Full content generated by Get Full RSS.