Khamis, 30 Jun 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Bukan gelanggang ‘Raja Lawak’

Posted: 29 Jun 2011 05:00 PM PDT

Bermula dengan tiga, bilangannya terus meningkat setiap hari – 20, 30, 100, 500, 800, 1,000. Setakat kelmarin angka itu sudah menjadi 1,278. Dalam masa sehari dua lagi pasti angka itu bertambah.

Maaf, ini bukan angka SMS yang diterima untuk pengundian memilih pemenang dalam 'Akademi Fantasia', 'Raja Lawak' atau lain-lain program realiti TV. Saya bercakap mengenai Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil, atau nama manjanya 'Bersih'.

Angka yang beribu-ribu itu – tarikh tutupnya ada lebih kurang seminggu lagi – ialah bilangan laporan polis dibuat seluruh negara bagi membantah perhimpunan haram yang dirancang di ibu kota pada 9 Julai.

Perhimpunan pertama seumpamanya diadakan 2007, mendapat liputan meluas media seluruh dunia, termasuk CNN, BBC dan Aljazeera, walaupun media tempatan menyiarkan hanya sebagai berita kecil.

Laporan polis sudah banyak dibuat, dan pihak berkuasa telah berulang kali menegaskan bahawa permit tidak akan dikeluarkan untuk perhimpunan itu. Polis memberi amaran akan bertindak tegas terhadap sesiapa sahaja yang melanggar undang-undang.

Tetapi, Pengerusi Datuk S. Ambiga berkeras meneruskan perhimpunan tersebut yang dijangka akan disertai 100,000 orang. Walaupun ada cara yang lebih mudah dan selamat, beliau memilih menghimpunkan ratusan ribu orang, hanya untuk menghantar sekeping memorandum kepada Yang di Pertuan Agung.

Turut sama berkeras untuk mengadakan perhimpunan besar-besaran pada hari sama ialah Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang akan menghimpunkan berpuluh ribu anak buahnya di bawah nama Patriot.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali juga menegaskan puluhan ribu anggotanya akan berarak untuk menentang perhimpunan Bersih. Ibrahim yang selalu lantang itu menegaskan "sedia menghadapi apa juga kemungkinan."

Terkini, Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia (PSSLM) pun menyatakan kesediaan untuk sama masuk gelanggang. Mahaguru Tan Sri Omardin Mauju berkata lebih 50,000 pengamal silat di negara ini sedia untuk berentap dengan pihak yang terlibat dalam perhimpunan haram. Pendek kata, kalau diibaratkan gelanggang tinju, petang Sabtu 9 Julai akan menyaksikan peninju-peninju terhebat dunia bertarung. Kalau samakan dengan pentas tomoi, itulah harinya di mana jaguh-jaguh tomoi bersepak-terajang, berlaga lengan.

Tetapi ini bukan gelanggang tinju atau pentas tomoi. Bukan juga gelanggang 'Raja Lawak' atau pentas 'Akademi Fantasia'. Ini gelanggang massa yang sama-sama hendak menunjukkan kemarahan. Masing-masing hendak tunjuk kuat.

Sebab itu ramai yang menentang. Apa perlunya kita berhimpun dan mengangkat bendera? Kebimbangan umum ialah perhimpunan seperti itu akan memporak-perandakan KL, seperti yang telah dibuktikan pada 2007. lain-lain kesan-kesan negatif lain seperti dijangka oleh pihak yang menentang perhimpunan adalah seperti berikut:

Pertama, kebimbangan kerajaan bahawa perhimpunan Bersih didalangi parti-parti politik. Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bimbang ada usaha menghidupkan semula fahaman komunis.

Kedua, industri pelancongan dijangka rugi RM6 bilion. Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen berkata, jangkaan itu dibuat berdasarkan jumlah pendapatan yang dijangka diperoleh sektor berkenaan pada bulan Julai kerana seramai 2.2 juta pelancong asing datang ke negara ini pada tempoh sama tahun lalu.

Ketiga, banyak kerugian RM – juta-juta – akibat perniagaan di kawasan terlibat terhenti semasa perhimpunan. Pemandu teksi tidak dapat cari makan, pengangkutan awam ke pusat bandar tersekat. Kesesakan lalu lintas menyusahkan orang ramai.

Tetapi, selain kerugian RM dan harta benda, satu perkara yang patut difikirkan juga ialah siapa sebenarnya yang menyertai – dan bertelagah – dalam perhimpunan itu? Sebahagian besar yang menyertai Bersih pada 2007 adalah Melayu. Walaupun dikatakan mewakili semua kaum, 90 peratus adalah Melayu.

Kalau benar Perkasa turut serta berhimpun, kesemua berpuluh-puluh ribu yang menyertai kumpulan Tok Yim adalah Melayu. Patriot anjuran Pemuda UMNO pun mesti ramai Melayu, mungkin ada sebilangan kecil dari MIC dan MCA. Dan 50,000 anak silat Omardin juga Melayu. Ertinya, 9 Julai itu adalah perhimpunan orang Melayu. Pihak yang terjejas pun peniaga kecil Melayu termasuk tauke tudung bawal, penjual capal, peniaga roti canai. Dan, kalau bertumbuk dan bergigit telinga sama-sama Melayu juga. Orang lain akan ketawakan kita!

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Itik berlenggang yang ada gaya

Posted: 29 Jun 2011 05:00 PM PDT

"Maaf ya, ladies first (perempuan dulu)." Perkataan ini banyak kali saya dengar keluar daripada mulut orang lelaki, terutama pada majlis-majlis. Ada pelbagai konotasi di situ, ada beranggapan positif, rasa negatif dan tidak kurang yang beranggapan mengada-ngada.

Dan perempuan yang disuruh ambil dulu atau jalan dulu kalau sedang beratur, pastinya rasa kembang hatinya. Tersipu-sipu, terkedek-kedeklah dia ke hadapan terlebih dahulu sampai lupa untuk mengucapkan terima kasih kepada orang lelaki!

Dalam Islam wanita begitu dihormati dan dimuliakan sehingga berada pada kedudukan yang tinggi. Agama Allah telah memelihara wanita secara fitrah dan mengakui peranannya yang cukup besar dalam masyarakat. Kewanitaan yang ada pada setiap Muslimah dianggap sebagai pelengkap bagi kaum lelaki.

Wanita, tidak kiralah emak, kakak atau adik, jiran atau saudara adalah makhluk Allah yang istimewa. Wanita diciptakan dari tulang rusuk kiri lelaki. Sesungguhnya telah dijelaskan dalam al-Quran dan juga hadis tentang betapa pentingnya peranan dan tanggungjawab wanita sama ada sebagai anak, isteri dan ibu.

Isteri Baginda Nabi Muhammad SAW, Khadijah binti Khuwailid adalah wanita yang layak mendapat kemuliaan. Allah begitu memuliakan beliau sehingga memilih menjadi pendamping hidup Rasulullah SAW. Allah menjadikan Nabi Muhammad SAW begitu istimewa untuk Khadijah begitu juga sebaliknya.

Dalam diri wanita itu, terkumpul segenap cinta, kasih sayang, kesucian hati, kelembutan sebagai seorang ibu dan pengorbanan jiwa dan harta. Jika Rasulullah adalah lelaki yang sempurna di dunia, maka Khadijah pula adalah wanita yang memiliki segenap kesempurnaan dan keelokan rupa dan dan juga peribadi.

Wanita adalah lambang kecantikan, kasih sayang dan kelembutan. Oleh itu, status mereka tidak sesekali direndahkan dan dihina malah Islam berusaha menentang segala bentuk penindasan dan perkara-perkara yang menjatuhkan maruah mereka.

Terkini, saya berasa amat gembira apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kelulusan dasar sekurang-kurangnya 30 peratus wanita di peringkat pembuat keputusan dalam sektor korporat yang diusulkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Sememangnya keputusan yang dipersetujui dalam mesyuarat jemaah menteri pada minggu lalu merupakan pengiktirafan daripada kerajaan ke atas sumbangan dan peranan yang dapat dimainkan oleh kaum wanita yang berkelayakan di negara ini.

Sejak zaman saya menjadi wartawan 25 tahun lalu, pelbagai forum, agenda, mesyuarat dan bengkel telah diadakan bagi membincangkan hal ini. Rumusan segala usaha ini dirangkumkan dan menjadi satu dasar untuk diserah kepada menteri berkaitan wanita.

Pada masa itu dimulakan dengan Datuk Paduka Rahmah Osman, kemudian Datin Paduka Zaleha Ismail, Datuk Dr Siti Zaharah Sulaiman, hinggalah pada zaman Datuk Seri Shahrizat Jalil dan Datuk Ng Yen Yen. Semua wartawan, wanita pembuat keputusan daripada pihak kerajaan dan swasta dijemput menyumbang idea. Agenda siling kaca turut dibincangkan hampir setiap tahun.

Saya turut menyokong bahawa untuk mencapai matlamat ini, pihak korporat diberi tempoh peralihan selama lima tahun bagi meningkatkan bilangan wanita sebagai ahli lembaga pengarah dan memegang jawatan tertinggi di syarikat masing-masing.

Sememangnya penyertaan wanita pada peringkat pembuat keputusan dapat meningkatkan produktiviti syarikat terbabit, berasaskan penyelidikan dan pengalaman negara lain yang sudah mengamalkan dasar sama. Sudah ramai wanita memiliki kepakaran, kelayakan, potensi, bakat, ilmu, pengetahuan dan pengalaman yang cukup baik.

"Insya-Allah, ia (dasar ini) tidak akan menggugat pasaran, sekuriti mahupun bidang korporat dan perniagaan di Malaysia. Kita membawa dasar ini sebagai 'lebuh raya' yang membuka era baru untuk kepimpinan wanita dalam sektor korporat dan swasta," kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Saya setuju! Sekarang kata pepatah yang mengatakan wanita jalan berlenggang bagai itik pulang petang itu sudah semestinya dilihat pada konotasi berbeza… ya berlengang, tapi tetap ada gaya!

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved