Sinar Harian :: Suara Cakna Anda |
Noramfaizul sering hubungi keluarga ketika di Somalia: Ibu Posted: 02 Sep 2011 05:00 PM PDT
Noramfaizul sering hubungi keluarga ketika di Somalia: Ibu KUALA LUMPUR - Ibu Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor, jurukamera Bernama TV yang maut akibat terkena tembakan peluru sesat di Somalia berkata, anak sulungnya itu kerap menghubungi keluarga untuk menyatakan keadaan beliau sepanjang berada di negara bergolak itu. Naemah Abd Majid, 63, berkata, keadaan itu agak berbeza kerana sebelum ini Allahyarham hanya menghubungi keluarga menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) apabila menyertai misi ke luar negara. "Semasa berada di sana, arwah ada menghubungi saya untuk bertanya khabar. Arwah turut menghantarkan khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada adik-beradik serta mak cik saudaranya bagi memaklumkan keadaan semasa arwah. "Dua tahun lalu, semasa arwah menyertai misi kemanusiaan di Gaza, arwah hanya menghubungi kami melalui SMS sahaja tetapi dalam misi kali ini, arwah sedikit berbeza," katanya ketika ditemui di kediamannya di Serdang Raya, di sini. Bapa Allahyarham, Mohd Nor Mat Yasin, 66, pula sempat bercerita bahawa Allahyarham pernah menyatakan hasratnya untuk bermalam bersama keluarganya di Serdang Raya sebelum berlepas ke Somalia. "Dia ada menelefon saya menyatakan hasrat untuk bermalam di sini sehari sebelum berlepas (27 Ogos) dan beberapa jam kemudian dia menelefon semula dari pejabatnya (Bernama) untuk memaklumkan kami keadaan keretanya yang tidak boleh dihidupkan. "Beberapa jam kemudian kira-kira jam 10.30 malam, dia tiba bersama salah seorang rakan sepejabatnya yang menumpangkannya. Arwah sempat menyertai keluarga mengadakan kenduri doa selamat untuknya sebelum beliau berlepas," katanya. Dalam pada itu, suasana sedih dan pilu menyelubungi kediaman keluarga Noramfaizul hari ini walaupun jenazah Allahyarham hanya dijangka tiba esok. Kaum keluarga, rakan taulan serta beberapa anggota kabinet yang rata-rata terkejut dengan pemergian Allahyarham tidak putus mengunjungi kediaman keluarganya sejak awal pagi tadi untuk menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham. Turut kelihatan ialah Pengerusi Bernama, Datuk Abdul Rahman Sulaiman yang menyifatkan Allahyarham sebagai seorang profesional yang tulen dalam memenuhi tugas dan memperjuangkan nilai kemanusiaan tulen. "Pemergiannya akan dicatat dalam sejarah Bernama," katanya yang turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham. Turut melawat ialah Pengurus Besar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Hasnul Hassan, Ketua Pengarang, Datuk Yong Soo Heong dan Ketua Editor Bernama TV, Abdul Rahman Ahmad. Allahyarham Noramfaizul adalah sebahagian daripada 55 anggota sukarelawan yang mengikuti Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia untuk membantu mangsa bencana kemarau dan kebuluran di Somalia. Jenazah dibawa pulang ke Malaysia esok menaiki pesawat Charlie C-130 bersama-sama anggota misi lain dan dijangka tiba di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang pada jam 9 pagi esok. Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Trafik Bukit Aman, ACP Fuad Latif ketika ditemui Bernama berkata, polis akan mengiringi van jenazah setibanya dari Lapangan Terbang Subang esok bagi memudahkan perjalanan ke rumah keluarganya dan seterusnya ke tanah perkuburan. Fuad yang melahirkan rasa simpati beliau ke atas pemergian arwah turut mengucapkan takziah kepada seluruh anggota keluarga arwah. Bukit Aman akan sentiasa cuba membantu dari segala sudut bagi memudahkan perjalanan jenazah itu, katanya. - Bernama |
Gempa bumi kuat di Kepulauan Sandwich Selatan Posted: 02 Sep 2011 05:00 PM PDT
Gempa bumi kuat di Kepulauan Sandwich Selatan Satu gempa bumi kuat bermagnitud 6.2 pada skala Richter telah berlaku di Kepulauan Sandwich Selatan, pada 12:49 tengahari, hari ini. Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataanya berkata, pusat gempa bumi terletak di 56.6º Selatan dan 27.0º Barat, 12501km Barat Daya Johor Bahru, Johor dan tiada ancaman Tsunami kepada Malaysia. Pihak berkenaan sedang memantau perkembangan ini
dan akan memaklumkan yang terkini. |
You are subscribed to email updates from Sinar Harian :: Suara Cakna Anda To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan