Sabtu, 3 September 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Azizan kekal MB Kedah: Hadi

Posted: 02 Sep 2011 05:00 PM PDT

Azizan kekal MB Kedah: Hadi

SHAH ALAM - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menafikan beliau mendesak atau meminta Datuk Seri Azizan Abdul Razak meletak jawatan sebagai Menteri Besar Kedah atas faktor kesihatan.

Bekas Menteri Besar Terengganu itu turut menegaskan bahawa Azizan akan terus memegang jawatan yang disandangnya sejak Mac 2008 itu.

"Beliau kekal Menteri Besar Kedah. Cuma kini sedang berehat kerana masih dalam rawatan," kata beliau yang dipetik daripada portal berita, Malaysia Insider.

Abdul Hadi berkata, laporan akhbar berbahasa Inggeris semalam bahawa kepimpinan Pas sedang mengambil langkah menggantikan Azizan yang kini kurang sihat selepas diserang sakit jantung bulan lalu sebagai tidak benar.

Akhbar itu juga melaporkan Abdul Hadi akan menghadap Sultan Kedah berhubung peralihan itu dan berjumpa serta berbincang dengan kepimpin negeri di Alor Setar hujung minggu ini.:

Antara nama disebut bakal menggantikan Azizan, termasuk tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kanan, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi (Pengkalan Kundor), Datuk Amiruddin Hamzah (Anak Bukit) dan Datuk Mohamad Taulan Mat Rasul (Tokai).

Semua mereka adalah ahli Exco Kerajaan Negeri

Sementara itu Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, perkara itu tidak pernah dibincangkan dalam mana-mana mesyuarat Jawatankuasa Harian atau Mesyuarat Lujnah Politik parti.

"Saya baru pulang daripada (menunaikan) umrah beberapa hari lalu, dan berada di luar negara selama dua minggu. Sepanjang ketiadaan, saya difahamkan tiada mesyuarat khas dilakukan berhubung perkara itu.

"Saya sendiri tiada perancangan untuk ke Kedah bertemu Azizan," katanya.

Menurutnya, sebelum beliau berangkat menunaikan umrah perkara itu memang tidak pernah dibincangkan.

Mustafa berkata, beliau pernah menghubungi Azizan selepas keluar daripada Institut Jantung Negara (IJN) dan dimaklumkan Menteri Besar itu sedang mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Tuan Ibrahim Tuan Man pula mendakwa ada usaha melaga-lagakan kepimpinan Pas oleh pihak tertentu kerana tergugat dengan perpaduan kukuh di dalam parti itu.

"Menjelang pilihan raya umum akan ada banyak isu sengaja ditimbulkan musuh, bahkan akan ada perisytiharan keluar parti beramai-ramai sebagai petanda pilihan raya umum semakin hampir.

"Saya menyarankan seluruh ahli dan penyokong Pakatan Rakyat mendapat maklumat parti melalui saluran rasmi parti agar kita tidak terperangkap dengan mainan musuh," katanya.

'Saya semakin sihat'

Posted: 02 Sep 2011 05:00 PM PDT

'Saya semakin sihat' PENDANG - "Saya masih kuat dan mampu buat kerja," kata Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berhubung desas-desus mengatakan beliau diminta berundur oleh kepimpinan Pas Pusat ekoran mengalami masalah kesihatan, sejak sebulan lalu.

Katanya, tahap kesihatannya bertambah baik sejak mendapatkan rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) dan percaya dirinya masih berupaya menguruskan pentadbiran negeri dengan lancar.

"Saya semakin sihat, daripada sumber mana dapat maklumat itu. Mungkin ada pihak yang bimbang Pas Kedah semakin kuat, jadi depa heboh cerita ini, maklumlah dekat pilihan raya," katanya ketika ditemui pagi semalam sewaktu menziarahi keluarga Pegawai Daerah Kota Setar, Datuk Abdul Rahman Ahmad, yang meninggal dunia lewat petang kelmarin.

Azizan yang juga Pesuruhjaya Pas Kedah berkata, dirinya akur sekiranya kepimpinan Pas Pusat mahu menggantikannya, memandangkan jawatan itu adalah lantikan politik dan bukan hak mutlak individu.

"Saya tidak minta jadi Menteri Besar, mereka yang suruh. Saya terima apa pun keputusan, nak suruh saya berhenti esok lusa pun tak apa," katanya.

Ditanya sama ada beliau dihubungi Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung perkara itu, Azizan berkata, mereka sering bertanya khabar, namun tidak pernah membincangkan berkai-tan isu terbabit.

"Abdul Hadi memang selalu telefon tanya khabar saya. Kalau beliau mahu turun ke Kedah untuk bincang pun, bila-bila masa beliau boleh datang, tak perlu secara rasmi untuk datang," katanya.

Semalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris mendakwa kepimpinan Pas Pusat sedang berusaha menggantikan Azizan berikutan masalah kesihatan dialaminya kerana serangan jantung bulan lalu.

Abdul Hadi juga dilaporkan akan menghadap Sultan Kedah berhubung peralihan kuasa itu.

Laporan itu turut menyebut kepimpinan Pas Pusat bimbang keupayaan parti untuk mempertahankan kuasa pemerintahan negeri pada pilihan raya umum akan datang.

Berikutan itu, beliau mencadangkan Azizan bercuti sementara seorang pemangku Menteri Besar dilantik menggantikannya.

Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved