Selasa, 21 Jun 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Pemahaman, amalan politik kita

Posted: 20 Jun 2011 05:00 PM PDT

Agak besar jumlah orang yang percaya bahawa ada pertentangan hebat dan mutlak di antara puak-puak politik di Malaysia. Mereka percaya ideologi ialah penentu pertentangan itu.

Kepercayaan itu membosankan saya, dan juga orang lain yang memahami politik. Ahli-ahli politik kita sebenarnya berpusing-pusing, yang itu-itu juga.

Tidak perlu saya ulangi, permusuhan antara Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat bukanlah permusuhan antagonistik. Tidak mungkin para pemimpin atasan parti-parti itu bermusuh kerana perjuangan. Hadir dalam diri mereka ialah perebutan, kerana yang akan dipilih oleh rakyat ialah salah satu daripada dua kumpulan itu.

Sesetengah pembaca akan anggap saya mengulangi hujah, dan contoh. Namun, orang seusia saya dan yang lebih muda 10 atau 20 tahun, tahu bahawa pertentangan politik kini adalah dibuat-buat. Puncanya ialah ada seorang tokoh yang terpelanting dari arus perdana kerana ketidaksesuaian di tahap atas. Apabila pihak atas bertentangan, orang bawahan akan terikut-ikut, maka permusuhan antara kumpulan-kumpulan pun berlaku. Orang ramai ialah mangsa, kecuali krisis kepimpinan itu betul-betul berubah jadi perjuangan untuk bela rakyat. Adakah akan terjadi?

Saya beranggapan, politik perlu difahami mengikut anjuran ilmu, bukan anjuran emosi. Apakah makna politik? Melalui perbualan ringkas, Dr Mohd Nur Manuty beritahu saya, politik ialah kegiatan keduniaan dan agama. Itu bolehlah dipegang, terutama oleh orang yang terlekat kukuh pada ajaran agama. Namun, yang kukuh keduniaan jauh lebih besar jumlahnya. Mereka ini berpegang pada definisi lain, iaitu politik ialah bidang untuk membantu peningkatan ekonomi . Bagi ahli politik, kita dapati mereka memperkaya diri dan kumpulan mereka, manakala bagi rakyat, kemantapan ekonomi juga yang diharapkan. Parti politik yang akan dipilih rakyat ialah yang tahu mengendalikan ekonomi kerakyatan. Pada masa sama, dapatkah rakyat mengawal agar pihak yang berkuasa itu 'berpuasa', tidak menerpa makan harta?

Dalam bicara ini, saya berhasrat memaparkan idea bahawa kita boleh berbaik-baik dalam mencari dan mengekalkan kebahagiaan di Malaysia. Pemimpin-pemimpin politik secara umumnya penyabar, cerdik dan berani. Jika kita lihat mereka garang, berpidato berapi-api, itu ialah lakonan bagi memikat minat hadirin. Apa yang menyebabkan tokoh politik hebat bersyarah ialah jumlah kehadiran, dan rasa senang pihak mendengarnya. Jika jumlah hadirin ialah dua atau tiga orang, maka syarahan berapi-api itu tidak akan berlaku. Jika ramai, tetapi minat tidak ditunjukkan, syarahan hebat tidak berlaku juga.

Dalam pidato, perkara kecil akan jadi besar oleh kehebatan. Perkara yang kurang betul menjadi lebih betul. Walaupun begitu, jika kita mahu mencari kebenaran, isi syarahan masih boleh dibawa ke pemikiran. Pertimbangan rakyat hendaklah terhadap kandungan pidato, bukan stail pemidato.

Dalam politik, kebenaran jarang menjadi keutamaan. Perhatikan perkataan 'jarang'. Keutamaan ahli politik ialah kuasa. Walaupun besar sekali jumlah anggota masyarakat yang faham akan hal ini, kesedaran selalu ditindih oleh emosi. Oleh itu, orang ramai tertarik pada stail yang berjaya membangkitkan emosi. Rakyat sebenarnya kurang pilihan, biarpun ditunjukkan oleh ahli-ahli politik bahawa rakyat boleh melakukan kerja mudah, iaitu memilih satu antara dua. Tiada ahli politik yang naik ke atas pentas dan berkata, "Tuan-tuan dan puan-puan, kita ada masalah. Masalah kita ialah kedua-dua pihak bermasalah."

Rakyat perlu gunakan fikiran kritis dan analitis dalam membuat keputusan. Pada hari mengundi, eloklah setiap pengundi berjalan ke peti undi sambil berfikir, bukan telah pun membuat keputusan. Suasana politik kini kelihatan terlalu bertentangan, kerana terlalu besar jumlah orang yang galak dan penuh kesungguhan. Ini bukanlah cemuhan, kerana sama seperti bidang ekonomi yang menawarkan untung, bidang politik menawarkan kuasa. Ahli-ahli politik kini berdiri tegap dan bersuara mantap bagi menyatakan mereka berjuang untuk orang lain, hakikatnya tidak semua demikian. Mereka itu seperti kita: penulis, pelakon, ahli sukan dan penari. Mereka pilih politik, kita pilih bidang lain. Tiada apa-apa lebih.

Jika kita faham politik, baik kita sertai atau sekadar menjadi pemerhati, konflik tidak akan berlaku. Menteri Besar mencapai kedudukan kerana politik, Guru Besar mendapat kedudukan kerana pendidikan. Di mata manusia, alangkah besar Menteri Besar, di sisi Allah mungkin Guru Besar lebih berharga. Itu bergantung pada keikhlasan bekerja.

Bicara kali ini bermaksud menyediakan payung menghadapi kepanasan politik kini. Jika kita perhatikan segala yang berlaku, kita akan mengatakan bahawa realisme Nicole Machiavelli sedang dilaksanakan dengan giat. Apa tidaknya, di mana-mana pun kita dapati prinsip the end justifies the means. Rasa agama kerap disebut, tetapi pada praktiknya rasa agama ditonjolkan untuk kegunaan duniawi, dan penonjolan itu sentiasa dalam balutan kepalsuan. Machiavelli tidak melihat tipu helah sebagai jahat kerana segala itu ialah alat. Oleh itu, setiap rakyat perlu cerdik, jangan tertipu oleh kecerdikan politikus.

Menyingkap rahsia berkempen

Posted: 20 Jun 2011 05:00 PM PDT

Kebelakangan ini, saya melihat banyak prasyarat dan alasan diberikan oleh Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia serta kerajaan; alasan menyatakan ketidakmungkinan melaksanakan tuntutan-tuntutan Gabungan Bersih 2.0, antaranya termasuklah:

1) Membersihkan senarai pengundi

2) Mereformasikan undi pos

3) Penggunaan dakwat kekal

4) Akses media yang adil, bebas

5) Masa kempen minimum 21 hari

6) Kukuhkan institusi awam

7) Hentikan rasuah

8) Hentikan politik kotor

Pertembungan di antara SPR Malaysia dan juga Bersih mengingatkan saya kepada pilihan raya Turki yang baru berlangsung.

Kemenangan Parti Keadilan dan Kesejahteraan (AK) Turki pimpinan Tayyib Erdogan dalam pilihan raya Turki buat kali ketiga berturut-turut yang memenangi 326 kerusi daripada 550 kerusi Parlimen dan ini sekali gus memecahkan rekod dipegang parti pimpinan Adnan Manderes sebelum ini. AKP juga meraih undi popular sebanyak 49.9 peratus berbanding 37 peratus dalam pilihan raya 2002 dan 47 peratus dalam pilihan raya 2007.

Faktor utama rekod cemerlang Parti AK ini adalah reformasi yang berterusan, sehingga ke peringkat memperbaiki sistem dan perjalanan pilihanraya walaupun perlu mengharungi cabaran besar mengemudi sebuah negara yang kompleks seperti Turki untuk membawa ke persada dunia seiring dengan negara maju lain terutama dalam bidang ekonomi. Turki turut melakukan reformasi secara berkesan antaranya:

1) Umur jadi calon pilihan raya ialah 25 tahun, umur menjadi pengundi ialah 18 tahun

2) Mengimbangi nilai-nilai tradisional dan pemodenan

3) Peningkatan taraf hidup; meningkatkan GNP, penaiktarafan perkhidmatan awam, reformasi ekonomi.

4) Semangat kebangsaan; bersama selesaikan masalah Kurdis; termasuk buat julung kalinya membenarkan penggunaan bahasa Kurdish dalam kempen pilihan raya 2011.

Saya hanya secara kebetulan mendapat maklum tentang bandar Batman, destinasi pantauan saya dalam pilihan raya negara Turki. Sedang teman-teman seangkatan Parti Keadilan Rakyat, YB Saifuddin Nasution dan YB Johari Abdul dan juga Parti Islam Semalaysia, Dr Mariah mendapat tugasan di kubu kuat Parti AK di Istanbul, saya agak terkedu pada mulanya bila dihantar berkempen bersama calon Parti AK, Memet Simsek, merangkap Menteri Kewangan Turki sejak 2009.

Batman, Kota Selatan Anatolia, dilanda pertelingkahan etnik tiga dekad lamanya. Pertelingkahan etnik terutama puak Kurdis yang dianggarkan telah mengorbankan 40,000 nyawa di samping kadar pengangguran yang meningkat dan mencengkam hidup rakyat. Sememangnya peninggalan sejarah yang begitu mencengkam dapat dilihat dari muka anak-anak di perkampungan yang saya lawati. Apa tidak, sehingga kini, kadar buta huruf masih membelenggu 43 peratus wanita di sana.

Parti lawan, Parti Keamanan dan Demokratik (BDP), yang juga berkait dengan kumpulan pengganas PKK menguasai sebahagian besar kawasan di Batman, termasuklah kawalan terhadap pihak-pihak berkuasa tempatan. Justeru, taktik menakut-kan pengundi dalam setiap pilihan raya bukan perkara luar biasa.

Apa yang luar biasa ialah komitmen Parti AK dalam mengembalikan keadilan dalam institusi keselamatan di bawah tanggungjawab pihak polis demi memastikan redanya rasa takut di kalangan masyarakat tempatan.

Justeru, dalam pilihan raya baru-baru ini, Parti AK membuat keputusan menghantar Menteri Kewangan mereka, Memet Simsek, dalam usaha menawan hati penduduk tempatan. Memet Simsek, seorang Kurdish yang lahir di perkampungan dalam bandar Batman, seorang anak yatim dan ayahnya buta huruf. Beliau berjaya sehingga ke peringkat menara gading dan menjawat jawatan di Merril Lynch, United Kingdom. Perdana Menteri Erdogan mengajak beliau pulang berkhidmat dengan AK Parti seraya melantik beliau selaku Menteri Negeri pada 2007, sekali gus bertanding di kawasan Parlimen Gaziantep. Kerana kredibiliti dan komitmen Memet Simsek, maka beliau dipilih Erdogan sebagai calon di kawasan terlemah Parti AK untuk bersama membina negara Turki yang lebih maju dan berdaya saing.

Di Batman, Parti AK boleh melunaskan janjinya untuk memastikan martabat rakyat tempatan dikembalikan menerusi penggunaan bahasa Kurd, ahli-ahli Parlimen mempunyai imuniti penuh sewaktu berkempen dan dalam masa 10 hari sekatan ketenteraan dimansuhkan. Bayangkan jika reformasi politik di Turkin juga dapat dilaksanakan di Malaysia melalui tuntutan dalam Bersih 2.0, saya yakin dan percaya kesuburan demokrasi berparlimen di Malaysia akan terlaksana dengan jayanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved