Selasa, 14 Jun 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Berapa ramai bikin seperti cakap?

Posted: 13 Jun 2011 05:00 PM PDT

Orang politik suka menabur janji, khasnya menjelang pilihan raya kerana ingin meraih kemenangan. Tetapi antara janji-janji ditaburkan itu, berapa pula yang benar-benar dikotakan? Itu tetap satu soalan yang bukan senang dijawab oleh orang politik, sebaliknya disambut dengan senyuman sinis apabila dituju kepada rakyat jelata yang sememangnya telah biasa dengan janji-janji berkenaan.

Memang benar orang politik mungkin berhujah seribu ragam apabila gagal mengotakan janjinya. Namun apabila tabiat memberi alasan untuk menjustifikasikan kegagalan itu telah berakar umbi dalam jiwa, maka tidak dapat tidak keyakinan umum terhadap ahli politik akan turut terhakis.

Keadaan seperti ini terserlah kalangan ahli politik yang memegang jawatan pentadbiran, khasnya mereka dari parti pemerintah. Namun, akibat tsunami politik dan pengambilalihan tampuk pemerintahan di lima buah negeri oleh Pakatan Rakyat, tabiat mungkir janji kini telah merentasi garisan parti. Justifikasinya juga kelihatan semakin beraneka ragam dalam kehidupan kita saban hari.

Antara ragam itu terdapat tiga model stereotaip yang sering mudah dicabar logiknya: (1) Semua kelemahan yang timbul dalam pentadbiran negeri dikuasai sekarang bulat-bulat diwarisi dari pemerintahan BN sebelumnya;

(2) Semua amalan pentadbiran yang dicela rakyat dipersalahkan kepada komitmen Kerajaan BN sebelumnya atas sebab adanya ikatan kontrak atau undang-undang;

(3) Gejala politik yang masih berterusan dihujahkan sebagai sesuatu norma, tidak dapat dielakkan. Malah disoal mengapa ia tidak boleh diamalkan Pakatan Rakyat yang baru setahun jagung, walhal BN telah lama mengamalkannya?

Pada zahirnya, justifikasi (1) kelihatan ada logiknya kerana pemerintahan Kerajaan negeri Pakatan Rakyat baru berusia setahun jagung. Namun begitu, rakyat mungkin mudah lupa bahawa Pakatan jugalah yang berjaya menumbangkan BN dalam negeri-negeri berkenaan semata-mata atas janji ingin merubah bahkan mengikis kelemahannya.

Kalaulah baru genap setahun, mungkin masih awal kita hendak membuat sebarang kesimpulan. Tetapi sesudah genap tiga tahun, alasan yang sama mungkin semakin sukar diterima oleh rakyat. Pada masa yang sama, tidakkah rakyat merasa sungguh pelik apabila usaha-usah tertentu khasnya yang berkaitan dengan pencapaian Kerajaan Negeri, bulat-bulat dibolot oleh Pakatan Rakyat?

Ternyata sekali dalam usaha menarik pelabur asing, adalah mustahil mana-mana Kerajaan Negeri boleh memperoleh pencapaian cemerlang dalam tempoh setahun jagung kalau bukan kerana usaha pemerintahan sebelumnya.

Bagi justifikasi (2) pula, biarpun terdapat ikatan kontrak atau kekangan undang-undang tertentu, namun pemerintahan baru tetap berhak memansuhkannya demi kebaikan. Sebenarnya bak kata peribahasa: "Setiap kali air bah, setiap kali pantai berubah," apabila berlaku rombakan Jemaah Menteri, keputusan bekas menteri pun boleh juga dimansuhkan sama sekali oleh penggantinya dari parti yang sama, biar atas apa sebab sekalipun.

Mengenai gejala politik pula, pihak yang mengecam hebat bahkan beria-ia benar ingin hapuskan sebelum berkuasa, akan terjerumus juga kepada kancah 'mungkir janji' sekiranya hanya sanggup mewajarkan amalan-amalan itu dengan alasan ia telah lama wujud.

Ternyata, ini lazim berlaku di PBT. Amalan lama berakar umbi itu, antara lain termasuk 'curi pasir', 'pembolotan pasar-pasar malam oleh kuncu-kuncu orang politik', 'pencerobohan laman-laman riadah' dan banyak lagi melibatkan ahli-ahli politik dari parti pemerintah negeri. Jika segala amalan itu dipersalahkan kepada pegawai PBT pun tidaklah masuk akal kerana ia tidak akan dapat dilaksanakan tanpa restu majlis PBT yang dianggotai ahli politik lantikan parti pemerintah negeri.

Atas isu ini, rakyat sering dilambakkan sebaran: apalah salahnya orang PR amalkannya kalau BN telah menginstitusikan amalan itu sekian lama. Jelas ini bercanggah dengan janji PR untuk tegakkan sebuah pentadbiran telus, bertanggungjawab dan adil yang diwar-warkan .

Pendek kata, orang politik memang boleh berhujah pelbagai cara untuk mewajarkan kegagalannya menepati janji, tetapi mereka tetap akan dihakimi rakyat menjelang pilihan raya. Amalan bahkan gejala yang dikeji rakyat tidak akan diterima semudah yang difikir .

* Penulis merupakan Ahli Parlimen Pandan dan bekas Presiden MCA

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Hiburan minda di pinggir kota

Posted: 13 Jun 2011 05:00 PM PDT

Sebagai seorang penulis, saya terhutang budi dengan kedai buku dan perpustakaan pinjaman yang telah saya kunjungi sejak dari bangku sekolah, terutama kedai-kedai buku terpakai yang membenarkan saya 'menyewa' novel-novel mengikut minggu untuk diuji pandu.

Sewaktu di Bandung tempoh hari (Err... saya tak ke sana untuk membeli-belah), saya terjumpa sebuah kedai buku yang serupa; didirikan dan diurus oleh seorang mahasiswa lulusan sejarah dari Universiti Padjajaran bernama Anton Solihin.

Didorong oleh semangatnya yang luar biasa untuk bahan-bahan cetak dan kepercayaan akan daya kekuatan moral yang dimiliki seni dan idea, Pak Anton yang berusia 41 tahun, telah mengubah suai ruang tamu rumahnya menjadi kawasan umum - perpustakaan swasta.

Ia merupakan satu projek yang menarik, sederhana tetapi bercita-cita tinggi - menggabungkan Aristotle dan Marx demi memajukan agendanya untuk membawa seni, sejarah dan ilmu falsafah kepada masyarakat umum.

Perpustakaan swasta itu diberi nama Perpustakaan Batu Api dan terletak di sebatang jalan yang sibuk di pinggir kota Badung, di sebuah daerah bernama Jatinagor.

Kawasan sekitar di hadapan rumahnya dibarisi kemas lantai jubin seramik dengan dua kerusi rotan untuk bersantai.

Poster lama yang mempromosikan festival-festival filem seantero dunia memenuhi setiap inci dinding putih: dari filem Perancis ke filem Indonesia tahun 60-an dan filem dari Iran.

Di ruang tamu ada dua ruang yang dipenuhi buku. Sekali imbas, bukunya disusun agak berselerak. Tetapi, jika diteliti, rak-rak itu dilabel: buku dari India, Timur Tengah, Perancis dan Latin.

Karya-karya hebat dari zaman silam dan kontemporari daripada penulis handalan seperti V S Naipaul, Orhan Pamuk dan Amin Maalouf memadati rak-rak yang sudah padat.

Perpustakaan swasta itu juga dipenuhi buku-buku dari koleksi peribadi Pak Anton: menampilkan karya hebat penulis unggul dari Indonesia seperti Pramoedya Ananta Toer- yang bukunya sering kali dipinjam pengunjung dan karya Umar Khayyam, terutamanya saga keluarga Para Priyayi.

Perpustakaan Batu Api dimiliki dan dibiayai sendiri oleh Pak Anton sebagai perniagaan milik peribadi. Dibuka pada 1999, visi Pak Anton ialah untuk menyediakan satu tempat bacaan santai buat mahasiswa-mahasiswa di kawasan berhampiran serta untuk pekerja-pekerja dari puluhan kilang tekstil dan pakaian di kawasan sekitar.

Namun demikian, Pak Anton ialah seorang yang realistik. Beliau sedar minat membaca dalam kalangan masyarakat setempat masih terhad. Walaupun begitu, beliau masih berjaya untuk menarik minat lebih 5,000 orang ke perpustakaan itu dan berjaya membina koleksi yang menjangkaui lebih 8,000 himpunan buku, cakera padat (CD) dan majalah.

Harga yang ditetapkan untuk meminjam buku ialah IDR 3,000 (RM1.10) seminggu dan secara purata, ada 30 pengunjung setiap minggu yang meminjam dua buku seorang, oleh itu, secara purata 60 dipinjamkan seminggu.

Sebagai seorang yang menggelar dirinya 'agen perubahan masyarakat', beliau merupakan seorang yang gigih mempromosikan majlis-majlis ilmiah seperti forum, diskusi filem dan kritikan sastera.

Pak Anton berkata: "Komuniti membaca di Jatinagor kecil, tetapi bersemangat besar termasuk pekerja-pekerja kilang berhampiran."

Koleksi di perpustakaan swasta itu bervariasi dan adakala saya agak keliru tetapi kagum. Terdapat fail yang dipenuhi keratan akhbar lama, majalah Tempo dari tahun 80an dan 90an serta filem-filem lama dari serata dunia dalam bentuk cakera padat. Koleksi tersebut diberi tumpuan individu dan terperinci oleh pemiliknya, Pak Anton.

Beliau menunjukkan kepada saya beberapa teks ucapan lama dan risalah dari zaman pemerintahan Sukarno seperti: Berdiri Di atas Kaki Sendiri, Penemuan Kembali Revolusi Kita dan Celaka Negara Yang Tidak Bertuhan.

Kesemuanya masih padat dengan emosi dan semangat dari zaman awal kemerdekaan Indonesia daripada penjajah.

Pada zaman yang dipenuhi bunyi daripada ipod, televisyen, radio, teks ringkas dalam bentuk SMS dan Blackberry Messenger (BBM) dan Twitter, usaha Pak Anton mengingatkan kita tentang dunia yang lebih memuaskan - dunia perkataan, muzik, puisi dan idea, semua tersimpan di satu ruang tamu di pinggir kota, menanti bayaran IDR 3,000 daripada pengunjung.

Hiburan minda yang murah dan memuaskan dalam ekonomi yang dilanda inflasi….

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved