Ahad, 11 September 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna


Israel semakin hilang taring

Posted: 10 Sep 2011 05:00 PM PDT

Israel semakin hilang taring Pergolakan di Timur Tengah turut memberi tempias kepada Israel, terutamanya kepimpinan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu.

Rejim Zionis dilihat seakan hilang pengaruh, sejak awal September lalu, bermula dengan tindakan Turki memboikot dan membekukan hubungan perdagangan dan ketenteraan sekali gus, menjejaskan hubungan diplomatik antara mereka.

Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan membuat keputusan itu, selepas tidak bersetuju dengan laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berpihak kepada Israel, walaupun terbukti Pasukan Pertahanan Israel (IDF) melancarkan serangan terhadap kapal Mavi Marmara, tahun lalu.

Keengganan rejim Zionis untuk mengemukakan permohonan maaf, membayar pampasan kepada sembilan aktivis warga Turki yang terkorban dan menghentikan sekatan haram ke atas Gaza, juga dilihat antara faktor menyebabkan Ankara mengambil tindakan pertama dengan mengusir duta besar, Gaby Levy bersama diplomat kanan Israel serta menggantung perjanjian kerjasama latihan tentera.

Bagaimanapun, Israel tetap berkeras tidak mahu hubungan diplomatik mereka terjejas, selain memberi amaran tidak menjadi pelindung kepada Palestin.

Susulan kemarahan Turki itu, Israel terus bergolak, selepas hampir 500,000 penduduk di Tel Aviv turut menyuarakan rasa tidak puas hati dengan mengadakan demonstrasi 'Satu juta penduduk perasaan' di jalanan.

Demonstrasi sejak Julai lalu, dibangkitkan oleh golongan pelajar yang sanggup membina khemah di tepi jalan kerana mereka membantah kenaikan kos harga rumah untuk penduduk kelas pertengahan.

Mereka membawa kain rentang tertera, 'Seluruh generasi menuntut keadilan sosial' dan menggesa Netanyahu berundur kerana gagal menilai dan menyusun semula ekonomi di Israel yang memberi bebanan amat tinggi kepada penduduk golongan kelas pertengahan.

Walaupun demonstrasi tersebut tidak bertukar ganas, ia tetap memberi kesan terhadap kepimpinan Netanyahu yang selama ini, kononnya dianggap kebal kerana ia adalah sekutu kuat Amerika Syarikat (AS).Beberapa hari selepas demonstrasi terbesar itu, perunding kanan Palestin mengeluarkan kenyataan yang mungkin akan menggugat Israel.

Nabil Shaath mengumumkan sebanyak 140 negara dijadual menyertai Mesyuarat Agung PBB pada 23 September depan dan kesemua mereka dijangka akan sebulat suara menyokong resolusi PBB bagi mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara bebas dan merdeka.

Keputusan tersebut diambil selepas Israel menangguhkan lagi rundingan damai secara langsung bersama Palestin selama hampir setahun.

Rejim Zionis masih terus berdegil dan enggan memulangkan tanah rampasan serta terus membina penempatan haram Yahudi di Palestin.

Jika Palestin diisytiharkan merdeka, Israel dilihat akan semakin kehilangan kuasa kerana penduduk Gaza tidak lagi akan hidup di bawah kekejaman mereka.

Insiden terbaru kelmarin melibatkan serangan ke atas Kedutaan Israel di Kaherah.

Kira-kira 1,000 penunjuk perasaan di Mesir bertindak luar kawalan dengan memecahkan tembok dan merempuh masuk ke dalam kediaman Duta rejim Zionis, Yitzhak Levanon kerana berang selepas enam pengawal keselamatan sempadan Mesir ditembak mati dalam satu operasi dilancarkan Israel di sempadan Rafah, bulan lalu.

Mereka turut menuntut kerajaan supaya menutup Kedutaan Israel di Kaherah, menghentikan eksport 40 peratus gas asli ke Israel dan membatalkan perjanjian damai yang dimeterai pada 1979.

Kumpulan penunjuk perasaan itu, turut bertindak berani dengan merentap bendera Israel dan menggantikannya dengan bendera Palestin.

Dalam satu kenyataan, Netanyahu dilihat cuba tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berbaur kritikan.

Perdana Menteri Israel itu hanya berharap pasukan keselamatan Mesir mengenakan kawalan lebih ketat supaya Levanon boleh dihantar semula ke Kaherah dalam masa terdekat.

Ia dilihat bertentangan dengan pendiriannya sebelum ini.

Alasan Netanyahu, dia tidak mahu disebabkan insiden itu, hubungan diplomatik dengan Mesir akan terjejas.

Tetapi, jika dinilai semula, ia lebih menjurus kepada kepentingan 'peribadi' rejim Zionis itu sendiri kerana jika mereka melancarkan serangan balas, sudah pasti Israel akan kehilangan pengimport utama gas asli dan jalinan kerjasama mereka akan terhenti seperti yang diumumkan Turki.

Netanyahu seakan memberi kenyataan 'selamat' dengan menegaskan mereka perlu mengekalkan hubungan strategik bersama Mesir kerana jalinan itu, menjadi tonggak kestabilan utama di Israel.

Adakah konflik secara berturutan sejak awal bulan lalu membuktikan Israel telah hilang taring walaupun mendapat sokongan kuat daripada AS?

Saya sudah sembuh:Chavez

Posted: 10 Sep 2011 05:00 PM PDT

Saya sudah sembuh:Chavez CARACAS - Presiden Venezuela, Hugo Chavez, 56, kelmarin menyatakan dengan yakin bahawa beliau kini semakin sembuh daripada penyakit barah selepas selesai menjalani rawatan terakhir kemoterapi.

"Tidak lama lagi rambut saya akan tumbuh dan lebat seperti dulu," menurutnya dalam nada bergurau semasa menyertai satu upacara bersama masyarakat asli Amerika Utara di kediaman beliau.

Sebelum ini. Chavez menjalani dua kali pembedahan akibat barah usus di sebuah hospital di Cuba, Jun lalu.

Pemimpin anti-Amerika Syarikat itu yang memegang jawatan presiden sejak 1999 turut bercadang untuk bertanding bagi mempertahankan kedudukannya pada tahun depan.

Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved