Isnin, 12 September 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Tiga maut kenderaan dinaiki dihempap pokok

Posted: 11 Sep 2011 05:00 PM PDT

Tiga maut kenderaan dinaiki dihempap pokok PADANG BESAR - Seorang pemandu van dan dua pelajar sekolah Maahad Al-Islamiah (MATRI) Tunjong, Beseri maut selepas kenderaan yang mereka naiki dihempap sebatang pokok di Kilometer 23.5 Jalan Kilang Gula, di sini, kira-kira jam 9. 15 pagi semalam.

Kesemua mangsa adalah, pemandu van yang juga bekas kakitangan kilang gula, Shahidan Ali, 67, dari Balai Baru Beseri, Hazman Bakhtiar Sharizan, 14 dari Kulim Kedah dan Ahmad Izzat Ismail, 17 dari Tanjong Tokong, Pulau Pinang.

Selain mereka, seorang pelajar, Mohd Ahnaf Anissofian, 14, cedera parah dan selebihnya menerima rawatan pesakit luar di Hospital Tuanku Fauziah (HTF).

Ketua Polis Padang Besar, Superintenden Che Man Md Dros berkata, sebelum kejadian, kesemua lapan pelajar bersama pemandu dalam perjalanan ke Kilang Gula Perlis untuk mengadakan lawatan sambil belajar dan kajian tempatan di sana.

Bagaimanapun, setiba di tempat kejadian sebatang pokok di sebelah kiri jalan telah tumbang akibat hujan ribut dan menghempap pada bahagian hadapan van yang mereka naiki.

"Akibat dari itu, tiga dari sembilan yang berada di dalam van itu maut di tempat kejadian. Seorang kritikal dan selebihnya berjaya diselamatkan," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Sementara itu, seorang pelajar yang terselamat, Zulfadhli Rozi, 14 berkata, dia berada di tempat duduk belakang kejadian berlaku berjaya menyelamatkan diri dengan cara keluar dari van melalui tingkap.

Katanya, sejurus berjaya keluar dari van, beberapa rakan berlari untuk meminta bantuan orang ramai termasuk pengawal keselamatan yang bertugas di pondok pengawal kilang gula yang terletak kira-kira 50 meter dari tempat kejadian.

"Saya dan rakan-rakan lain menangis ketika kejadian ini tetapi kami sempat keluar dari tingkap van. Kami cuba membantu mengeluarkan mangsa namun, usaha mengeluarkan mereka gagal dilakukan," katanya yang mengalami kecederaan pada bahagian hidung.

Bapa kepada Hazman Bakhtiar, Shahrizan Zainal Abidin, 42 berkata, dia bersama isteri dan anak perempuan bergegas ke Perlis dari Kulim selepas dimaklumkan guru mengenai kejadian yang menimpa anaknya itu.

Katanya, kali terakhir dia berbual dengan arwah adalah pada malam sebelum kejadian dan ketika itu, Hazman, anak kedua dari lima beradik itu memberitahu ingin pulang dan meminta untuk di jemput pada hari Khamis depan.

"Saya benar-benar sedih dengan kejadian yang berlaku ini namun reda," katanya.

Patah kaki kanan, cedera bahu kiri akibat jatuh bukit

Posted: 11 Sep 2011 05:00 PM PDT

Patah kaki kanan, cedera bahu kiri akibat jatuh bukit KUALA LUMPUR – Aktiviti mendaki yang dirancang bersama oleh lima sekawan pada hujung minggu bertukar menjadi mimpi buruk seorang lelaki yang patah kaki kanan dan cedera di bahu kirinya selepas terjatuh di Bukit Tabur, Taman Melawati semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, R Sundar bersama empat rakannya terdiri daripada dua wanita dan dua lelaki memulakan pendakian mereka.

Mangsa berasal dari Bandar Sunway, Petaling Jaya terjatuh ketika sedang melalui satu cerun untuk menaiki bukit tersebut.

Kejadian yang tidak disangka itu menyebabkan rakan mangsa panik sebelum membuat panggilan kecemasan memaklumkan kepada polis berhubung kejadian itu.

Seorang jurucakap pasukan Bomba dan Penyelamat berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 9.14 pagi dan seramai 11 anggota dari balai Ampang dan Pandan Indah serta 20 anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) bergegas ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamatkan mangsa.

"Mangsa ditemui berada di dalam sebuah cerun sedalam 25 meter dan kami menggunakan pengusung bagi mengeluarkannya.

"Kami mengambil masa kira-kira sejam bagi mengeluarkannya dari hutan itu," katanya.

Bagaimanapun, walaupun mangsa cedera tetapi dia dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan dihantar ke Hospital Ampang untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved