Isnin, 12 September 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Interaksi dengan rakyat ditingkatkan

Posted: 11 Sep 2011 05:00 PM PDT

Interaksi dengan rakyat ditingkatkan LONDON - Interaksi kerajaan dengan rakyat Malaysia di luar negara terus dipertingkatkan, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, hubungan sedia ada akan diperkukuhkan lagi agar rakyat yang belajar atau bekerja di luar negara tidak ketinggalan mendapat maklumat mengenai perkembangan terbaru di tanah air.

Menurutnya, program Forum Merdeka 2011, Karnival Merdeka dan dialog yang diadakan di beberapa lokasi di London sempena lawatan rasmi beliau ke United Kingdom antara program sesuai dilaksanakan setiap tahun.

"Forum Kemerdekaan disertai dua tokoh terkemuka negara sebagai panel memberi peluang kepada penuntut dan masyarakat Malaysia yang ada di United Kingdom untuk lebih memahami mengenai perkara di negara termasuk soal ekonomi dan politik," katanya ketika lawatan rasmi empat hari beliau ke negara ini Britain.

Forum dengan tajuk "Kemerdekaan 54 Tahun, Membina Satu Bangsa, Berkongsi Satu Matlamat" menampilkan dua ahli panel, Pengarah Institut Pengajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Pengajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia, Datuk Dr Mahani Zainal Abidin.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom, Datuk Zakaria Sulong bertindak sebagai moderator forum yang diadakan Jumaat lalu.- Bernama

Pertahan Syed, Sharifah

Posted: 11 Sep 2011 05:00 PM PDT

Pertahan Syed, Sharifah KUANTAN - Persatuan Kebajikan Syed dan Sharifah Malaysia (Asyraaf) menegaskan status keturunan itu, tidak boleh digunakan sesuka hati oleh ibu bapa kepada anak masing-masing, sekiranya mereka bukan daripada salasilah keturunan tersebut.

Perkara itu dibangkitkan perwakilan Asyraaf Terengganu dalam mesyuarat agung Persatuan itu di sini semalam, apabila mendapati ada ibu bapa meletakkan gelaran Syed atau Sharifah pada nama anak, sedangkan bapa kanak-kanak tersebut bukan dari keturunan terbabit.

Pada masa sama, ada juga meletakkan gelaran itu pada anak angkat yang didapati bukan daripada keturunan tersebut.

Presidennya, Profesor Madya Syed Omar Syed Mohamad As-Saggaf berkata, dalam Islam, setiap anak dilahirkan perlu bernasab bapa.

Menurutnya, perkara itu bukan hanya berlaku dalam Islam, sebaliknya agama lain juga mempraktikkan perkara sama bagi menjaga salasilah keturunan masing-masing.

"Perkara ini tidak boleh berlaku kerana bukan sahaja membawa kecelaruan dalam menentukan salasilah keturunan, malah terpesong daripada syariat Islam," katanya ketika ditemui selepas hadir ke mesyuarat agung persatuan itu di Akademi Latihan Felda, Bukit Goh, kelmarin.

Syed Omar berkata, Asyraaf akan menyerahkan memorandum kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) supaya meneliti pendaftaran kelahiran kanak-kanak yang menggunakan status keturunan itu supaya gelaran Syed dan Sharifah hanya dibenarkan kepada mereka yang layak berdasarkan keturunan bapa.

"Ini bukan kesilapan JPN, sebaliknya ketidakfahaman segelintir ibu bapa terhadap perkara tersebut," katanya.

Beliau berkata, Asyraaf akan gunakan saluran betul bagi menyelesaikan kekeliruan itu, termasuk mengadakan perbincangan dengan JPN.

"Jika mereka bersetuju untuk berbincang, kita amat alu-alukan sebelum menyerahkan memorandum bantahan," katanya.

Menurutnya, perkara itu bukan untuk mengagung-agungkan keturunan tersebut, sebaliknya menjaga keturunan seperti disyariatkan Islam.

Kira-kira 200 ahli hadir dari seluruh negara, sebulat suara bersetuju supaya satu langkah diambil untuk mengelakkan perkara itu daripada terus berlaku.

Mengulas berhubung mesyuarat agung kali ke-8 itu, Syed Omar berpuas hati dengan kehadiran perwakilan dan ahlinya.

"Tujuan penubuhan persatuan ini lebih kepada mengumpul dan merapatkan silaturahim dari kalangan keluarga berketurunan Syed dan Sharifah.

"Setakat ini, terdapat kira-kira 1,000 ahli berdaftar di seluruh negara, sama ada melalui Persatuan Asyraaf kebangsaan mahupun cawangan di beberapa negeri," katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan mengerakkan beberapa usaha untuk menambah bilangan ahli, selain memperkenalkan program 'Di mana kita berada di situ ada keluarga'.

"Tujuannya, selain merapat silaturahim, setiap ahli dari kalangan keturunan ini boleh saling membantu antara satu sama lain atas dasar kebajikan bersama.

"Maknanya jika seseorang ahli pergi ke sesuatu tempat, mereka boleh mencari keluarga sama ada untuk berkunjung atau meminta bantuan," katanya.

Menurutnya, semua senarai dan butiran ahli akan dimasukkan ke dalam pangkalan data untuk rujukan semua dan akan dikemas kini dari masa ke semasa.

Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved