Sinar Harian :: Suara Cakna Anda |
Pergeseran pasca pilihan raya Temasek Posted: 10 Sep 2011 05:00 PM PDT Pemerintahan elit kian terancam, PRU-13 mungkin timbulkan kesan pada Umno-BN Walaupun Singapura dari segi geografi, terdekat dengan kita selain dari Thailand, kita jarang membaca berita tentangnya. Thailand, apa lagilah Indonesia, di seberang, mendahului Temasek dalam liputan media kita. Apa pun mutakhir agak banyak sedikit laporan mengenai politik elit pulau itu kerana telah wujud persengketaan dalaman atau 'internal fissure' dalam PAP, parti elit yang telah berkuasa di Temasek semenjak tahun 1959 dan semenjak bulan Mei lalu diburukkan lagi selepas pilihan raya Presiden dua minggu (2 Saturdays ago). Apa yang diramalkan oleh Lee Kuan Yew (LKY) pengasas PAP, Bapa Singapura moden dan Perdana Menteri pertama, apabila dia berundur sesuatu (baca schism atau perpecahan akan melahirkan kelompok/mazhab disebabkan pendapat yang berbeza) sudah dan sedang berlangsung membuka mata rakyat Singapura. Keputusan dua pilihan raya dan schisme dalam PAP mempunyai implikasi siasah penting, berpengaruh dan agak luas. Percanggahan (conflict) bermula kerana keputusan pilihan raya umum yang tidak cemerlang, mengikut standard PAP, menjadi lebih pincang dengan kemenangan tipis calon yang ditaja oleh PAP dan pemerintah, Dr Tony Tan, bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan dalam pilihan raya Presiden melawan Dr Tan Cheng Bock, bekas back-bencher PAP selama 26 tahun, popular kerana berminda bebas disokong pula oleh grassroots dan non-elit dalam parti dan kerajaan mendapat sambutan hebat daripada pengundi. Tony Tan hanya mampu meraih majoriti sebanyak 7,269 undi atau 35.2 peratus. Cheng Bock dapat 34.8 peratus dari jumlah 2.2 juta yang mengundi. Satu tamparan besar kepada pucuk kepimpinan PAP dan pemerintah; satu tumbukan yang memeranjatkan kepada bekas ahli inner-circle parti dan pemerintah. Seolah-olah satu pertandingan proxy telah berlaku antara wakil pemerintah dan wasitah grassroots. Satu iktibar bagi Umno yang menghadapi PRU-13 yang diramal getir itu. Keputusan kedua-dua pilihan raya bukan satu 'fluke' yakni bukan secara kebetulan; ia dijangka sebabnya self-evident. Pengundi muda-mudi, mereka terpelajar – bilangan golongan ini kian bertambah begitu juga di Malaysia – tidak begitu gemar dengan cara, stail pemerintahan elit yang keras dan teknokratik itu walaupun Temasek sudah mencapai taraf Dunia Pertama, bersih, amanah dan cekap. Pemimpin kerajaan Umno-BN harus mengambil perhatian. Kenapa pengundi Singapura seolah-olah memberontak sungguhpun negara mereka sudah sampai ke tahap yang kita masih menunggu dengan penuh harapan ke tahap yang sama sembilan tahun lagi? Nyata mereka tidak selesa di Dunia Pertama tanpa lebih kebebasan bersuara, bertindak. Mereka ingin lebih checks and balance on the PAP government; lebih demokrasi yang liberal; pengundi tua dan konservatif masih bersama dengan pemerintah. Berapa lama lagikah (walau siapa pun tidak mampu meramal) toleransi golongan ini terhadap elitisme setelah lebih empat dekad PAP berkuasa? Keadaan di Singapura makin leper atau pipih. PRU 2008 menunjukkan pengundi kita sudah berubah, dijangka terus beralih kalau tak kena buat! Dana, projek kilat, transformasi, slogan tidak mencukupi. Rakyat mahu melihat bukti mereka dihormati, menikmati kemakmuran, kebebasan, keadilan sosial, amanah dan ketelusan wujud bukan omong kosong atau seperti kata orang Kelantan 'bual saja'! Tidak berapa lama dahulu LKY telah memberi amaran: kemungkinan PAP berkecoh apabila dia bersara atau tiada lagi. Walaupun LKY masih ada (semenjak pilihan raya bulan Mei hanya MP biasa mewakili Tanjung Pagar semenjak 1959 lagi, setelah 41 tahun dalam kabinet, lebih tiga dekad sebagai PM) sudah pun berlaku keselerakan dalam PAP. Baru-baru ini pula LKY bermadah, lebih terus terang daripada biasa, PAP menghadapi bahaya hilang kuasa pada suatu hari. Tegasnya, 'that day will come'. Semasa LKY berada dalam kabinet, PAP kukuh, kalau pun ada tidak puas hati, diselesaikan diam diam. Selalunya yang tidak senang hati berkesudahan lenyap atau 'fade away' terang Speaking. Mereka yang tidak selesa dengan LKY diketepikan atau 'harshly dealt with'. Seperti di Singapura, rakyat Malaysia juga bosan, jemu dengan kebongkakan, kesombongan setengah-setengah pemimpin Umno-BN dan kerajaan. Mereka tidak seperti zaman Tunku Abdul Rahman, Tun Razak dan Dr Mahathir pada hal pemimpin waktu itu mempunyai kelebihan yang banyak tetapi mereka tidak angkuh, mereka tidak takbur, tidak hidung tinggi! Tun Razak jujur mendahulukan rakyat terutama mereka di luar bandar dan pedalaman. Idiom zaman itu bukan mendahulukan rakyat – 'mendekati dan membantu rakyat jelata dengan adil, cepat dan telus'. Tindakannya bukan retoriknya menyebabkan dia disayangi. Tun Razak bukan seorang pemidato; dia seorang pentadbir, pelaksana atau implementor dalam kelasnya tersendiri. Rakyat, terutama Peribumi, memerlukan lebih ramai pemimpin seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Razak dan Dr Mahathir bukan mereka yang hanya pandai menabur janji. PRU-13 akan menjadi 'water-shed' yakni titik perubahan kepada Umno, Pas, DAP dan PKR. Pengundi Singapura telah memberi amaran secara terang pemerintah harus berubah begitu juga pengundi kita memberi ingatan kerajaan kita mesti berubah kalau tidak jangan terkejut kalau sokongan mereka berpindah. Pertumbuhan ekonomi tinggi penting tetapi kepada majoriti rakyat pertumbuhan itu tiada makna kalau mereka terus dipinggirkan dan berkuah air mata manakala elit lokal dan dagang senang lenang bermandi di lautan kebendaan. Rakyat mahu kehormatan dan kemakmuran, materialisme. Juga 'spirituality', kata Speaking yakni ketuhanan, nilai-nilai rohaniah. Parti mana, siapa boleh menjamin pengundi akan menikmati kalau pun tidak semua separuh impian mereka akan menang PRU-13. Legasi atau warisan Umno, seperti PAP, bercampur. Apa pun kalau seorang itu adil dia mesti menerima hakikat kedua-dua parti pemerintahan ini, suka duka, telah membawa kemajuan yang terbaik mungkin, jarang sekali rekod mereka dicapai oleh bekas tanah jajahan British/Amerika Syarikat/Perancis yang lain. Begitu juga pemuja Umno dan juga PAP – jangan cepat terasa – harus menerima barangkali sebab terlampau lama mereka memerintah, suka duka, mereka, tegas Speaking telah, 'lost touch with the ground – kaki mereka tidak lagi berpijak di bumi.' Adalah ironik kejayaan kedua-dua parti lambat laun juga akan merebahkan Umno dan PAP. Proses transformasi, reformasi mesti berlaku. Semua setuju. Apa yang dipersoalkan, kelompok mana yang beruntung dari tindakan ini – yang kaya terus kaya dan miskin terus fakir? |
You are subscribed to email updates from Sinar Harian :: Suara Cakna Anda To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan