Selasa, 28 Jun 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Bukan semua menghayati mandat

Posted: 27 Jun 2011 05:00 PM PDT

Soal-jawab Parlimen mustahak bagi rakyat kerana soalan yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen, baik dari parti pemerintah mahupun dari parti pembangkang, tetap merupakan soalan yang diamanahkan rakyat.

Justeru, jawapan yang diberikan oleh Kerajaan melalui pelbagai kementerian, baik secara lisan mahupun bertulis, perlulah menepati perkara-perkara yang dipersoalkan. Segala ini adalah berpaksikan mandat rakyat atas nama demokrasi berparlimen.

Akan tetapi, malangnya bukan semua Ahli Parlimen yang menghargai bahkan menghayati mandat itu sehingga ruang dan peluang untuk mengemukakan soalan Parlimen disalahgunakan demi kepentingan politik kepartian atau peribadi.

Sering kali wakil rakyat kita kelihatan ghairah melemparkan pelbagai tuduhan atau kata-kata kurang sopan yang tidak semestinya relevan dalam sesi soal-jawab Parlimen. Mereka berbuat demikian semata-mata hendak mengaibkan bahkan menghinakan pihak lawan secara terbuka. Namun gelagat sedemikian juga jelas mendedahkan sifat dan amalan politik seseorang Ahli Parlimen itu serta budaya politik partinya.

Dalam pada itu, jawapan-jawapan bagi soalan Parlimen yang disediakan oleh pelbagai Kementerian juga harus diprihatinkan tentang kualitinya. Sepintas lalu, tidak kurang juga jawapan Parlimen yang tidak menepati soal pokok sama sekali. Ianya sama ada menjawab secara tidak relevan ataupun sekadar mengambil maklum tentang keadaan dan perkara yang dibangkitkan sahaja. Ternyata kaedah seperti ini berupa melepaskan batuk di atas tangga.

Jawapan-jawapan yang dimaksudkan lazimnya diberikan secara bertulis kerana tidak sempat dijawab secara lisan dalam tempoh soal-jawab selama 90 minit setiap hari bersidang. Dalam keadaan sedemikian, soalan yang berkenaan tidaklah dapat disusuli dengan sebarang soalan tambahan. Dalam erti kata lain, biarpun jawapan bertulis itu tidak diberi secara memuaskan, ruang dan peluang untuk mempertikaikannya atau meminta penjelasan lanjut tetap dinafikan sama sekali.

Keadaan sebegini memang membolehkan seseorang menteri atau timbalannya mengelakkan diri dari menjawab soalan-soalan tajam yang mungkin berbangkit. Namun, apakah ianya bermaksud bahawa menteri atau timbalan menteri yang berkenaan berhak bersikap sambil-lewa dalam menangani jawapannya?

Kita sedia maklum bahawa jawapan bagi soalan-soalan Parlimen itu lazimnya disediakan oleh pegawai-pegawai Kementerian. Tetapi tidaklah wajar sekiranya mana-mana pihak menuding jari kepada mereka kerana semua draf jawapan yang disediakan sepatutnya ditapis dan direstui oleh menteri yang berkenaan. Pendek kata, kualiti jawapan itu sedikit sebanyak mencerminkan tahap prestasi dan komitmen sesebuah kementerian itu dalam menangani urusan Parlimen.

Bagi rakyat jelata yang prihatin terhadap soal-jawab Parlimen, adalah wajar sekiranya soal-jawab itu dapat dimuatkan dalam laman web secara terbuka.

Ini bukan saja sejajar dengan prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban, malahan menteri atau timbalan menteri yang menjawab nanti pun akan mengambil sikap berwaspada.

Kadangkala timbul juga dalam kalangan anggota pentadbiran yang lebih cenderung memberi jawapan pendek. Sebenarnya panjang-pendek jawapan bagi soalan Parlimen bukanlah kayu pengukur kualitinya, asalkan ianya tepat dan jelas. Tetapi jika jawapan itu sengaja disingkatkan semata-mata untuk mengelakkan soalan-soalan susulan yang mungkin berbangkit, maka itu bukanlah suatu sikap membina demi kepentingan rakyat.

Bagi anggota pentadbiran yang kurang bersiap-sedia untuk menjawab soalan-soalan tajam atau soalan yang berkehendakkan maklumat perangkaan, permintaan menjawab secara bertulis kini menjadi lumrah.

Cara sedemikian sungguhpun memberikan anggota pentadbiran berkenaan satu jalan keluar mudah ketika 'tersepit' dalam sesi soal-jawab Parlimen, tetapi lazimnya jawapan bertulis yang diberi nanti hanyalah ditujukan kepada Ahli Parlimen yang menyoal sahaja, dan bukannya untuk rujukan semua.

Butiran-butiran perangkaan mungkin payah dibentangkan secara menghafal ketika menjawab, namun sekiranya seseorang anggota pentadbiran itu samar-samar terhadap dasar Kementeriannya sendiri, maka itu adalah kelemahan yang sungguh payah diwajarkan logiknya. Mereka yang bulat-bulat bergantung kepada jawapan yang disediakan oleh pegawai tanpa input sendiri mudah tersepit apabila berdepan dengan soalan-soalan susulan yang dibangkitkan secara mendadak. Keadaan sedemikian tidak dapat tidak, akan cepat dieksploitasi oleh pihak pembangkang atas sebab kompetensi yang meragukan.

Hakikatnya, kewibawaan sesebuah Kerajaan bukanlah sekadar bergantung kepada kecekapan jentera pentadbirannya, tetapi juga bergantung kepada prestasi anggota-anggota pentadbirannya , baik di Parlimen mahupun di luar Dewan.

***Penulis ialah Ahli Parlimen Pandan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

“Kini suara semua boleh didengar...”

Posted: 27 Jun 2011 05:00 PM PDT

Minggu lalu minggu Air Asia. Dari CNBC ke BisnisAwani, dari Star Biz ke Financial Times: tempahan besar untuk pesawat Air Asia di Pameran Udara Paris jadi tajuk utama berita pasaran di seluruh dunia.

Syarikat penerbangan kos rendah terbesar di Asia dari segi jumlah penumpang itu melapor perjanjian yang memecah rekod sejumlah USD 18 bilion untuk membekalkan 200 A320 Neos sepanjang tempoh 15 tahun. Tempahan ini merupakan yang ketiga terbesar dalam sejarah syarikat Eropah itu, di belakang syarikat penerbangan Emirates dan Qatar Airways.

Sudah tentu keseriusan Air Asia sering bertopeng sifat bosnya yang suka berlucu. Perhatikan nombor berikut: pada suku pertama 2011, Air Asia mencatat keuntungan bersih RM171.9 juta dan purata pendapatan bersih tahunan sebanyak 57 peratus sejak 2004. Menurut akhbar Financial Times, syarikat penerbangan kos rendah tersebut telah mengatasi prestasi industri, 129 peratus.

Setakat ini semuanya baik: tetapi bolehkah Air Asia beri kita satu lagi pengajaran? Mampukah syarikat Tony Fernandes yang cekap, profesional dan ada jaringan sosial meluas dan responsif itu memberi pengajaran kepada Malaysia yang semakin luntur, kurang transparen, sangat feudal, berpolarisasi dan tidak bersatu?

Berikut tiga faktor yang boleh kita pelajari daripada Air Asia:

Pertama, Air Asia seperti semua perniagaan lain yang bijak, cepat mempelajari dan menyesuaikan diri kepada persekitaran barunya. Sesungguhnya keupayaan syarikat penerbangan ini untuk memahami dan menghadapi perundangan, budaya dan geografi berbeza merupakan unsur utama kejayaannya.

Walau bagaimanapun, ini bukan sifat yang hanya diperoleh Air Asia kerana orang Malaysia juga memperoleh keupayaan sama untuk menyesuaikan diri dan mencapai kejayaan di mana-mana sahaja di seluruh dunia.

Sebenarnya, kelebihan yang luar biasa ini berpunca dari etos berbilang kaum dan agama kita – kehidupan seharian kita yang kaya dengan kepelbagaian– sesuatu yang patut kita raikan. Faktor kedua merupakan sifat syarikat penerbangan ini yang seratus peratus terbuka dan mampu menerima pelbagai kritikan. Keterbukaan ini membuatkan syarikat ini sangat responsif terhadap pengguna.

Begitu juga dengan Malaysia, dapat meraih manfaat yang besar jika melepaskan media daripada belenggu peraturan. Sesungguhnya, maklum balas dan pemerhatian rakyat dapat meningkatkan kecekapan pentadbiran negara.

Sememangnya sifat santai, Tony telah diterjemahkan kepada gaya pengurusan yang menekankan hasil dan tidak mementingkan hierarki, sesuatu patut dicontohi oleh Malaysia yang obses dengan protokol.

Syarikat ini yang menggaji 4,500 kakitangan di beberapa negara berbeza, ada struktur organisasi yang rata; proses membuat keputusan yang didemokrasikan; tenaga kerjanya yang jujur dan diberi kuasa.

Faktor ketiga, obsesi Air Asia dengan harga dan perbelanjaan. Pelancong yang menaiki penerbangan Air Asia tahu akan kegunaan setiap bayaran dan yang sama adalah benar bagi struktur syarikat ini kerana transparensi dan tanggungjawab meresapi setiap proses.

Kita tahu rakyat Malaysia sedang memerhati dari jauh! perebutan untuk kontrak mengembang MRT Kuala Lumpur. Sebagai rakyat kita mahu sedikit pengetahuan tentang cara duit cukai hasil titik peluh mereka dibelanjakan.

Kesimpulannya, walaupun Air Asia syarikat perniagaan dan model yang hebat, sayangnya ia tidak dicontohi rakyat dan kerajaan Malaysia khususnya.

Kita memerlukan sebuah kerajaan yang responsif dan jujur – menunjukkan ia boleh uruskan kewangannya dengan kukuh kerana seharusnya ia membuat keputusan berdasarkan kos. Selain itu, kita memerlukan kerajaan yang sedia mendengar, kreatif dan inovatif supaya kita dapat berada di hadapan di dunia yang semakin kompetitif ini.

Pada masa sama, kita memerlukan kerajaan yang mengembangkan modal insannya, sama seperti cara Air Asia membentuk pramugara dan pramugarinya jadi juruterbang dan kru daratnya untuk menjadi jurutera.

Err, kesimpulannya... mungkin kita memerlukan Tony untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia dengan moto kebangsaan ''Kini Suara Semua Boleh Didengar''.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved