Khamis, 23 Jun 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Talian sosial adalah portfolio anda

Posted: 22 Jun 2011 05:00 PM PDT

Apabila membaca status rakan-rakan di Facebook dengan kata-kata begini, apakah reaksi anda? Contohnya |Diam| atau |Pergi facial| atau |Bos tidak ada, tikus jadi raja| atau |Malam tadi mimpi…| Demam| dan pelbagai lagi status lain yang membawa konotasi tidak ada apa-apa yang positif di situ.

Malangnya kebanyakan status itu ditulis tatkala berada di pejabat, pada waktu pejabat, ketika hari bekerja! Apa sudah jadi? Bukankah itu penyalahgunaan masa pejabat? Atau adakah itu dilakukan memang dengan sedar?

Itu namanya tidak jujur. Jika menggunakan talian sosial untuk kerja-kerja pejabat tidak mengapa kerana itu adalah salah satu proses komunikasi zaman kini yang digilai ramai. Namun jika untuk hal peribadi, kita harus bertanya lebih jauh, halalkan gaji kita?

Aplikasi yang dibenarkan ketika sedang menjalankan tugas ini sesungguhnya tidak boleh menipu. Masa dan hari dicatat di situ. Siapa menghantar status pun kita tahu secara terang-terangan! Ya, anda tidak mampu mengubahnya…

Secara peribadi saya tidak akan memberi komen kepada status yang begitu kerana menganggap kita akan sama bersubahat dengan si polan, menyalahgunakan waktu pejabat untuk status-status peribadi. Padahal ada banyak lagi status lain yang lebih positif, status ada ilmu dan komentar-komentar lebih mempertajam minda.

Malah kadang-kadang secara sengaja saya tidak akan datang lagi ke wall rakan-rakan yang selalu berstatus begitu sekiranya hampir setiap hari tiada status mencabar minda di situ. Rugi rasanya masa diabaikan di situ, ya bukankah kita berhak hendak berkawan dengan siapa dan mengapa?

Sebaliknya saya hargai mereka yang guna rangkaian sosial untuk bidang pemasaran bagi penjualan produk, pengurusan kerja, hubungan pelanggan dan berkongsi maklumat.

Itulah yang sepatutnya, aplikasi yang membolehkan pengguna untuk berkata, bersosial dan berkongsi fail, memang patut digunakan di seluruh dunia dengan konsistensi yang luar biasa. Internet merupakan satu penemuan yang membawa perubahan besar kepada kehidupan manusia. Kepelbagaian fungsi internet bukan sahaja membawa kemudahan kepada kehidupan manusia malah merupakan alat yang menghubungkan seluruh dunia tanpa sempadan.

Penggunaan aplikasi rangkaian sosial menjadi budaya dan santapan harian dalam kalangan pengguna internet. Antara yang terkenal seluruh dunia seperti Facebook, Twitter, Friendster dan Myspace. Tetapi penggunaan aplikasi ini tanpa kawalan boleh menyebabkan timbulnya masalah-masalah sosial.

Bagaimanapun, kemungkinan besar organisasi-organisasi hari ini menghadapi kebocoran data apabila pekerja yang ada capaian internet membawa risiko semasa menggunakan aplikasi tertentu yang boleh melibatkan perkongsian maklumat rahsia dan sensitif.

Aplikasi `berkata', termasuk webmail dan instant messaging, boleh menggalakkan kerjasama yang lebih aktif, meningkatkan komunikasi supaya lebih efisien dan mempercepatkan waktu ke pasaran. Kerugiannya, aplikasi ini jika tidak dipantau dan menimbulkan risiko perniagaan dan keselamatan.

Laporan Risiko dan Penggunaan Aplikasi (AUR) dari Palo Alto Networks, menunjukkan aplikasi 'berkata'; yang dikesan kerap digunakan dalam perusahaan adalah Gmail (93 peratus), Hotmail (90 peratus), Yahoo Mail (88 peratus) dan Facebook Mail (79 peratus).

Dalam laporan yang merangkumi negara-negara Asia Tenggara – Singapura dan Thailand yang membanci 41 organisasi, Hotmail dijumpai paling umum (83 peratus) dan paling banyak digunakan dengan hampir enam kali ganda dari aplikasi web terdekat berikutnya (224GB vs 36GB) per organisasi.

Dengan jumlah pengguna yang tinggi tidak menghairankan apabila Facebook paling popular. Statistik AUR menunjukkan Facebook menjuarai peratusan aplikasi sosial yang kerap kali dikesan digunakan dalam organisasi dengan 96 peratus, diikuti Twitter (93 peratus), Linked-In (85 peratus) dan MySpace (79 peratus).

Membenarkan penggunaan Facebook secara terbuka di tempat kerja boleh memperlihatkan ketelusan dan kejujuran individu. Ini kerana Facebook anda adalah resume anda! Facebook adalah portfolio anda. Facebook menelanjangi identiti anda… ya tidak hairanlah ramai staf saya yang tidak mengesahkan permintaan saya sebagai `friends list mereka'. Tapi awas kamu…!

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Banyak ‘jin’ mengganas di era siber

Posted: 22 Jun 2011 05:00 PM PDT

Semua orang yang waras pasti berasa sedih dengan kematian Faisal Harun. Bukan sahaja sedih, tetapi juga kesal dan sekali gus marah. Kalaulah ada sedikit kewarasan, remaja 26 tahun itu mungkin dapat diselamatkan.

Doktor mengesahkan anak muda dari Kampung Gong Beris, Marang, Terengganu itu mati akibat lemas, setelah dikatakan dipaksa minum air dalam kuantiti banyak termasuk melalui hos getah yang dimasukkan ke mulut mangsa.

Setakat rencana ditulis polis masih memburu seorang bomoh wanita warga Thai berhubung kes ini yang akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.

Faisal mulanya mengalami gangguan fikiran, tetapi bomoh berusia 43 tahun itu memberitahu mangsa terkena buatan orang. Konon mangsa perlu minum banyak air sehingga muntah untuk mengeluarkan jin yang merasuk dalam badan.

Keluarga mangsa yang ada semasa rawatan dilakukan melihat sendiri bomoh memasukkan salur getah ke mulut mangsa. Paip dibuka dan mangsa meronta-ronta sebab terlalu banyak air masuk ke perut.

Menurut laporan media, oleh sebab tidak tergamak melihat cara mangsa dirawat, anggota keluarga beredar dan menunggu di luar rumah. Beberapa ketika kemudian bomoh memberitahu jin sudah dihalau, tetapi mangsa pengsan. Mangsa dikejarkan ke klinik, dan meninggal dunia.

Bagaimana anggota keluarga boleh membiarkan rawatan bomoh berkenaan yang jelas sekali membahayakan? Fikiran yang waras boleh mengagak apa akan terjadi sekiranya terlalu banyak air dipaksa masuk ke perut, menerusi hos paip pula!

Tragedi menyayat ini bukan kes terpinggir. Sudah sekian banyak menjadi mangsa menerusi rawatan perbomohan. Tetapi sesetengah orang kita masih terlalu percaya pada bomoh. Apa sahaja sakit – termasuk demam panas dan selesema biasa – akan dirujuk kepada bomoh.

Menjadi kebiasaan di mana-mana pun, bomoh akan melakukan jampi serapah. Ada selendang merah atau kuning, keris, asap kemenyan, limau nipis dan sebagainya. Bomoh akhirnya akan mengenal pasti punca masalah: sama ada buatan orang, atau jin masuk dalam tubuh.

Biasa juga ada benda-benda dan pengeras yang diminta. Dalam kes ini, seperti yang diakui oleh keluarga mangsa, bomoh minta disediakan sembilan jenis bahan-bahan pelik berwarna hitam termasuk sembilan ekor ayam kampung, telur ayam, cincau dan anggur serta wang pendahuluan RM200.

Tidak dapat dipastikan, juga tidak pernah ditanya atau dilakukan kajian, apakah jin atau jembalang betul-betul makan ayam kampung, cincau, anggur dan benda-benda lain itu? Apa yang pasti RM200 itu mesti bukan untuk jin, sebab dalam dunia jin tidak ada urus niaga menggunakan RM atau lain-lain mata wang!

Sebenarnya, kita sudah selalu membaca mengenai penipuan sesetengah pengamal perubatan dan rawatan tradisional. Ada wanita yang dikatakan dirasuk jin, dan bomoh menawarkan rawatan khas ke atas pesakit.

Pesakit wanita itu dirawat dalam bilik, dan anggota keluarga tidak dibenarkan berada bersama ketika rawatan atas alasan: "Orang lain tidak boleh masuk bilik sebab jin dalam tubuh pesakit jenis degil..."

Akhirnya baru diketahui apabila berduaan dalam bilik yang samar-samar, bomoh naik semangat, mengusap-usap tubuh wanita dan merogol pesakit berkenaan. Rupanya bomoh itulah 'jin' sebenarnya!

Tidak diketahui di luar sana berapa banyak lagi bomoh yang memperdaya pesakit untuk kepentingan dan keseronokan diri. Banyak laporan mengenai penipuan dan kerakusan bomoh telah dibuat kepada pihak polis. Sesetengahnya telah ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan.

Belum lama dulu seluruh negara heboh dengan keganjilan seorang gadis sunti – di Terengganu juga! – yang kerap menghilangkan diri sebab dibawa oleh makhluk halus. Beberapa bomoh dipanggil dan semua sepakat mengesahkan bahawa gadis tersebut memang ditawan oleh makhluk halus.

Satu ketika gadis tersebut hilang dari rumah selama beberapa hari, dan sempat menghantar SMS kepada keluarga bahawa dia dibawa makhluk halus ke Gunung Jerai.

Bomoh menilik, berjampi serapah, dan mengesahkan gadis tersebut memang berada di Gunung Jerai. Kemudian baru pecah tembelang, gadis tersebut tidak berada di gunung, sebaliknya pergi ke rumah kawan di Negeri Sembilan. Satu Malaysia kena tipu!

Kesimpulannya, boleh percaya bomoh sebagai salah satu usaha rawatan. Tetapi, jangan terlalu percaya hingga menyusahkan diri. Kalau setakat selesema, tidak perlu bawa ayam hitam untuk bomoh. Pergi sahaja jumpa doktor!

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved