Jumaat, 10 Jun 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Kokurikulum selepas maghrib

Posted: 09 Jun 2011 05:00 PM PDT

Menyusuli tulisan saya mengenai payung emas dua minggu lalu, antara lain ialah SMS daripada seorang rakan: "Mat, payung emas, payung emas jugak tapi hang jangan lupa pasai payung kertas wehhh!!!"

Tahu apa maksud 'payung kertas'? Payung kertas adalah payung yang biasanya diguna untuk memayungi jenazah ke kubur. Ertinya kawan itu ingatkan saya supaya sentiasa ingat tentang mati. Ya, itu satu peringatan yang baik, sangat baik!

Satu perkara yang berlaku bagi ahli Kelab 40 seperti yang pernah saya tulis tidak lama dulu, jika dulunya seseorang lelaki itu jarang ke masjid, apabila masuk umur 40, dia berubah jadi orang masjid. Itu sebab ingat payung kertaslah.

Tapi apa yang kita selalu faham, setiap perkara di atas muka dunia ini dijadikan berpasangan. Siang ada malam. Baik ada buruk. Itulah juga yang berlaku melibatkan seorang dua kawan-kawan sebaya saya.

Memang, umur 40 kata sesetengah orang seperti pasangan bertunang. Jika dulu, ketika bercinta sebelum bertunang, setianya kepada pasangan, berani mati tapi apabila sudah ada ikatan, lain pula jadinya.

Pantang baling umpan, ada saja ikan yang memagut. Kalau tak beri umpan, jika lalu di tepi sungai atau kolam, ada saja ikan yang menjerit 'phewiiiittt' minta dipancing. Itulah juga resminya ahli Kelab 40.

Sebab itu, ke masjid bagi orang yang seperti ini ada banyak makna. Memang ya, ke masjid untuk solat jemaah, subuh, tengah hari, petang dan malam. Ada juga tambah kokurikulumnya dengan mengaji kitab. Macam-macam kitab yang dikilik, Hadis 40, Riyadhus Solihin, Matlail Badrin, Bahrulmazi dan macam-macam lagi.

Tapi ada juga yang menambah kitab yang sebenarnya tidak ada dalam senarai muktabar iaitu kitab Tarbiyatul Ulum Fiddunniyawi. Itulah kitab yang ditelaah oleh ramai ahli Kelab 40 sekarang ini.

Cuma cara menelaah kitab ini bukan di dalam masjid walaupun mereka yang terbabit, sememangnya selalu ke masjid. Tapi orang yang sedang belajar kitab ini, tidak boleh duduk lama dalam masjid. Lepas tok imam beri salam, dia cabut keluar, terus masuk kereta.

Kalau selepas solat maghrib, keluar tak keluar dari kereta tunggulah azan isyak nanti. Bagi yang lebih melampau, hanya apabila tok imam angkat takbir solat isyak baru dia keluar dari kereta!

Apa yang dibuat dalam kereta? Tidur? Bukan. Ini lebih bahaya daripada penyakit tidur kerana helah suami seperti ini ke masjid bukan semata-mata untuk solat jemaah atau menadah kitab kerana Allah tetapi ada sebab lain - 'bergayut' dengan buah hati!

Kalau tidak dengan alasan ke masjid, susahlah nak dapat peluang bergayut lama-lama. Dan jika bukan masjid yang dikaitkan, memang mudah isteri curiga.

Jadinya, ke masjid memanglah ke masjid, cuma aktiviti kokurikulum yang berselang waktu itu saja ada unsur-unsur sedikit menyeleweng.

Tidak! Saya tidak kata suami yang seperti ini menipu, cuma ada sedikit helah.

Bagi suami yang jenis jujur dan telus pula, dia akan beritahu juga kepada isteri apa kitab yang ditelaah di masjid tadi - Tarbiyatul Ulum Fiddunniyawi.

Jangan cari kitab ini di mana-mana kedai, tak ada jual hatta di Jalan Masjid India atau di mana-mana pun. Ini kerana Tarbiyatul Ulum Fiddunniyawi dalam bahasa Melayu bermakna 'belajar mengenal ilmu-ilmu dunia'.

Kitaran umur manusia, apabila sampai umur 40, ada yang perasaannya kembali jadi remaja. Meskipun fizikal memang semakin berusia tapi dari segi jiwa, lelaki baru masuk 40 seperti anak muda baru masuk umur 20. Dengan perasaan - yang lebih tepatnya perasan - seperti anak-anak muda yang fitrahnya mahu belajar, lelaki pada peringkat usia ini juga ghairah mahu belajar - belajar mengenal ilmu-ilmu dunia yang dirasakan amat baru dan mengujakan bagi dirinya!

Nota: Kepada wanita bersuami, jangan curigai suami anda kerana lebih ramai yang ikhlas ke masjid kerana Allah. Yang terlibat dengan sindrom 40 ini hanya segelintir. Usah buruk sangka kepada suami anda, berdosa!

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Belia jayakan agenda Melayu, 1Malaysia

Posted: 09 Jun 2011 05:00 PM PDT

Dalam ucapannya di Perhimpunan Sejuta Belia di Putrajaya dua minggu lalu, Perdana Menteri jelas meletakkan harapan tinggi ke atas golongan belia untuk memperkukuhkan modal insan dan terhadap perubahan budaya serta sikap.

Dua faktor ini amat perlu bagi menjayakan Gagasan 1Malaysia dan Wawasan 2020, yakni misi utama bagi mengukuhkan perpaduan nasional, peningkatan kualiti hidup rakyat dan mencapai tahap negara maju 10 tahun akan datang. Yang jelas, misi ini tidak akan berjaya jika modal insan kita lemah dan masyarakat kita, terutama golongan belia, kurang dari segi keupayaan dan keperibadian.

Bilangan belia di Malaysia hari ini ialah 11.6 juta, yakni 43 peratus penduduk negara. Oleh kerana seorang daripada setiap 3 rakyat Malaysia ialah belia, kepentingan mereka sebagai aset negara tidak ternilai. Dalam apa jua kapasiti dan di mana mereka belajar atau bekerja, golongan belia adalah satu 'kuasa' atau 'modal' yang boleh menentukan untung nasib dan survival negara.

Kita mahu pelajar dan belia kita bukan sahaja baik dari segi akademik, bijak dan berinovasi, tetapi juga memiliki martabat diri dan nilai moral yang tinggi. Malaysia tidak boleh lagi dilihat sebagai negara yang memiliki infrastruktur kelas pertama tetapi rakyatnya bermentaliti kelas ketiga. Golongan belia, sebagai pewaris negara, perlu memiliki ilmu dan berkemahiran selain minda yang progresif dan kesedaran budaya yang tinggi. Golongan belia di Malaysia seharusnya substantif, kreatif dan mampu memberi sumbangan besar, bermakna dan kritikal kepada kejayaan beberapa program transformasi negara yang diaspirasikan Datuk Seri Najib Tun Razak. Inilah belia kelas pertama yang ingin kita lahirkan.

Sehubungan ini, kerajaan mengemukakan dasar dan program pembangunan belia yang bersifat inklusif dan dinamik. Antaranya ialah Akta Belia Negara yang memastikan keberkesanan pelaksanaan program pembangunan belia secara lebih bersepadu, selaras dan bersinergi. Yang diharapkan ialah penyertaan lebih ramai belia dalam pelbagai persatuan. Di bawah Rancangan Malaysia Ke-10, bilangan persatuan belia akan ditambah daripada 5,000 ke 11,500.

Satu lagi ialah Parlimen Belia sebagai wadah bagi pemimpin muda antara 20 dan 25 tahun membabitkan diri dengan lebih aktif dalam isu-isu berkaitan golongan muda di peringkat negeri dan nasional. Seiring dengan Parlimen Mahasiswa yang sudah wujud di beberapa universiti tempatan, Parlimen Belia dijangka akan menyerlahkan bakat kepimpinan muda yang berkaliber. Di luar negara, antara pemimpin yang lahir daripada program seperti ini ialah Barack Obama dan David Cameron.

Matlamat akhir dasar dan program seperti ini ialah untuk melahirkan generasi belia yang berkemampuan tinggi dan berdaya saing dalam semua bidang: agama dan pendidikan, perniagaan dan keusahawanan, teknologi maklumat dan komunikasi, pertanian dan profesional. Daripada kalangan belia Bumiputera, kita ingin mereka merebut peluang yang tersedia bagi mencapai matlamat pemilikan 30 peratus ekuiti oleh Bumiputera menjelang 2020 dan turut membantu negara mencapai pertumbuhan ekonomi pada kadar purata 6.5 peratus setahun untuk 2011-2020.

Kita boleh berbangga kerana hari ini, banyak syarikat kerajaan mahupun swasta digerakkan oleh tokoh korporat muda. Semakin ramai belia bekerja sendiri (self-employed) atau menjadi usahawan di bawah pelbagai skim dan program kerajaan dan swasta. Kerajaan juga melantik CEO daripada kalangan tokoh korporat yang muda dan bertenaga untuk memimpin GLC.

Ramai boleh dikatakan berjaya, dan mereka menjadi role model kepada pelajar dan belia lain

. Bagi menjayakan matlamat Agenda Melayu, semangat dan nilai niaga mesti menjadi sebahagian daripada budaya Melayu. Ini penting supaya sejarah pahit bangsa peribumi tidak berulang. Alam Melayu sebelum penjajahan penuh dengan perniagaan yang dilakukan oleh orang Melayu. Tetapi akibat penjajahan, bangsa Peribumi disingkir daripada gelanggang perniagaan dan dijulat ke lembah pertanian cara kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Maka berlakulah keadaan "buai laju laju sampai pokok sena, beli baju baru dari kedai Cina". Sewaktu negara Merdeka, orang Melayu tidak berniaga. British tidak mahu melihat orang Melayu memiliki kuasa ekonomi. Di Fiji, Uganda, Kenya, Tanzania dan Mozambique, beginilah juga cara penjajah. Bahkan di Malaysia, jika tidak kerana Dasar Ekonomi Baru, orang Melayu tidak berpeluang berkecimpung dalam perniagaan. Kerana ini jugalah maka semangat DEB mesti diterapkan dan Wawasan 2020 mesti dilaksanakan.

Saya berharap belia Melayu menginsafi dan benar-benar memahami falsafah Agenda Melayu dan strategi RMK-10 agar dapat mencebur diri secara aktif dan bermakna dalam pembangunan ekonomi negara.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved