Rabu, 8 Jun 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Bukan di sana tempat mu, Abang Mat!

Posted: 07 Jun 2011 05:00 PM PDT

Saya tidak sabar hendak berjumpa Abang Mat (AM) yang, selepas 45 tahun bermastautin di London, akhirnya buat keputusan kembali ke tanah tumpah darahnya.

Dengarnya AM akan balik 'terus bersama anak isteri ke Alor Setar sebelum Ramadan yang jatuh awal Ogos depan. Tentu suasana di kampung meriah dan riuh-rendah dengan kehadiran ramai saudara-mara yang rindu hendak lihat wajah dan dengar cerita orang yang terlalu lama hidup di negara asing.

Mereka tentu hendak tanya AM mana lebih baik; negeri orang yang berhujan emas? Atau negeri sendiri yang berhujan batu?

Saya boleh cerita sedikit sebanyak; yang panjang lebar biar AM cerita sendiri ya! AM, seperti ramai rakan-rakannya masa itu, naik kapal laut ke United Kingdom (UK) awal 60-an ketika masih remaja dan menetap di sana hingga kini.

Ketika bertemu dengannya di kota metropolitan itu pada musim sejuk 1989 (di mana lagi kalau bukan Malaysia Hall yang jual roti canai 'murah' - 1.3p atau RM6 sekeping!), banyaklah cerita mengenai masyarakat Islam/Melayu di United Kingdom.

AM jadi drebar kereta api bawah tanah atau 'tube'. Lepas waktu kerja, beliau sibuk dengan kerja sukarela.

Sebagai pemimpin persatuan yang menjaga kepentingan masyarakat Melayu di UK, tiap-tiap dua tiga minggu beliau hadir mesyuarat. Seolah-olah itu tidak memadai, beliau juga sibukkan diri menyelaraskan kerja setiap kali ada kenduri, kematian, perayaan atau majlis agama. Anak isterinya sama ligat membantu.

Seronok dengar AM bercakap. Walaupun sudah lebih 20 tahun di negara mat saleh ketika itu, pekat loghat Kedahnya tidak berubah.

Oops! Saya janji tadi akan beri peluang AM sendiri cerita pengalamannya apabila balik. Cuma saya ingin cerita sikit sebanyak kepada AM mengenai tanah tumpah darahnya yang beliau telah tinggal sekian lama.

Kedah kini bawah pemerintah lain, tapi rakyatnya mesra dan peramah seperti dahulu juga. Saya cadang AM jelajah seluruh Malaysia. Banyak dah berubah. Cuba ke Gua Musang. Masa anda belayar ke UK dulu, khabarnya hanya ada 600 penduduk di situ. Kononnya pekerja yang tidak digemari ketua akan dihantar ke Gua Musang sebagai hukuman, sebab itu tempat jin bertendang.

Tetapi sekarang di sana tidak ada gua, musang atau jin lagi. Jumlah penduduknya sudah 100 kali ganda. Saya tidak temberang; jalannya - macam banyak jalan lain di seluruh Malaysia - sudah sama cantik dengan jalan di UK.

Di mana sahaja, AM akan kagum dengan kehijauan yang tenteramkan mata dan pemandangan cantik yang menyejukkan hati. Jika pelakon Bollywood nampak tempat-tempat menakjubkan macam itu, pasti mereka sanggup panjat dan salin pakaian 13 kali untuk adegan lari dan nyanyi.

Percaya atau tidak, air sungai yang mengalir di bawah jambatan dari Gua Musang ke Kuala Lipis masih jernih dan bersih.

Kalau bukan kerana ketinggiannya atau takut disangka cuba membunuh diri, sudah pasti saya terjun ke dalamnya. Tapi bukannya semua indah belaka.

Di Machang, umpamanya, kawasan air panasnya di kolam air panas Tok Bok, entah mengapa, tidak diurus dengan baik. Ada tiga kolam, tapi satu sahaja boleh guna. Pihak berkaitan hanya perlu cantikkan sedikit tempat itu untuk menarik pelancong.

Jika setakat seringgit dua tiket masuk, ribuan orang sanggup bayar. Di Perth umpamanya, saya tengok hanya dengan melatih dua tiga ekor ikan lumba-lumba membuat persembahan dalam sebuah kolam, mereka boleh tarik pelancong seluruh dunia.

Di jalan raya, tidak kira harga petrol naik banyak mana, kereta tetap bersesak. Barang naik harga, restoran, gerai dan pasar raya penuh macam biasa.

Di lebuh raya, walaupun ada tanda amaran, segelintir drebar - lori, bas dan kereta - masih pecut ikut suka. Apabila berlaku tragedi, terpaksa tubuh jawatankuasa atau suruhanjaya. Segelintir remaja lebih gemar merempit (orang London kata ramp it!) dan sanggup gantung kaki dalam wad daripada bekerja.

Pilihan Raya Umum ke-13 akan ada entah bila, tetapi 'kempen' sudah lama bermula di seluruh negara. Yang sini tuduh sana, yang sana tuduh sini. Fitnah berterbangan...SMS, video dan ceramah. Letih mengikutinya!

Oh ya saya lupa, harga gula sudah naik 20 sen sekilo, tarif elektrik pun baru naik. Tapi jangan bimbang; Ron95, gas dan diesel tidak naik... setakat ini!

Akhir kalam, ikhlas saya beritahu, AM tidak akan menyesal membuat keputusan kembali ke tanah air anda. Ini negara anda. Di sinilah, bukan di UK, tempat anda sebenarnya.

Biar apa berlaku, biar apa orang kata, biar hujan emas, atau hujan batu, percayalah AM, negara kita tetap indah, tetap aman dan makmur serta lebih baik daripada banyak negara lain. Tahukah anda Malaysia kini berada di tempat ke sembilan dalam senarai negara yang menerima pelancong paling ramai? Selamat kembali!

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada kerja, tiada kerjaya

Posted: 07 Jun 2011 05:00 PM PDT

Baru-baru ini saya bertemu dengan Ewan, seorang petugas kedai farmasi di gedung membeli-belah. Oleh kerana perawakannya yang tertib dan melayani saya dengan baik sebagai pelanggannya, saya tertarik untuk mengetahui latar belakangnya.

Ewan sebenarnya adalah mahasiswa jurusan undang-undang UIA. Beliau bekerja secara sambilan pada cuti semesternya. Menurutnya, sejak zaman persekolahan lagi, dia membuat kerja sambilan pada waktu cuti sekolah dan kampus. Dia pernah bertugas sebagai promoter di kedai kasut, buku, melipat baju di syarikat pakaian dan bekerja di gerai cendawan goreng, pasar tani.

Pada kunjungan saya yang berikutnya, saya dapati Ewan sudah menjaga kaunter bayaran. Ini menandakan Ewan mendapat kepercayaan taukenya. Saya berseloroh dengan mengatakan yang dia pun boleh jadi tauke kedai farmasi pada satu hari nanti. Dengan itu, dia seharusnya menyambung belajar dengan mengambil bidang perniagaan di peringkat sarjana.

Sambil tersenyum gembira, Ewan memberi jawapan yang mengkagetkan saya. Katanya, dia memang bercadang untuk mengambil kursus perniagaan di peringkat sarjana kelak. Lalu dia memberitahu bahawa dia sebenarnya memohon kursus seni bina tetapi ditawarkan jurusan undang-undang. Dia tidak teragak-agak untuk mengikuti kursus itu kerana ingin menimba ilmu. Tetapi, penglibatannya sebagai promoter dalam pelbagai perniagaan pada cuti sekolah dan semester membuatkan dia berasakan rezeki dan kerjayanya ada di bidang perniagaan.

Saya kagum dengan semangat dan pemikiran anak muda ini. Dia tidak mengehadkan dirinya dalam kepompong bidang yang diminati. Sebaliknya dia cuba belajar bidang yang tidak sukai tanpa menoleh ke belakang lagi. Saya doakan Ewan berjaya dalam bidang perniagaan nanti. Pengetahuannya dalam bidang undang-undang akan banyak membantunya dalam perniagaan kelak.

Pada hari ini, mereka yang memohon universiti tidak semestinya dapat belajar di tempat yang diingini, atau jurusan yang diminati. Walaupun ada yang dapat menerima kenyataan itu, tetapi ramai juga yang hilang minat untuk belajar di jurusan yang bukan menjadi pilihan.

Sikap meletakkan hanya satu cita-cita hingga tidak boleh langsung meneroka bidang yang bukan selari dengan cita-cita akan menjadikan seseorang itu jumud pemikiran. Sikap ini akan melarat hingga tamat belajar. Kini ramai siswazah menganggur bukan tiadanya pekerjaan tetapi kerana memilih kerja.

Saya pernah meninjau ke sebuah program Azam Kerja 1Malaysia di pinggir kota baru-baru ini. Tapak pameran itu terletak di tengah-tengah kawasan tidak kurang sepuluh rumah pangsa yang padat. Terdapat tidak kurang 50 agensi kerajaan dan swasta yang mengadakan program mengambil pekerja dengan kelulusan minima diploma. Malangnya, saya dapati tidak ramai siswazah menganggur yang berkunjung untuk mencari kerja.

Sayang. Kini kerja mencari calon, tetapi calon masih tercangak-cangak hendak memilih kerja yang sesuai. Seharusnya, mereka yang mencari kerja tidak boleh memilih. Sebaliknya, kerja yang diperoleh itu harus dijadikan tempat mengumpul pengalaman sebelum menyusur kembali ke kerjaya yang dihajati apabila ruang dan peluang terbuka nanti.

Yang lulus bidang seni bina tidak semestinya menjadi arkitek. Yang lulus di bidang bioteknologi tidak semestinya menjadi seorang bioteknologis. Mereka yang mempunyai fikiran statik akan lambat berjaya. Dalam pada itu, ada ramai sekali mereka yang belajar di satu-satu jurusan boleh sukses di jurusan yang sama sekali berbeza daripada bidang yang dipelajari. Ahli perniagaan berjaya seperti Syed Mokhtar Albukhary hanya berkelulusan SPM. Tokoh korporat Tony Fernandez, tauke Air Asia pula berkelulusan ekonomi dan Tun Dr Mahathir pula adalah seorang ahli politik yang berjaya sedangkan beliau adalah seorang doktor perubatan.

Apabila tiada kerja, bagaimana kita akan ada kerjaya? Jika kita terlalu memilih, renungkan juga ayat 216, Surah al-Baqarah. '… Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.'

Layari http://www.maafcakap.blogspot.com untuk membaca artikel-artikel sebelum ini.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved