Jumaat, 16 September 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Bekas pengetua terpaksa ‘mengemis’

Posted: 15 Sep 2011 05:00 PM PDT

Dalam perjalanan (lokasi terpaksa dirahsiakan), rakan saya, Atan berhenti di tepi jalan untuk bertanya arah kepada seorang wanita warga emas.

Selepas itu, Atan pun minta diri dan mengucapkan terima kasih kepada makcik itu. Belum pun sempat dia berpusing, wanita itu tiba-tiba memanggilnya: "Anak, boleh bagi makcik seringgit?"

"Makcik nak buat apa dengan seringgit?"

"Makcik nak beli makan, nak...," balas makcik itu dengan nada sayu.

Menurut Atan, niat dia bertanya bukan kerana tidak mahu beri wang yang diminta tetapi dia terkejut dan hairan kerana makcik itu kelihatan kemas, bukan seperti pengemis atau orang kurang siuman. Lagi pula, yang diminta seringgit sahaja.

"Makcik kata nak makan, dengan seringgit, apa yang makcik boleh beli? Nasi sebungkus pun tak lepas."

"Kad bank makcik, anak makcik yang pegang. Itu pasal makcik terpaksa minta daripada anak. Nak minta lebih, takut jadi masalah pada anak. Nanti nak bagi cukup, makcik minta pada orang lain pulak."

Wanita itu kemudian bertanya kepada Atan dari mana dia datang, di mana dia bersekolah dan beberapa soalan lain.

Apa yang mengejutkan Atan, apabila dia beritahu nama sekolahnya, wanita itu terus menyebut nama pengetua sekolahnya dengan tepat. Kerana itu, Atan tambah lagi RM5 kepada makcik itu.

"Makcik tak payah minta daripada orang lain lagi hari ini," kata Atan.

Wanita itu berpesan, "lain kali, kalau anak datang sini, singgahlah rumah makcik, kita makan-makan."

Mendengar itu, Atan berkata: "Makcik nak makan pun minta duit dengan saya, sekarang makcik kata nak buat makan-makan pulak."

Atan mengakui dia tiada niat menghina wanita itu namun berasa curiga, malah terlintas juga sama ada wanita itu manusia atau apa.

"Rumah makcik di mana?"

Si makcik lalu menunjukkan sebuah rumah batu agak besar tetapi usang tidak jauh dari situ. Meremang bulu roma Atan melihat keadaan rumah itu, yang katanya, lalang di sekeliling pun separas pinggang.

Atan kemudian beredar dengan seribu satu persoalan.

Tiba di rumah saudara yang ditujuinya, dia menceritakan hal itu kepada mereka. Mereka merancang mahu pergi semula ke tempat itu untuk mempastikan siapa dia yang sebenarnya.

"Esok paginya, kami pergi ke tempat itu. Aku rasa lega sikit apabila tengok bus stop tempat aku jumpa makcik itu masih ada, rumah yang dia tunjuk pun ada," kata Atan ketika kami bersembang malam raya lalu.

Untuk mendapatkan kepastian, Atan bersama saudaranya singgah di sebuah kedai kopi berhampiran dan bertanya kepada tuan punya kedai itu mengenai wanita berkenaan. Pekedai itu mengakui, wanita yang ditemui Atan memang wujud (bukan jelmaan) dan dia juga mengesahkan bahawa si makcik itu dulunya pengetua sekolah sebagaimana yang dia beritahu Atan.

"Sebagai pesara pengetua sekolah, dia tentu ada wang pencen yang lebih daripada cukup untuk dia tanggung hidup, mengapa pulak dia minta duit daripada orang untuk beli makan?" tanya Atan.

"Sebenarnya macam ni, makcik itu dan suaminya (suaminya sudah meninggal) tak ada anak. Mereka bela anak angkat, lelaki yang sekarang sudah pun dewasa. Malangnya, anak angkat makcik itu penagih dadah. Dia yang pegang semua kad bank (wang) orang tua itu sampai nak beli makan pun tak ada duit," katanya.

Kesiannya. Saya yang mendengar cerita Atan pun rasa sangat tersentuh. Malang sungguh nasib makcik itu.

Saya dapat rasakan dia mungkin sengaja tidak bertindak tegas untuk melepaskan dirinya daripada masalah itu seperti buat laporan polis atau sebagainya, kerana tersepit dengan rasa kasih terhadap si anak angkat yang telah menzalimi dirinya sendiri.

Semoga kisah sedih makcik itu, ada penghujungnya sebelum dia menutup mata. Berdoalah sentiasa supaya kita dan anak-anak kita tahu mengenang jasa.

Mat Sabu berguru dengan Hishamuddin?

Posted: 15 Sep 2011 05:00 PM PDT

Apa yang Mat Sabu merapu dalam ceramah di Tasik Gelugor, Pulau Pinang kira-kira tiga minggu lalu, kita semua sudah maklum. Kesannya beliau dikritik semua pihak, kecuali beberapa pemimpin Pas yang terpaksa mempertahankan Timbalan Presiden mereka.

Menarik ialah ucapan beliau menghina pemimpin negara dan anggota keselamatan yang memperjuangkan kemerdekaan dibuat pada 21 Ogos, iaitu 12 hari selepas tersiarnya rencana bertajuk '31 Ogos Hari Malapetaka' tulisan penyokong PKR dan bekas pelarian Hishamuddin Rais dalam Suara Keadilan (9 Ogos 2011).

Antara lain, rencana ini menyebut: "Di Tanah Melayu kuasa kolonial British telah memilih Umno untuk jadi barua mereka...Parti Komunis Malaya adalah parti yang menentang British...Pada bulan Ogos (akan) penuh dengan kisah melawan komunis...Kita akan muntah tahi setiap tahun apabila melihat 'Bukit Kepong' di kaca TV. Memang betul ada serangan ke rumah pasong Bukit Kepong. Memang betul polis yang diserang ketika itu adalah polis Melayu.

Tetapi polis Melayu ini upahan British. Kerana mereka Melayu tidak semestinya apa yang mereka lakukan baik dan betul. Melayu bukan bermakna betul. Ada Melayu barua dan ada Melayu nasionalis.

"Anak muda hari ini juga wajib diberitahu bahawa serangan Bukit Kepong itu dipimpin oleh Mat Indera. Mat Indera adalah seorang nasionalis kiri Melayu. Ini tidak terdapat dalam filem 'Bukit Kepong' kerana Umno tidak mahu rakyat Malaysia tahu bahawa ada Melayu yang berani angkat senjata melawan British."

Nampaknya ada persamaan jelas antara apa yang ditulis ini dengan kandungan ceramah Mat Sabu. Untuk mempertahankan dirinya, Mat Sabu mengemukakan buku Pengukir Nama Johor, yang dicetak pada 2004. Ini mengungkit persoalan: Sejak bila Mat Sabu merujuk buku sejarah, apatah lagi terbitan Yayasan Warisan Johor, untuk bahan ceramahnya?

Padahal, dalam kalangan kepimpinan Pas, Mat Sabu tidak dilihat sebagai seorang intelek atau orang banyak membaca. Beliau diterima sebagai penceramah yang suka buat lawak, bagaikan seorang penglipur lara. Justeru, ada kemungkinan bahan yang dirujuk oleh Mat Sabu dalam ceramahnya pada 21 Ogos lalu bukan daripada mana-mana buku sejarah, tapi daripada tulisan Hishamuddin.

Dalam rencana itu, Hishamuddin menghina pemimpin negara seperti Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman Putra dengan panggilan 'barua yang setia', 'budak suruhan' dan 'kuda British'.

Mengenai Hari Merdeka, beliau menulis: "Semenjak 31 Ogos 1957, anak semua bangsa di Tanah Melayu telah hidup dalam kesengsaraan. Dasar 'ketuanan Melayu' telah membawa malapetaka kepada Tanah Melayu. Justeru, 31 Ogos adalah hari untuk memperingati kesampaian malapetaka itu."

Mungkin juga kerana dendam tebal hati yang hitam. Ramai tahu sejarah Hishamuddin. Tidak mahu bertanggungjawab atas kekecohan ditimbulkannya sebagai pemimpin pelajar pada 1970an, beliau lari meninggalkan negara. Ramai pemimpin pelajar lain ditahan polis anggapnya seorang pengecut.

Berpuluhan tahun beliau di luar negara, menghabiskan masa muda di Sepanyol, Portugal, UK, Jepun, Australia dan India. Beliau akhirnya dapat pulang ke tanah air atas ehsan kerajaan Malaysia. Namun hari ini, beliau bertindak menghina pemimpin negara, memperlekeh bangsa Melayu dan mengutuk kemerdekaan negara sendiri. Bagaikan 'melepas anjing tersepit', kata pepatah Melayu.

Pada saya, orang yang tidak tahu bersyukur seperti inilah yang dikategorikan sebagai 'malapetaka'. Mereka lupa amaran Allah SWT yang bermaksud: "Jika kamu bersyukur Aku akan memberi tambahan kepadamu; tetapi jika kamu tidak bersyukur sungguh azab-Ku dasyat sekali." (Surah Ibrahim: 7)

Hari ini semua rakyat negara ini meraikan Hari Malaysia. Tetapi bagi Hishamuddin dan Mat Sabu mungkin tidak berasa apa-apa. Mungkin juga ada sebab mereka mahu lupakan tarikh ini.

Ramai masih ingat 16 September sebagai tarikh Ketua Pembangkang cuba ambil alih negara melalui 'pintu belakang' setelah kalah dalam pilihan raya umum 2008 secara demokratik. Bagi majoriti rakyat negara kita, inilah sebenarnya Hari Malapetaka dalam sejarah Malaysia, bukan 31 Ogos.

Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved