Sinar Harian :: Suara Cakna Anda |
Kaji penempatan semula perkampungan orang asli Posted: 07 Aug 2011 05:00 PM PDT Kaji penempatan semula perkampungan orang asli CAMERON HIGHLANDS - Kerajaan negeri Pahang diminta mengkaji tentang penempatan semula perkampungan Orang Asli Sungai Ruil, di sini yang mengalami kejadian tanah runtuh semalam. Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, perkara tersebut sememangnya perlu dikaji kerana sudah lama penduduk perkampungan orang Asli tersebut menetap di kawasan itu. "Saya harap dalam jangka panjang, kerajaan negeri dapat mengkaji tentang penempatan semula khususnya di Kampung Sungai Ruil ini, sudah lama mereka berada di kawasan itu," titah baginda ketika melawat pusat pemindahan mangsa tanah runtuh perkampungan Sungai Ruil di sini di pusat Pemindahan Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Brinchang di sini. Baginda juga bertitah supaya enam rumah Orang Asli yang musnah dalam kejadian itu, dibina semula bagi membantu mereka meneruskan kehidupan. Tengku Abdullah seterusnya meminta Kementerian Kesihatan membuat pemeriksaan terhadap anak-anak Orang Asli yang ditempatkan di dewan itu selain memastikan kebersihan di kawasan tersebut sentiasa terpelihara. Baginda bertitah, kerajaan negeri Pahang akan memberi bantuan RM5,000 kepada waris setiap mangsa yang meninggal dunia dan RM1,000 kepada yang cedera dalam kejadian tanah runtuh tersebut. Sementara itu Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata beliau akan mengarahkan Jabatan Kesihatan negeri Pahang memastikan kebersihan makanan dan tempat tinggal penduduk kampung Sungai Ruil yang ditempatkan di dewan tersebut sentiasa terjaga, selaras dengan titah baginda. "Saya juga akan meminta mereka membuat pemeriksaan kesihatan terhadap penduduk yang dipindahkan di kawasan tersebut iaitu sebanyak 590 orang," katanya. - Bernama |
Berita baik kepada bekas anggota tentera Posted: 07 Aug 2011 05:00 PM PDT Berita baik kepada bekas anggota tentera KOTA BHARU-Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) meminta supaya kerajaan mempercepatkan kelulusan terhadap bekas anggota tentera untuk mengerjakan haji. Presiden PBTM, Datuk Muhammad Abdul Ghani, berkata, kelulusan berkenaan adalah diperlukan setelah kerajaan membenarkan bekas anggota tentera dan juga isteri ke tanah suci Mekah tanpa perlu mengikut senarai tertentu. Menurutnya, sebelum ini kementerian terlibat bersetuju untuk memberi keistimewaan kepada kumpulan tersebut sebagai mengenangkan jasa perjuangan. "Kerajaan memaklumkan kepada saya berkenaan persetujuan berkenaan tetapi sekarang ini persatuan meminta jasa baik kementerian berkaitan untuk mempercepatkannya. "Sebelum ini bekas anggota tidak berpeluang untuk menunaikan ibadat haji memandangkan tugasan dan sekarang ini semua keperluan mereka mencukupi," katanya di sini semalam. Muhammad berkata, kira-kira 464 bekas tentera seluruh negara yang membuat permohonan berkenaan dan kini menunggu surat panggilan. "Saya yakin dengan kerjasama dengan kementerian terlibat, semua bekas anggota ini dapat mengerjakan ibadah haji mulai tahun ini," katanya. Terdahulu beliau melawat keluarga bekas anggotanya, Tuan Muhamad Tuan Yaakob, 65, yang sakit sejak tiga bulan lalu dan kini tinggal bersama isteri serta seorang anak di Kampung Bukit Cina. Tuan Muhammad yang terlantar selepas mengidap ketumbuhan hati itu gembira dengan lawatan tersebut dan ia dianggap sebagai penghormatan terhadap dirinya sebagai bekas anggota tentera. |
You are subscribed to email updates from Sinar Harian :: Suara Cakna Anda To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan