Rabu, 29 Jun 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

SILENT MAJORITY vs VOCAL MINORITY

Posted: 27 Jun 2011 05:00 PM PDT

Silent majority ~ majoriti senyap; vocal minority ~ minoriti vokal. Kedua-dua golongan ini wujud dalam masyarakat. Majoriti senyap adalah anggota masyarakat di dalam sesebuah negara mahupun kelompok yang tidak menzahirkan pendapat mereka secara terbuka. Mereka lebih suka berdiam diri.

Frasa majoriti senyap mula digunakan pada abad ke-19. Ketika itu frasa majoriti senyap membawa maksud yang berbeza daripada sekarang. Pada ketika itu, majoriti senyap membawa maksud mereka yang telah meninggal dunia. Pada tahun 60an, frasa ini menjadi popular apabila Richard M. Nixon, Presiden Amerika yang ke-37, memuji rakyat Amerika yang tidak berdemonstrasi menentang peperangan Vietnam sebagai 'the great silent majority.'

Berbeza dengan majoriti senyap, kumpulan minoriti vokal pula lebih kecil. Sebagai kumpulan yang kecil, mereka lebih jelekit dan menonjolkan identiti yang tersendiri melalui jargon pertuturan dan paling menyerlah ialah penampilan fizikal melalui cara berpakaian. Kerana mereka kecil, mereka lebih sepakat dan lebih berbangga dengan kumpulan mereka.

Kumpulan-kumpulan minoriti bangsa seperti puak zionis di dalam bangsa Yahudi, kumpulan Ikhwanul Muslimin dalam agama Islam, kumpulan gay, lesbian, punk, malah kumpulan mat rempit dalam sesebuah masyarakat umum, atau kumpulan peminat-peminat sesuatu pasukan bolasepak seperti Manchester United adalah kumpulan minoriti. Parti-parti politik sama ada Umno, Pas, Dap dan lain-lain sebenarnya adalah kumpulan minoriti jika dijumlahkan ahli-ahlinya berbanding dengan jumlah penduduk Malaysia. Sebagai kumpulan minoriti, mereka mudah berasa terancam kehilangan pengaruh. Untuk menunjuk kuat, mereka menjadi vokal. Akhirnya mereka menjadi minoriti vokal yang menarik perhatian majoriti senyap hingga mempengaruhi kumpulan itu untuk mendengar lalu menghormati aspirasi mereka.

Pengaruh media elektronik dan percetakan banyak digunakan oleh kumpulan minoriti hingga kumpulan ini dilihat sebagai kumpulan gergasi, hebat dan berpengaruh. Ini menjadikan kumpulan majoriti senyap berasa kecil dan akhirnya akan akur kehendak kumpulan ini. Kalau apa yang diperjuangkan oleh minoriti vokal itu baik, ia amat menguntungkan keseluruhan masyarakat. Jika sebaliknya, seluruh masyarakat akan runtuh kerana dimanipulasi oleh sesebuah kumpulan minoriti.

Kumpulan majoriti senyap memang besar tetapi lemah. Mereka lemah kerana tidak sepakat dan sependirian. Kalaupun mereka punyai pandangan yang sama, oleh kerana mereka lebih suka berdiam diri, mereka mudah dipermainkan oleh kumpulan minoriti vokal. Tambahan pula, sikap suka tunggu dan lihat kumpulan majoriti senyap ini menjadikan mereka pasif dalam menghadapi apa jua ancaman meskipun mengetahui akan kesannya terhadap masa depan mereka sendiri.

Jika berdepan dengan senario di mana berlaku pertembungan mana-mana kumpulan minoriti vokal, kumpulan majoriti senyap lebih cenderung untuk menyokong mana-mana kumpulan minoriti yang lebih kuat. Ini adalah kerana mereka mahukan suasana yang stabil, kukuh dan selamat.

Menyokong minoriti yang lebih kuat itu bererti mereka boleh berehat daripada memikirkan apa yang diperjuangkan. Sama ada perjuangan sesuatu kumpulan minoriti itu betul ataupun salah, mereka tidak peduli. Yang penting, mereka memihak kepada kumpulan minoriti yang kuat supaya kumpulan itu menang dan mereka boleh bual hal-hal sendiri kembali serta menikmati kehidupan di dunia ini. Mereka tidak sukakan risiko.

Namun, sikap majoriti senyap inilah selalunya mengakibatkan mereka menjadi mangsa. Sebaliknya kumpulan minoriti vokal, yang kerap mendakwa kumpulan mereka tertekan, sebenarnya kumpulan yang lebih menguasai majoriti senyap. Justeru itu, jangan hairan kalau kita lihat di mana-mana tempat dan sektor aktiviti kehidupan di dunia ini, kumpulan minoriti lebih mempengaruhi kumpulan majoriti.

Bagaimana pun, apakah menjadi minoriti yang vokal itu bagus? Apakah tidak, pandangan, perjuangan dan aspirasi sesebuah kumpulan minoriti itu menyusahkan kelompok majoriti? Pendek kata, apakah kelompok yang banyak perlu mengikut kelompok yang sedikit? Bukankah daripada segi logik akal, kumpulan kecil lebih mudah memasuki kumpulan yang besar, dan bukan sebaliknya?

Tetapi, realiti memungkinkan yang kecil menguasai yang besar dan bukan sebaliknya. Itulah yang selalunya terjadi. Namun, majoriti senyap tidak selamanya akan menyepi. Apabila mereka berasa penat melayani kerenah minoriti vokal, majoriti senyap menjadi vokal. Ketika itu, apa-apa pun boleh terjadi.

Pergolakan di Timur Tengah adalah contoh pergolakan yang paling terkini, apa yang terjadi apabila majoriti senyap menjadi majoriti vokal!

Layari http://www.maafcakap.blogspot.com untuk membaca artikel-artikel sebelum ini.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Mesej kekeluargaan dari West End

Posted: 27 Jun 2011 05:00 PM PDT

"Tak mahu pergi lah." Jawab saya kepada pelawaan adik yang menawarkan tiket gratis untuk menonton teater muzikal, The Sound of Music (SOM), di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre. Bukan menolak rezeki, tetapi persembahan teater di dewan nan satu itu, untuk orang seperti saya yang hanya mampu membeli tiket paling murah, alamatnya wahana teater jadi hambar.

Kali terakhir saya mengunjungi dewan itu Mei tahun lepas, tatkala menonton teater muzikal Amerika: West Side Story. Berbekal tiket paling murah, mesej persembahan kurang sampai di hati, yang ada hanya bunyi-bunyi di telinga. Untuk mencari ekspresi wajah aktor, meneliti penggunaan pentas dan susunan transisi babak ke babak, saya terpaksa menjadi angsa – memanjangkan leher untuk mencari pentas, nun jauh di bawah. Kaki pula kebas dihimpit penghadang kayu di hadapan. Terkilan sungguh rasa hati. Namun bak kata orang putih, pengemis tidak boleh memilih.

"Tiket mahal ni, Kak Long. Penaja kasi bos, tapi bos tak sempat nak pergi. Nak ke tak nak? Tak nak adik jual." Agak tersentap nada si bongsu apabila saya menolak rezeki. Tiket paling mahal? Boleh nampak seluruh pentas dari dekat? Masuk melalui pintu 1 atau 2? Tak sakit kaki? Saya suka. Baiklah saya mengaku: lebih dari suka sebenarnya, amat teruja sekali! Cepat-cepat saya bersetuju untuk dihambat mimpi-mimpi seni muzik yang bakal didendangkan oleh ahli keluarga Kapten von Trapp.

Karya ulung hasil kombinasi dua anak seni Eropah – Richard Rodgers dan Oscar Hammerstein II – ini telah menjadi antara persembahan muzikal paling laris di West End, London. Berusia 52 tahun, SOM kali ini mengembara jauh ke metropolis Kuala Lumpur, selama enam hari untuk menyampaikan persembahan muzikal berorientasikan nilai kekeluargaan yang kukuh, juga peranan muzik sebagai santapan rohani kemanusiaan.

Tirai persembahan dibuka di Nomberg Abbey, Austria sekitar tahun 1938, di mana watak utama yang sedang duduk santai di atas dahan pokok, Maria Rainer, sedang mendendangkan lagu terbaik dari muzikal ini: The Sound of Music. Dalam harmoni vokal tahap hampir sempurna, lagu-lagu lain seperti, My Favorite Thing, I have Confidence, Do Re Mi, Edelweiss, Maria dan How Can Love Survive, telah disampaikan dengan penuh yakin oleh seantero pelakon berbakat SOM.

Maria, mendokong watak sebagai seorang postulant dalam SOM, telah dihantar untuk menjadi pengasuh sementara kepada enam orang anak Kapten Georg von Trapp, seorang pesara tentera laut Austria. Sejak kematian isterinya, Kapten von Trapp mendidik anak-anaknya menggunakan sistem ala ketenteraan tanpa memikirkan kesan psikologi sistem tersebut terhadap anak-anak beliau yang masih kecil.

Ketawa, muzik dan masa intim bersama keluarga telah lama hilang dalam hidup anak-anak yang dirudum kesedihan sejak kematian ibu mereka. Kehadiran Maria yang persuasif, riang dan tidak seperti pengasuh konvensional yang lain, telah menghembus nafas baru dalam kehidupan anak-anak Kapten von Trapp melalui muzik.

Apabila Kapten von Trapp pulang dari Vienna bersama tunang baru, Elsa Schraeder, dan seorang kawan, Max Detweiler, beliau amat marah kerana Maria telah menggubal cara baru menggantikan undang-undang ketenteraan berwisel yang telah lama dipraktikkan. Tetapi apabila mendengar anak-anaknya menyanyi, Maria telah berjaya menyedarkan Kapten von Trapp bahawa beliau perlu belajar untuk lebih mengenali dan menyayangi anak-anaknya. Maria yang tidak dapat menerima hakikat beliau sudah jatuh cinta dengan Kapten von Trapp, telah pulang semula di Nomberg Abbey. Tetapi Mother Abess menasihati Maria bahawa masalah perlu dihadapi. Titik penyelesaian tidak akan dapat dicari hanya dengan melarikan diri.

Cerita ini disimpul dengan tindakan Elsa memutuskan tali pertunangan, kerana tidak sanggup menggadai hidup mewah sekiranya menjadi isteri kepada Kapten von Trapp, yang tidak teragak-agak untuk menentang penjajahan nazi terhadap Austria. Akhirnya, ahli keluarga von Trapp bersembunyi di Nomberg Abbey sebelum merentas gunung untuk meninggalkan Austria buat selama-lamanya. Tetapi mereka, hingga ke akhir cerita, tetap bersama dalam sebuah keluarga.

Tiada apa yang hebat tentang set pentas SOM, kekuatan muzikal ini bergantung utuh kepada lakonan yang mantap dan garapan lagu-lagu popular. Namun, fikir saya, bukan sekadar gabungan muzik dan lakonan semata yang mendorong peminat teater dunia untuk menyaksikan persembahan ini di West End. Cerita yang berkisar atas plot utama tentang nilai kekeluargaan, dan subplot perihal kesetiaan dalam cinta semasa perang dunia kedua, telah meminjamkan harapan untuk kita yang hidup dalam zaman serba sinis ini. Kadang-kadang kita lupa nilai-nilai asas yang membentuk insani.

• Elviza juga seorang peguam yang mencintai kalam, kertas dan pentas teater.

Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved