Isnin, 20 Jun 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Mari pesta demokrasi!

Posted: 19 Jun 2011 05:00 PM PDT

Ketika saya menulis rencana ini, Pergerakan Pemuda UMNO telah mengumumkan bahawa mereka bercadang untuk membuat perarakan pada 9 Julai 2011 untuk 'memperkukuhkan system demokrasi'.

Sebelum ini, Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) telah menyatakan hasrat mereka untuk membuat perarakan di ibu kota pada tarikh yang sama.

Tidak ketinggalan juga Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang ingin membuat perhimpunan yang hanya boleh dikatakan sebagai 'anti Bersih' juga pada tarikh yang sama. Maknanya, akan berlangsung pesta demokrasi yang tidak pernah disaksikan sebelum ini! Sebelum apa-apa, saya ingin menyatakan bahawa saya tidak akan menyertai mana-mana perarakan pada hari tersebut. Ini hak saya sebagai seorang rakyat Malaysia. Pada masa yang sama, saya juga menghormati dan mendukung hak mereka yang ingin berarak untuk berhimpun dengan aman, selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa semua rakyat Malaysia mempunyai hak untuk berhimpun dengan aman dan tanpa senjata. Ini selaras dengan Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) yang memperuntukkan bahawa setiap orang mempunyai hak untuk berhimpun dengan aman dan untuk berpersatuan. Hak untuk berhimpun dengan aman adalah hak asasi yang dijamin Perlembagaan dan juga merupakan suatu kebebasan politik dan sivil.

Bersih 2.0, Pemuda UMNO mahupun Perkasa, mereka semua punya hak yang sama rata untuk berhimpun dengan aman. Perlembagaan Persekutuan tidak membezakan di antara tujuan atau merit mana-mana perhimpunan awam. Seseorang itu mempunyai hak untuk berhimpun sama ada ia untuk mendesak pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), menyeru kebebasan badan kehakiman, mendukung apa yang sering dikatakan sebagai 'hak Melayu' ataupun untuk membantah ketidakteraturan yang kononnya berlaku di dalam pemilihan dalaman sebuah parti politik.

Oleh itu, saya tidak menghiraukan tujuan mereka berarak, hanya kepada hak yang mereka ada untuk berhimpun. Yang pentingnya hak, bukan tujuan atau matlamat.

Benar, hak berhimpun ini bukanlah mutlak. Hak ini wujud selagi perhimpunan itu aman. Perkara 10(2)(b) Perlembagaan Persekutuan juga memperuntukkan bahawa Parlimen boleh mengenakan "apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau suai manfaat demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya atau ketenteraman awam".

Ini bermaksud Parlimen boleh menggubal undang-undang yang menyekat hak berhimpun bagi kepentingan keselamatan negara atau ketenteraman awam. Sekatan terhadap hak ini di atas apa-apa tujuan lain adalah tidak berperlembagaan.

Di sini, pihak polis harus memainkan peranan mereka. Pendekatan mereka terhadap pesta demokrasi ini harus berbeza dengan cara mereka sebelum ini. Tidak perlu membazir masa dan wang untuk menghalang perhimpunan yang akan berlaku.

Tidak ada gunanya mengenakan sekatan jalan raya, menahan orang yang berbaju warna itu dan ini dan membuat tangkapan sewenang-wenangnya. Pesta demokrasi ini tidak wajar dihalang. Peranan polis seharusnya untuk memudahkan demonstrasi yang akan diadakan. Tidak perlu menembak cecair ataupun gas pemedih mata. Tidak perlu menghuraikan perhimpunan. Tunggu dan lihat, pastikan semuanya aman. Hanya masuk campur sekiranya berlaku kekacauan.

Saya amat teruja menantikan pesta demokrasi ini di ibu kota. Tarikh 9 Julai 2011 mungkin menjadi tarikh keramat. Tarikh di mana rakyat Malaysia berpesta meraikan demokrasi dan merayakan hak mereka di bawah Perlembagaan.

Tiba masanya kita sedar bahawa demokrasi itu bukan sentiasa tersusun dan rapi, bukan sentiasa rutin dan berjadual, bukan sentiasa mudah dan senang. Tetapi demokrasi itulah yang menjadi paksi negara kita dan menjadi darah daging kita. Dengan kesedaran ini, mari kita berpesta!

*Penulis adalah seorang peguam muda dan rakan kongsi di sebuah firma guaman di Kuala Lumpur.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved