Khamis, 9 Jun 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Apakah KPI pelacur kelas pertama?

Posted: 08 Jun 2011 05:00 PM PDT

SAYA tidak fikir ada isteri yang sanggup menjadikan dirinya sebagai 'pelacur kelas pertama'. Sebodoh-bodoh 'Mak Andeh' pun tentu dia tidak tergamak menganggap dirinya pelacur kepada 'Pak Pandir'.

Tetapi, itulah yang disyorkan oleh Dr Rohaya Mohamed. Beliau mahu para isteri sentiasa mentaati suami dan memberi layanan seks seperti pelacur kelas pertama. Ini cara terbaik mengelakkan suami 'makan luar'.

Mungkin ada suami bertanya, apakah Dr Rohaya betul-betul tahu bagaimana layanan seorang pelacur kelas pertama? Kalau beliau tahu bagaimana pula hendak diajarkan ilmu itu kepada para isteri?

Saya pun tertarik untuk mengetahui – dan buat perbandingan – apakah KPI untuk pelacur tahap tinggi itu: adakah ciumannya, usapannya, pelukannya? Atau, adakah KPI dinilai dari daya cengkamannya?

Kepada siapa yang belum kenal, beliau ialah Naib Presiden Kelab Isteri Taat (KIT), atau bahasa Inggerisnya 'Obedient Wives Club' (OWC, bukan OIC!), sebuah NGO yang baru ditubuhkan Sabtu lalu.

Kelab ini diilhamkan oleh Global Ikhwan iaitu sebuah pertubuhan dikaitkan dengan bekas ahli-ahli al-Arqam. Dua tahun lalu pertubuhan ini menubuhkan Kelab Poligami Ikhwan, yang ahlinya kini berjumlah 800 orang, terdiri daripada suami dan isteri.

Mungkin Kelab Poligami terlalu eksklusif, jadi bilangan ahlinya tidak ramai. Boleh jadi juga pasangan berpoligami malu untuk menjadi ahli. Atau, mungkin juga ada yang takut menjadi ahli sebab berpoligami tanpa pengetahuan isteri pertama. Apa pun sampai hari ini saya belum layak menjadi ahli!

Setakat ini belum diketahui berapa ramai (isteri sahaja!) yang mendaftar menjadi ahli KIT. Bagi isteri yang tidak ada keyakinan diri dan ingin mengetahui KPI menjadi 'pelacur' yang baik, mungkin boleh menyertai kelab ini.

Kelab ini akan memberi petua-petua kepada ahli mengenai kaedah memikat suami. Menurut jurucakapnya, Siti Maznah Mohd Taufik, seperti disiarkan media, antara petua tersebut ialah berpakaian seksi dan senyum menggoda ketika bersama suami di rumah.

Saya tidak pasti apakah benar pakaian seksi – mungkin baju tidur dari kain jarang yang nampak semuanya berbalam-balam! – dan senyuman menggoda boleh memikat suami. Ramai suami lebih suka isteri berpakaian sopan.

Mungkin bagi pasangan yang baru kahwin berseksi-seksi itu boleh menghangatkan suasana malam. Tetapi bagi yang telah lanjut usia, berpakaian seksi mungkin boleh membuatkan suami diserang angin ahmar.

Sama seperti Dr Rohaya, Siti Maznah, 48, dan ibu kepada lima anak, bersetuju bahawa suami tidak akan melanggan pelacur atau 'makan luar' sekiranya isteri berjaya memberi layanan seks yang memuaskan.

Masalahnya ialah bagi suami walaupun sudah menjangkau usia emas masih amat berselera untuk makan, tetapi pada usia tersebut isteri sudah tidak berupaya menyediakan hidangan lazat.

Tidak dapat dipastikan apakah Dr Rohaya melatah atau sengaja hendak membangkitkan kontroversi. Apa yang jelas kenyataan beliau mengenai 'pelacur kelas pertama' amat tidak disenangi banyak pihak.

Antara yang menentang beliau ialah Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadut yang menganggap kenyataan itu sebagai keterlaluan. Katanya, perkahwinan dalam Islam bukan sekadar memenuhi keperluan seks.

Turut tidak bersetuju ialah Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad, Penolong Pengarah Bahagian Undang-Undang Keluarga JAIS Aluwi Parman, dan bekas Mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Secara peribadi saya pun tidak suka isteri-isteri disamakan dengan pekerja seks. Ini satu penghinaan terhadap kaum ibu. Malah kenyataan Naib Presiden itu mungkin menakutkan isteri-isteri untuk menyertai kelab baru ini.

Persepsi awal yang negatif ini patut diperbetul. KIT patut membimbing ahli untuk menjadi isteri yang dapat mewujudkan kemanisan dan keharmonian rumah tangga, bukan mengajar mereka menjadi 'pelacur'.

Lagi pun pada hemat saya adegan ranjang bukanlah satu-satunya faktor menjamin keharmonian suami-isteri dan keluarga. Rumah tangga banyak bergantung pada persefahaman, kerjasama, tolak ansur, kasih-sayang dan lain-lain.

Ramai orang setuju perkahwinan bukan hanya seks. Bagi pasangan suami-isteri, banyak lagi acara dan agenda di luar bilik tidur yang perlu dilaksanakan untuk melayari bahtera hidup. Pendek kata, cengkaman – tidak kira sehebat mana – hanyalah faktor sampingan!

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Doa, ikatan erat kita dengan Pencipta

Posted: 08 Jun 2011 05:00 PM PDT

RAMAI orang berdoa sebaik sahaja usai solat atau pada bila-bila masa yang sesuai untuk melakukan doa. Doa adalah ruji harian, hendak masuk kereta berdoa, ketika akan mula makan, sewaktu hendak memulakan tugas, ketika mahu tidur... sesungguhnya doa itu adalah ikatan erat kita dengan Pencipta.

Bagaimanapun ramai juga yang ketika berdoa itu hanya sebagai syarat sahaja, iaitu tidak dengan jiwa yang merendah, penuh tunduk dan khusyuk kepada Allah SWT. Pernah juga kita lihat, ketika orang ramai sedang berdoa, masih ada lagi yang sedang berjalan-jalan santai, atau lebih teruk lagi terus sahaja bersembang, sambil cuit-mencuit orang sebelah.

Ini tidak baik. Perlakuan itu seperti mempersendakan Pencipta. Dilihat pula sebagai memperlekeh Dia. Ketika itu, semestinya kebanyakan doa yang diamin berlangsung dalam jiwa yang hambar, tidak tawaduk.

Mungkin juga ada terselit dengan rasa angkuh, sedangkan Allah SWT memerintahkan; "Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) yang perlahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas." (Surah al-'Araf, 55).

Bagi yang bukan Islam, sudah pasti melihat keadaan itu dengan pandangan negatif, sekali gus imej terhadap Islam akan tercemar. Padahal bagi agama lain, mereka juga melakukan doa setiap pagi dan sepanjang mahu melakukan apa sahaja perbuatan. Cuma cara gaya mereka sahaja tidak kita sedari dan kurang perhatikan.

Ketika berada di Kaabah, di hadapan Multazam yang suci itu, saya melihat ramai berdoa dengan sepenuh jiwa, mereka menangis-nangis. Multazam dengan pancur emas di tanah suci Makkah itu adalah lokasi paling mustajab untuk berdoa.

Ternyata mereka berdoa dengan sepenuh perasaan hingga terbit air mata, dalam nada yang tersekat-sekat. Agak lama mereka menadah tangan dengan linangan air mata yang bercucuran, teresak-esak, tersedu-sedu dan diteruskan lagi dengan solat sunat dan berdoa lagi...

Sekali dua saya biarkan sahaja telinga mendengar jiran di sebelah kanan berdoa. Saya tunduk menghayati segala doanya. Saya telan baik-baik segala pengakuannya dan rasa insaf itu dituturkan dengan sepenuh perasaan.

Wanita Indonesia itu mengaku telah berbuat silap kerana tidak mendengar kata suami. Dia degil. Pengakuannya lagi, bahawa selama ini dia langsung tidak hormat suami. Katanya lagi, dia mengharapkan keampunan Allah SWT. Sedangkan ketika itu dia masih lagi menanti kemaafaan daripada suaminya yang masih keras hati... entah bila.

"Ya Allah, jika engkau mahu mencabut nyawaku, engkau cabutlah ia dengan iman-Mu. Jika Engkau murkai aku, aku serahkan dadaku untuk Kau bersihkan. Kau sucikanlah kekotoran dalam hatiku. Kau hindarilah riak dalam jiwaku. Kau padamkan dusta dalam pundak rasa bersalahku…

"Aduhai suamiku, sesungguhnya aku manusia kerdil. Aku manusia lemah akal, lemah daya. Aku manusia yang tidak tangkas melawan takdir Ilahi. Suamiku, aku isterimu yang bersalah. Aku yang telah berdosa. Aku letakkan leherku di bawah pedang kuasamu... mohon ampunkan daku…"

Saya sebak mendengar permohonannya dan tanpa sedar terus sahaja memeluk perempuan di sisi saya itu. Lama kami saling berdakapan sambil kaki masih sahaja bersimpuh tahiyat akhir. Dalam hati saya turut mendoakan semoga Allah SWT segera menerima pengakuan bersalah itu dan memberikan keredhaan-Nya.

Pesanan Datuk Haji Daud Che Ngah ketika siri ceramah haji ialah supaya kita jangan angkuh dengan Tuhan ketika mahu memohon doa. Kita manusia ciptaan-Nya tetap selamanya hamba-Nya. Oleh itu berdoalah seperti kita ini terlalu kerdil. Jangan menyandar ketika berdoa.

Ambil wuduk sebelum berdoa. Berdoalah dengan tangan terbuka di tengah dada. Mulakan dengan puji-pujian, selawat ke atas Nabi Muhammad SAW dan para sahabatnya serta segala rasul. Rapatkan tangan hingga kedua belah telapak tangan membentuk huruf `ba'. Selepas itu barulah berdoa. Adab berdoa ini mesti dijaga.

Apabila hajat hati dan niat yang diminta belum lagi Allah SWT makbulkan, jangan anggap Dia tidak mengasihi kita. Jangan rasa kita dikecewakan. Mungkin kita terlalu meminta-minta.

Sedangkan apa yang disuruh, apa diminta kita lakukannya belum lagi kita tunaikan. Mungkin masih ada lagi amalan-Nya yang kita buat tak endah. Kita masih lagi leka dengan dunia. Cuba fikir-fikirkan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved