Sinar Harian :: Suara Cakna Anda |
Posted: 12 Sep 2011 05:00 PM PDT Bicara ini bermaksud meletakkan Mohamad Sabu pada tempat yang sesuai baginya, tidak kurang dan tidak lebih. Secara keseluruhan, untuk peristiwa Bukit Kepong, anggapan Mohamad Sabu bahawa pihak penyerang balai polis ialah hero, bukanlah idea baru. Saya tidak berasa apa-apa ketika beliau mengatakan hal itu kepada saya melalui telefon - beliau cenderung menulis semula sejarah tanah air. Pandangan beliau bahawa golongan kiri adalah hero tidak menyebabkan saya terperanjat. Saya pernah mendengar – dalam dekad 1970an lagi – orang kiri progresif berkata, kemerdekaan negara kita adalah kemerdekaan setengah masak. Ertinya, kita tidak merdeka. Tanpa hujung pangkal yang ketara, ada anggapan bahawa hanya kemerdekaan melalui kerja kasar komunis dapat dianggap tulen. Mohamad Sabu, yang bukan ahli sejarah, hanya mengulang pandangan itu. Sederet orang lain pun telah lama mengulangnya. Pembaca tentu telah lama terkesan bahawa pemegang kukuh sosialisme, iaitu Hishamuddin Rais, mempunyai pandangan lebih jauh -berupaya menyusun kisah pejuang Malaya dengan gaya kemas dan hebat. Persoalannya: adakah kita bersetuju? Kita menyambut Hari Kemerdekaan sejak tahun kemerdekaan itu sendiri. Gapena banyak menerbitkan buku puisi kemerdekaan. Sayembara Deklamasi Puisi Hari Kebangsaan telah berlangsung 20 tahun, sebelum dihentikan dua tahun lepas. Perkembangan terbaru, Kementerian Penerangan dan DBP sedang anjurkan Sayembara Puisi Berirama dengan tema kemerdekaan. Kita menghargai kemerdekaan cara demikian. Dalam banyak hal, saya percaya Mohammad Sabu hanya bergurau. Dalam tulisan yang lalu, telah saya sebutkan, Mohamad Sabu amat berpotensi dalam hal berjenaka. Beliau amat jauh meninggalkan Bob Lokman dalam bidang yang sama. Dari sisi lain, kita juga tahu Mohamad Sabu berkonflik dengan polis. Beliau mendakwa dalam perhimpunan Bersih 02, Julai lalu, berlaku perlanggaran terhadapnya oleh kereta polis. Beliau cekal untuk mengatakan pihak polis berbuat tidak patut terhadapnya. Polis pula merasakan Mohamad Sabu tidak patut. Untuk memperkukuh rasa, Mohammad Sabu mengatakan polis di Bukit Kepong berpuluh-puluh tahun dulu pun tidak baik, kerana mereka di pihak British, satu truisme. Melalui anggapan itu, beliau menegaskan bahawa pihak yang menyerang polis adalah hero. Namun, Mohamad Sabu membayangkan ada unsur antagonisme antara rakyat dengan polis. Beliau amat bijak berjenaka dalam hal-hal seperti ini. Kejenakaannya diterima secara serius. Mohamad Sabu handal berpidato, dan pidatonya bergaya kampung, sesuai dengan gaya hidupnya. Beliau tidak berpura-pura, malah beliau terdedah pada bahaya kerana 'mulutnya yang tidak berinsurans' (uninsured mouth). Mohamad Sabu boleh berkata apa-apa saja yang terfikir, sehingga kadang-kadang partinya berada dalam dilema kerananya. Mohamad Sabu berada dalam Pas tidak sejalan dengan watak-watak utama lain dalam parti tersebut. Kata-kata Mohamad Sabu bahawa pihak penyerang Balai Polis Bukit Kepong ialah hero, membawa padah kepada dirinya sendiri, kerana keluarga mangsa Bukit Kepong tersinggung. Anggota polis terkini pun secara keseluruhannya tersinggung juga. Bagi orang umum yang tidak begitu menyukai politik keras, anggota polis bertugas menjaga keselamatan rakyat. Di Bukit Kepong, bagi mereka, polis bertugas sehingga terkorban nyawa. Mereka tidak senang apabila Mohamad Sabu mengemukakan pandangan bahawa pihak polis bagaikan 'penjahat'. Hati orang yang berkaitan dengan polis (anak, cucu, dan saudara-mara) menjadi luka dan bercuka. Tampaknya, Mohamad Sabu yang suka berjenaka telah melanggar batasan dalam hal kemanusiaan begini. Selain itu, anggapan bahawa Mat Indera ialah hero, dan pihak polis ialah sebaliknya, bukanlah idea yang teorikal. Mohamad Sabu tidak berteori. Jika seseorang berada di sebelah pihak progresif atau komunis, pandangan itu adalah logik. Apabila seseorang di pihak nasionalis (yang difahami umum), pengganas yang mengancam kehidupan rakyat adalah penjahat, dan kumpulan yang menuntut kemerdekaan secara damai adalah hero. Pemimpin politik mempunyai alasan untuk berkata itu dan ini, tetapi bagi saya, perkara penting ada dua: pertama, fikir sebelum berkata, dan yang kedua, perkara yang difikirkan tidak semestinya dikatakan. Sejauh yang kita fahami tentang Mohamad Sabu, beliau tidak akan mengalah. Berapa banyak pun aduan, Mat Sabu tetap Mat Sabu. | |
Dua negara kuasa baru dunia Islam Posted: 12 Sep 2011 05:00 PM PDT Serangan Pengganas 11 September di New York dan gelora Musim Bunga di negara Teluk sejak awal tahun ini merupakan dua peristiwa terpenting merubah keseimbangan kuasa dan geopolitik dunia Islam dalam Abad ke-21. Jika dahulu, negara-negara Arab dipandang tinggi, revolusi di Algeria, Tunisia, Mesir dan Libya telah mencemarkan prestij pemimpin-pemimpin autokrat di Timur Tengah. Imej Hosni Mubarak yang sakit dipaksa hadapi perbicaraan mahkamah mengejutkan masyarakat dunia. Betapa pantasnya, seorang yang tidak lama dahulu gah berdiri di pentas dunia jatuh tersungkur, dikeji di bumi sendiri. Untuk memenuhi vakum ditinggalkan negara-negara Arab ini adalah dua negara berada di luar pusat kuasa dunia Islam masa kini- Indonesia dan Turki. Kedua-dua negara yang berpegang teguh kepada sistem demokrasi ini tidak perlu risau 'kebangkitan rakyat' di wilayah mereka. Tidak salah jika dikatakan kedua-dua ekonomi yang tumbuh pesat ini adalah hasil daripada kebebasan dinikmati rakyatnya. Ini memang meningkatkan reputasi dan kredibiliti pemimpin di kedua-dua negara, manakala pemimpin negara-negara Arab semakin dilihat muflis dari segi modal moral mereka sebagai pemimpin dunia Islam. Indonesia, sebelum ini secara tradisinya tunduk di bawah Saudi Arabia dan mengagungkan Raja Saudi yang juga Pelindung Dua Masjid Suci. Hubungan Indonesia dan Saudi juga berlandaskan kepentingan ekonomi: sejumlah 1.5 juta warga Indonesia yang bekerja sebagai buruh pembinaan dan pembantu rumah di sana. Indonesia juga bergantung pada sumber minyak Saudi Arabia. Namun, hubungan rapat ini sering kali dicemari kontroversi kisah eksploitasi dan layanan buruk diberikan majikan Saudi kepada pekerja Indonesia. Menurut Badan Bukan Kerajaan 'Migrant Care', seramai 1,105 orang pekerja Indonesia meninggal dunia di Saudi Arabia sepanjang 2006 ke 2010. Namun, di bawah undang-undang Saudi: hak orang asing menuntut pembelaan adalah terhad, apatah lagi buruh tidak berkepentingan. Kemarahan Indonesia membuak sekali lagi pertengahan tahun ini, apabila seorang warganya Ruyati Sapubi, seorang pembantu rumah berusia 54 tahun dihukum mati kerana dituduh membunuh majikan yang menzaliminya. Kemarahan terbuku di hati segelintir rakyat Indonesia membawa kepada demonstrasi aktivis tempatan dan para cendekiawan apabila institusi terulung negara itu, Universiti Indonesia menganugerahkan ijazah doktor kehormat kepada Raja Saudi Arabia, Raja Abdullah. Penunjuk perasaan ini mengutuk penganugerahan tersebut dan berpendapat, kezaliman terhadap warganegara Indonesia di sana serta rekod buruk hak asasi manusia di Arab Saudi menyebabkan Raja Abdullah tidak layak untuk diberi penganugerahan berprestij itu. Indonesia menghentikan pengiriman tenaga kerjanya sehingga kerajaan Saudi menandatangani perjanjian untuk melindungi warganegara Indonesia yang bekerja di sana. Kemakmuran ekonomi Indonesia yang berkembang bermakna kesungguhan Indonesia melindungi warganegaranya juga akan meningkat. Sememangnya kekayaan meningkatkan kuasa dan keyakinan. Pada masa sama, di pinggiran Eropah dan di Barat Dunia Islam, Turki sedang membina pengaruhnya sebagai kuasa ekonomi dan jaguh politik serantau. Dipinggirkan oleh Kesatuan Eropah, Turki berpaling melihat ke Timur dengan jayanya. Ekonomi berkembang pesat dan masyarakat yang dinamik, Turki bakal memainkan peranan lebih besar di Timur Tengah- lebih lagi pasca gelora di negara Teluk. Misalnya, Ankara menggesa Israel memohon maaf dan membayar pampasan untuk serbuan kepada kapal flotila menuju ke Gaza tahun lepas. Memandangkan permintaannya tidak diendahkan Israel, Turki putuskan hubungan diplomatik dengan negara rejim Zionis itu. Perdana Menteri Turki, Recep Erdogan tegas dalam pendiriannya terhadap Libya dan Syria. Beliau menyokong serangan Nato terhadap Libya tetapi mengemukakan terma khas - penguatkuasaan zon larangan terbang dilakukan bersama oleh pakatan Nato dan bukan diketuai Perancis. Sememangnya, Turki sedang melakar peta diplomatik dengan penuh yakin dan strategik. Mereka bukan lagi boneka negara Barat, atau jiran tetangga Timur Tengah yang senyap dan tidak berpengaruh. Malaysia, sekali lagi di persimpangan jalan. Kita boleh memilih untuk mengikut telunjuk negara Arab, atau mengikut laluan lebih sukar tetapi memiliki pulangan lumayan- iaitu berubah ke arah masyarakat lebih terbuka dengan sistem demokrasi boleh dibanggakan. |
You are subscribed to email updates from Sinar Harian :: Suara Cakna Anda To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan