Isnin, 5 September 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Padah terlalu berbaik sangka

Posted: 04 Sep 2011 05:00 PM PDT

Siapa kata orang Islam yang menerima bantuan dan pertolongan bukan Islam itu salah? terutama bantuan gereja atau orang Kristian yang sedang hangat diperdebatkan hari ini, ekoran pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas gereja Methodist Damansara Utama (DUMC). Jika itulah faktanya, bermakna sejak Nabi Muhammad SAW lahir, kemudian menjadi anak yatim piatu semasa kecil, siapakah yang membantu Baginda?

Hatta selepas dilantik menjadi Rasul pun, ketika itu, agama Islam baru sahaja diturunkan, siapakah orang di sekeliling Nabi? Orang Islam atau bukan Islam? Jawapannya, sudah tentu orang bukan Islam. Siapakah bukan Islam itu? Ada beberapa kategori. Pertama, yang pro dan simpati dengan Islam. Kedua, golongan anti Islam, pura-pura baik kerana ada udang di sebalik batu. Ketiga, musuh Islam yang sebenar seperti Yahudi dan Nasrani. Dalam kes gereja DUMC dan sebahagian Kristian, kategori manakah mereka? Manakah satu kafir zimmi dan kafir harbi, fikirkanlah sendiri.

Semua sedia maklum bapa saudara dan isteri Baginda, Abi Talib dan Khadijah adalah antara paling banyak membantu Baginda. Malah, sebelum nabi diangkat menjadi Rasul. Rasulullah menerima bantuan daripada bukan Islam yang simpati dengan Islam. Sebahagian orang bukan Islam ketika itu (termasuk Yahudi) tidak ada agenda tersembunyi atau ada udang di sebalik batu.

Yang paling menyedihkan Baginda SAW adalah pemergian Abi Talib, yang masih lagi tidak memeluk Islam, sedangkan pengorbanannya terhadap Islam tidak ada tolok bandingnya. Jika Nabi bertindak tidak menerima bantuan bukan Islam, apakah mungkin Islam boleh berkembang? Hanya Allah SWT yang tahu.

Perkara pokok yang perlu dibincangkan di sini bukan soal boleh atau tidak, orang Kristian membantu orang Islam atau orang Islam membantu Kristian! Tetapi perkara pokok adalah, apakah agenda tersembunyi, yang tersurat dan tersirat di sebalik bantuan tersebut? Saya memohon mereka yang mahu menjadi hero kepada ultra kiasu ini, supaya membaca pendedahan demi pendedahan yang dilakukan Sinar Harian akan kelicikan pihak Kristian dan luahan pengalaman saya semasa pernah menjadi Kristian.

Namun demikian, umat Islam juga patut dipersalahkan kerana 'membenarkan' orang Islam mencari orang Kristian untuk mendapatkan bantuan atau didekati oleh Kristian untuk dibantu. Jika orang kaya berperanan dan sedar diri, serta zakat diagihkan dengan betul, tidak ada orang Islam yang merempat di muka bumi bertuah ini.

Persoalannya, kenapa umat Islam masih merempat? Kenapa kita tidak mencari mereka? Kita hanya menunggu mereka datang meminta bantuan? Kita tidak bertindak seperti contohnya Khalifah Omar atau Umar Abdul Aziz. Khalifah-khalifah ini sibuk mencari orang miskin tanpa mengira agama, bangsa dan latar belakang. Yang ada dalam benak fikiran mereka, orang yang memerlukan mesti dibantu.

Sama juga soal dakwah. Adakah kita tidak pergi berdakwah kepada bukan Islam atau kita menunggu mereka datang menyerah ke pejabat agama untuk memeluk Islam? Sudah tentu dakwah perlu keluar. Umat Islam perlu mendekati bukan Islam, bukannya menunggu mereka datang menyerah diri. Jika begitulah keadaannya, bagaimana Islam boleh berkembang di zaman para Nabi?

Berbeza dengan Kristian, mereka keluar berdakwah mendampingi sasaran untuk menyebarkan dakyahnya. Maka tidak hairanlah jika ramai orang Cina dan orang Asli beralih kepada agama Kristian. Missionari mereka tidak hanya datang dengan dakyah tetapi dengan bantuan wang ringgit sebagai penarik. Kadangkala, mereka tidak boleh dipersalahkan kerana memang menjadi tanggungjawab dan kewajipan mereka menyebarkan dakyah agamanya. Sama seperti tanggungjawab kita.

Cuma silapnya Kristian adalah, mereka mendakyahkan agamanya kepada orang Islam yang dilindungi Perlembagaan. Jika mereka berdakyah kepada bukan Kristian yang lain, mungkin tidak banyak timbul masalah. Namun, mereka amat licik. Kristian tahu jika sekadar berdakyah kepada yang bukan Kristian (bukan Melayu), impaknya tidak seberapa. Justeru, mahu tidak mahu mereka mesti berdakyah kepada orang Melayu yakni Peribumi, walaupun dilindungi Perlembagaan. Sokongan Melayu amat penting untuk mendapatkan Melayu yang lain.

Bayangkanlah ketika seseorang memerlukan bantuan dan terdesak, tiba-tiba kita datang sebagai penyelamat, tidakkah kita rasa terhutang budi? Saya teramat sedih membaca kenyataan seorang dua pemimpin agama mufti yang tidak memahami konteks dakyah Kristian dan penglibatan dalam pertubuhan atau NGO. Nasihat saya, biasakanlah diri dengan kerja-kerja NGO, saudara semua akan tahu apa perancangan Kristian sebenarnya.

Tangani transformasi ke-3 demokrasi

Posted: 04 Sep 2011 05:00 PM PDT

Apabila Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Pemilih Parlimen (JPP) untuk menambahbaikkan sistem pilihan raya, pihak pembangkang mencari helah menggagalkannya. Ironisnya, sebelum ini, mereka mendesak kerajaan melakukan penambahbaikan tersebut. Tetapi, umumnya, sambutan rakyat terhadap JPP amat menggalakkan.

JPP perlu melihat penambahbaikan tersebut secara holistik, iaitu dalam konteks transformasi politik untuk mewujudkan politik baru ke arah demokrasi matang demi kesejahteraan rakyat.

Ia perlu menilai sejauh manakah kita mengamalkan hak mengundi dan pilihan raya tulen seperti yang termaktub dalam Deklarasi Hak Asasi Antarabangsa, beberapa artikel dalam Perlembagaan Persekutuan dan lima akta khusus berkaitan pilihan raya.

Ia perlu membincangkan perkara-perkara yang melangkaui tuntutan Bersih 2.0. Antaranya ialah, pendaftaran automatik pemilih, 18 tahun sebagai umur layak mengundi, pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan dan undang-undang referendum. Dengan kata-kata lain, ia perlu membicarakan soal inovasi demokrasi, iaitu bagaimana meningkatkan dan meluaskan partisipasi rakyat dalam struktur dan proses membuat keputusan.

Oleh kerana tugasannya besar, maka JPP perlu membahagikan kerjanya kepada dua bahagian. Pertama, ialah perkara-perkara yang boleh dilaksanakan segera, iaitu untuk Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13). Dan kedua, ialah perkara-perkara yang memerlukan masa, contohnya, pindaan Perlembagaan, yang tidak sempat dilaksanakan untuk PRU13, dan kerana itu, disediakan peta jalan dahulu.

Bagi BN, JPP adalah langkah natural, iaitu sebagai kesinambungan inisiatif-inisiatif demokratik yang telah dilaksanakannya sejak dahulu. Barang diingat, sistem pilihan raya dan demokrasi yang sedia ada ini lahir daripada BN. Memanglah ia tidak sempurna. Maka, sebab itulah Pengerusi BN menubuhkan JPP.

Sebenarnya, JPP adalah selaras dengan "transformasi ketiga demokrasi" yang sedang berlangsung kini.

Transformasi pertama demokrasi telah berlaku pada separuh pertama abad kelima sebelum Masehi, di Greece, di mana wilayah-wilayah yang tidak mengamalkan demokrasi, iaitu mengamalkan aristokrasi, oligarki, monarki, atau campuran ketiga-tiganya, telah berubah lalu mengamalkan demokrasi.

Demokrasi dilaksanakan dalam ruang lingkup negara-kota yang kecil. Institusi demokrasi yang utama ialah dewan perhimpunan di mana semua rakyat dapat berpartisipasi secara langsung. Ini dapat dilakukan kerana jumlah rakyatnya kecil sahaja.

Transformasi kedua demokrasi, ialah demokrasi telah bertukar daripada negara-kota yang kecil kepada negara-bangsa yang lebih besar. Partisipasi semua rakyat secara langsung tidak lagi praktikal. Maka, wujudlah konsep perwakilan rakyat.

Akibat transformasi yang meliputi saiz dan bentuk demokrasi ini, maka, wujudlah institusi-institusi demokrasi yang sedang kita laksanakan hari ini, seperti pilihan raya dan parlimen. Rakyat berpartisipasi dalam pilihan raya dengan memilih wakilnya untuk berhimpun di parlimen.

Kini, transformasi ketiga demokrasi sedang berlaku. Modelnya belum begitu jelas. Tetapi, apa yang jelas ialah, rakyat, termasuk belia/mahasiswa dan wanita, mahu partisipasinya ditingkatkan dan diluaskan; munculnya demokrasi pasca-parlimen; dan kerajaan tidak boleh lagi menggunakan paradigma lama, iaitu memerintah, tetapi perlu menggunakan paradigma baru, iaitu mengurus tadbir.

Di sinilah relevannya inovasi demokrasi. Ia melibatkan lima teori demokrasi kontemporari tentang peningkatan partisipasi rakyat, iaitu, demokrasi partisipatif, demokrasi deliberatif, demokrasi langsung, demokrasi kelainan dan demokrasi kosmopolitan. Contohnya pelaksanaannya ialah perhimpunan rakyat, mini parlimen, legislatif langsung dan e-demokrasi.

JPP antara jawapan bagi menangani transformasi ketiga demokrasi ini.

Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved