Ahad, 28 Ogos 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna


Perebutan minyak bermula!

Posted: 27 Aug 2011 05:00 PM PDT

Perebutan minyak bermula!

Selepas Gaddafi disingkir melalui pertempuran senjata, peperangan lain pula tercetus. Pengakhiran permainan berbahaya ini semakin hampir. Situasi dilihat semakin genting di Tripoli.

Kini, aset paling berharga Libya iaitu kekayaan minyak dan gas menjadi perhatian utama, dan perebutan untuk mendapatkan tempat terbaik dalam industri itu bermula.

Semasa kuasa dunia berasak-asak untuk mendapatkan manfaat besar daripada kontrak minyak dan pembinaan semula Libya yang akan diberi oleh kerajaan baru dipimpin pemberontak negara itu, tentu ada pesaing yang disiku keluar semasa pergelutan itu.

Syarikat minyak gergasi bergegas menempatkan diri untuk berusaha mendapatkan simpanan 'emas hitam' Libya berjumlah 40 bilion tong, iaitu terbesar di Afrika dan antara terbesar di dunia, selepas kejatuhan kerajaan Muammar Gaddafi.

Tujuan sebenar kempen negara Barat untuk menjatuhkan Gaddafi kini kelihatan semakin jelas.

Barat tidak sabar

Sebaik sahaja berita mengenai pemberontak memasuki dan menawan kediaman Gaddafi di Bab Al-Aziziya, Tripoli mula tersebar, syarikat minyak terbesar Itali, Eni SpA tidak membuang masa dan segera menghantar pasukan teknikal mereka untuk membantu penyambungan semula operasi di Libya, seperti diumumkan Kementerian Luar Itali sendiri, Isnin lalu.

Syarikat Marathon Oil berpusat di Houston, Amerika Syarikat (AS) juga mengadakan perbincangan awal dengan pemberontak mengenai keadaan loji minyak milik syarikat itu di Libya dan ingin memulakan kembali pengeluaran secepat mungkin.

Jurucakap syarikat minyak BP dari Britain juga menegaskan syarikat itu akan kembali ke Libya sebaik keadaan mengizinkan walaupun ia tidak memberikan jangka masa.

BP, Royal Dutch Shell, ENI, OMV, Repsol YPF SA dan Total adalah antara syarikat minyak Barat yang beroperasi di Libya sebelum konflik dalaman negara itu bermula.

Rusia, China bakal tersingkir

Selain kuasa Barat, syarikat minyak Rusia, Gazprom dan syarikat China turut beroperasi di Libya sebelum kekacauan di negara itu, malah kedua negara itulah yang mendominasi banyak pelaburan di Libya.

Namun, pengaturan semula kuasa di Tripoli kini bakal memberi kesan buruk kepada syarikat minyak dan tenaga dari Rusia dan China.

Syarikat minyak Barat mungkin berasa lega apabila mengetahui Rusia dan China - dua negara terpenting yang beroperasi di Libya sehingga kini - mungkin akan diketepikan oleh kerajaan baru Libya.

Ini kerana Moscow dan Beijing tidak menunjukkan sokongan kuat kepada pemberontak dan memilih pendirian berkecuali semasa undian resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi melancarkan operasi ketenteraan ke atas Gaddafi, Mac lalu.

Jadi, akibat keengganan Rusia dan China menyokong kumpulan pemberontak Libya sebelum ini, kedudukan syarikat dari kedua negara itu dalam pertandingan merebut minyak ini dilihat sangat goyah.

Memang benar pemberontak berjanji akan memenuhi semua kontrak perniagaan yang ditandatangani pelabur dengan kerajaan Gaddafi.

Tetapi ketua parti pemberontak utama, Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC), Mustafa Jalil turut menegaskan mereka akan lebih menyebelahi negara yang memberi sokongan kepada pemberontak semasa konflik itu, sekali gus meletakkan China dan Rusia dalam keadaan tidak selamat.

"Kami tidak mempunyai masalah dengan negara Barat seperti Itali, Perancis dan Britain tetapi kami mungkin mempunyai sedikit isu politik dengan Rusia, China dan Brazil," menurut Abdeljalil Mayouf, pengurus maklumat di syarikat minyak milik pemberontak Libya, AGOCO.

Kenyataan itu menandakan halangan yang bakal dihadapi negara yang menolak tindakan keras ke atas Gaddafi sekali gus membolehkan syarikat Eropah dan AS mendapatkan kontrak pembangunan dan cari gali minyak bernilai berbilion dolar di Libya tanpa persaingan sebenar daripada Rusia dan China.

Kesan ini sudah dapat dilihat apabila syarikat minyak dan gas terbesar China, Great Wall Drilling, iaitu anak syarikat China National Petroleum mengumumkan akan menutup enam projek besar di Libya, Syria dan beberapa negara bergolak lain akibat ketidakstabilan politik.

China yang menyedari kemungkinan ini segera menggesa NTC melindungi pelaburan negara Asia itu di Libya.

Pegawai kanan Kementerian Perdagangan China, Wen Zhongliang mengakui perubahan di Libya memberi kesan kepada aktiviti pelaburan Beijing di negara Afrika Utara itu.

"Pelaburan China di Libya terutama dalam industri minyak adalah untuk manfaat rakyat kedua-dua negara jadi kami harap selepas keadaan kembali stabil, Libya akan terus melindungi kepentingan dan hak pelabur China di negara itu," katanya.

Keluhan juga kedengaran dari Rusia apabila ketua Majlis Perniagaan Rusia-Libya, Aram Shegunts memberi tahu agensi media Reuters bahawa konflik Libya menandakan pengakhiran pelaburan Rusia.

"Syarikat Rusia akan kehilangan segala-galanya di Libya kerana Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) akan menghalang kami menjalankan perniagaan," katanya.

Perang belum berakhir

Banyak yang telah berubah di Libya sejak beberapa minggu lalu dan perubahan itu turut dirasakan industri tenaga.

Tsunami politik di Libya menyebabkan penyusunan semula kedudukan pemain-pemain utama dalam industri ini.

Pemain baru (dari Barat) kini muncul sebagai kuasa dominasi.

Sokongan kuat diperoleh daripada kerajaan pemberontak Libya menjadi jaminan mereka akan mendapat keuntungan besar selepas perang saudara di Libya dan sekali gus menyingkirkan pemain sedia ada (Rusia dan China) di negara itu.

Nato mungkin telah memenangi pertempuran kali ini tetapi peperangan sebenar untuk merebut kekayaan Libya tidak akan berakhir dalam masa terdekat.

Dr Tony Tan presiden baru Singapura

Posted: 27 Aug 2011 05:00 PM PDT

Dr Tony Tan presiden baru Singapura SINGAPURA - Bekas timbalan perdana menteri, Dr Tony Tan, 71, dilantik sebagai presiden ketujuh Singapura semalam selepas memperoleh margin kecil 35 peratus atau 7,269 daripada 2.1 juta undi berbanding saingan terdekat beliau, Dr Tan Cheng Bock.

Kemenangan tipis beliau berjaya mengetepikan tiga calon lain, Dr Tan Cheng Bock, Tan Jee Say dan Tan Kin Lian sekali gus, melayakkannya untuk mengambil alih jawatan bekas presiden, S R Nathan.

Tony Tan berkata, beliau merancang untuk bekerja keras sepanjang penggal pemerintahannya dan menjadi antara presiden terbaik mewakili seluruh rakyat Singapura.

Dalam satu kenyataan lain, selepas keputusan itu diumumkan, Perdana Menteri, Lee Hsien Loong menggesa seluruh rakyat bersatu padu dan sentiasa bersedia menghadapi lebih banyak cabaran pada masa masa hadapan.

Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved