Sinar Harian :: Suara Cakna Anda |
Posted: 03 Aug 2011 05:00 PM PDT APAKAH berbaloi bayar RM100 hanya untuk dua biji kurma dan segelas air suam? Saya ditanyakan soalan ini oleh seorang kawan yang sama-sama berbuka puasa di sebuah hotel mewah di Kuala Lumpur, semalam. Secara peribadi rasanya amat berbaloi. Sebab hidangan secara bufet itu saya nikmati sepenuhnya. Mula-mula ambil nasi tomato dan paha ayam goreng. Kemudian ambil nasi putih sedikit, makan dengan ikan kari, sambal udang, dan ulam. Tidak cukup dengan itu, saya meratah dua ekor ketam goreng, dua kali tambah kambing panggang, dan lima enam cucuk sate. Itu tidak termasuk pengat pisang, kuih koci, dan buah-buahan segar sebagai pencuci mulut. Kalau campur empat lima gelas sirap bandung, tiga empat biji kurma – dia orang kata kurma nabi! – dan pelayan hotel yang tidak putus-putus senyum menundukkan kepala sambil berkata 'Sir!' setiap kali berselisih, rasanya berbaloi sangat berbuka hari ketiga Ramadan itu. Kawan yang bertanya itu pun apa kurangnya. Walaupun tidak berpuasa sebab bukan Islam, dia makan lebih banyak daripada saya. Kalau guna istilah orang kampung, atau bahasa pasar, boleh kata semua yang terhidang itu 'dibelasahnya' cukup-cukup. Maklumlah hanya kunyah dan telan, dan tidak perlu bayar walau setengah sen. Ada pun yang makan hanya kurma dan minum air suam ialah orang yang membayar majlis dihadiri oleh kira-kira 20 orang wartawan itu. Dia seorang ahli perniagaan bergelar Datuk, dan saya tidak pernah ketinggalan dalam senarai undangannya setiap bulan puasa. Dia tidak boleh makan banyak, kena betul-betul kawal diet. Dua biji kurma dan air suam juga sedikit nasi dan sayuran sudah memadai buatnya. Dengan macam-macam penyakit yang dihidapi – antaranya kencing manis dan obesiti – doktor menasihatkan (sebenarnya memberi amaran!) dia tidak boleh makan mengikut selera. Apa yang dimakan itu, sekiranya di gerai Bazar Ramadan, nilainya tidak sampai RM10. Kalau di gerai tepi jalan Kampung Medan mungkin hanya RM5. Sebab itu 'si kaki belasah' itu bertanya, berbaloi atau tidak? Sebenarnya menjadi amalan biasa bagi sesetengah orang di KL untuk berbuka puasa di hotel-hotel mewah. Iklan mengenai pakej buka puasa telah diuar-uarkan menerusi akhbar, TV, poster dan risalah yang dihantar ke rumah, sejak anak bulan Ramadan masih jauh dalam perut. Ada beratus hidangan – tradisional Melayu, ala barat, ala Arab, dan ala-ala lain yang pelik-pelik – semuanya lazat-lazat. Harga paling murah RM50 seorang, paling mahal boleh mencecah hingga RM150. Sebenarnya soalan rakan saya itu ditanyakan juga oleh banyak orang. Ramai menganggap berjamu di hotel besar itu sebagai satu pembaziran. Makanan yang sepatutnya RM10 dibayar 10 kali ganda. Selalu pula disebut membazir itu sahabat iblis. Dan, selalu ada sindiran bahawa bukankah lebih baik sekiranya duit itu disedekahkan untuk belanja berbuka anak-anak yatim? Malah, ada yang membuat dosa kering dengan berkata: "Belanja ribu-ribu di hotel, belum tentu bayar zakat!" Jangan prejudis pada orang kaya. Sekiranya dia betul ada RM juta-juta-juta, rasanya tidak ada salahnya untuk dia menjamu rakan-rakan yang berpuasa. Bukankah – seperti yang dijelaskan dalam hadis – besar pahalanya memberi makan kepada orang berpuasa? Kalau semua yang datang bufet itu menikmati hidangan hingga puas, tidak timbul soal membazir. Sebaliknya, kalau beli banyak makanan di Bazar Ramadan tetapi tidak habis, dan dibuang dalam tong sampah, itu baru membazir. Mengenai derma kepada anak yatim, siapa tahu jika dia sudah banyak menderma. Dia tidak perlu menyatakan itu kepada umum. Sebenarnya ramai orang kaya menderma secara senyap-senyap, dan tidak gah memegang 'mock' cek sebesar sejadah untuk masuk surat khabar. Demikian juga mengenai zakat, apakah dia perlu menghebohkan satu Malaya bahawa dia telah melangsaikan rukun Islam itu? Dia tidak perlu menampal resit membayar zakat itu pada dahi atau dadanya. Beramallah dengan ikhlas, bukan untuk menunjuk-nunjuk. Apa yang penting dengan berbelanja di hotel, orang-orang berduit ini turut menyumbang kepada pertumbuhan industri perhotelan. Sekurang-kurangnya orang tidak berduit seperti saya dapat juga menjamu selera di hotel mewah. Saya doakan mereka yang mengajak berbuka itu akan terus dimurahkan rezeki, dan dapat belanja saya lagi tahun depan! Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. |
Dunia kapur barus dan kain kapan Posted: 03 Aug 2011 05:00 PM PDT Baru-baru ini saya terbaca mengenai kisah Imam Ghazali Rahimahullah diriwayatkan mendapat tanda-tanda kematiannya sehinggakan beliau mampu menyediakan dirinya untuk hadapi sakaratulmaut sendirian. Beliau menyediakan dirinya dengan segala persiapan termasuk mandinya, wuduknya serta kafannya sekali cuma ketika sampai bahagian tubuh dan kepala sahaja beliau telah memanggil abangnya iaitu Imam Ahmad Ibnu Hambal untuk menyambung tugas tersebut. Adapun tanda-tanda kematian mengikut ulama adalah benar dan wujud, cuma amalan dan ketakwaan kita sahaja yang akan dapat membezakan kepekaan kita kepada tanda-tanda ini. Rasulallah SAW diriwayatkan masih mampu memperlihat dan menceritakan kepada keluarga dan sahabat secara langsung akan kesukaran menghadapi sakaratulmaut dari awal hinggalah akhirnya hayat Baginda. Tulisan ini merujuk kepada beberapa kematian yang berlaku dalam kalangan sahabat-sahabat terdekat, jiran-jiran dan kenalan jauh yang tidak pernah bersua rupa, namun kita kenal melalui perkhabaran tentang kebaikan mereka, kemurnian hati dan baik budi pekerti mereka. Padahal mereka itu baru sahaja kita jumpa dan bertanya khabar. Kita rasa akan ada lagi peluang untuk bertemu, namun tahu-tahu sahaja kita mendapat perkhabaran si polan telah pergi dulu. Ramai yang percaya kepada beberapa tanda kematian, ada juga yang menyebut `buang tebiat' apabila sedar dengan tanda-tanda itu. Biasanya orang yang akan pergi dulu tidak merasainya tetapi orang keliling tahu. Tanda-tanda diberikan agar kita dapat bertaubat dan bersedia dalam perjalanan menghadap Allah SWT. Kami adik-beradik memang biasa dengan kematian kerana bapa saya menjalankan tanggungjawab sebagai tukang mandi jenazah dalam kariahnya. Pintu rumah kami selalu diketuk tidak kira subuh, pagi, tengah hari, petang atau malam. Malah sebagai orang lama bapa seperti dapat menghidu jika akan berlaku sesuatu kematian. Dia tidak akan meninggalkan rumah. Dia payah diajak tidur di rumah anak-anak yang jauh. Dia akan memberi pelbagai alasan padahal isu kematian itulah yang mulai dia rasai tetapi tidak diberitahu kepada sesiapa. Kami membesar dalam dunia kapur barus, sintok, air mawar, kain kapan dan segala keperluan menguruskan jenazah dan pantang bagi bapa saya – jangan bertanya tentang jenazah yang dia sudah uruskan. Dia sama sekali tidak akan menceritakan aib jenazah. Sehari dua ini apabila menerima berita kematian sahabat kita tersentak, alangkah mudahnya mereka pergi. Sahabat saya Datin Amelia meninggal dalam tidur. Begitu juga bagi penulis terkenal Liana Afiera Malik, juga pergi tiba-tiba. Sebelum itu Dr Lo' Lo pergi dengan tenangnya. Seorang rakan saya meninggal dunia sebaik selesai solat Subuh, sedar-sedar sahaja sudah tiada nyawa. Sesungguhnya janji Tuhan tidak mengira masa. Sedikit pun tidak tercepat atau terlewat. Kata orang, seratus hari sebelum kematian hanya akan disedari oleh mereka yang dikehendaki-Nya. Walau bagaimanapun semua orang Islam akan mendapat tanda ini cuma sama ada mereka sedar atau tidak sahaja. Tanda ini akan berlaku lazimnya selepas waktu Asar. Seluruh tubuh - dari hujung rambut sehingga hujung kaki akan alami getaran atau seakan-akan menggigil, contohnya seperti daging lembu yang baru disembelih di mana jika diperhatikan dengan teliti kita akan mendapati daging tersebut seakan-akan bergetar. Bagi mereka yang tidak diberi kesedaran atau mereka yang hanyut dengan kenikmatan tanpa memikirkan soal kematian, tanda ini akan lenyap begitu sahaja tanpa sebarang manfaat. Bagi yang sedar dengan kehadiran tanda ini maka ini adalah peluang terbaik untuk menggunakan masa yang ada bagi mempersiapkan diri dengan amalan. Namun bagi saya, tidak kira 100 hari atau 40 hari sebelum kematian, hendaklah kita sentiasa bersedia. Bertaubatlah setiap hari. Bermaafanlah setiap ketika. Berlapang dada, ikhlaskan hati dengan sesiapa sahaja. Lagi bertambah usia kita, lagi dekat tarikh kematian kita. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. |
You are subscribed to email updates from Sinar Harian :: Suara Cakna Anda To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan