Isnin, 4 Julai 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Program Bersih dalam kotor!

Posted: 03 Jul 2011 05:00 PM PDT

Seperti saya sebut dalam program Bicara Rakyat, secara langsung di TV1, Jumaat lalu, dalam sistem demokrasi, rakyat ada hak untuk menyuarakan pendapat melalui pelbagai saluran. Tidak salah berdemonstrasi kerana ia dibenarkan oleh Perlembagaan. Asas demokrasi ialah kerajaan daripada rakyat, untuk rakyat. Tetapi satu perkara kita harus ingat, jika kebebasan tersebut boleh menjejaskan kesejahteraan dan keselamatan rakyat, maka demonstrasi perlu difikirkan kembali.

Kenapa tidak dibuat demonstrasi tersebut secara tertutup seperti di stadium? Kenapa harus di jalanan? Adakah suara demonstrasi di kawasan tertutup tidak didengari? Pada saya, di mana jua demonstrasi diadakan, impaknya pasti ada, tidak semestinya di jalanan. Tempat yang paling sesuai untuk berdemo ialah di negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat terutama di Selangor, berhampiran Kuala Lumpur. Bandaraya Kuala Lumpur tidak sesuai disebabkan kepadatan dan kesesakan sedia ada.

Saya masih teringat minggu lalu ketika acara Kuala Lumpur Marathon 2011, bermula jam 5.30 pagi, apabila sesetengah jalan ditutup, kesesakan jalan raya amat dirasai. Kebetulan saya berada di dalam bas ketika itu dari Pulau Pinang. Lebih satu jam bas berlegar-legar di sekitar bandar raya kerana pemandu tidak dapat menurunkan penumpang. Akhirnya saya turun sahaja di tepi jalan untuk balik ke rumah sebagai persiapan memberi ceramah motivasi di Memorial Tun Hussein Onn, pada jam 10.30 pagi. Ceramah motivasi tertunda kerana semua peserta terperangkap dalam kesesakan jalan raya. Dalam hati saya berkata, "ini baru Marathon, bayangkan jika demonstrasi Bersih menjadi kenyataan".

Saya cadangkan jika Marathon yang sama hendak diadakan tahun hadapan, cukuplah sekadar mengelilingi Tasik Perdana (Botani) berkali-kali, tidak perlu menutup banyak jalan sehingga berlaku kesesakan dan menyusahkan rakyat. Masa dan tenaga (termasuk petrol) banyak terbuang.

Lagi pula terdapat begitu banyak tempat strategik lain seperti Stadium Melawati, Shah Alam atau Bukit Jalil, kenapa Bersih masih berdegil untuk berada di tengah bandar raya Kuala Lumpur? Saya yakin, mereka tahu, jika dibuat di luar Kuala Lumpur, sambutannya sudah pasti tidak memberangsangkan.

Mereka tidak mahu melihat seolah-olah demonstrasi tidak ada orang. Maka untuk melihat ramai, medan orang ramai digunakan. Maka tercapailah hasrat untuk menghimpun ratusan ribu orang. Mereka mahu memperlihatkan demonstrasi tersebut benar-benar mendapat sambutan, walaupun hakikat sebenar tidaklah sedemikian.

Saya amat mengharapkan Perkasa, Pemuda UMNO dan Pertubuhan Silat Melayu, yang semuanya umat Islam ingin turun sama berdemonstrasi, tidak bersikap seperti mereka. Apa bezanya kita jika sama seperti mereka. Amat hina sekali melihat pertembungan sesama umat Islam. Biarlah kumpulan ini ditangani oleh polis dan tentera.

Kita selalu membandingkan situasi kita dengan demonstrasi di Thailand. Politik di sana berbeza dengan negara kita. Thailand negara sebangsa, budaya dan cara hidup mereka sama. Begitu juga di Indonesia. Mereka hanya ada dua kumpulan, pro dan anti kerajaan. Berbanding kita, negara berbilang bangsa, agama, budaya dan cara hidup. Politik kepartian amat kuat dan ekstrem.

Tidakkah kita terfikir dengan banyaknya perbezaan ini, ada pihak-pihak tertentu yang akan mengambil kesempatan untuk memecah-belah kita dengan melakukan pelbagai provokasi. Mereka mahu kita berantakan, kerana itu adalah salah satu perancangan mereka.

Cuba buat perbandingan, sedangkan perhimpunan sukan secara tertutup pun pergaduhan berlaku macam seolah-olah tidak kenal saudara. Inikan pula perhimpunan terbuka. Persoalan yang tidak dapat dijawab oleh panelis Pas dalam Bicara Rakyat tempoh hari, apakah jaminan perhimpunan tersebut akan berlangsung dalam suasana aman?

Siapakah yang boleh memberi jaminan tersebut? Maaf cakap, dalam keadaan masyarakat yang terlalu banyak perbezaannya, saya tidak percaya semuanya anggota Bersih yang bertindak seperti malaikat?

Wahai Islam, jangan mudah tertipu dan akhirnya kita akan ditipu. Jika masalah daftar pemilih pilihan raya yang menjadi isu utama, yang sepatutnya lebih sensitif adalah parti-parti politik kerana mereka yang akan bertanding. Bukannya NGO seperti yang didakwa. Apa kepentingan NGO dalam daftar pilihan raya kalau bukan untuk mencari publisiti? Jangan terpedaya dengan permainan silap mata ini.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Kebebasan mengeluarkan fikiran

Posted: 03 Jul 2011 05:00 PM PDT

Sebagai rakyat Malaysia, kita mempunyai kebebasan dan hak yang dijamin Perlembagaan. Hak ini secara amnya terkandung di dalam Bahagian II Perlembagaan Persekutuan dan merangkumi pelbagai aspek seperti kesamarataan, kebebasan beragama, berhimpun, berpersatuan dan bergerak.

Menurut Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan, tiap-tiap warganegara berhak bebas bercakap dan mengeluarkan fikiran (ekspresi). Kebebasan ini bukan setakat memberi hak untuk anda memberikan pandangan dan pendapat, tetapi juga merangkumi apa-apa cara anda mengeluarkan fikiran anda. Sekiranya anda menari dan menyanyi, anda mengeluarkan fikiran.

Sekiranya anda mendeklamasi sajak, anda mengeluarkan fikiran. Cara anda berpakaian, warna yang anda pilih, baju yang anda pakai semuanya merupakan amalan pengeluaran fikiran yang termaktub sebagai kebebasan asasi di bawah Perlembagaan.

Adakah kebebasan ini mutlak? Sudah tentu tidak. Perkara 10(2)(a) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Parlimen boleh melalui undang-undang mengenakan sekatan ke atas kebebasan bersuara dan mengeluarkan fikiran apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau suai manfaat demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, hubungan baik dengan negara-negara lain, ketenteraman awam atau prinsip moral dan sekatan-sekatan yang bertujuan untuk melindungi keistimewaan Parlimen atau mana-mana Dewan Undangan atau untuk membuat peruntukan menentang penghinaan mahkamah, fitnah, atau perbuatan mengapi-apikan sesuatu kesalahan. Maka sememangnya kebebasan ini boleh disekat.

Tetapi, sekatan itu haruslah melalui undang-undang. Maknanya, harus terdapat undang-undang sedia ada untuk menjadi asas bagi menyekat kebebasan tersebut. Tanpa apa-apa undang-undang terpakai, mana-mana pihak tidak boleh secara sewenang-wenangnya menyekat kebebasan bersuara dan mengeluarkan fikiran. Tanpa asas undang-undang, apa-apa tindakan mana-mana pihak adalah tidak berperlembagaan.

Di samping itu, tidak lama dahulu, Mahkamah Persekutuan, Mahkamah tertinggi negara, juga telah memutuskan bahawa kebebasan-kebebasan asasi yang termaktub di dalam Perlembagaan harus diberi makna dengan luas manakala peruntukan yang mengehadkan atau menyekat kebebasan pula harus diberi makna yang sempit dan terhad. Di dalam konteks kebebasan bercakap dan mengeluarkan fikiran, Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa perkataan berpatutan (atau dalam bahasa Inggeris, 'reasonable') harus dibaca ke dalam peruntukan yang membenarkan sekatan.

Maka, apa-apa sekatan yang dikenakan melalui undang-undang haruslah berpatutan. Adakah sekatan ke atas hak itu suatu keperluan berpatutan dan wajar demi mencapai salah satu matlamat yang digariskan di dalam Perlembagaan? Interpretasi ini telah memberi dimensi baru kepada sekatan-sekatan yang dibenarkan oleh Perlembagaan. Sekatan yang dikenakan harus diukur dengan kayu ukur 'berpatutan'.

Di samping itu, Mahkamah juga telah memutuskan bahawa apa-apa tindakan yang dikenakan untuk menyekat sesuatu kebebasan haruslah juga berkadaran ('proportionate') dengan matlamat sah yang mahu dicapai. Apa maksudnya berkadaran? Maknanya, jika mengupas kacang, janganlah menggunakan tukul besi. Ianya bukanlah sekadar jika cara berpakaian dihalang demi menjaga ketenteraman awam, misalnya. Mahkamah berhak membatalkan tindakan- tindakan yang tidak berkadaran dengan matlamat yang ingin dicapai.

Kita harus sentiasa ingat akan prinsip asas konsep keperlembagaan, iaitu hak kita termaktub dan dijamin Perlembagaan dan hanya boleh disekat oleh peruntukan-peruntukan terhad di dalam Perlembagaan.

Hak kita datangnya dan dijamin oleh Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi negara, dan bukannya hanya apabila dibenarkan oleh mana-mana institusi atau individu. Apa-apa tindakan yang diambil yang tidak mengikut undang-undang, bukan merupakan sekatan yang berpatutan atau wajar atau tidak berkadaran dengan matlamat adalah tindakan yang tidak berperlembagaan dan tidak sah di sisi undang-undang.

Oleh itu, kita tidak harus khuatir bercakap atau mengeluarkan fikiran. Teruskan nyanyian, teruskan ucapan, teruskan tari menari, teruskan warna-warni, teruskan cara berpakaian, teruskan bersajak, melukis dan mengekspresikan diri anda. Kita punya hak berbuat demikian.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved