Sabtu, 2 Julai 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Bersih enggan bincang SPR

Posted: 01 Jul 2011 05:00 PM PDT

Bersih enggan bincang SPR

SHAH ALAM – Gabungan Pilihan raya Bersih dan Adil (Bersih) 2.0 enggan mengadakan lagi perbincangan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana mendakwa suruhanjaya itu berpihak kepada Barisan Nasional (BN).

Pengerusinya, Datuk S Ambiga berkata, SPR tidak bertindak sebagai badan bebas dalam menyuarakan pandangan terutamanya apabila mendakwa Bersih 2.0 sebagai alat parti pembangkang.

"Sebelum tuduh kami tidak bebas, sepatutnya (Timbalan Pengerusi SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar perlu berfikir dan bebas (daripada BN). Wan Ahmad bukan penjawat awam kerana sebagai wakil badan yang bebas, beliau tidak sewajarnya menyatakan pandangan berat sebelah dan berpihak kepada BN.

"Tiada guna untuk berbincang sedangkan SPR sendiri tidak faham tujuan sebenar Bersih 2.0 sebagai badan bebas yang memperjuangkan hak pilihan raya yang bebas dan adil," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Beliau berkata, Bersih belum berpuas hati dengan sistem pilihan raya negara kerana tiada tindakan yang dikenakan semasa Pilihan Raya Negeri Sarawak pada Mac lalu.

"Perbincangan tidak akan menyelesaikan masalah kerana setiap tuntutan kami tetap tidak dipenuhi.

"Malah, perhimpunan pada 9 Julai depan juga bukan langkah tergesa-gesa kerana Bersih 2.0 hanya mahukan lapan tuntutan itu dipenuhi dan dilaksanakan sebelum pilihan raya umum akan datang," katanya.

Bagaimanapun, Ambiga mengakui terdapat beberapa tuntutan sebelum ini perlu melalui pelbagai prosedur peringkat perlembagaan dan undang-undang.

"Lapan tuntutan kami merupakan permintaan singkat yang boleh dilaksanakan serta-merta atau ketika Pilihan Raya Umum ke-13, nanti" katanya.

Ditanya mengenai tekanan pelbagai pihak menentang agenda perhimpunan Bersih, Ambiga berkata, ia adalah intimidasi (perilaku agresif yang sengaja) dilakukan untuk memberi tekanan kepada agenda Bersih.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Nasib bekas tentera terbela

Posted: 01 Jul 2011 05:00 PM PDT

Nasib bekas tentera terbela

Akta Veteran Tentera dijangka menambah baik kebajikan kepada mereka yang pernah berkhidmat dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Pelaksanaannya membuktikan kerajaan tidak pernah memandang ringan nasib mereka yang memperjuangkan nyawa demi pertiwi walaupun akhir-akhir ini tiada lagi ancaman komunis. Namun, malangnya kekurangan pengetahuan membuatkan usaha murni ini menjadi samar akibat tangan-tangan tidak bertanggungjawab. Ikuti wawancara wartawan, MOHD FAZLI ZAINUL ABIDIN dan ARHIZA AHMAD serta jurufoto, NOOR IZATI JAAFAR bersama Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Datuk Seri, apakah yang dimaksudkannya dengan Akta Veteran Tentera?

AHMAD ZAHID: Akta Veteran Tentera adalah bertujuan menjaga kebajikan mana-mana bekas anggota dan keluarga yang pernah berkhidmat kepada negara, tidak kira mereka menyertai mana-mana persatuan, menamatkan perkhidmatan awal dan berpencen. Sebelum ini, mereka yang menamatkan perkhidmatan lebih awal langsung tidak diendahkan lebih-lebih lagi tidak menyertai mana-mana persatuan bekas tentera. Akta ini telah mendapat bacaan pertama pada sesi Dewan Rakyat lalu dan Kementerian Pertahanan telah mengadakan taklimat untuk menjelaskan butiran kepada semua 48 persatuan bekas tentera termasuk kumpulan terbesar iaitu Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM). Sepanjang pertemuan dan perbincangan dilakukan, terdapat dua perkara yang dibangkitkan iaitu, Majlis Veteran Kebangsaan hendaklah disertai wakil persatuan veteran (bekas) dan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) tidak menjadi pendaftar kepada persatuan-persatuan veteran. Dua perkara berkenaan yang mereka perjuangkan.

Adakah terdapat mana-mana akta membolehkan kehendak mereka dituruti dan asas yang menentukan penubuhan Majlis Veteran?

AHMAD ZAHID: Dalam perkara ini, terdapat fasal 17 menyebut hendaklah ada lima keanggotaan ahli majlis hendaklah dibuat. Di mana kami telah melakukan perbincangan bersama Jabatan Peguam Negara secara khusus meletakkan satu klausa yang membolehkan meletakkan dua daripada lima ahli adalah dari kalangan veteran tentera. Ini bagi mewujudkan keseimbangan suara ahli dianggotai veteran. Jika dipersetujui Jabatan Peguam Negara ia akan melalui bacaan kali kedua di dewan. Ini merupakan tindakan kepedulian daripada kerajaan tanpa berkompromi dari segi keutamaan untuk memfokuskan hal ehwal kebajikan kepada veteran dan ahli keluarga.

Bagaimana pula yang terdapat dakwaan meminta Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran tidak terlibat dengan hal ini?

AHMAD ZAHID: Penubuhan ini adalah diambil daripada asas penubuhan Majlis Sukan Negara (MSN) di mana Ketua Pengarahnya menjadi pendaftar pertubuhan atau persatuan veteran. Ini dibuat supaya semua persatuan yang menjaga hal ehwal tentera dapat dikawal terutamanya dalam memberikan bantuan. Atas asas dan sebab itulah kita melaksanakannya, bukannya satu usaha pengongkongan.

Adakah sebelum ini melalui PBTM, masih terdapat bekas tentera yang tidak dibela dengan sepatutnya?

AHMAD ZAHID: Inilah yang sedang dibaiki, sebelum ini melalui PBTM, mereka hanya memberikan bantuan kepada ahlinya sahaja, di mana lebih 50 peratus lagi pesara tidak menjadi ahli tidak mendapat pembelaan, sedangkan semua bekas tentera hendaklah dibantu. Oleh hal demikian, akta ini akan mengambil kira mereka yang pernah berkhidmat dengan ATM akan diberikan bantuan mengikut kelayakan.

Kenapa adanya beberapa pihak yang masih mahukan pindaan terhadap akta ini, sedangkan ia adalah untuk kebaikan bekas tentera sendiri?

AHMAD ZAHID: Kita risau terdapat dalang di belakang yang mahu menjaga kepentingan peribadi berbanding kebajikan bekas tentera. Itu yang menjadi perhatian, bagaimanapun kehadiran mereka tidak menyekat usaha murni kerajaan. Bukan hanya bercakap sahaja, kita mempunyai asas dan ada menerima bantahan berkenaan perkara ini, sepatutnya persatuan menjaga ahli, bukannya menjaga kepentingan individu dalam persatuan. Tindakan dilakukan kerana ramai di luar sana lebih memerlukan perhatian.

Adakah yang dimaksudkan dengan kumpulan dikatakan tercicir dan kesempatan ini digunakan parti politik untuk mengambil kesempatan. Apakah pandangan Datuk Seri?

AHMAD ZAHID: Sebenarnya mereka ini tercicir bantuan kerana tidak menjadi ahli kepada PBTM, oleh itu mereka tidak mendapatkan bantuan yang sepatutnya. Bayangkan seramai 300,000 bekas tentera, hanya sebahagian yang menjadi ahli, mereka ini yang dikatakan tidak mendapat bantuan sebenarnya. Kena kaji juga kenapa masih ada bekas tentera masih tidak menyertai PBTM. Sebaliknya melalui majlis veteran semua akan dapat.

Kenapa tidak terus memberikan PBTM sebagai hos atau ketua membela nasib bekas tentera?
AHMAD ZAHID: Ini yang menjadi masalah, apabila mereka menjadi ketua, akan berlaku keciciran, bukan kerana tidak melakukan tugas yang baik, tetapi ia diakibatkan kerana bekas tentera tidak menjadi ahli kepada badan induk berkenaan, sedangkan mereka layak menerimanya. Inilah yang kerajaan cuba baiki, dan memberikan ... Ini merupakan satu kebaikan kepada mereka, iaitu bekas tentera.

Bagaimana jika terus dibantah, adakah akta ini akan diteruskan?

AHMAD ZAHID: Saya akan melihat secara menyeluruh, bukan hanya segelintir dan menjadi parasit kepada yang lain. Kemungkinan diteruskan melalui peringkat jawatankuasa dan diluluskan sebelum ke dewan negara mengikut produser tertentu termasuklah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong. Jika berterusan kita akan menafikan kebajikan yang akan diberikan kepada veteran dan perkara yang sepatutnya dilambatkan. Ini tidak elok.

Adakah pelaksanaan ini dilakukan kerana kepentingan dan strategi politik Barisan Nasional?

AHMAD ZAHID: Ini bukan politik sama sekali, kerana dari parti politik mana pun seseorang itu, mahupun Barisan Nasional dan Pakatan Pembangkang, mereka berhak menerimanya, asalkan pernah berkhidmat dalam ATM. Banyak kebaikan yang akan diperoleh kepada ahli dan keluarganya yang sebelum ini dianggap tercicir.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved