Rabu, 6 Julai 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Kisah Luqman, anak dan keldai

Posted: 05 Jul 2011 05:00 PM PDT

Jika ada yang tersengguk ketika mendengar khutbah Jumaat di zaman IT ini memanglah orang itu kaki tidur.

Tidak cukup dengan penyampaian khatibnya yang mantap dan topiknya yang menarik lagi terkini, kandungan khutbah yang disampaikan di banyak masjid kini tertera di skrin raksasa di sebelah mimbar.

Sebut sahaja apa isunya; fitnah? mat rempit? dadah? bahaya rokok? tanggungjawab anak kepada ibu bapa? pemimpin yang dikehendaki Islam? Kalau anda orang yang rajin simpan maklumat, memang banyak bahan boleh dikumpulkan untuk buat buku atau rujukan. Terbaru ialah isu himpunan Bersih 2.0 anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dijadualkan Sabtu depan.

Wilayah Persekutuan, yang jadikan isu itu fokus khutbahnya, menyifatkan penganjurnya itu sebagai gerakan pelampau.

Serentak dengan itu khutbah di 150 masjid, termasuk yang di Putrajaya, mengupas isu bertajuk "memelihara Nikmat Keamanan".

Antara lain, teks khutbah itu menekankan mengenai pentingnya tindakan memelihara keamanan, suasana yang dituntut semua agama, apatah lagi Islam.

Ia beri peringatan betapa negara yang tidak ambil pusing mengenai kepentingan keamanan negara dan keharmonian rakyat mereka bukan sekadar ketinggalan dan mundur dalam aspek kemajuan dan pembangunan, bahkan keselamatan hidup rakyat turut terancam.

Isu himpunan Bersih 2.0 ini menarik minat meluas. Pemimpin dan masyarakat di semua peringkat sudah mengeluarkan hujah. Ada yang realistik, ada yang barangkali ikut emosi. Datuk Seri Najib Razak dengan jelas menyatakan jika ia mahu, UMNO mampu mengerahkan tiga juta ahlinya menentang hasrat golongan yang mahu mewujudkan kekacauan melalui demonstrasi jalanan, tetapi ia tidak akan lakukannya kerana itu bukannya cara bertanggungjawab dalam mencari penyelesaian.

Pilihan raya sentiasa diadakan apabila tiba masanya dan semua pihak boleh ambil bahagian semasa berkempen.

Najib menegaskan BN menang disebabkan mendapat sokongan rakyat. Beliau sendiri tidak rela menjadi Perdana Menteri hasil penipuan, tetapi mahu jadi PM kerana rakyat sukakan BN. Malah, Najib membengkokkan badan ke belakang, memberi tawaran kepada pihak yang mahu meluahkan perasaan mereka berkumpul di stadium. Dan syukur, tawaran itu diterima.

Pengerusi Bersih 2.0, Datuk S Ambiga juga diperkenan menghadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong semalam.

Jawatankuasa pemandu Bersih 2.0 telah adakan mesyuarat dua hari lalu dan memutuskan ia patuhi titah Agong. Ini bermakna perhimpunan yang mendebarkan jantung rakyat dibatalkan. Pemuda UMNO memutuskan tidak akan berhimpun, begitu juga Perkasa.

Empat sasterawan negara - Datuk Shahnon Ahmad, Muhammad Haji Salleh, Datuk Noordin Hassan dan Datuk Dr Anwar Ridhwan - tampil semalam untuk menggesa semua yang ditahan menjelang perhimpunan Sabtu ini dibebaskan segera dan pintu rundingan sentiasa dibuka. Bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin cadangkan gabungan itu terima tawaran PM untuk buat di stadium dengan meminta wakil Agong hadir menerima surat bantahan.

Semua cadangan yang baik patut dialu-alukan, asalkan selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin kelmarin agar setiap permasalahan yang timbul diselesaikan secara rundingan dan tidak mengikut perasaan.

Baginda juga mahu kerajaan laksanakan amanah secara adil dan bijaksana.

Saya ingin percaya segala apa diluahkan oleh semua pihak dalam isu ini tidak lain, kecuali ikhlas untuk mencapai matlamat, iaitu kesejahteraan rakyat.

Rundingan adalah jalan paling baik mengatasi segala kekalutan. Tidak merugikan masa, wang, tenaga dan tiada ancaman kepada keselamatan jiwa dan menjejas imej negara di mata dunia. Yang perlu dikorbankan adalah ego.

Ini negara kita. Kita tentukan masa depan generasi kita.

Akhir kalam, saya ingin kongsi kisah Luqmanul Hakim yang bawa anaknya jelajah beberapa kawasan dengan seekor keldai sebagai pengajaran. Di tempat pertama, dia menunggang keldai, anaknya berjalan. Orang di situ menuduh dia tidak bertimbang rasa. Di tempat kedua, anaknya menunggang, dia berjalan dan orang di situ berkata, anaknya biadab. Di tempat ketiga, kedua mereka menunggang keldai, orang kata mereka tiada berperikemanusiaan. Di tempat ke empat, kedua mereka berjalan, dikatakan bodoh dan di tempat kelima mereka tanggung keldai, lalu dikatakan gila.

Mesejnya sangat mudah, iaitu dalam hidup ini, yang penting ialah tepuk dada, tanya iman, bukan tanya nafsu dan tentunya bukan jadi macam itik pulang petang.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Polemik kuota, persaingan terbuka

Posted: 05 Jul 2011 05:00 PM PDT

Terjungkit sedikit kening tatkala membaca berita akhbar: "Kabinet lulus 30 peratus wanita buat dasar sektor korporat". Kata Perdana Menteri, jemaah menteri telah lulus dasar perlu ada paling kurang 30 peratus wanita di peringkat pembuat keputusan dalam sektor korporat. Pihak korporat diberi tempoh peralihan lima tahun untuk tingkat bilangan wanita sebagai ahli lembaga pengarah dan memegang jawatan tertinggi di syarikat masing-masing.

Apa implikasi kuota ini pada wanita korporat Malaysia?

Perkara pertama terlintas di minda: sekiranya saya diberi pengiktirafan di peringkat pembuat keputusan, saya akan berasa sangsi, sama ada dinaikkan pangkat kerana layak atau majikan sekadar mahu penuhi kuota? Maaf saya pesimis, tetapi kuota hanya menggalakkan complacency. Untuk apa kita bersaing? Sistem kuota pasti akan bantu wanita kita.

Jangan salah anggap, saya sebenarnya ngeri dengan perkataan 'kuota'. Ketika duduki Sijil Amalan Guaman pada 1999, khabar angin tersebar luas - kuota lulus untuk peperiksaan paling getir bagi bakal peguam itu cuma 30 peratus sahaja. Maknanya, walau sekuat mana saya belajar, saya tetap menjadi subjek terhadap kuota tersebut. Kata si penyebar khabar angin itu, kuota tersebut untuk memastikan tidak terlalu ramai peguam membanjiri pasaran pekerjaan negara.

Aduh, hampir setahun saya tidak lena tidur memikirkannya. Bila difikirkan kembali, terasa amat dangkal sekali. Sepatutnya yang tentukan gagal atau lulus ialah apa yang saya jawab di kertas periksa, bukannya kuota. Bertitik-tolak dari itu, saya sentiasa skeptikal bila berdepan dengan 'kuota'.

Mungkinkah kuota baru ini dikuatkuasakan kerana jemaah menteri enggan wanita Malaysia alami nasib sama seperti wanita di German? Kajian oleh German Institute for Economic Research menunjukkan dalam 900 ahli lembaga pengarah di 200 syarikat gergasi German, ada 29 wanita.

Angka di atas menyimpulkan bahawa ekonomi terbesar Eropah itu, masih di belakang China dan India, dalam usaha menggembleng peluang korporat yang sekata tanpa mengira jantina. Ketua penyunting sebuah akhbar terbesar di German, Bashca Mika, juga seorang perempuan – telah menyelar kaum sendiri yang rata-rata memilih meninggalkan dunia korporat atas alasan perlu urus perkara domestik dan besarkan anak-anak di rumah.

Di persimpangan ini, saya setuju dengan Bashca. Secara peribadi, bukan sekali saya terfikir untuk gantung jubah mahkamah dan kasut tinggi buat selama-lamanya. Bukan sekali dikelar rasa bersalah kerana tidak cukup masa untuk bersama Luqman.

Jika pilihan tidak terbatas, saya juga akan menjadi sebahagian dari statistik yang merumuskan bahawa ramai wanita memilih meninggalkan bidang profesional, ketika umur antara 30 - 40 tahun, satu fasa kritikal di mana pekerja profesional mampu menyumbang secara optimum dalam bidang masing-masing. Walaupun ada di antara mereka memilih untuk kembali berkhidmat setelah anak-anak meningkat dewasa, tetapi mereka tetap terkebelakang dari segi pengalaman dan konsistensi.

Namun suara saya tidak mewakili wanita seantero dunia. Di Zimbabwe misalnya, delegasi yang hadir persidangan antarabangsa ekonomi dan politik 2011, sokong penuh sistem kuota wanita di peringkat membuat keputusan. Tetapi mengapa perlu memandang ke belakang? Seperti kata Zeffri Yusof dalam ruangan beliau, imbuhan kuota wanita dalam sektor korporat, seperti memberi gambaran kepada ungkapan sinis yang berbunyi: "there you go; now you can play in the boardroom with the boys".

Pendekatan lebih praktikal boleh dicapai jika wanita diperkasa melalui persaingan di landasan sama tanpa perlu dipapah sistem kuota. Bantuan boleh difikirkan dengan cara sediakan khidmat childcare yang mantap di pejabat atau memberi jadual kerja yang lebih fleksibel dan mesra keluarga.

Dalam usaha meningkatkan modal insan, sistem kuota hanya akan jadi batu penghalang kedua jantina mencari pengiktirafan atas dasar meritokrasi – sistem yang menghakimi pekerja atas kemampuan dan pengalaman tanpa kira warna kulit atau jantina.

Untuk saya, waima dengan kuota menyebelahi wanita – budaya berlumba dalam sektor korporat tidak pernah bikin saya teruja. Sekiranya kebebasan kewangan berada di genggaman, saya akan usung beg sandang, sarung sandal lasak di kaki lalu mengembara ke setiap destinasi eksotik dunia. Anda bagaimana?

*Elviza, peguam yang berkicau di http://twitter.com/elviza.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved