Sinar Harian :: Suara Cakna Anda |
Blogger diperintah bayar RM300,000 Posted: 19 Jul 2011 05:00 PM PDT Blogger diperintah bayar RM300,000
KUALA LUMPUR - Seorang blogger diperintah Mahkamah Tinggi, di sini semalam membayar ganti RM300,000 kepada Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim kerana memfitnah beliau dalam satu artikel.
Hakim Datin Zabariah Mohd Yusof juga memerintahkan Amizudin Ahmat membayar kos RM100,000 kepada Rais. Pada 1 Jan lalu, Rais, 69, memfailkan saman terhadap Amizudin, 42, yang juga anggota jawatankuasa Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), berhubung artikel yang disiarkan dalam blog, sharpshooterblogger.blogspot.com. pada atau sekitar 28 Dis tahun lalu. Dalam penghakimannya, Hakim Zabariah berkata, bahawa setelah mengambil kira fakta dan bentuk fitnah yang dilakukan oleh Amizudin dalam blognya dan juga nilai wang semasa, jumlah yang diberikan kepada Rais adalah munasabah. Katanya, fitnah itu sangat serius, dan jika seseorang itu mempercayainya, bukan sahaja reputasi Rais akan terjejas di peringkat nasional dan antarabangsa, tetapi yang lebih penting ialah kesannya terhadap kehidupan Rais dan keluarga. Hakim Zabariah berkata, dalam menetapkan jumlah ganti rugi itu, mahkamah mendapati tidak ada keterangan yang boleh mengaitkan Rais dengan perbuatan salah laku sehingga mendorong Amizudin mengeluarkan artikel berkenaan. "Apa yang jelas ialah defendan ini berada dalam kem politik berlainan," katanya. Beliau berkata, fitnah itu melibatkan perbuatan merogol seorang individu dari negara lain dan ini tuduhan paling kotor yang dibuat terhadap seseorang. Katanya, tuduhan itu juga tidak sihat daripada segi hubungan diplomatik dan kemarahan negara jiran itu memandangkan terdapat kes-kes warga negara berkenaan didera ketika bekerja sebagai pembantu rumah di negara ini. Menurutnya, artikel itu diterbitkan dalam satu laman blog yang dapat diakses oleh sesiapa saja, termasuk di luar negara. Hakim Zabariah berkata, daripada keterangan yang ada, perbuatan Amizudin mengeluarkan artikel itu dahulu sebelum memastikan kesahihannya, adalah tindakan cuai. "Ini jelas daripada keterangannya bahawa dia pergi ke Jakarta untuk menyiasat hanya selepas dia mengeluarkan artikel itu dalam blognya. Dia berada di sana selama tiga hari dan gagal mendapatkan pengesahan terhadap dakwaannya itu daripada wanita yang dikatakan mangsa," katanya. Selepas itu katanya, Amizudin tidak lagi mengambil apa-apa tindakan dan ini menunjukkan dia tidak kisah mengenai kesahihan artikelnya terhadap Rais. Di luar mahkamah, Rais, yang diiringi isterinya, Datin Seri Masnah Rais, ketika ditanya pemberita, berkata keputusan mahkamah itu adalah pengajaran kepada masyarakat, khususnya mereka yang hanya meluangkan masa menulis mengenai orang lain, supaya berhati-hati. Rais diwakili peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah dan Azad Bashir, manakala Amizudin diwakili peguam William Leong.- Bernama Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
Lelaki dituduh rogol dalam tandas awam Posted: 19 Jul 2011 05:00 PM PDT Lelaki dituduh rogol dalam tandas awam
KUALA LUMPUR – Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam terhadap tuduhan merompak dan merogol dua wanita di dalam tandas awam. Endry Roni Afandi, 27, dituduh merompak wanita berusia 32 tahun dengan bersenjatakan sebilah pisau pemotong sayur dan merogolnya antara jam 5.15 dan 5.30 petang dalam tandas awam stesen Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) di sini, 8 Julai lalu. Dia dituduh melakukan perbuatan yang sama terhadap seorang wanita lain berusia 24 tahun antara jam 2 dan 5 petang, dalam tandas di stesen minyak Shell, Danau Kota, Setapak di sini, selang dua hari selepas itu. Bagi tuduhan merompak, Endry Roni dituduh mengikut Seksyen 392/ Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebatan jika sabit kesalahan. Pertuduhan merogol pula mengikut Seksyen 376(2) (b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan. Hakim, Emelia Kaswati Mohamad Khalid membenarkan Endry Roni dijamin RM40,000 dengan dua penjamin bagi keempat-empat pertuduhan itu serta perlu melapor diri di balai polis berdekatan pada setiap Isnin. Perbicaraan pertuduhan pertama dan kedua ditetapkan pada 10 dan 11 Oktober depan manakala pertuduhan ketiga dan keempat pada 24 dan 25 Oktober 2011. Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Ain-Nur 'Amiyerra Awod Abdullah sementara Endry Roni diwakili peguam, Rosnan Hassan. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Sinar Harian :: Suara Cakna Anda To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan