Isnin, 13 Jun 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Lima pemimpin ditukar

Posted: 12 Jun 2011 05:00 PM PDT

Lima pemimpin ditukar KUALA LUMPUR – Lima Pesuruhjaya negeri ditukar setelah Jawatankuasa Pas Pusat selesai bermesyuarat buat kali pertama petang semalam yang dipengerusikan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang selepas Muktamar Pas ke-57 baru-baru ini.

Lima negeri yang bertukar kepimpinan adalah Selangor, Dr Abd Rani Osman menggantikan Datuk Dr Hasan Ali; Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut menggantikan Datuk Harun Taib dan Negeri Sembilan, Mohd Taufek Abd Ghani menggantikan Zulkifli Mohamad Omar.

Dua negeri lagi adalah Melaka, Adli Zahari menggantikan Abdul Ghani Abdul Rahman dan Sabah iaitu Aminuddin Alim menggantikan Mohamad Abdullah.

Bagi Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Mustafa Ali dikekalkan sebagai Setiausaha Agung manakala Datuk Abd Halim Abd Rahman dilantik menjadi Bendahari Agung. Jawatan Ketua Penerangan pula diberi kepada Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Dr Mohd Hatta Ramli menjadi Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat.

Pada sidang media selepas itu, Hadi mengumumkan terdapat tujuh Ahli Jawatankuasa Pas Pusat tambahan yang dilantik untuk penggal 2011-2013 kali ini.

"Tujuh mereka yang dilantik adalah Nasharudin Mat Isa, Idris Ahmad, Asmuni Awi, Anuar Tahir, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus dan Zulkefly Mohamad Omar.

"Insya-Allah semua mereka akan menerima jawatan ini dan tugas mereka akan bermula sejurus selepas Setiausaha Agung menyerahkan surat tauliah," katanya.

Dalam perkembangan lain, mengulas mengenai kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang menyifatkan negara berkebajikan Pas hanyalah topeng untuk mendapatkan undi bukan Islam, Hadi berkata kenyataan tersebut datangnya dari seorang yang 'tidak membaca'.

Menurutnya, kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) mengeluarkan pelbagai kenyataan mengenai negara berkebajikan yang dibawa Pas jelas membuktikan bahawa pemimpin mereka 'kepanasan' kerana bimbang rakyat tidak lagi menyokong mereka.

"Bagi peluang Pas memerintah selama satu penggal, kita akan buktikan apa itu negara berkebajikan, kita akan hapuskan banyak cukai persendirian tetapi akan tingkatkan cukai daripada yang kaya," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Mat Sabu hadapi tugas berat

Posted: 12 Jun 2011 05:00 PM PDT

Mat Sabu hadapi tugas berat MOHAMAD SABU atau popular dengan gelaran 'Mat Sabu' merupakan seorang pemimpin yang digeruni dengan sikap agresifnya ketika berceramah sehinggakan lawan pernah menggelarnya 'ayam tambatan Pas'. Beliau juga pernah menjadi Ahli Parlimen Kuala Kedah dari 1999 hingga 2004 dan juga Ketua Pemuda Pas. Ikuti wawancara Wartawan Sinar Harian, MOHAMMAD FAIRUZ JUMAIN bersama Timbalan Presiden Pas yang baru dipilih itu.

Apakah perasaan pertama yang muncul selepas diumumkan sebagai pemenang timbalan presiden baru-baru ini?

MAT SABU: Selepas menang sudah tentu perkara pertama yang saya bayangkan adalah tanggungjawab yang semakin berat, kerana tugas dan amanah yang dipikul bukannya kecil. Selain itu saya mendapat banyak undangan, ceramah dan jemputan lebih daripada dahulu. Begitu juga hal-hal parti yang saban hari ada sahaja perlu diuruskan kerana Pas adalah sebuah parti besar. Meskipun perkara ini sudah dijangka tetapi saya tidak boleh bayangkan apa saya lalui sekarang selepas muktamar baru-baru ini.

Ketika proses pencalonan sedang berlangsung, saudara sudah pun mendahului calon-calon lain. Adakah kemenangan ini sudah dijangka sejak awal?

MAT SABU: Sebenarnya saya menjangkakan kemenangan yang lebih besar, tetapi saya terkejut kerana kemenangan saya boleh dikatakan kemenangan tipis sebab sebelum ini saya melihat kecenderungan rakyat dan Pakatan Rakyat (PR). Barangkali juga keputusan ini menunjukkan ahli-ahli Pas amat sukar membuat keputusan kerana semua calon amat berpengaruh. Mungkin juga kemenangan tipis ini kerana ahli kita beranggapan Pas lari daripada dasar sebelum ini dan juga masih berkira-kira untuk meletakkan calon timbalan presiden dari golongan bukan ulama. Saya tidak marah sedikit pun dengan perwakilan kerana mereka memilih percaturan yang besar. Bagi saya, kemenangan ini adalah amanah kerana selepas kemenangan saya, parti tetap sama, dasar masih sama dan struktur organisasi tetap sama di mana kumpulan tertinggi dalam parti adalah Majlis Syura Ulama Pas.

Adakah jangkaan saudara yang boleh menang dengan lebih besar kerana penyertaan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man merebut kerusi tersebut telah memecahkan undi kelompok ulama?

MAT SABU: Ya, saya memang yakin begitu, tetapi ia sebenarnya bukan tindakan pecahkan undi kerana ahli lebih cenderung kepada semua calon. Semua calon sebenarnya menyokong PR tetapi mungkin ada ahli beranggapan bahawa saya boleh lebih ke hadapan bersama PR.

Banyak pihak mengatakan hubungan saudara dengan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebenarnya renggang. Sejauh mana kebenaran dakwaan ini?

MAT SABU: Anwar memimpin parti PKR, Karpal Singh memimpin DAP dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula memimpin Pas. Kami semua berada dalam satu pakatan, iaitu mengamalkan budaya persefahaman antara kami. Jadi soal hubungan saya dengan Anwar berjalan dengan baik, kami boleh berada di atas satu pentas sebab kami menghadapi musuh yang sama iaitu UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Selepas memenangi jawatan ini, adakah saudara akan memperlahankan sifat dikenali sebagai 'agresif' oleh lawan dan kawan?

MAT SABU: Ramai yang beranggapan saya seorang yang agresif, mereka melihat dari sudut saya berceramah dan sebagainya. Bagi saya karakter asal saya tidak akan boleh berubah kerana saya memang begitu. Saya juga boleh bergaul dengan sesiapapun, makan di tempat-tempat biasa. Tetapi selepas menang ini, saya akan cuba bercakap lebih lembut, dengan fakta dan cuba berubah dengan lebih baik kerana ia perlu sebagai pemimpin. Saya juga sedar cara kita berceramah amat berpengaruh kepada orang ramai.

Selepas memenangi timbalan presiden, semua orang bercakap macam-macam mengenai saudara. Adakah sedikit sebanyak cakap-cakap ini mempengaruhi saudara?

MAT SABU: Saya hairan, selepas saya menang semua bercakap, seolah-olah ia menjadi satu 'frenzy'. Saya sebenarnya orang kerdil dalam parti, terus-terang saya katakan saya amat terkejut dengan reaksi ini. Bagi saya tiada apa-apa keistimewaan, apa yang paling penting adalah kita perlu bekerja keras untuk parti dan perjuangan kita serta membantu presiden. Tugas berat saya adalah membawa rakyat menyokong PR dan menolak BN dalam proses demokrasi.

Berkenaan kerajaan perpaduan, sejak beberapa tahun ini, UMNO tidak berputus asa mengajak Pas bersama?

MAT SABU: UMNO memang mahukan perpaduan tetapi perangai dan akhlak mereka pula tidak menunjukkan ke arah perpaduan. Sebagai contoh ketika mereka mahu berbincang mengenai perpaduan, mereka tarik royalti minyak Kelantan dan mengkhianati perjanjian yang dibuat. Mereka mengkhianatinya ketika bekas Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah masih hidup. Mereka melakukannya kerana Pas menjadi ketua di Kelantan, negeri yang juga 95 peratusnya orang Melayu Islam. Dahulu mereka juga pernah menarik royalti minyak di Terengganu. Jadi adakah ini gerak kerja UMNO ke arah kerajaan perpaduan? Dahulu kita bersama BN tetapi kita kehilangan sokongan ahli dan apabila Pas dikeluarkan dari BN pada tahun 1977, Pas berada di tahap yang paling lemah dan kita terpaksa membina semula kekuatan parti hingga ke hari ini. Apabila Pas hari ini kuat, UMNO mengajak pula kita bersama dengan mereka, saya tegaskan di sini bahawa Pas sudah tidak yakin lagi dengan UMNO.

Adakah Pas tetap dengan pendirian menolak kerajaan perpaduan yang dianjurkan UMNO?

MAT SABU: Saya kata buat masa sekarang, sebab politik ini sering berubah mengikut peredaran masa. Kita tidak tahu keadaan masa depan bagaimana, mungkin pemimpin tertinggi UMNO menyokong Pas, tetapi buat masa sekarang Pas tetap bersama dengan PR.

Bagaimana pula hubungan peribadi saudara dengan pemimpin-pemimpin UMNO dan BN?

MAT SABU: Hubungan peribadi saya dengan pemimpin UMNO adalah baik, tidak ada masalah, tetapi hubungan parti bagi saya tidak ada. Dua perkara ini adalah berlainan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved