Jumaat, 17 Jun 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Bukan semua lelaki suka poligami

Posted: 16 Jun 2011 05:00 PM PDT

Kelab Isteri Taat atau KIT - menarik sungguh nama itu. Tapi yang lebih menarik, apabila seorang pemimpin KIT bersuara, ramai yang curiga. Bukan saja wanita, lelaki pun curiga.

Barang kali lelaki yang curiga pada KIT sama seperti lelaki berumur 40 ke atas melihat balang gula. Ya, gula memang manis dan minuman yang tidak ada gula, tak sedap. Tapi manisnya gula juga adalah racun. Apabila terkena penyakit kencing manis, merana zahir dan batin. Begitulah curiganya sesetengah lelaki apabila mendengar nama KIT.

Tapi pada saya, kecurigaan itu lebih disebabkan kaitan KIT dengan bekas pemimpin Al-Arqam. Cuba jika tidak ada kaitan dengan Al-Arqam, berbondong-bondong agaknya suami hantar isteri masing-masing masuk KIT. Sekurang-kurangnya dapat selesai separuh daripada urusan memujuk rayu isteri bagi mereka yang punya hajat pasang satu, dua atau tiga lagi.

Cerita pasal poligami, lelaki biasanya akan guna alasan ikut sunnah. Kita selalu terlupa bahawa hukum nikah bukan hanya satu tapi ada lima iaitu harus, sunat, wajib, makruh dan haram. Apa yang haram itu kita selalu lupa kerana apa juga keadaannya, yang diingat jika pasang lagi dan lagi, hukumnya ikut sunnah nabi. Banyak cara lain lagi jika mahu ikut sunnah nabi, hingga ada yang semudah bersugi.

Tidak! Saya bukan antipoligami. Mati hidup balik pun saya tak akan antipoligami dan bagi yang biasa ikuti tulisan saya, ini juga bukan petanda saya sudah buang tabiat. Cumanya saya mahu bawa kita semua merenung soal hukum yang sebenar, dan jangan cuba hendak memanipulasi hukum semata-mata kerana nafsu sebab hukum yang termaktub adalah hukum Allah.

Ada pun, ramai lelaki berpoligami seumpama memeluk gunung. Nafsu dan keinginan besar tapi sebenarnya tak mampu. Hal tak mampu itu disimpan senyap-senyap dalam kocek supaya hajat mahu memeluk gunung yang sudah menggunung, tidak terhalang. Untuk poligami yang seperti ini, hukumnya adalah haram.

Saya pernah jumpa lelaki poligami tidak bekerja. Makan minum isteri-isteri yang tanggung, dan hidupnya hanya seperti.... sendiri fikirlah (dan isi tempat kosong itu)!

Ya, benar Islam membenarkan poligami tapi syaratnya sangat ketat. Jelas dalam al-Quran, disebut jika mampu dan jika tidak, cukup hanya satu. Meskipun boleh tapi bukan untuk sebarangan lelaki. Jangan mulut saja kata sunnah tapi hati pada nafsu. Perlu fikir tentang ilmu. Perlu juga timbang soal kesihatan. Yalah, apabila kilometer sudah banyak, jangan syok sendiri soal meter.

Memang ada banyak pakej 'untuk lebih kilometer', urut, pil, tongkat ali dan pelbagai tapi betulkah ada jaminan penyelesaian? Kalau benar mahu berkahwin, biarlah sihat seluruh anggota badan, sebelum dan selepas. Jangan benda yang sudah tidak mahu, dipaksa-paksa, ditelan ubat yang pelbagai untuk dapat lebih kuasa VROOOOMM! Tengok iklan bateri Energizer pun meleleh air liur, maklumlah taglinenya, LEBIH KUAT, LEBIH TAHAN LAMA!

Sebab itu, perkahwinan tidak boleh hanya menjurus pada nafsu. Itulah resmi orang berilmu. Jika mahu dan mampu, biarlah menyeronokkan seluruh anggota badan, jangan hanya yang satu. Sebab yang satu itu, seronoknya tidak lama. Apabila datang sakit kepala, seronok yang itu pun akan hilang, hati akan gundah gulana dan rumahtangga pun jadi porak peranda.

Sebut tambah isteri, siapa yang tak mahu? Yang sedang nyawa-nyawa ikan pun, jika ditanya soal itu, mahu saja angkat tangan. Tapi itulah, perlu ingat pada hukum, cermin diri dulu, layak atau tidak. Sebab jika tak layak tapi mahu digagahi juga, bimbang perkahwinan itu jadi haram. Ini akan menyeksa dan memudaratkan banyak pihak, isteri sedia ada, isteri baru, lebih-lebih lagi anak-anak.

Kerana itu, jika ada lelaki yang menyanggah KIT, saya pula mahu uar-uarkan kepada dunia bahawa bukan semua lelaki galak mahu berpoligami. Inilah perjuangan Kelab Suami Setia (KSS) yang akan saya pelopori sebagai gandingan kepada KIT. Setia? Ya, setia kepada isteri pertama, kedua, ketiga dan keempat!

Taat sehingga boleh diliwat?

Posted: 16 Jun 2011 05:00 PM PDT

Asalkan dibayar, seorang pelacur kelas pertama akan melakukan apa saja dikehendaki pelanggan, termasuk seks luar tabii atau adegan luar biasa untuk merealisasikan fantasi. Adakah seorang isteri perlu melakukan atau diperlakukan sebegitu atas nama taat suami?

Pelacur melayan pelanggan untuk wang, sama ada atas kehendak sendiri atau desakan hidup. Layanannya pula bersifat sementara, tiada ikatan emosi dan bukan untuk mendapat zuriat. Isteri pula berstatus pasangan yang diijab kabul secara sah sebagai teman hidup kepada suami, pelengkap keluarga serta ibu kepada anak-anaknya.

Suami memang akan bahagia jika keperluan seksnya dilayan baik oleh isteri. Lebih penting, kebahagiaan suami adalah kerana mempunyai isteri yang prihatin, saling menghormati dan memahami, sama-sama mengharungi kesusahan dan bertanggungjawab atas kepentingan keluarga serta berperanan membina rumah tangga. Isteri yang tabah, rajin, beriman dan menghormati mentua pasti disayangi suami. Isteri tidak perlu berkelakuan atau bermentaliti pelacur untuk menagih kasih sayang suami.

Cadangan agar isteri melayan nafsu seks suami seperti pelacur kelas pertama menjatuhkan maruah wanita. Ia mengukuhkan stereotaip wanita sebagai objek seks, lemah dan rendah intelek. Bagi mereka yang tidak pernah melanggan pelacur atau mendapat perkhidmatan pelacur kelas pertama, mereka tidak tahu cara, tapi bagaimana pula pemimpin kelab ini tahu aksi pelacur kelas pertama memberi perkhidmatan?

Daripada respons masyarakat umum, ramai juga lelaki, termasuk suami dan bapa, berasa terhina cadangan ini kerana tidak mahu isteri dan anak perempuan diistilah pelacur. Justeru, apakah motif sebenar Kelab Isteri Taat (KIT) membuat cadangan itu?

KIT adalah penjenamaan semula Kelab Poligami Ikhwan, diasaskan Hatijah Aam, isteri kedua Ashaari Muhammad, pengasas kumpulan al-Arqam, yang diisytiharkan sesat oleh kerajaan pada 1994. Ramai melihat tindakan KIT mempopularkan semula ajaran al-Arqam dengan menggunakan isu isteri layan suami sebagai daya penarik orang ramai menyertainya. Tidak mustahil ahli-ahli lelaki al-Arqam adalah penaung kelab ini. Lalu terlintas di fikiran: adakah kesemua isteri Ashaari Muhammad dan pemimpin-pemimpin al-Arqam berperanan seperti pelacur kelas pertama semasa melayan suami mereka?

Menurut laporan, kelab ini ada sekitar 800 ahli di Malaysia, 200 di Jordan dan sebilangan lagi di Indonesia. Kemungkinan mereka bekas ahli al-Arqam atau isteri kepada bekas ahli al-Arqam. Ahli-ahli baru yang direkrut oleh kelab ini barangkali bertujuan dijadikan isteri kedua, ketiga atau keempat.

Tujuan kelab ini untuk memberi kaunseling pernikahan, pendidikan seks dan kefahaman tentang taat kepada suami. Pada asasnya nampak baik tetapi tujuan yang baik tidak serta-merta menghasilkan kebaikan jika jalan diambil adalah keliru, salah dan menderitakan orang. Penyampaian dan mesejnya juga tidak sesuai. Adakah ahli-ahli kelab ini mendidik anak-anak perempuan mereka bermentaliti pelacur apabila berkahwin kelak?

Dalam rumah tangga, memang jadi tanggungjawab isteri taat dan melayan suami. Namun, tidak bermakna suami boleh lakukan apa sahaja terhadap isterinya. Suami juga kena hargai isteri yang bekerja dan penat lelahnya sepanjang hari mengurus rumah tangga dan keluarga. Walaupun poligami dibenarkan dalam Islam, jangan kaburi pemahaman isteri tentang taat atau pengorbanan semata-mata untuk berkahwin ramai. Taat isteri ada hadnya. Perbuatan suami yang menyeksa, memaksa atau mendorong isteri ke arah dosa dan mungkar tidak perlu diikuti. Punca sesuatu perceraian tidak semesti kerana layanan seks isteri kepada suami tidak setaraf pelacur kelas pertama. Ramai pasangan bercerai kerana masalah kewangan atau mentua, tiada persefahaman, malah kerana perbezaan politik pun ada. Jika suami makan luar, tidak semestinya salah isteri. Betapa taat sekalipun isteri, suami masih boleh berlaku curang. Malah, orang yang beristeri empat pun masih lagi curi makan!

Perkahwinan untuk menjamin keutuhan hidup pasangan dan membentuk rumah tangga bahagia dengan kedua-duanya bertanggungjawab terhadap kebajikan keluarga dan anak. Kebahagiaan bukan tertumpu pada soal seks sahaja, tetapi faktor lain juga seperti keberkesanan komunikasi, ikhlas, jujur, kompromi dan persefahaman tinggi serta kepuasan besarkan anak. Matlamat wanita menjadi isteri kelas pertama, bukan pelacur kelas pertama. Pada saya, tiada perlunya kelab seperti ini di Malaysia kerana ia bukan bertujuan menyelesaikan sesuatu masalah yang kritikal. Jangan lepas ini ada pihak yang mahu tubuhkan kelab suami taat, yang menganjurkan suami menjadi gigolo kelas pertama pula.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved