Selasa, 31 Mei 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Magnet 3P uji kewibawaan calon PRU

Posted: 30 May 2011 05:00 PM PDT

Rakyat berbilang kaum semakin muak dengan amalan politik sesetengah parti yang kurang membina, khususnya kata-kata yang memporak-perandakan masyarakat demi kepentingan politik peribadi atau sesebuah parti itu.

Selama ini, amalan 'cakap tak serupa bikin' cukup sinonim dengan tingkah laku orang politik kerana ia satu-satunya perangai yang terserlah dalam persada politik. Beraneka janji sentiasa dijustifikasikan dengan pelbagai alasan apabila gagal dikotakan.

Namun kesangsian rakyat terhadap kata-kata orang parti semakin terserlah sehingga hampir tercetusnya krisis keyakinan, apabila ciri-ciri tamak haloba peribadi mula mendominasi budaya politik sesebuah parti, bahkan persada politik itu sendiri.

Gejala rasuah politik atau lebih umum dikenali sebagai 'politik wang' tidaklah lagi suatu amalan politik yang tersembunyi. Sebaliknya, ia semakin diamalkan dalam kalangan orang politik yang berlumba-lumba mencari habuan masing-masing.

Lebih menyedihkan, amalan sedemikian berlaku secara terbuka tanpa perasaan segan-silu, seolah-olah telah diterima sebagai norma politik. Berleluasanya amalan sebegini hanya menghakiskan lagi keyakinan rakyat terhadap orang politik yang nampaknya semakin luntur komitmennya untuk berkhidmat.

Ini telah memberikan badan-badan NGO ruang dan peluang yang nyata untuk menukar ganti peranan dan fungsi tertentu parti politik. Dalam hubungan ini, sesetengah badan NGO yang berorientasikan khidmat sosial telah membuktikan kebolehannya untuk membela rakyat, baik dari segi khidmat kebajikan mahupun dalam usaha memperjuangkan isu berkepentingan orang ramai.

Sebenarnya perbezaan peranan dan fungsi sesetengah parti politik daripada NGO semakin kabur kini, berikutan semakin bertindihnya peranan mereka. Mungkin perbezaan yang ketara hanyalah NGO tidak bertanding dalam pilihan raya.

Namun, memandangkan terdapat kalangan aktivis NGO yang dicalonkan oleh parti pembangkang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12, 2008 lalu, adalah dijangkakan arah aliran sebegini kemungkinan akan menjadi ikutan parti politik lain dalam PRU 13 kelak.

Ketika parti pembangkang berbuat demikian, tindakan mereka itu sebenarnya didorong oleh kekurangan calon yang sesuai dalam parti sendiri.

Berlainan dalam keadaan Barisan Nasional (BN) pula, soal pokoknya berbeza kerana tiada masalah kekurangan calon yang menunjukkan minat untuk bertanding. Malahan sentiasa timbul rebutan kerusi Parlimen dan Dewan Undang Negeri (DUN) baik dalam kalangan parti komponen mahupun di antara individu dalam sesebuah parti komponen.

Tetapi, kini senario politik negara makin berubah. Berikutan melandanya tsunami politik 2008, pengaruh BN dirasakan semakin tercabar. Untuk mengekalkan pemerintahannya, pihak BN terpaksa menumpu kepada peluang kemenangannya dalam setiap kawasan yang ditandingi.

Oleh itu, tidaklah hairan kalau pemimpin NGO yang berpengaruh akan ditimbang bahkan dipilih sebagai calon untuk bertanding.

Sekiranya ini berlaku, sudah tentu golongan pemimpin akar umbi yang memegang jawatan di peringkat bahagian dan cawangan, khasnya mereka yang ghairah melobi agar dicalonkan, akan merasa tersisih kerana diganti oleh aktivis NGO dalam pemilihan calon pilihan raya.

Sehubungan itu, perhitungan peluang kemenangan oleh kedua-dua pihak BN dan Pakatan Rakyat (PR) memanglah diberi keutamaan.

Aktivis NGO mungkin dicalonkan untuk memenangi kerusi dalam PRU, tetapi kewibawaan dan pengaruh mereka hanya akan terpelihara selagi mereka masih bersuara untuk membela kepentingan rakyat dan bukannya demi memanjatkan hierarki dalam parti bagi kepentingan peribadi semata-mata.

Selama ini, ramai berkecimpung dalam politik kerana kononnya ingin berkhidmat. Saya tidak menyangkal adanya individu yang mempunyai niat sedemikian. Namun tidak kurang juga orang parti yang aktif dalam politik kepartian atas tarikan dan dorongan 3P, iaitu Posisi (Kedudukan), Projek dan Pingat.

Dari pengamatan saya, 3P yang dimaksudkan memang mudah merubah seseorang itu sehingga dia lupa daratan. Orang politik yang mengejar 3P lazimnya tidak memberi tumpuan kepada agenda rakyat. Mereka mungkin akan dapat menepati sasaran 3P itu tetapi sokongan yang mereka perolehi dari kalangan rakyat sudah tentu akan terhakis.

Sebaliknya kalau seseorang itu termasuk aktivis NGO diberi satu wadah untuk bersuara dan berkhidmat untuk rakyat melalui pencalonan parti yang memenangkannya, maka orang berkenaan tetap akan dihormati kerana tidak membelakangkan mandat dan agenda rakyat.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Fenomena gangguan realpolitik

Posted: 30 May 2011 05:00 PM PDT

Dalam tulisan yang lalu (Sinar Harian, 24 Mei 2011), saya telah menyentuh realpolitik seperti yang didefinisikan oleh penyusun Webster's Comprehensive Dictionary. Untuk mencapai cita-cita dalam realpolitik, segala pihak dapat digunakan. Bahkan, menurut kamus tersebut, pencapaian hasrat dalam realpolitik sampai ke tahap "the use or threatened use of armed force".

Menurut kamus itu lagi, istilah realpolitik sebenarnya sering digunakan secara sinis. Saya juga menyebutkan bahawa kamus lain mendefinisikan realpolitik sebagai politik yang berdasarkan realiti dan keperluan kebendaan. Ertinya, dalam realpolitik, akhlak (termasuk agama) dan idealisme tidak diambil kira.

Pada tarikh yang sama, Hishamuddin Rais menulis artikel yang berpusat pada realpolitik juga (Suara Keadilan, 24 Mei 2011). Hishamuddin mengambil pendekatan sejarah dalam menyebutkan bahawa apa-apa yang berlaku kini ialah lanjutan daripada segala yang tersedia pada masa lampau. Sesiapa yang membaca tulisan Hishamuddin dengan hasrat mahu memahami konsep, pasti akan mendapati huraian beliau adalah sistematis.

Walau bagaimanapun, mungkin disedari umum, bahawa secara keseluruhan Hishamuddin berkecenderungan membuat kritikan keras terhadap pemerintah masa kini, dan sering menyebelahi pihak yang belum memerintah. Kedudukan dan sikap beliau yang sedemikian memungkinkan terdapat segi-segi yang kurang berimbang, namun itu tidak menghalang percambahan ilmu.

Sebagai contoh, beliau mengkritik Mahathir kerana memecat Anwar daripada jawatan tinggi, tetapi tidak memuji Mahathir (atau boleh juga mengkritik Mahathir) kerana melantik Anwar. Ini penting, kerana pelantikan mendahului pemecatan.

Pada masa lampau, menurut Hishamuddin, pihak istana mengupah panglima dan juak-juak istana. Antara tugas mereka ialah memungut cukai dan menjadi 'tukang pukul'. Pemerintah feudal zaman silam mencapai tujuan mereka dari segi ekonomi dan pengekalan kuasa melalui upahan tersebut.

Hishamuddin kemudiannya menyebutkan bahawa British mengubah sistem Raja Mutlak kepada Raja Berperlembagaan. Selaku orang sosialis progresif, Hishamuddin menyebutkan "Tanah Melayu dikatakan merdeka dalam tahun 1957", dan British meninggalkan sistem ekonomi kapitalis, berserta dengan lembaga-lembaga aparatus.

Rangkaikata 'dikatakan merdeka' itu membawa makna 'tidak benar-benar merdeka', dan ini semakna dengan pelaksanaan neokolonialisme. Bicara Hishamuddin menjadi lebih menarik apabila peristiwa politik ditunjukkan berkesinambungan sedemikian rupa.

Sesiapa yang membaca tulisan tersebut, pasti faham betul mengenai urutan fikiran Hishamuddin. Beliau menghasilkan tulisan bernas itu berasaskan logik yang sukar dinafikan. Menurut beliau, UMNO (disebut penuh United Malays National Organisation) adalah pengganti pihak istana dalam pemerintahan. Makna di atas, secara tersiratnya terkandung dalam kata-kata ini: Jelas, ekonomi mereka bergantung pada United Malays National Organisation.

Dengan kata lain, politik yang bertapakkan realpolitik sepenuhnya berhubungan dengan keperluan memenuhi kehendak ekonomi. Ini disebutnya politikal ekonomi, tanpa mengubah struktur bahasa Inggeris political economy. Beliau menegaskan, gagal memahami politikal ekonomi, maka gagallah semua pembacaan dan analisis politik terkini.

Apabila tiba pada punca haru biru dalam negara, kita mendapati Hishamuddin bersikap kurang objektif, kerana penyingkiran Anwar Ibrahim oleh Mahathir Mohamad dilihat sebagai satu tindakan bersebabkan Anwar mengganggu perjalanan ekonomi kapitalis.

Makna yang hadir daripada kata-kata itu ialah bahawa Anwar memperjuangkan sistem lain, bukan kapitalis. Sesiapa yang mengikuti perkembangan politik tanah air pasti akan menyimpulkan bahawa tidak ada seorang pun antara orang kerajaan yang mencanggahi kewujudan kaum pemodal. Ucapan-ucapan Anwar dalam persidangan UMNO dulu tidak melukiskan pertentangan sedemikian.

Hishamuddin meninggalkan atau mengabaikan satu segi permasalahan yang menimbulkan kekacauan ("chaos") dalam politik tanah air. Segi tersebut ialah hasrat besar Anwar Ibrahim mahu menjadi Perdana Menteri. Sebenarnya, ahli UMNO dan pembangkang sebelum 1998 meramalkan bahawa Anwar ialah pengganti Mahathir. Bahkan dalam Persidangan Agung UMNO, Mahathir tidak melindungi hasratnya menentukan bahawa Anwar ialah penggantinya. Untuk memahami hal ini, satu tinjauan yang rapi dan teliti perlu dilaksanakan.

Saya tidak mungkin menafikan kewujudan, dan tidak menolak gambaran realpolitik seperti yang dikemukakan oleh Hishamuddin Rais. Namun, dengan tidak melihat Anwar Ibrahim turut mendukung realpolitik yang sedemikian itu, muncul satu kelonggaran yang nyata.

Saya kira, jika catatan-catatan perkembangan Anwar diambil kira, misalnya jika kita pungut pandangan Mohammad Sabu, tokoh PAS sebelum 1998, jika kita baca kemajuan Anwar dalam UMNO melalui akhbar kesayangannya pada masa lalu (yang tidak disenanginya masa kini), dan jika beberapa "homework" lain kita lakukan dengan sikap ilmiah, kesimpulan kita tidaklah menyamai kesimpulan yang dibuat oleh Hishamuddin Rais. Hishamuddin menghasilkan tulisan yang teoretikal, dan itulah yang baik dan berkesan.

Namun, satu masalah yang mungkin sukar dielakkan oleh sesiapa saja, ialah sikap menyebelah. Dengan anggapan bahawa antara golongan penulis tiada sesiapapun yang berniat jahat (saya sudah lama beranggapan demikian), maka perbincangan mengenai subjek ini perlu kita teruskan. Dalam amalan demokrasi, sikap menyebelah juga diterima.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved