Selasa, 24 Mei 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Andai Sultan Melaka memerintah

Posted: 23 May 2011 05:00 PM PDT

Menyingkap kembali sejarah saya tertanya apakah mungkin budaya politik negara dan nasib rakyat dibawah pemerintahan seorang raja yang mulia lagi beriman dan budiman?

Sekiranya Sultan Melaka memerintah, mungkinkah rasuah dibenarkan sehingga sebuah istana yang bermula dengan kos RM400 juta dijangka melebihi RM1 bilion? Apa pula dengan ketirisan ekonomi berjumlah RM28 bilion setahun berterusan sehingga hanya kelompok elit yang bertambah kaya manakala rakyat jelata terus melata berkais pagi makan pagi?

Kalau Sultan Melaka memerintah, mungkinkah laksamana angkatan laut akan membeli kelengkapan perang, termasuk kapal yang mampu timbul atau yang sengaja tenggelam dengan harga berpatutan tanpa komisen beratus juta ringgit kepada seorang baginda yang hanya pada nama dan bukan pada takhta? Bagaimana pula dengan perbelanjaan lain negara, adakah ia secara berhemah dan bijaksana atau boros membazir tanpa penghujung? Adakah jalan keretapi akan dibina dengan harga berlipat ganda dari biasa ibarat landasan bersalut emas?

Sekiranya Sultan Melaka memerintah, adakah hulubalang dan pahlawan penjaga keamanan akan mempertahankan rakyat atau menangkap lalu dikurung dan dipukul rakyat jelata tanpa sebab dan bicara kerana memelihara kepentingan puak tertentu. Janganlah penjaga aman cepat menahan reman rakyat yang mungkin di'Kugankan' atau di'Aminulrasyidkan' atau di'Beng Hockan' atau di'Sarbanikan' tanpa saksi, warna kulit, umur dan hayat. Adakah begitu murah dijual janji ikrar sumpah pahlawan untuk beberapa keping emas atau kepingan timah tanda gelaran disemat di dada baju?

Kalau Sultan Melaka memerintah, adakah rakyat dibiarkan menanggung beban hidup melampau tanpa subsidi hasil khazanah negara yang sememangnya mencukupi jika tidak diboroskan atau dikalihkan untuk projek-projek mewah maha membazir? Harga barang naik termasuk gula melaka tetapi subsidi korporat besar dikurangkan dengan begitu perlahan sehinggakan sang siput dinobatkan juara pertandingan lari merentas desa?

Kalau Sultan Melaka memerintah, adakah tanah jajahan Pulau Batu Putih, Blok L dan M atau sumber air mentah diserahkan tanpa sebarang suara pahlawan berteriak marah atau keris keramat dihunus berani melainkan di perhimpunan agung para lanun buat tontonan dicermin sendiri?

Sekiranya Sultan Melaka memerintah, adakah tata susila bangsa dan agama yang mencerminkan nilai-nilai murni sejagat menjadi pencorak budaya dan amalan rakyat?

Adakah baginda sanggup melihat martabat qazaf direndahkan dengan hanya lafaz sumpah buat selindung fitnah mengorbankan syariah akibat kerenah tiga sekawan yang buta hukum tetapi celik konspirasi berbayar demi mengaut untung sementara duniawai tetapi mengecap kerugian kekal ukhrawi?

Adakah baginda akan berjuang memperkasakan perlembagaan mensejahterakan rakyat atau berdiam saja apabila lanun politik memperkosakan janji kemerdekaan hak rakyat? Di manakah Sultan Melaka atau pemerintah Melayu yang akan membela rakyat secara jujur?

Itulah dia seribu kemungkinan perjalanan sejarah yang menjadi tanda tanya kerana tidak lama lagi kita rakyat semua dapat membuat pilihan menentukan masa depan negara dan mencorak sejarah kita sendiri yang lebih baik, lebih makmur dan lebih saksama di peti undi, itupun kalau tidak dirompak lanun politik.

Marilah kita belajar dari sejarah untuk mencipta sejarah lebih gemilang kerana sudah tiba masanya kita laksanakan reformasi politik secara berkesan dan menyeluruh.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Politik agama dan realpolitik

Posted: 23 May 2011 05:00 PM PDT

Politik ialah urusan dunia dan agama, demikian kata Dr Mohd Nur Manuty - definisi figuratif yang dipegangnya. Berpegang pada definisi itu, maka seseorang yang berjiwa agama tidak akan mengasingkan diri daripada politik.

Pertemuan saya dengan Dr Mohd Nur terlalu singkat. Di sebuah restoran untuk orang tua-tua, pada 12 Mei 2011, saya dapati beliau agak sibuk melayan beberapa orang yang berurusan dengannya: mungkin urusan politik. Oleh itu tidaklah dapat saya meminta huraian tentang konsep urusan dunia dan agama secara mendalam. Saya mendengar – antara terang dengan kabur – beliau menyebut definisi tersebut berasal daripada penegasan AL-Ghazali. Makna itu bukan saja positif, malah murni.

Jika benarlah itu kata-kata Al-Ghazali, maka saya amat senang. Kadang-kadang kita senang memikirkan tokohnya, walaupun apa-apa yang dikatakannya adalah biasa-biasa saja. Lama dulu, Datuk Yunus Mohd Nor (Dekan Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya) menyebutkan falsafah sederhana yang diajarkan oleh Al-Ghazali. Katanya: Lihatlah ke atas untuk mendapatkan inspiration, dan lihatlah ke bawah untuk mendapatkan satisfaction. Betul sekali. Antara 27 juta rakyat Malaysia, hanya seorang saja memperoleh tempat Perdana Menteri. Oleh itu, kita semua (yang mengimpikan tempat itu) lihatlah ke bawah. Kita akan sentiasa bahagia.

Saya terfikir, jika kita memikirkan parti Pas, maka konsep siasah sebagai urusan dunia dan agama dapat dipertahankan. Biarpun sesekali kita dapati bicara Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat terkeluar daripada konteks, kita akui beliau tidak melupakan segi agama dalam berpolitik. Jika Nik Aziz keterlaluan dalam hal mengkritik dan menolak UMNO, itu ialah tingkah biasa dalam politik. Alasan kritik dan penolakan oleh Nik Aziz selalu berteraskan agama. Oleh itu definisi politik (siasah) urusan dunia dan agama amat cocok dengan weltanschauung Pas.

Kita dapat melihat Pas memiliki weltanschauung, kerana daripada keseluruhan ceramah oleh orang-orang berwibawa dalam parti itu, terdapat pengekalan dasar. Walau bagaimanapun, apabila berhadapan dengan kaedah berpolitik, kerap juga kita menemukan keterbabasan. Persahabatan Pas dengan DAP adalah pelik untuk maksud penubuhan Negara Islam. Mungkin yang difikirkan oleh pihak atasan Pas ialah persahabatan ini hanyalah percubaan.

Apabila saya memikirkan PKR, parti Dr Mohd Nur sendiri, saya dapati ada beberapa kesukaran. Namun, dari segi perjalanan hidup, pada setiap kesukaran tersedia jalan keluar. Kata Dr Mohd Nur, politik murni sebaik definisi itu, manakala manusia berperangai yang bertentangan dengannya. Jadi, jika saya membayangkan sederet orang PKR yang keluar dari parti itu, dan memilih parti lain, maka (bagi Dr Mohd Nur) perangailah penyebabnya.

Definisi politik sebagai urusan dunia dan agama adalah definisi yang akrab dengan kemurnian. Segala diatur dan dijanjikan pemimpin politik adalah bersifat keduniaan, tetapi bagi pemimpin seperti Nik Abdul Aziz, urusan agama terkandung di dalamnya. Kita tahu, pemimpin UMNO dan PKR tidaklah memikirkan hal agama. Ertinya, antara pemimpin sama dengan Dr Mohd Nur dan orang sama dengan Tian Chua, kita lihat jumlah jenis Tian Chua lebih besar. Jenis Tian Chua pula bukanlah sejalan, kerana CheguBard kian memilih jalan baru.

Sesetengah pihak mengatakan zaman ini untuk ahli politik bergantung pada realpolitik. Dalam realpolitik, idaman tokoh politik ialah kuasa. Menurut satu catatan Hishamuddin Rais, Pas pun tidak mengajukan sistem ekonomi alternatif, sebaliknya berjanji menguruskan kapitalisme yang lebih baik. PKR dan DAP pun demikian.

Jika makna dalaman dikemukakan Hishamuddin itu sedemikian, maka rakyat zaman ini bukanlah memilih sistem. Parti yang akan dipilih rakyat ialah parti lebih dipercayai, namun berada dalam sistem yang sama.

Realpolitik terjadi di lapangan. Demikian kata dramatis Sharif Shaary. Realpolitik mungkin positif dan mungkin sebaliknya. Dr Azizan Bahari juga memberikan definisi lebih kurang sama. Namun, realpolitik bertentangan dengan pegangan Dr Mohd Nur, apabila kemungkinan bernilai negatif itu ada. Dalam tanggapan sesetengah pihak, ketika Mohd Nur berpandangan politik itu urusan dunia dan agama, para pengejar kuasa melihat politik sebagai urusan dunia sahaja, urusan untuk memperoleh kuasa, dan kemudian memperkukuh ekonomi peribadi.

Untuk maksud akademik, perbincangan dengan Dr Mohd Nur Manuty tentang makna politik perlu saya sambung. Jika itu berlaku nanti, maka bicara tentang subjek ini juga akan diteruskan.

Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved