Sinar Harian :: Suara Cakna Anda |
Posted: 01 Sep 2011 05:00 PM PDT Enam penjenayah putih mata
PETALING JAYA – Biarpun sudah menebuk dua lubang pada dinding dua premis, enam penjenayah tetap berputih mata dalam cubaan memecah masuk kedai pajak gadai setelah penggera keselamatan premis itu berbunyi dalam kejadian di Sungei Way, awal pagi semalam.
Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, enam suspek lelaki menaiki tiga kereta, dua jenis Naza dan sebuah Mercedes Benz, memecah masuk kedai kasut melalui pintu belakang. Suspek kemudiannya membuat dua lubang di kedai kasut dan masuk ke kedai gambar. Bagaimanapun, dalam usaha mereka menebuk lubang pada dinding kedai gambar untuk masuk ke kedai pajak gadai tersebut, penggera keselamatan dari premis itu berbunyi. Menurut seorang saksi yang enggan dikenali berkata, pada mulanya dia yang mahu tidur di bilik di tingkat satu bangunan tiga tingkat itu, terdengar bunyi bising, namun diabaikan. Dia seterusnya dikejutkan dengan bunyi penggera keselamatan dan terus menghubungi polis. Sepasukan polis dari Balai Polis Sungei Way, iaitu kurang 100 meter dari lokasi kejadian terus mengepung dan memberkas semua suspek. "Mereka menebuk premis dan menggunakan vakum untuk membuang batu bata bagi mengelakkan ia dikesan. "Namun alat penggera berbunyi menyebabkan saya terus hubungi polis dan semua mereka dapat ditahan," kata saksi itu ketika ditemui di lokasi kejadian semalam. Sementara itu, menurut sumber, pemeriksaan polis menemui pelbagai alatan menebuk dan menggerudi selain lantai dua premis tersebut basah kerana mesin gerudi yang digunakan memerlukan air untuk mengurangkan bunyi bising selain memudahkan proses menggerudi. |
Posted: 01 Sep 2011 05:00 PM PDT Belum tentu dapat selesai kes
SHAH ALAM - Penubuhan Unit Selamat Akidah di Selangor belum tentu dapat menyelesaikan kes murtad, sebaliknya 'mendidik' masyarakat malas dan terlalu mengharapkan bantuan tanpa perlu berusaha.
Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Abd Rani Osman berkata, banyak faktor lain yang menyebabkan seseorang itu terperangkap dalam kes murtad yang perlu ditangani segera Pejabat Exco Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selanor. "Bukan kita tidak sokong usaha itu, tetapi kita perlu lihat, tidak semua kes murtad di negara kita berpunca daripada kemiskinan, banyak faktor lain yang turut mempengaruhi. "Kalau cara itu (beri bantuan) sudah lama kita praktikkan di Pusat Khidmat Masyarakat masing-masing. Tetapi cara ini tidak dapat menyelesaikan masalah tersebut, malah ia dilihat lebih mendorong masyarakat menjadi 'manja' dan terlalu mengharapkan bantuan tanpa berusaha terlebih dahulu," katanya. Namun begitu beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor kawasan Meru mengakui, usaha mengawal penularan murtad di negeri ini perlu diselesaikan secara menyeluruh. "Ini berkaitan soal kefahaman dan akidah, jadi, kita perlu menggunakan pendekatan menyeluruh dengan mempertingkatkan penguatkuasaan dan penerangan, dakwah serta pemulihan akidah kerana kita sudah ada ketiga-tiga unit tersebut. "Apa yang perlu kita besarkan, peranan unit ini kerana peranannya lebih berkesan daripada unit tersebut," katanya. Abd Rani turut menyokong pandangan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria supaya Akta Murtad diwujudkan segera bagi membendung gerakan cuba memurtadkan umat Islam di negara ini. "Akta itu perlu kerana masalah umat Islam murtad semakin berleluasa, malah usaha memesongkan akidah umat Islam itu seolah-olah bukan rahsia," katanya. Sementara itu, Ketua Penerangan Umno Selangor, Abdul Shukor Idrus berpendapat unit berkenaan perlu diselaraskan di bawah pengurusan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) agar tidak berlaku salah guna kuasa. "Kita sudah ada majlis dan jabatan agama kita sendiri. Jadi, hal-hal berkaitannya itu perlu diselaraskan di bawah jabatan berkenaan. Tidak perlu diasing-asingkan kerana kita takut ia akan dipolitikkan sesetengah pihak," katanya. Abdul Shukor berkata, USA perlu telus dan tidak berat sebelah. Beliau yang juga Adun Selangor kawasan Kuang berkata, sebarang penubuhan unit atau jawatankuasa mengenai Islam adalah di bawah Mais perlu mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. "Kita tidak boleh sewenang-wenangnya tubuh sesuatu unit tanpa perkenan daripada baginda tuanku," katanya. |
You are subscribed to email updates from Sinar Harian :: Suara Cakna Anda To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan