Sinar Harian :: Suara Cakna Anda |
Terserempak objek misteri malam raya Posted: 01 Sep 2011 05:00 PM PDT Ya, sudah lama sangat. Malam raya tahun 1987. Sudah 24 tahun. Namun sampai sekarang, saya masih tidak ada jawapan, apa makhluk atau objek yang saya lihat tengah malam itu. Memang, ikut cerita orang kampung, tempat yang saya lalui itu agak 'keras'. Dulunya, semasa saya budak-budak, kami dimomokkan dengan cerita kononnya di tempat itu ada hantu kicap. Sebabnya, pada waktu tertentu, sesiapa yang lalu di tempat itu akan terbau kicap. Tetapi sekarang, di tempat itu, sudah pun ada rumah orang. Entah ke mana si hantu kicap pergi bawa diri, tidaklah pula saya tahu! Pada 1987, saya masih bersekolah Tingkatan Empat. Oleh kerana tinggal di asrama dan jarang-jarang dapat peluang meronda kampung, malam raya saya manfaatkan secukupnya. Lepas sahaja berbuka puasa, saya bersama Atan terus keluar meronda, berjalan. Tujuan kami adalah di mana sahaja ada geng yang sebaya bermain meriam karbaid, atau di mana sahaja ada orang melepak, selain di rumah-rumah yang sudah buka tudung saji awal untuk kami jamah lemang atau ketupat, dodol atau halwa muscat (disebut maskat). Selepas beberapa jam merayau, dan beberapa platun meriam karbaid sudah kami ziarah, sama ada yang guna meriam buluh atau meriam tanah, lewat malam baru kami balik ke rumah. Pada masa itulah, kami lalu tempat hantu kicap. Pada mulanya, saya tidak pula terbau apa-apa. Tidak ada bau kicap, apa lagi bau rendang atau gulai daging, kalau-kalau hantu kicap juga mengubah hidangannya sempena malam raya. Memang tidak ada. Maka saya dan Atan pun leka berbual sambil melangkah mengharung gelap malam. Sedang asyik berbual, saya mendongak ke langit. Kebetulan malam itu, cahaya bulan agak terang. Nun di hujung dahan getah yang menjulang, saya melihat sesuatu yang sangat indah. Terlalu indah hingga sukar hendak saya gambarkan dengan kata-kata. Rupanya adalah limpahan cahaya yang berwarna-warni, bersegi-segi umpama sebuah astaka tempat musabaqah al-Quran. Sukar saya hendak pastikan sama ada objek itu statik atau bergerak, kerana jika bergerak pun, pastinya amat perlahan. Namun pada masa itu, saya langsung tidak terfikir hal keanehan objek misteri itu melainkan apa yang melintas hanya sekadar kata-kata kosong: "Cantiknya menara masjid ni!" Serentak dengan itu, saya tundukkan kepala untuk terus berbual dengan Atan. Pada masa sama, barulah akal waras saya menjengah: "Menara masjid apa pulak? Ini kampung aku, mana ada masjid di sini?" Dan saya pun mendongak semula. Anehnya, meskipun baru beberapa saat, objek itu sudah tiada. Puas saya meninjau ke serata penjuru langit, memang tidak ada! Saya kemudiannya terus berjalan laju-laju. Tiba-tiba sahaja dan Atan yang sedang leka bercerita kehairanan. Mulanya memang saya sengaja tidak mahu beritahu dia kerana saya amat tahu, dia pun seperti saya juga - penakut. Tetapi apabila dia terus bertanya, akhirnya terpaksa saya buka rahsia. Rupa-rupanya, apabila saya beritahu hal itu, dia jadi lebih laju daripada saya hingga saya pula yang tertinggal di belakang dan terpaksa berlari mengejarnya. Termengah-mengah saya. Selang beberapa ratus meter dari tempat itu, saya nampak sesuatu yang lebih menakutkan dari tadi. Api merah yang menyala bergerak sama paras dengan muka kami, hampir dan semakin hampir hingga akhirnya jadi terlalu hampir. Saya terus berhenti, begitu juga Atan. Terasa seperti mahu memejamkan mata, dan biarkan apa sahaja yang terjadi tanpa saya melihatnya. Sebabnya saya tidak sanggup untuk melihat rupa hantu yang sudah terlalu hampir dengan kami. Tiba-tiba, terdengar satu suara garau menjerkah: "Hoi! Mana tengah-tengah malam ni?" Saya pun buka mata: "Lorrr! Pakcik... dari mana?" "Aku beraya di rumah Mak Lang Tun tadi, ralit (asyik) bersembang dengan Jaie," kata bapa saudara yang panggil Pakcik itu. Dia berhentikan basikalnya yang saya perhatikan tidak berlampu. Manakala api rokok di tangannya masih nampak merah. Ya! Rupa-rupanya dialah yang saya sangka hantu puntung berapi tadi. |
Nilai merdeka bagi generasi baru Posted: 01 Sep 2011 05:00 PM PDT Saya dilahirkan pada 1964, iaitu tahun sama meninggalnya Perdana Menteri India Jawaharlal Nehru (74 tahun) dan tokoh Perang Korea Jeneral Douglas MacArthur (84 tahun). Pada tahun itu, Muhammad Ali (asalnya Cassius Clay) menumbangkan Sonny Liston untuk menjadi juara tinju dunia tapi Nelson Mandela ditangkap bersama tujuh lain dan dipenjara seumur hidup di Pulau Robben. Di Palestin, pejuang Fatah pimpinan Yasser Arafat menyerang Israel buat pertama kalinya. Malaysia ketika itu dilanda Konfrontasi - provokasi ketenteraan, ekonomi dan diplomasi rejim Sukarno – ke atas sebuah negara baru merdeka tujuh tahun. Ini berikutan gagalnya sidang menteri tiga negara (Indonesia, Filipina dan Malaysia) mengenai kedudukan dan masa depan negeri-negeri di kepulauan Borneo. Maka bermulalah siri ancaman dan serangan Indonesia ke atas negara kita. Pada 5 September tahun itu, Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan Darurat. Gerila asing dibantu ejen-ejen komunis mendalangi pelbagai kekacauan dan rusuhan di negara ini (termasuk Singapura) dan menyebar risalah Ganyang Malaysia. Mereka juga mencolek sekian ramai nelayan tempatan. Pasukan keselamatan kita berjaya menangkap puluhan komando Indonesia yang mendarat di beberapa lokasi sepanjang pantai Johor termasuk Muar, Pontian Kecil dan Labis, serta kapal Indonesia yang menyeludup keluar bijih timah dan bahan makanan melalui Selat Melaka. Kerajaan Perikatan pimpinan Tunku Abdul Rahman Putra, yang baru memenangi 89 daripada 104 kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum, menyeru semua rakyat bersatu padu. Atas sifat patriotisme, berduyun-duyun warganegara antara 21 dan 29 tahun mendaftar pasukan Khidmat Nasional, yang diluluskan di Parlimen pada Julai tahun itu, untuk selama lima tahun. Sekumpulan wanita berani telah tampil sukarela untuk menjalani latihan ketenteraan dengan Askar Wataniah dua jam seminggu dan belajar menggunakan senjata api untuk mempertahankan negara. Lebih 200 doktor sanggup bekerja secara sukarela membantu pasukan keselamatan sepanjang negara diancam Konfrontasi. Semasa Minggu Perpaduan Negara diadakan di kesemua 14 negeri pada November 1964, ratusan ribu rakyat Malaysia keluar beramai-ramai mengadakan rapat umum, pameran dan menzahirkan perpaduan dengan laungan 'Berjaya'. Semua hasil kutipan daripada jualan bendera, pelekat dan sumbangan orang ramai disalurkan kepada Tabung Pertahanan Negara, yang dilancarkan Tunku bulan sebelumnya. Tidak ketinggalan, baginda Raja-Raja Melayu serta gabenor Melaka, Sarawak, Pulau Pinang dan ketua-ketua negeri Singapura dan Sabah masing-masing menderma RM1,000 kepada tabung itu. Timbalan Perdana Menteri Tun Abdul Razak Husin berkata Malaysia akan mempertingkatkan kekuatan ketenteraan, lalu memaklumkan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, yang baru dianggotainya tiga tahun lebih awal, bahawa negara akan membalas serangan dan mengejar musuh bagi mempertahan hak dan kedaulatannya seperti yang diperuntukkan dalam Piagam PBB. Walaupun Malaysia memerlukan sokongan antarabangsa ketika itu, beliau menolak tawaran bantuan kewangan Amerika Syarikat kerana syarat-syarat tidak munasabah. "Apa yang kami pertahankan bukan sahaja kemerdekaan kami, tetapi juga demokrasi," ikrar Tun Abdul Razak, yang juga Menteri Pertahanan, di Parlimen pada 30 Disember. Inilah nilai dan makna kemerdekaan. Rakyat sanggup berjuang, berkorban dan bergadai nyawa untuk mempertahankan kedaulatan, keamanan dan cara hidup. Bagi generasi hari ini, pelajaran terpenting ialah menyambung perjuangan dan pengorbanan mereka yang terdahulu, dan berusaha menjadi lebih baik dalam memberi sumbangan kepada bangsa, agama dan negara. Bak kata Presiden John Kennedy: "Jangan tanya apa yang negara boleh buat untuk kamu; tanya apa yang kamu boleh buat untuk negara." Pencapaian ekonomi dan pendidikan, kestabilan politik dan perpaduan kaum tidak datang bergolek. Selama setengah abad, pengisian kemerdekaan menjadi agenda utama negara. Pembangunan negara dirancang dengan rapi. Hari ini, fokus Rancangan Malaysia ke-10. Model Baru Ekonomi dan program transformasi negara ialah menjadikan Malaysia negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020. Sempena menyambut Hari Kemerdekaan ke-54 dan bulan pembentukan Malaysia, marilah kita bertekad untuk menjadi lebih patriotik, berikrar untuk memberi sumbangan lebih bererti kepada masyarakat, lebih bersatu padu dan mahu berkorban untuk negara. |
You are subscribed to email updates from Sinar Harian :: Suara Cakna Anda To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan