Khamis, 8 September 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Cara sambut raya dulu dan hari ini

Posted: 07 Sep 2011 05:00 PM PDT

Pepatah Melayu menyebut 'biar mati anak, jangan mati adat. Perihal kematian anak hanyalah satu metafora bagi menekan peri pentingnya pemeliharaan adat – kematian anak mungkin boleh diganti, tetapi adat tradisi mengisyaratkan proses pemupusan identifikasi bangsa.

Sebagaimana disebut oleh seorang sahabat, tradisi yang memberikan identiti sesuatu bangsa itu adalah ibarat roh kepada bangsa tersebut. Bayangkan sekiranya satu ketika nanti orang lelaki Melayu berpakaian kot dan tali leher pada 1 Syawal untuk ke masjid dan tatkala menziarahi sanak-saudara. Ini sudah pun berlaku di Barat.

Mungkin ada yang merasakan ini satu ramalan dangkal. Tetapi kita perlu ingat, satu ketika dulu pengantin Melayu berpakaian tradisi serta siap bertanjak dan dilengkapi dengan keris di pinggang. Hari ini ia bukan saja tidak lagi pilihan pertama raja sehari, malah pakaian seperti itu sudah mula dianggap janggal.

Sesungguhnya, kemajuan teknologi hari ini telah menelan tradisi dan adat orang Melayu dengan kadar begitu fenomena.

Beberapa hari menjelang 1 Syawal, Berita TV3 melaporkan penurunan jumlah kad ucapan Selamat Hari Raya yang dikendalikan Pos Malaysia. Ringkasnya penurunan drastik ini menunjukkan jumlah pengurangan lebih 50 peratus bagi tahun 2011 berbanding 2006. Waktu saya di Tingkatan Enam, saya usahakan kad raya buatan sendiri untuk seisi kelas.

Urusan layout dan mengayatkan kad berkenaan juga menjadi tugas saya. Kad dijual mengikut tempahan tanpa ambil kira untung. Kerjanya bukanlah mudah, sesiapa biasa berurusan dengan perniagaan kad raya tentu faham. Sejak dulu kad raya adalah sinonim kepada hari raya itu sendiri. Maknanya kad dianggap pengganti diri kepada sesiapa untuk memanjangkan doa serta harapan dan turut diselitkan dengan kata-kata kemaafan.

Namun hari ini kemajuan dalam teknologi ICT semakin membunuh budaya kad raya.

Sebaliknya ucapan Selamat Hari Raya jauh lebih banyak dihantar menerusi pesanan ringkas bergambar mahupun teks, menerusi laman sosial seperti Facebook, e-mel dan juga Twitter. Sementara trend ini terus berkembang, trend hantar kad raya dilihat menuju kepupusan.

Lazimnya kita memulakan sambutan 1 Syawal dengan solat sunat Aidilfitri sebelum bermaafan dan berkunjung ke pusara ibu bapa ataupun keluarga terdekat. Ramai juga yang menyambutnya dengan linangan air mata tatkala mengenangkan orang tersayang yang telah pergi dan kerana sedih berpisah dengan Ramadan serta khuatir tak sempat bertemu Ramadan tahun selanjutnya.

Tak ramai yang menangis ketika Ramadan sekalipun tujuan berpuasa itu sendiri adalah bagi kita menginsafi mereka yang tidak bernasib baik dalam hidup ini. Cuba tanya berapa ramaikah di antara kita melihat rakyat Somalia berpuasa dalam suasana begitu daif dan tanpa harapan untuk berbuka dengan makanan yang sedap-sedap serta keselesaan menunaikan solat Terawih?

Kita juga memulakan sambutan Aidilfitri dengan perasaan sedih serta sugul dan sebaik memohon maaf atau menerima permohonan maaf daripada anggota keluarga, sekali lagi perasaan kita diuji. Cara kita berbeza dengan bangsa lain di mana yang muda memohon maaf kepada yang berusia. Namun semangat hari raya semakin hari bakal menjadi tinggalan sejarah. Semakin maju dan membangun negara kita, maka perubahan yang menjengah sangat sukar disekat seperti air deras dari lautan.

Tentu ingat bagaimana suatu ketika dulu kita mencemuh budaya beri duit raya dalam sampul atau paket angpau. Konon ini meniru budaya bukan Melayu. Namun hari ini amalan memberi duit raya dengan menghulurkan duit atau nota ringgit tanpa bersampul ini sudah pupus.

Turut sama terhimpit dalam perubahan budaya sambutan tradisional hari raya ini ialah persiapan kuih-muih. Dulu kita lebih gemar buat sendiri daripada membeli atau mengupahnya. Minggu akhir Ramadan, maka terlihat ketuhar berjenama Buttefly warna hitam bentuk kotak empat persegi di hampir setiap dapur. Walaupun ketuhar tradisional ini digantikan dengan yang lebih canggih, namun aroma samprit, kek marble dan sebagainya memenuhi ruang dapur dan menyemarakkan perasaan kedatangan Syawal. Hari ini segala-galanya telah berubah. Perkakas acuan dan dapur tradisional yang menghasilkan kuih favourite bahulu dengan dibakar di bahagian atas dan bawah guna sabut juga sudah semakin pupus.

Dulu budak-budak pun boleh menganyam ketupat guna pucuk daun kelapa. Sambil menunggu pengumuman 1 Syawal, ketupat dimasak dalam periuk besar sebelum digantung di jendela bagi pastikan selain ia sejuk dan boleh dipotong, juga tidak dilarikan kucing atau dipatuk ayam.

Wajah Penyimpan Mohor Besar Raja-raja juga ditatapi penuh debaran – jadi tak hari raya atau perlu berpuasa sehari lagi. Tapi hari ini ketupat ready-made lebih popular, tarikh 1 Syawal juga ditetapkan menerusi rukyah.

Hari ini tak banyak lagi ciri-ciri sambutan tradisional Hari Raya Aidilfitri yang masih tinggal dan diamalkan oleh masyarakat serta generasi baru orang Melayu. Hampir segalanya menjadi mangsa kemajuan teknologi serta perubahan minda yang dibawa oleh kemajuan berkenaan. Jika ada pun yang masih lagi dipertahankan secara tak sengaja ialah beberapa lagu hari raya yang khususnya didendangkan oleh P Ramlee, Saloma dan beberapa orang lagi penyanyi zaman tersebut. Dendang Perantau dan Selamat Hari Raya masih berkumandang walaupun tidak ada jaminan sehingga bila.

Mungkin yang tak dapat diubah untuk selama-lamanya ialah laungan takbir Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar Walillah Ilham.

Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved