Rabu, 17 Ogos 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Pengajaran sebenar isu gereja

Posted: 16 Aug 2011 05:00 PM PDT

Isu terbaru melibatkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Damansara Utama Methodist Church (DUMC) mengingatkan saya lawatan ke sebuah rumah perlindungan mangsa HIV Islam di Subang Jaya beberapa tahun lepas.

Salah seorang anggota Keadilan di cabang saya aktif di sebuah masjid di sana. Beliau memperkenalkan saya ke rumah perlindungan tersebut yang dikendalikan qariah masjid tersebut secara sukarela.

Kepentingan rumah tersebut ialah memandangkan seperti mana diketahui, prejudis terhadap mangsa HIV dan Aids masih berleluasa dalam masyarakat kita. Justeru ramai di antara mereka menghadapi masalah untuk kembali kepada keluarga selepas meninggalkan hospital dan penjara.

Hakikatnya ada mangsa HIV dan Aids Muslim yang menerima bantuan masyarakat Kristian. Ini sudah tentu bukan petanda baik bagi pihak berkuasa agama malah umat Islam di negara kita. Pihak berkuasa agama sepatutnya menjaga kebajikan umat Islam dengan sumber ratusan juta ringgit.

Menariknya dalam kes ini, ada sebuah gereja terlibat yang bekerjasama dengan rumah tersebut untuk menghantar mangsa HIV Muslim pulang.

Kita sewajarnya sangat prihatin dengan gejala murtad. Tetapi untuk menumpukan pada faktor luaran semata-mata tanpa melihat kegagalan kita sendiri sebagai masyarakat Islam menanganinya, bermakna kita tidak jujur pada diri.

Ya, mungkin mangsa HIV ini sengaja mengasingkan diri daripada keluarga mereka. Ya, ada di antara mereka terlibat dalam dadah dan seks bebas (walaupun kita sering terlupa jangkitan HIV juga datang daripada suami-isteri serta pemindahan darah). Tetapi itu bukan alasan agar mereka tidak dilayan dengan baik sebagai manusia, apatah lagi untuk mereka meninggal dunia di luar Islam.

Islam menekankan sifat Allah SWT yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Tidak kiralah masa lampau mereka, mereka boleh diampunkan sekiranya bertaubat.

Sewaktu lawatan, saya menyedari rumah tersebut menerima ramai pelawat. Bukan sahaja pegawai-pegawai Jabatan Penjara dan Hospital (ramai mangsa HIV di rumah tersebut datang dari penjara ataupun hospital) tetapi juga ketua gereja yang disebutkan di atas, yang memindahkan mangsa HIV Muslim ke rumah tersebut.

Saya bertanya kepada mereka sama ada mendapatkan bantuan daripada pihak berkuasa agama. Qariah masjid ini mengatakan sudah mencuba tetapi dimaklumkan pihak berkuasa tersebut ada 'rancangan sendiri' lantas tidak akan menyumbangkan walau satu sen. Saya tertanya-tanya mengapa usaha murni sebegini tidak dibantu sejak mula, apatah lagi ketika rumah perlindungan 'rasmi' masih lagi di 'peringkat perancangan'?

Justeru saya bersetuju dengan pandangan bahawa kita harus meneliti semula bagaimana wang zakat dibelanjakan di Malaysia. Wang zakat boleh diuruskan dengan lebih baik.

Misalnya, saya terkejut apabila diberikan buah tangan selepas menghadiri acara penyampaian zakat kepada fakir miskin. Saya bersangka baik yang buah tangan itu bukanlah daripada wang zakat, tetapi amalan itu menghantar mesej yang salah kepada masyarakat.

Ini mengingatkan saya kepada kisah moyang saya, Haji Wan Musa Abdul Samad, Mufti Kelantan antara 1908 hingga 1916. Ketika Sultan dan majlis agama ingin membina bangunan konkrit Masjid Muhammadi (masjid negeri di Kelantan) untuk menggantikan binaan kayu – sebahagiannya menggunakan zakat fitrah - beliau meletak jawatan memandangkan fitrah diutamakan untuk fakir miskin dan bukannya untuk pembangunan.

Baru-baru ini seorang pengundi di kawasan saya menceritakan kisah pengemis Yahudi buta. Pengemis ini gemar mencela Nabi Muhammad SAW sebagai orang gila dan ahli sihir di pasar Madinah. Apabila Rasulullah mendapat tahu tentang perkara ini, Baginda tidak marah sebaliknya melawat pengemis tersebut tiap-tiap hari untuk menyuapkannya tanpa berkata apa-apa.

Apabila Rasulullah wafat, Saidina Abu Bakar as-Siddiq mengambil alih tanggungjawab tersebut. Tetapi apabila beliau menyuapkan pengemis tersebut, pengemis tersebut naik marah dan mengatakan ini bukan orang sama yang menyuapnya selama ini.

Abu Bakar terus menangis dan menceritakan bahawa orang yang menyuap pengemis tersebut setiap hari tidak lain dan tidak bukan Rasulullah sendiri. Pengemis tersebut terkejut, teringat celaannya tiap-tiap hari terhadap seorang Nabi yang hanya membalasnya dengan kebaikan. Akhirnya, pengemis tersebut memeluk Islam.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Airmata di Aidilfitri... alamak!

Posted: 16 Aug 2011 05:00 PM PDT

Lebih kurang dua minggu lagi, kita akan menyambut hari raya aidilfitri. Sewaktu di zaman kanak-kanak, inilah hari yang dinanti-nanti. Setelah mandi, boleh pakai baju baru.

Kemudian boleh makan ketupat, rendang, lodeh dan segala macam kuih-muih dan air hingga perut sebu. Selepas itu bersalam-salaman dengan ayah, ibu, abang dan kakak dengan penuh harapan. Bukan harapan dosa lalu dimaafkan, (sebab tahu, budak-budak tak ada dosa) sebaliknya mengharap mereka akan menghulur duit raya.

Bersembahyang raya di masjid juga amat menggembirakan. Dengan pakaian yang berwarna-warni, tubuh-tubuh kami yang kecil boleh sahaja menyelit dicelah-celah orang tua untuk sama-sama bertakbir dengan suara yang lantang. Bukannya dengan niat ikhlas memuji Illahi, sebaliknya suka sangat bila mendengar suara sendiri menggaung melalui mikrofon ke seluruh kampung.

Selepas solat aidilfitri, penjelajahan secara berkumpulan pun bermula. Kononnya untuk beraya, padahal agenda tersembunyinya hanyalah hendak mengutip duit. Bila tiba ke rumah orang, sukanya hati kami bila si anak tuan rumah bertanya, "Nak kuih ke, nak duit?" Tentu sekali jawapannya ialah, "Nak duit." Tapi kalau emaknya pula muncul dan berkata, "Kalau nak duit, kenalah makan dulu," wajah masing-masing terus mencuka kerana urusan mengutip duit akan tergendala.

Bila berselisih dengan kumpulan lain, kami akan bertukar tip rumah manakah yang paling besar duit syilingnya. Kalau ada yang memberitahu, rumah Tuan Haji Salam memberi 50 sen, maka ke rumah itulah yang kami tuju. Ada juga yang tak tahu malu sampai beraya ke rumah Tuan Haji Salam sampai dua kali kerana hendak duit dua kali ganda.

Hari raya adalah hari gembira bagi kanak-kanak. Bagi kita yang dewasa, inilah hari yang seharusnya disambut dengan rasa bangga dan gembira juga. Bangga kerana kita berjaya membelenggu syaitan di dalam diri dengan membelenggu nafsu kita sendiri melalui puasa. Gembira kerana kita berjaya melepasi ujian berpuasa bagai seorang hamba yang merdeka.

Akhirnya kita melepasi satu tempoh ujian sebulan untuk menjernihkan fizikal, mental dan spiritual. Ia sempena kejayaan kita kembali kepada fitrah insaniah ~ yang elok fizikal, kental mental dan suci spiritual. Paling tidak pun, setelah menjalani puasa Ramadan, kita sudah lebih bersih apabila bersinarnya mentari Syawal.

Kerana itu, seelok-eloknya kejayaan berjihad melawan hawa nafsu ini diteruskan. Di antara caranya ialah dengan berasa sensitif terhadap apa yang boleh mempengaruhi kita untuk tunduk kembali ke dalam situasi sebelum berpuasa. Malangnya, semakin lama kita menginjak usia, kita semakin mudah terpengaruh, terutamanya dengan TV.

Kita biarkan media melakar dan menggariskan semula sikap yang tidak sepatutnya kita zahirkan. Hari raya digambarkan sebagai bukan sebagai hari bergembira. Sebaliknya sebagai hari kita bersedih. Di pelbagai saluran TV, drama airmata di aidilfitri ditayangkan dalam pelbagai latar tetapi dengan mesej yang serupa. Dengan muzik latar dan mimik wajah yang kusut, seisi keluarga teruntun perasaan hingga merembes airmata.

Adegan bermaaf-maafan di aidilfitri sudah menjadi satu babak dalam rancangan hiburan. (Maaf cakap, bermaaf-maafan ketika Ramadan menjelang itu lebih bermakna, sempena kita hendak mensucikan diri). Oleh kerana bermaaf-maafan itu dicanangkan sebagai sesuatu yang begitu bermakna di aidilfitri, maka sebilangan daripada kita hanya menganggap bermaaf-maafan hanya sesuai di aidilfitri. Maknanya, ada di kalangan kita sampai menunggu aidilfitri untuk memohon maaf di atas kesalahan. Kerana itu, mana tak lencun tudung dengan airmata bila kita memohon dosa yang tersimpan di dada hingga setahun?

Kalau kita yang sederhana ini asyik bersedih, lebih-lebih lagi disimulasikan dengan kesedihan melalui tontonan TV, mungkin kita tidak sempat hendak menjenguk orang yang benar-benar sedih yang ada di kalangan kita. Tentu ada makcik atau pakcik yang hidup sebatang kara di hujung kampung, di hujung blok atau di penghujung jalan.

Mereka ini puas bersedih di sepanjang tahun. Aidilfitri yang seharusnya menggembirakan pun dilalui dengan kesugulan. Apalah salahnya kita gembirakan mereka, bukan setakat menghantar ketupat dan lemang, tetapi menghulur sepasang pakaian dan kemudian memimpinnya ke rumah untuk sama-sama menyambut aidilfitri?

Layari http://www.maafcakap.blogspot.com untuk membaca artikel-artikel sebelum ini.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.
Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved