Sinar Harian :: Suara Cakna |
Saman fitnah Menteri Pelancongan selesai, permohonan maaf ditetap 15 September, Posted: 15 Aug 2011 05:00 PM PDT Saman fitnah Menteri Pelancongan selesai, permohonan maaf ditetap 15 September KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 15 September bagi Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen hadir ke mahkamah untuk mendengar permohonan maaf secara terbuka daripada pengarah sebuah agensi pengiklanan, Austen Victor Lauw Zecha, yang didakwa memfitnah beliau. Hakim Datuk V T Singham menetapkan tarikh itu setelah peguam Sunil Abraham yang mewakili Ng, dan peguam T.H. Liew yang mewakili Zecha, mencapai persetujuan untuk menyelesaikan kes itu di luar mahkamah berdasarkan terma tertentu. Sunil berkata, antara terma yang dipersetujui ialah permohonan maaf itu perlu disiarkan akhbar Sin Chew Daily atau Nanyang Siang Pau dalam tempoh 48 jam selepas permohonan itu dibacakan di mahkamah. Menurutnya, permohonan maaf itu juga perlu dibaca di saluran stesen radio Business FM89.9 selama seminggu selepas tempoh 48 jam itu, manakala jumlah ganti rugi perlu dibayar kepada Ng dalam tempoh seminggu selepas permohonan maaf dibacakan di mahkamah. Dalam saman yang difailkan pada 14 April lalu, Ng mendakwa Zecha yang merupakan pengarah TBWA-ISC Malaysia Sdn Bhd dan Integrated Strategic Communications Sdn Bhd (ISC), dalam satu wawancara dengan Business FM89.9, mengeluarkan aduan palsu dan serangan terhadapnya sebagai Menteri Pelancongan. "Wawancara dan aduan pihak defendan itu menerima liputan meluas di media cetak di Malaysia serta di internet," Ng yang juga Naib Presiden MCA dilaporkan berkata sebelum ini. ISC, yang mengendalikan kempen "Malaysia Truly Asia", mendakwa menolak pembaharuan kontrak dengan Kementerian Pelancongan kononnya kerana ia diminta memberi rasuah bagi mendapatkan kontrak itu. Beliau menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan serta perintah untuk menghalang defendan, ejen atau pekerja, daripada mengeluarkan fitnah terhadapnya. - Bernama |
Saman fitnah Menteri Pelancongan selesai, permohonan maaf ditetap 15 September Posted: 15 Aug 2011 05:00 PM PDT Benjy didenda RM5,000 kerana miliki dadah KUALA LUMPUR - Pelakon Khaeryll Benjamin Ibrahim atau Benjy didenda RM5,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda itu oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini setelah didapati bersalah memiliki syabu seberat 0.24gm di kediamannya tahun lepas. Majistret Hafizza Sauni membuat keputusan terhadap anak lelaki tunggal dramatis Azean Irdawaty itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan pertuduhan terhadap pelakon itu. Benjy, 33, didakwa memiliki dadah itu di rumah bernombor A-6-5 Menara Duta 2, Jalan 1/38B Persimpangan Jalan Segambut di sini, pada 4 petang ,11 Mac tahun lalu. Dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun. Sebanyak 14 saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan termasuk Benjy telah dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan berlangsung sejak tahun lalu. Terdahulu, peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Benjy, memohon supaya mahkamah mempertimbang hukuman berbentuk bon berkelakuan baik terhadap anak guamnya memandangkan tertuduh tidak ada kesalahan lampau dan akan menjalani pembedahan esok. Beliau turut membacakan kandungan surat yang ditulis Benjy kepada Hafizza yang antara lain menyebut Benjy menghidap asma dan akan menjalani pembedahan esok. "Keadaan diri saya juga tidak terkawal disebabkan oleh masalah kesihatan serta bebanan kewangan untuk menyara keluarga, selain ibu yang menghidap penyakit kanser payu dara tahap keempat dan disebabkan kes ini, dia turut tertekan, " kata Benjy dalam surat yang dibacakan Amer. Amer turut membacakan surat Azean kepada Hafizza yang memaklumkan mengenai pembedahan tersebut. Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Noor Mawarni Abdul Halim memohon hukuman berat dikenakan terhadap Benjy sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.- Bernama |
You are subscribed to email updates from Sinar Harian :: Suara Cakna To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan