Sinar Harian :: Suara Cakna Anda |
Posted: 13 Aug 2011 05:00 PM PDT |
Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.Dari kecil lagi saya diajar Rukun Islam dan Rukun Iman. Juga bagi menampilkan zakat kerana zaman itu atau sekarang pun majoriti ummah/Melayu hidup miskin; ramai pula miskin tegar! Sedih tetapi benar! Zakat al-fitr atau fitrah dianggap oleh ramai tidak wajib (not obligatory) tetapi kita membayarnya dengan senang hati tetapi tidak pula zakat yang lebih penting; membantu mereka yang terlibat dalam al-muqatilun fi sabil allah. Memang tabii kebanyakan orang kita suka mendahulukan sunnah dari yang wajib, isu ranting dari isu pokok; orang berada dibela bukan yang wajib dibela seperti mereka yang daif dan papa kedana. Kalau minda kita kecil begitulah juga pemandangan, keutamaan dan pengertian kita tentang kehidupan dan akhirat. Ramai pula yang dianggap pandai dalam agama, dilihat lebai tetapi ramai juga dilihat tegas Speaking, 'deficient in administrative skill, experience and knowledge – kurang dalam kemahiran, pengalaman dan pengetahuan pentadbiran'. Secara ringkas tidak profesional! Kalau seseorang itu kurang vitamin dia bisa jatuh sakit, begitulah juga kalau seorang birokrat/pentadbir zakat, Baitulmal tiada ilmu pentadbiran dia tidak cekap walaupun dia tahu agama maka menderita dan cacatlah pentadbiran zakat yang terpenting itu. Dalam Utusan Malaysia Khamis 11 Ogos 2011, ada dua items yang menarik perhatian saya. Pertama 'Elak Salah Guna Wang Zakat Untuk Tujuan Lain, Perkemas Sistem Baitulmal'. Surat dari Rozmal Malakan (http://waqhih.blogspot.com). Tegas Rozmal 'Khalifah Saidina Umar ra telah menunjukkan caranya bagaimana untuk membantu mereka yang memerlukan dengan cara yang berkesan, efektif serta efisien (tersirat kalau ada kejujuran, integriti dan takut kepada Allah SWT.)'. Rozmal, siapalah peduli pada sabda Saidina Umar r.a kalau mereka terang-terang mengingkari perintah Allah SWT. dan Rasulnya Muhammad SAW.? Kerana asyik, syok jadi wira membela Islam dan akidah maka tiap kali timbul isu umat Islam-Melayu menerima bantuan, pujukan dari pihak bukan Islam baik gereja atau organisasi agama lain seperti dijelaskan oleh Rozmal kita terlepas pandang... adanya segelintir kecil penerima zakat dan wang kebajikan menyalahgunakan wang dana itu untuk kegiatan lain, lebih buruk untuk tujuan maksiat. Pada saya lebih buruk, lebih teruk lagi mana pergi wang zakat RM500 juta mungkin lebih dari itu yang dikutip setiap tahun? Kawan lama saya Dato' Seri Mohamad Yusof Latiff, Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang, mengikut Utusan Malaysia Khamis 11 Ogos, muka 29 membuat pertanyaan demikian. Pertanyaan itu amat kena pada tempatnya dan patut diketengahkan dan disebarkan seluas-luasnya. Kalau diambil kira zakat dari syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) tegas Yusof, dan saya setuju, memang benar jumlah kutipan zakat setiap tahun melebihi RM1 bilion dan meningkat tahun demi tahun. Kita baca dalam surat khabar dan tonton dalam saluran televisyen penyerahan cek oleh mereka yang ternama, terbilang kepada yang lebih terkenal, berjenama, tersohor. Sehingga Yusof bermadah, pada ingatan saya, belum seorang pun ADUN, senator dan MP bertanya ke mana dana zakat yang begitu besar jumlahnya itu pergi, cara pengagihannya dan siapa penerimanya? Pernahkah nama-nama penerima, disenaraikan dan diumumkan? Pernahkah kira-kira dana itu diaudit, disiasat oleh akauntan-akauntan atau firma-firma perakaunan bertauliah yang diakui oleh kerajaan kita? Kalau wang zakat diurus secara profesional oleh mereka/badan, agensi, institusi yang lebih berwibawa atau pun dilihat lebih cekap, transparen, adil dan berintegriti tidak seharusnya masih ramai lagi ummah-Melayu yang miskin dan terus menderita; meminta sedekah (pergilah ke masjid pada hari Jumaat anda akan diserbu oleh peminta sedekah termasuk professional beggars dan juga yang benar-benar miskin). Majoriti seolah-olah tidak pandai bercakap, tidak memberi salam, tidak berzikir atau membaca ayat al-Quran tetapi hanya menadah tangan sahaja! Zaman saya kecil dahulu, kata orang Kelantan 'Tok Fakir' membaca beberapa ayat Quran sebelum mengharapkan sedekah. Mereka tidak menadah tangan. Hanya menunggu sedekah dihulurkan! Sekarang terus menadah tangan! Apakala dua tangan penuh dengan ringgit atau siling dimasuk ke dalam poket atau diberi kepada pembantu (untuk disimpan) lazimnya anak lelaki atau perempuan yang diheret ke sana sini begging! Kenapakah Malaysia yang dianggap dunia sebuah negara yang bakal maju dan kita turut berbangga kerana diakui mendahului negara-negara Islam yang lain dalam perbankan Islam, sukuk, insurans Islam (takaful) mundur dalam pentadbiran zakat? Yusof tepat apabila berkata: 'jika badan-badan ini (Majlis Agama Islam, agensi dan institusi zakat) dikendalikan dengan baik dan berkesan, saya percaya tiada lagi masyarakat Islam miskin di Malaysia.' 'Amin, Amin, Amin. Amat betul dan benar', sambut Non-Speaking. Kita berharap (mungkin perkataan mohon lebih diperkenankan) Perdana Menteri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang mentadbir urusan agama di Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang dan Melaka dan lain-lain; Penasihat Agama Perdana Menteri, Mufti Wilayah, alim ulama, ahli ekonomi, perakaunan boleh membuat sesuatu secepat mungkin agar perkara yang memalukan ummah Islam ini tidak berterusan dan dipolitikkan dalam PRU13! Jumlah wang yang dikutip bukan sedikit. Ke mana dana itu pergi, tiris? Kenapa tidak diaudit dan kalau pun ada kenapa tidak disebarkan - lebih baik dibentangkan di dalam Parlimen, Dewan Negara dan Dewan-Dewan Undangan Negeri. Senarai penerima individu dan institusi harus diumumkan. Ramai orang kaya, hartawan, mereka yang berharta atau pun berada saya tahu banyak mengeluarkan zakat secara langsung (dibenarkan oleh agama kita) kepada yang benar-benar layak menerimanya untuk mengelakkan disalah guna, pengagihan yang tidak adil, tidak amanah dan telus. Juga bagi menolong membanteras penyalahgunaan dana itu seperti yang ditegaskan Rozmal dan terpenting juga bagi membasmi pemborosan oleh birokrasi zakat! Kalau kena tadbir, urusannya telus dan tidak diragui lebih ramai ummah/Melayu/syarikat, kecil dan besar, akan memberi zakat kepada agensi yang teruji. Tidak bolehkah agensi zakat diketuai oleh pegawai-pegawai pentadbir awam dan diplomatik atau oleh akauntan, pakar ekonomi atau profesional seperti yang dilakukan pada bank seperti Maybank, CIMB, Tabung Haji dan PNB? Atau perbadankan institusi zakat? |
Posted: 13 Aug 2011 05:00 PM PDT * BERSETUJU benarlah saya dengan kenyataan – sebenarnya keluhan! – Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengenai penggunaan sepenuhnya media baru oleh pihak pembangkang. Selasa lalu Menteri Dalam Negeri itu dakwa pembangkang menerusi media baru telah menghasut rakyat ambil bahagian dalam aktiviti menyalahi undang-undang demi keuntungan politik mereka. Beliau berkata: "Pada hakikatnya berita dipaparkan pembangkang tidak betul. Kerajaan sukar menerangkan keadaan sebenar walaupun pelbagai saluran media sedia ada digunakan, berikutan meluasnya penggunaan media baru oleh pembangkang." Kalau menteri sudah tahu penjelasan menerusi media sedia ada – akhbar, radio, TV – tidak berkesan, mengapa tidak beralih kepada media baru? Pembangkang guna media baru, kerajaan pun kena guna media baru. Persepsi umum sekarang, terutama dalam kalangan anak muda, ialah akhbar, radio dan TV yang dimiliki secara langsung atau 'dikawal selia' kerajaan, semuanya tidak benar, mengarut, mengampu. Ada laman web atau blog dikendalikan parti kerajaan, tetapi isinya sama dengan akhbar, radio dan TV milik kerajaan. Orang tidak baca, kalau baca pun mereka tidak percaya. Kerajaan kena ada blog atau portal berita yang dilihat bebas. Tidak payah heboh-heboh hendak buat blog atau web, sebab kalau orang tahu itu milik kerajaan, orang tidak baca juga. Isinya pun jangan nampak sangat bodek kerajaan, kena munasabah dan adil. Sebenarnya ada banyak web, portal berita dan blog pembangkang yang juga tidak dibaca sebab terlalu mengagungkan pembangkang. Anak muda kita sudah boleh berfikir, tidak boleh digula-gulakan baik oleh pembangkang atau pun kerajaan. * NAMANYA media baru, tetapi bukan baru sangat di tempat kita. Internet, web, blog lama wujud dan jadi sumber informasi kepada masyarakat siber, terutama remaja. Cuma sesetengah menteri dan pemimpin parti tidak lihat potensi serangan siber. Boleh jadi mereka buta IT, dan tidak ikuti perkembangan ICT. Contoh, sesetengahnya tidak tahu pun apa 'tetikus', macam mana hendak menggunakannya? Menjelang Pilihan Raya Umum ke-12 dulu ramai menteri dan pemimpin kerajaan tidak percaya pengundi boleh terpengaruh dengan apa dipaparkan dalam internet. Mereka yang pada saat itu hanyut dalam keselesaan, percaya keindahan dan hubaya-hubaya disiarkan media arus perdana. Itu bagus, ini okey, atas cantik, bawah molek. Pendek kata kalau ikut media perdana, semua tanggung beres. Mereka tidak ambil kira kewujudan media baru. Akibatnya, BN hilang kekuatan dua pertiga di Parlimen, dan terlepas beberapa negeri. Bila buat 'pos mortem' barulah diakui peranan dan kesan media baru. Apa boleh buat, tahi kambing bulat-bulat! Sebaran maklumat menerusi siber kini lebih hebat, dan cepat. Tidak sahaja blog dan laman web, orang kini berhubung setiap saat menerusi 'Facebook', 'Twitter' dan lain-lain laman sosial. Betul tidak betul maklumat yang diterima, belakang kira. Apa yang pasti satu persepsi – positif atau negatif – telah ditanam dalam minda. Sekiranya tidak dibetulkan segera, persepsi itu akan bertukar menjadi tindakan. Sebab itu kerajaan pun kena proaktif seperti pembangkang. Gunakan sepenuhnya media baru untuk menyebarkan maklumat. Sekarang bukan masa untuk menuduh pembangkang menyebar maklumat palsu menerusi media baru. Sekarang adalah masa untuk sama-sama memanfaatkan media baru untuk beri penjelasan. Malangnya sesetengah laman web kerajaan nampak seperti tertinggal 50 tahun ke belakang. Maklumat tidak dikemas kini, cara ia dipaparkan pun tidak kreatif langsung. Kalau web rasmi pun tidak dikemas kini, macam mana hendak lawan pembangkang yang selalu peka di alam siber? * AKHIR kalam, dulu-dulu Benazir Bhutto (kini arwah) adalah Perdana Menteri wanita paling cantik di dunia. Rekod itu dipecahkan oleh Yingluck Shinawatra, yang minggu lalu jadi PM ke-28 Thailand, sekali gus mencatat sejarah sebagai PM wanita pertama di Negara Gajah Putih itu. Pada usia 44, wanita beranak satu itu sepanjang kempen pilihan raya kelihatan lebih sebagai bintang filem daripada ahli politik. Thailand sudah, Filipina sudah (Corazon Aquino & Gloria Arroyo Macapagal), Indonesia pun sudah (Megawati Sukarnoputri). Bila pula Malaysia akan ada PM wanita? Kita pun ada ramai cantik seperti Yingluck! TOK PERAK Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. |
You are subscribed to email updates from Sinar Harian :: Suara Cakna Anda To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan