Khamis, 21 Julai 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Sandiwara menjelang Ramadan

Posted: 20 Jul 2011 05:00 PM PDT

Sandiwara! Itulah tuduhan terhadap Pas, parti Islam yang juga komponen penting PR. Ada pun yang melemparkan tuduhan ialah MCA, parti Cina dan salah satu komponen utama BN.

Isunya: hiburan pada bulan Ramadan. Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak mengarahkan pusat-pusat hiburan seluruh negeri supaya tutup kedai sepanjang bulan puasa. Larangan berhibur itu adalah mengikut Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997. DAP, geng sekelambu PR, terus melenting atas larangan tersebut. Karpal Singh beri kata dua agar larangan itu ditarik.

Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang campur tangan, akhirnya Azizan akur dengan bosnya, dan nyatakan akan menimbangkan semula larangan awal tersebut. Pusat hiburan boleh beroperasi, tetapi pastikan orang Islam dilarang masuk.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata, isu itu sengaja dimainkan bagi membuktikan kepada masyarakat Cina bahawa DAP mempunyai pengaruh terhadap Pas. Itulah sandiwaranya.

Sebenarnya tidak ada isu. Malah, MB tidak perlu pun mengeluarkan sebarang arahan supaya tiada hiburan di Negeri Jelapang Padi sepanjang bulan al-Mubarak itu. Pada saya tidak munasabah menutup pusat-pusat hiburan pada bulan puasa.

Hakikatnya, pusat-pusat hiburan tersebut sudah diberi lesen untuk beroperasi, dan lesen tersebut tidak mensyaratkan supaya tutup kedai pada bulan puasa. Tidak mungkin tauke-tauke arak itu mahu hentikan perniagaan selama sebulan!

Mereka diberi lesen, dan membayar cukai untuk berniaga di bidang hiburan. Siapa pula hendak bayar ganti rugi – tentu juta-juta RM! – kepada mereka kerana terpaksa tutup kedai selama 30 hari? Mereka terlibat dalam dunia hiburan itu pasti tidak sanggup turun ke laut tangkap ikan, atau menjadi tukang beca.

Kini tuan punya pusat-pusat hiburan – karaoke, pub, kelab malam, kelab dangdut, rumah urut, dan sebagainya – tidak lagi berwalang durja, sebab semua boleh beroperasi seperti biasa. Tauke arak dan 'ibu ayam' tersenyum panjang.

Kedengaran lucu pula apabila MB beritahu pusat-pusat hiburan boleh beroperasi ketika Ramadan, dengan syarat orang Islam tidak dibenarkan masuk. Tindakan akan diambil sekiranya ada pusat hiburan benarkan orang Islam masuk.

Persoalannya: Kenapa bulan puasa? Apakah larangan umat Islam ke tempat-tempat seperti itu hanya dikuatkuasakan ketika Ramadan?

Minum arak, bercampur bebas lelaki-perempuan, menari sambil berpelukan, gesel tubuh, dan lain-lain maksiat yang ditawarkan di pusat-pusat hiburan, adalah dilarang ke atas setiap orang Islam setiap masa, 24 jam, sepanjang tahun, seumur hidup.

Tetapi kita selalu diberi gambaran – bukan sahaja di Kedah, malah di seluruh negara – hanya bulan puasa orang Islam tidak dibenarkan buat maksiat, bulan-bulan lain tidak apa.

Bukan luar biasa orang Islam mengunjungi pusat-pusat hiburan, sepanjang tahun. Di Selangor ada beribu-ribu pusat hiburan – terutama rumah urut yang menawarkan seks. Sama ada beroperasi secara haram atau yang berlesen, mereka sentiasa membuka pintu kepada orang Islam.

Dalam dewan karaoke atau di kelab eksklusif, orang Islam meneguk arak seperti minum air cincau. Di Kedah pun tidak kurang orang Islam meneguk arak, dan berseronok di pusat hiburan sepanjang tahun.

Penguatkuasaan undang-undang Islam hendaklah dilaksanakan setiap masa, bukan hanya bulan puasa atau pada majlis-majlis tertentu. Hukum Islam tidak bermusim.

Berbalik kepada tuduhan MCA Pas bersandiwara dalam isu pusat hiburan di Kedah, rasanya itu tuduhan biasa. Sebelum ini dalam banyak isu Pas kata UMNO bersandiwara. UMNO pun selalu kata Nik Aziz bersandiwara.

Orang BN tuduh Bersih 2.0 bersandiwara. Bersih pun tuduh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersandiwara. Pembangkang kata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) main sandiwara. 'Datuk T' kata Anwar bersandiwara. PKR kata 'Datuk T' pun main sandiwara.

Pendek kata dulu, kini dan selamanya, kita tidak habis-habis dengan sandiwara. Siri-siri sandiwara inilah yang menjadikan pilihan raya umum ke-13 nanti sesuatu yang amat menarik dan dinanti-nantikan.

Sebab ketika itulah nanti rakyat menentukan siapakah yang akan dipilih sebagai pelakon-pelakon utama dalam sandiwara. Di bilik mengundi rakyat adalah 'pengarah' dan 'penerbit' sandiwara. Satu undi, boleh menentukan segalanya.

Sudahkah anda mendaftar sebagai pemilih? Atau, adakah anda juga bersandiwara?

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Kini polis pula jadi mangsa

Posted: 20 Jul 2011 05:00 PM PDT

Seperti kita duga, demonstrasi 9 Julai anjuran Bersih 2.0 berjaya membersihkan isu-isu yang membayangi pemimpin umum PKR Anwar Ibrahim. Momentum hasil demonstrasi itu telah menguatkan kedudukan pembangkang di mata rakyat. Isu tuduhan liwat dan video seks Anwar nampak seperti tenggelam dipukul ribut politik.

Tidak ada lagi dalam kalangan pembangkang peduli, sama ada Anwar layak jadi pemimpin mereka atau pemimpin seperti Datuk Seri Hadi Awang ataupun Lim Kit Siang perlu ditonjolkan. Bagi mereka isu ini sudah berakhir. Anwar kini sudah diterima, malah akan kekal memimpin pembangkang menjelang pilihan raya umum ke-13.

Jika blog dan laman sesawang boleh dijadikan ukuran populariti Anwar, sahlah beliau akan ikut jejak adik Thaksin Shinawatra, iaitu Yingluck - bakal jadi Perdana Menteri.

Biar bagaimana bukti cuba dikemukakan pihak yang menyokong kerajaan tentang dosa-dosa Anwar, malah jika dikumpul 51 lagi dalil mengenai dosa-dosa Anwar maka ia sekadar membuang dakwat semata kerana pengikut dan mereka yang di sebelah Anwar tetap taksub. Jarang dalam sejarah manusia moden, malah perkara begini hanya berlaku zaman sebelum kedatangan lslam, seorang tokoh dipuja walaupun dia tidaklah sebersih mana. Bahkan, agak menghairankan ialah kumpulan pro Anwar termasuklah "ustaz dan alim ulama" dalam Pas yang hampir 20 tahun lalu melihat Anwar sebagai "musuh politik utama" jauh mengatasi Tun Dr Mahathir Mohamed yang dilihat musuh kedua selepas Anwar, kini seperti terkena pukau dan ubat guna-guna.

Bagi mereka, Anwar ialah "insan istimewa" yang lahir abad ini untuk memimpin manusia sejagat. Malaysia tanpa Anwar ibarat sebuah kampung tidak berpenghulu. Maka tidak salahlah jika ada pihak mengandaikan demonstrasi tempoh hari didalangi oleh pembangkang untuk mengubah persepsi rakyat terhadap isu semasa mengenai tokoh pembangkang itu.

Malang bagi rakyat yang tidak sedar mereka menjadi alat dalam permainan ini, mengkritik kerajaan kerana enggan akur kepada tuntutan pertubuhan haram Bersih.

Walaupun demonstrasi jalanan itu telah pun berlalu, namun pihak penganjurnya masih tidak berpuas hati. Kini sudah ada ura-ura untuk anjurkan Bersih 3.0 pula. Namun bagi sesiapa yang mengikuti demonstrasi tempoh hari, setidak-tidaknya melihat bahang demonstrasi kesalahan tentu saja diletakkan kepada penganjur iaitu Bersih 2.0.

Pertama, Bersih ialah pertubuhan yang diklasifikasikan haram oleh pihak berkuasa dan demonstrasi tempoh hari juga dianggap haram serta bertentangan dengan undang-undang negara kerana tidak peroleh permit terlebih dahulu. Bayangkan kalau UMNO sendiri mengarahkan kira-kira 3 juta ahlinya turun ke ibu kota untuk menuntut agar Bersih serta penganjur demonstrasi dihukum? Dengan manusia seramai itu membanjiri ibu kota, ia bukan saja menimbulkan ketegangan malah pihak polis juga akan berdepan dengan masalah lebih besar.

Tempias demonstrasi tempoh hari terkena kepada pihak polis. Belum pernah dalam sejarah kita rakyatnya dilihat memperlekeh pihak polis secara sistematik. Menggunakan Facebook, mereka bukan setakat mempertikai peranan polis menangani demonstrasi, malah menghina kira-kira 60,000 anggota keselamatan itu.

Memang betul seperti yang dipaparkan di You Tube tentang tindakan agresif polis yang bersifat fizikal menendang dan menumbuk peserta degil. Tapi jangan salahkan polis kerana pada awalnya mereka menerusi Ketua Polis Negara dan Timbalannya dan ketua-ketua polis yang lain telah mengambil sikap cukup berlembut melarang Bersih dari meneruskan perhimpunan. Tapi bila berdegil, itu sahaja cara mengajar.

Nasib baik polis tidak menggunakan akta lain seperti memberikan tafsiran penyertaan perhimpunan haram seperti itu adalah kesalahan di bawah Kanun Keseksaan dan perlu ditembak sahaja. Nasib baik juga polis tak membawa mereka yang ditangkap direman di dalam lokap sehingga tarikh perbicaraan. Kenalah ingat, polis (PDRM) bukannya parti politik. Mereka ada tugas dan tanggungjawab kepada rakyat dan negara. Siapa degil dan terang-terang langgar undang-undang, terimalah padahnya.

Lihat saja demonstrasi di negara maju, sekalipun pihak polis digunakan untuk menjaga ketenteraman, namun keselamatan awam diutamakan dalam setiap aspek. Kekerasan juga digunakan oleh pihak terbabit yang menyertai demonstrasi, sama ada ia haram atau halal, mereka bertindak liar guna "senjata" seperti Molotov koktail, batu, kayu dan sebagainya.

Memang tepatlah jika pihak tertentu mengatakan Bersih sebenarnya sebuah kumpulan haram dan pengacau dengan terselindung agenda kotor dan jahat oleh dalang yang sudah pun kita kenal pasti. Mereka dan pembangkang kini berjaya alih persepsi orang ramai. Polis dilihat sebagai musuh rakyat dan tindakan mereka tempoh hari juga dibidas dengan kata kesat.

Sebenarnya isu demonstrasi 9 Julai lalu telah menyimpang dari isu sebenar. Pihak penganjur nampaknya sudah tidak lagi bercakap mengenai tuntutan mengenai pilihan raya. Bersih cuba alih minda dan tumpuan rakyat, betapa zalim dan tidak profesionalnya anggota PDRM.

Kepada yang beranggapan seperti itu atau melabel polis sedemikian, saya syorkan tak perlulah membuat laporan polis jika rumah mereka dimasuki pencuri, atau anggota keluarga mereka menjadi mangsa peragut, dan sebagainya. Mungkin alternatif terbaik ialah melaporkan sahaja kepada Anwar, Ambiga atau Mat Sabu atau siapa-siapa yang sewaktu dengan mereka ini!

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved