Rabu, 1 Jun 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Mengemis: Suratan atau sindiket?

Posted: 31 May 2011 05:00 PM PDT

Matahari jam dua petang membakar ubun-ubun kepala, jalan raya sesak dengan lalu lintas waktu makan tengah hari. Asap kelabu yang tengit dengan bau diesel, menyanggah rongga pernafasan. Jalan yang satu ini tidak pernah mendapat tempat di hati saya – persis jalan-jalan di metropolis Jakarta sahaja sifatnya.

Cuma ada satu tarikan nafsu yang membikin saya sanggup meredah lautan manusia di Jalan Chow Kit dan Jalan Tuanku Abdul Rahman: Nasi Kandar Kudu bin Abdul. Walaupun barisan pelanggan mengalahkan pengagihan makanan percuma oleh kumpulan sukarelawan, Food Not Bomb, saya masih sanggup beratur panjang di bawah suluhan terik matahari.

Tetapi hari ini, belum sempat sayur bendi kegemaran terasa nikmatnya di lidah, selera makan tersentap hilang. Seorang kanak-kanak lelaki berusia dalam lingkungan 10 tahun, tiba-tiba tercegat di sebelah seraya menghulurkan sekeping kertas bersalut lamina, memohon keluhuran saya membantu pembinaan sebuah rumah anak yatim merangkap sekolah tahfiz, di pinggir kota.

Soalan-soalan yang selalu menerjah minda apabila berhadapan dengan situasi seperti ini: Anak siapa ini? Walaupun meminta derma untuk pembinaan rumah anak yatim di Malaysia, kenapa rupa anak ini persis anak-anak Myanmar? Jika benar seperti yang dikata, bukankah tugas meminta dana itu tugas orang yang lebih dewasa? Kenapa pula kanak-kanak berbaju kotor dan capik yang muncul?

Benarkah teori yang mengatakan mereka ini hanya pelakon utama dalam drama ciptaan sindiket pengemis yang mengaut keuntungan puluhan ribu ringgit sebulan? Enggan menjawab soalan yang mencabar logik, seperti biasa, saya tetap menghulurkan apa-apa yang termampu ketika itu.

Saya pernah terbaca komentar penganalisis jenayah negara, Kamal Efendi Hashim, berpendapat bahawa kelakuan saya sebentar tadi hanya menggalakkan dan menambah keyakinan mereka untuk terus mengemis, bukannya berusaha untuk bekerja, lalu keluar dari kepompong hidup melarat.

Kamal turut mengkritik kecenderungan masyarakat kita yang cepat bersimpati tidak kena tempat dan masa. Saya dan anda senang terpengaruh dengan dugaan psikologi sindiket pengemis. Letak saja budak leleh hingus dengan pakaian sedaif mungkin, makin ramai orang yang akan membuka dompet untuk menderma. Soal ke mana derma itu disalurkan bukan masalah interim, pokoknya kita 'ikhlas'. Bukan begitu, pembaca budiman?

Walaupun ratusan operasi telah diadakan untuk membanteras aktiviti mengemis, gejala ini sukar dihakis. Saya sendiri pernah menyaksikan bagaimana Jabatan Kebajikan Masyarakat menggempur pengemis di pasar Ramadan, Setiawangsa, lewat beberapa tahun lepas. Habis semua pengemis-pengemis dikerah naik van penguat kuasa, tetapi petang esoknya pengemis lain pula datang membanjiri lokasi yang sama.

Di Bangsar juga begitu. Pernah sekali saya dan rakan-rakan makan di gerai Jolly Green (ketika itu bangunan Bangsar Village belum wujud), dan kami beramai-ramai menderma kepada pasangan orang buta yang datang menghampiri meja.

Dalam perjalanan pulang menuju ke kereta, kami nampak mereka berdua sedang makan di restoran Burger King yang nyaman berhawa dingin. Ironis sekali dunia ini bukan? Tangan yang memberi makan di tempat murahan, manakala tangan yang menerima bersenang-lenang di Burger King? Tidak mengapa, janji niat kami 'ikhlas'.

Mendalami gejala sosial mengemis ini, persoalan yang selalu ditanya fitrahnya sama. Dari mana mereka datang?

Hakikat tidak boleh disangkal, seperti sindiket pengedaran dadah, kalau tiada pelanggan sudah lama mereka bungkus. Kalau tiada pemberi, pengemis juga akan pupus dari jalan dan lorong kota ini. Dan dengan adanya orang seperti saya dan anda, sebenarnya langsung tidak membantu membasmi gejala sosial si gelandangan.

Namun, saya tidak boleh melupakan imej anak-anak di tasik Danau Toba apabila mereka menjerit-jerit kepada pelancong agar melempar wang syiling dari feri ke dalam tasik, kemudian mereka akan terjun menyelam ke dasar tasik untuk menangkap wang tersebut, persis pertunjukan sarkas sahaja. Dunia ini tidak selalunya indah. Fikir-fikirkan selalu.

•Elviza juga seorang peguam yang sedang berkicau di http://twitter.com/elviza

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tolong jangan anjur pesta naik harga

Posted: 31 May 2011 05:00 PM PDT

Selepas hampir dua tahun tidak berjumpanya, Zali yang dulu selalu monyok dan berserabut, berubah betul. Ketika berjumpa di bandar semalam dia kelihatan lebih sihat, tampan dan ceria. Giginya pun putih bersih. Jalannya tambah bergaya.

Tidak sempat bertanya, dia sudah pun bercerita. Rupanya dia sudah beberapa bulan berhenti merokok.

Yang peliknya, tidak lama selepas bertukar-tukar maklumat, Zali mengeluarkan sebatang rokok dan menghisapnya. Lebih pelik, rokoknya yang sebatang itu, katanya, berharga RM50. Tujuannya hendak jaga kesihatan dan hendak jimat.

Biar betul! Dulu anda belanja RM30 sehari hisap 60 batang rokok sehari. Untuk jimatkan belanja anda beli sebatang rokok tapi harganya RM50. Pelik betul dunia ini.

Bagi rakan saya itu, pelik atau tidak, dia benar-benar hendak jaga kesihatan dan jimat belanja. Sekurang-kurangnya dia belanja RM50 untuk hisap sebatang rokok yang boleh tahan sebulan; rokok tiruan pelbagai rasa guna charger. Memang jimat habis, jika dibandingkan dengan sebelum ini, apabila dia terpaksa belanja RM30 sehari dan RM900 sebulan untuk rokok. Saya cuba sedut sekali dua, tapi macam masuk angin keluar asap saja!

Kalau boleh lebih baik dia tidak hisap langsung, tetapi buat sementara tidak apalah Zali; tahniah. Betul atau tidak cara anda, sekurang-kurangnya anda sudah mencari kaedah untuk jimat belanja.

Sekarang kita semua kena terus sedar bahawa penjimatan kini sudah menjadi wajib. Ia patut menjadi kata kunci bagi lebih ramai orang sekarang, bukan yang berpendapatan rendah sahaja. Anda tahu mengapa. Gula sudah naik harga, harga minyak sudah naik beberapa kali. Untuk harga barang-barang lain, harap tidak dinaikkan lagi; sekurangnya tidak di masa terdekat. Harga petrol Ron95, diesel dan gas masih bertahan; entah sampai bila subsidinya dapat diteruskan!

Dan mulai hari ini, bagi pengguna elektrik antara 301kW dan 1,000kW unit, tarifnya sudah dinaikkan daripada 0.1 hingga 10 peratus, atau RM0.07 kepada RM30.30.

Macam biasalah, kerajaan menjelaskan, harga gas asli di Malaysia masih murah berbanding negara jiran meskipun dengan kenaikan itu.

Menurut kerajaan, sebelum atau selepas kenaikan, harga di negara ini murah dibandingkan dengan Thailand sebanyak RM18.23 setiap juta unit termal British (MMBtu), Indonesia RM21.04, Singapura RM43.32 dan Vietnam RM18.70.

Kerajaan kata kenaikan dalam bekalan gas ke sektor perindustrian adalah wajar, iaitu daripada RM15 setiap MMBtu kepada RM16.07 setiap MMBtu, jika dibandingkan dengan negara serantau seperti Thailand (RM19.46), Indonesia (RM18.74) dan Singapura (RM133.45).

Apa pun, yang pasti pengguna tidak selesa dengan sebarang kenaikan. Memang patut pelbagai pihak yang mewakili pekerja dan pengguna sentiasa mengingatkan agensi penguatkuasaan turun padang dan pantau secara berterusan bagi memastikan tidak berlakunya pesta naik harga dalam kalangan setengah peniaga.

Kita bimbang penyelarasan tarif elektrik ini akan dijadikan ,seperti biasa, alasan menaikkan harga barangan atau perkhidmatan sewenang-wenangnya.

Barangkali pengguna boleh rasa sedikit lega dengan jaminan persatuan restoran yang mewakili 2,500 ahli bahawa mereka tidak akan naikkan harga makanan, tapi mahu kerajaan ringankan bebanan pengusaha restoran dengan pastikan levi pekerja asing ditanggung pekerja itu sendiri.

Tetapi lebih baik pengguna sendiri ambil tindakan jimatkan perbelanjaan melalui berbagai cara. Kalau masih dengan tabiat guna elektrik secara tidak berhemah, buanglah kebiasaan yang tidak baik itu dan mulakan sikap tidak membazir.

Mengapa pasang lampu di setiap sudut rumah, jika cahaya lampu hanya diperlukan di sudut tertentu sahaja? Mengapa perlu biar pendingin hawa terpasang berjam-jam jika yang diperlukan hanya di waktu panas dan semasa tidur lima enam jam? Mengapa dibiarkan televisyen di pasang sepanjang masa, sedangkan rancangan yang ada hanya sia-sia dan membuang masa?

Baca amaran ini. Harga makanan dijangka meningkat seiring pengumuman kerajaan menaikkan tarif elektrik ini. Sekurang-kurangnya itulah kata Ketua Ekonomis Ratings Agency Malaysia, Yeah Kim Leng.

Peningkatan ini, katanya, disebabkan industri pengeluaran makanan menggunakan sebahagian besar tenaga elektrik.

Walaupun 75 peratus isi rumah terlepas daripada kesan langsung kenaikan tarif elektrik, mereka akan menghadapi bebannya apabila pengeluar memindahkan kos lebih tinggi kepada pengguna.

Satu lagi; betul pengecualian kenaikan diberi kepada yang mengguna elektrik RM20 ke bawah sebulan, tapi apakah anda dan saya - dengan kemudahan dan peralatan yang perlu digunakan dan anggota keluarga yang ramai - kita termasuk dalam golongan itu?

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved